+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Benarkah ada individu tanggal dan buang gelang tangan PUS di KLIA?

Benarkah...

Gambar gelang tangan merah jambu untuk individu di bawah pengawasan (PUS) dijumpai di atas lantai balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Sumber : Media sosial/Julai 2020

Hasil

Seorang lelaki didenda kerana menanggalkan gelang tangan individu di bawah pengawasan (PUS) yang sedang dalam perintah kuarantin Covid-19 serta menipu keterangan di dalam borang pengisytiharan kesihatannya.

09/08/2020 09:01 PM


SEKILAS FAKTA

  • Gambar gelang tangan merah jambu untuk individu di bawah pengawasan (PUS) ditemui di lantai balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan telah mencetuskan kemarahan warga maya atas tindakan tidak bertanggung jawab individu yang dipercayai berstatus PUS terbabit.
  • Terdapat segelintir warga maya pula mendakwa bahawa itu adalah gelang tangan  individu di bawah pengawasan (PUS)  yang baharu dan masih belum pernah dipakai.
  • Seorang lelaki dengan sejarah perjalanan ke Jepun didenda sebanyak RM 2,000 kerana menanggalkan gelang tangan dipakainya yang dalam tempoh perintah kuarantin wajib Covid-19 sebaik kembali ke Malaysia pada Julai dan memalsukan sejarah perjalanannya bagi mengelakkan arahan kuarantin di rumah.

LATAR BELAKANG

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada 7 Jun 2020 bahawa semua rakyat Malaysia yang tiba dari luar negara tetapi disahkan negatif Covid-19 pada ujian swab pertama dikehendaki menjalani perintah kuarantin wajib selama 14 hari di rumah masing-masing mulai 10 Jun 2020.

Sepanjang tempoh kuarantin di rumah, mereka diwajibkan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta memakai gelang tangan merah jambu yang disediakan dan dipasang oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memudahkan proses pengenalan diri.

Pelaksanaan perintah kuarantin itu juga dikuat kuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), yang  memperuntukkan sesiapa jika  disabitkan di bawah undang-undang berkenaan akan didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

PENEMUAN KAMI

Baharu atau pernah dipakai?

Gambar gelang tangan kuarantin atau tag berwarna merah jambu yang dipercayai ditanggalkan seorang rakyat Malaysia yang perlu menjalani tempoh kuarantin wajib di rumahnya sebaik pulang dari Jepun, dijumpai di lantai balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Perkara itu kemudiannya tular serta hangat dibincangkan warga maya di media sosial pada 20 Julai.

Keadaan tersebut juga menimbulkan kebimbangan dan kemarahan orang ramai kerana gelang itu wajib dipakai oleh mereka yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah masing-masing.

Gambar yang yang tular menerusi pelbagai platform media sosial itu turut dikongsi oleh sebuah laman Facebook umum yang mencapai lebih 5,000 komen serta 15,000 perkongsian.

Dua isu utama yang dibangkitkan oleh warga maya adalah (i) adakah gambar gelang kuarantin itu telah atau belum lagi dipakai? Persoalan itu timbul kerana ada di kalangan warga maya yang berpendapat tiada sebarang tanda koyakan atau kerosakan pada gelang itu, (ii) benarkah gelang kuarantin itu mudah ditanggalkan oleh individu PUS sendiri tanpa meninggalkan kesan kerosakan?

Selain itu, terdapat pula sebilangan warga maya yang berkongsi pengalaman mereka sendiri bahawa tag merah jambu  itu tidak mudah ditanggalkan melainkan jika dipotong dengan alatan tajam.

Doktor Kesihatan Awam yang juga Pensyarah Perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Safiya Amaran yang mempunyai hampir 6,000 pengikut di Facebook menjelaskan dalam hantaran di laman sosialnya bahawa tidak mudah untuk membuka gelang tangan tersebut melainkan butang pengunci pada tag tersebut sememangnya telah rosak.

Bagaimanapun, sesuatu yang amat mengejutkan, apabila kami mendapati gelang tangan sama yang dipakai oleh pesakit yang sedang dirawat di hospital boleh dibuka dengan kerosakan minimum.

Kami menemui sebuah video dalam talian yang mengajar cara untuk membuka gelang tangan atau tag berkenaan. (Link video tersebut tidak akan dikongsi di sini bagi tujuan melindungi kepentingan awam).

Ditanggalkan kemudian dibuang

Mengikut laporan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 27 Julai 2020, lelaki yang disyaki itu sudah dikenal pasti dan disiasat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Tawau, Sabah. Difahamkan beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan telah kembali ke Malaysia pada awal Julai.

Lelaki tersebut kemudiannya telah dituduh di mahkamah serta didapati bersalah kerana bertindak menanggalkan gelang yang sepatutnya dipakai di bawah perintah kuarantin wajib Covid-19.

Lelaki itu juga telah mengakui bahawa beliau sendiri yang menanggalkan gelang tangan kuarantin bagi individu di bawah pengawasan (PUS) yang dipakainya sebelum menaiki penerbangan ke Tawau bagi mengelak dari menjalani proses kuarantin wajib di rumah selama 14 hari.

Respon Kerajaan

Dengan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  pada 21 Julai lepas telah mengumumkan bahawa kerajaan menarik semula arahan membenarkan proses kuarantin di rumah bagi rakyat Malaysia dan warga asing yang tiba di negara ini berkuat kuasa 24 Julai.

Keputusan itu dibuat setelah kerajaan mendapati terdapat beberapa individu yang telah dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah.

Penguatkuasaan yang dijalankan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (18 Mac - 3 Mei 2020) dan  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (4 Mei - 9 Jun 2020) sebelum ini menetapkan supaya individu yang berkenaan diwajibkan menjalani tempoh kuarantin di pusat-pusat kuarantin khas yang ditetapkan oleh kerajaan.

RUJUKAN

Buletin TV3. https://www.buletintv3.my/nasional/kuarantin-wajib-di-rumah-mulai-esok Diterbitkan: 9 Jun 2020

Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/86678/KHAS/Koronavirus/Rakyat-pulang-dari-luar-negara-kuarantin-di-rumah-mulai-10-Jun Diterbitkan: 7 Jun 2020

Berita Harian https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/714092/covid-19-mengaku-tanggal-gelang-tangan-beri-maklumat-palsu Diterbitkan: 23 Julai 2020

Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-lagi-kuarantin-di-rumah-mulai-24-julai-kos-kuarantin-ditanggung-sendiri-252143 Diterbitkan: 21 Julai 2020

Facebook Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Safiya Amaran

https://www.facebook.com/safiya.amaran Diterbitkan: 21 Julai 2020

Facebook My NewsHub https://www.facebook.com/MynewshubMedia/posts/2415742055401645

Diterbitkan: 20 Julai 2020

 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.