+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ada individu di bawah pengawasan (PUS) Covid-19 langgar perintah kuarantin rumah di Ipoh?

Benarkah...

Satu gambar wanita memakai tag atau gelang tangan merah jambu yang menandakan beliau individu di bawah pengawasan Covid-19 telah melanggar tempoh perintah kuarantin di rumah pada Julai lalu.

Sumber : Media sosial/Julai 2020

Hasil

Wanita tempatan itu mula menjalani kuarantin wajib di rumah hanya selepas beberapa hari tiba dari luar negara dan telah disahkan positif Covid-19 selepas saringan ujian swab kali kedua.

09/08/2020 08:56 PM


SEKILAS FAKTA

  • Wanita berusia 72 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari United Kingdom pada 4 Julai 2020. Ujian Covid-19 pertamanya didapati negatif. Dia dipakaikan gelang tangan pengenalan diri dan diminta menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari sebagai individu di bawah pengawasan. (PUS).
  • Gambar yang tular itu diambil pada 6 Julai 2020. Ketika itu wanita berkenaan mengunjungi sebuah kafe di Bandar Meru Raya, Ipoh untuk bersarapan bersama keluarganya sebaik tiba dari Selangor.
  • Warga emas itu kemudian disahkan positif Covid-19 ketika ujian swab kedua pada hari ke-13 kuarantin wajib di rumah dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada 17 Julai lalu.

LATAR BELAKANG

Menteri Kanan Malaysia (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Jun 2020 mengumumkan bahawa mulai 10 Jun 2020, semua rakyat Malaysia yang tiba dari luar negara, akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah jika didapati negatif pada ujian swab pertama semasa ketibaan.

Tangkap layar dan gambar yang tular di media sosial Facebook dan aplikasi laman sembang menunjukkan seorang wanita yang sepatutnya berada dibawah pesakit dalam pemantauan Covid-19 gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dengan makan di kafe di Bandar Meru Raya di Ipoh, Perak.

Risau dengan gelombang kedua jangkitan Covid-19, wargamaya mengkritik dan mengutuk gambar tular wanita itu yang menimbulkan kegelisahan, ketakutan di kalangan orang ramai di sekitar kawasan itu.

PENEMUAN KAMI

Apa yang terjadi?

Wanita tempatan berusia 72 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari United Kingdom pada 4 Julai 2020. Ujian Covid-19 pertamanya didapati negatif.

Sama seperti semua rakyat Malaysia yang baru tiba dari luar negara, beliau dipakaikan tag dan diminta menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari sebagai individu di bawah pengawasan (PUS).

Gambar yang tular itu diambil pada 6 Julai 2020. Ketika itu warga emas berkenaan mengunjungi sebuah kafe di Bandar Meru Raya, Ipoh untuk bersarapan bersama keluarganya sebaik tiba dari Selangor. Akhbar tempatan, Sinar Harian pada 21 Julai melaporkan wanita berkenaan mula menjalani kuarantin wajib di rumah selepas itu.

Warga emas itu kemudian disahkan positif Covid-19 ketika ujian swab kedua pada hari ke-13 kuarantin wajib di rumah dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh sejak 17 Julai lalu sebagai pesakit dibawah siasatan (PUI).

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan insiden tersebut dan pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap wanita itu di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit dan turut disiasat mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kesalahan tidak mematuhi perintah sah.

Polis telah menamatkan siasatan pada 29 Julai sesuai dengan perkembangan kes ini.

Reaksi Masyarakat

Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood turut terkilan dengan tindakan wanita tular itu yang dianggapnya boleh menyumbang kepada gelombang COVID-19 yang seterusnya.

“It’s people like her that increase our nation’s risk to the second wave. Shame on you Ms and shame on your friends or family and cafe who allowed her in and didn’t report when she’s supposed to be under quarantine. Stricter measures needed. COVID-19 is still out there,” tulisnya.

Terjemahan: (Orang macam wanita inilah yang meningkatkan risiko negara kita  menghadapi gelombang kedua. Malulah sikit cik, dan juga kawan-kawan atau keluarga cik serta kafe yang membenarkan dia masuk dan tidak laporkan dia sedangkan dia sepatutnya di bawah kuarantin. Langkah lebih ketat diperlukan. COVID-19 masih belum berakhir.)

Gambar tersebut telah dikongsi di Twitter dan lebih 16,000 ulang ciap sehingga kini.

Tinjauan menggunakan data Google trends mendapati khabar angin berkaitan berita tersebut mula mendapat perhatian bermula 20 Julai dimana hari gambar tersebut mula tular. Ramai yang ingin mengetahui kesahihan berita itu dan ia berterusan ‘trending’ dalam tempoh dua hari lagi (21 dan 22 Julai).

Selain menimbulkan kegusaran rentetan daripada tindakan tidak bertanggung jawab itu, wargamaya melemparkan tuduhan terhadap pengurusan kafe itu kerana tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan.

Seorang pengguna Facebook, Nurul Chu Hada Karim (kemudian dilaporkan oleh media sebagai pemilik kafe) tampil membuat penjelasan untuk menepis dakwaan bahawa premis tersebut gagal melakukan saringan kesihatan terhadap pelanggan yang memasuki premisnya.

Dia telah merujuk situasi itu ke Pejabat Kesihatan setempat dan bekerjasama dengan pihak berwajib. Di platform yang sama, dia kemudiannya menyiarkan gambar operasi sanitasi yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Respon Kerajaan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 21 Julai 2020 memberitahu sesiapa yang melanggar peraturan berkaitan kuarantin wajib, seperti meninggalkan rumah atau memotong atau membuka gelang tangan Covid-19 sebelum tamat tempoh 14 hari kuarantin, tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Azmi Osman pada 1 Ogos 2020 memberitahu pihaknya telah memfokuskan proses sanitasi di lima kawasan di sekitar bandar raya Ipoh yang disinggahi oleh wanita itu termasuklah sebuah pasaraya.

"Jangan bimbang kerana tindakan telah dilaksanakan di semua kawasan yang dinyatakan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya.

Berikutan jumlah kes positif Covid-19 semakin meningkat, disusuli dengan insiden itu, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk melaksanakan kembali kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan buat semua warga asing dan rakyat Malaysia yang baru tiba atau pulang dari luar negara mulai 24 Julai lalu.

RUJUKAN

Bernama. “Back to quarantine stations for returnees - Ismail Sabri” Diterbitkan pada 21 Julai 2020.

Bernama. “SOP compliance important for those under mandatory quarantine - Health DG” Diterbitkan pada 21 Julai 2020.

The Star. “Report: Woman with COVID-19 tag at eatery has been ID-ed, was infected!” Diterbitkan pada 22 Julai 2020.

Harian Metro. “Pelitup muka fabrik punca makcik ‘wristband’ positif COVID-19” Diterbitkan pada 23 Julai 2020.

Bernama. “Sanitasi menyeluruh dijalankan, Bandar Meru Raya selamat dikunjungi - Bomba” Diterbitkan pada 1 Ogos 2020.

TAG: COVID-19, makcik, gelang tangan, tag merah jambu, wristband, kuarantin di rumah, Bandar Meru Raya. KKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak,  Noor Hisham Abdullah

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.