+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tidak! Itu BUKAN robot pengawal peribadi ala 'Transformers' Raja Bahrain.

Benarkah...

Raja Bahrain tiba di Dubai, UAE bersama robot pengawal peribadi lengkap bersenjata.

Sumber : Facebook, Twitter dan WhatsApp/ Ogos 2020

Hasil

Ia adalah kostum robot.

24/08/2020 11:10 AM

SEKILAS FAKTA

  • Lelaki berjubah biru dalam video berkenaan bukanlah Raja Bahrain.
  • Ia adalah kostum robot.
  • Ia adalah klip dari Pameran Pertahanan Antarabangsa (Idex) yang diadakan di Abu Dhabi, UAE pada Februari 2019.
  • 'Robot' setinggi lapan kaki dinamakan Titans merupakan seorang penyambut tetamu dan tarikan di pameran tersebut.


LATAR BELAKANG

Video berusia satu tahun setengah itu kembali menjadi bualan di platform media sosial dengan dakwaan bahawa Raja Bahrain tiba di Dubai dengan sebuah robot yang dipercayai merupakan pengawal peribadinya.

Video itu sebenarnya adalah klip dari Pameran Pertahanan Antarabangsa (Idex) yang diadakan di Abu Dhabi pada Februari 2019.

Video berdurasi 30 saat itu mmperlihatkan seorang lelaki berpakaian jubah dan memakai keffiyeh (hiasan kepala tradisional Arab) telah diikuti oleh robot dan beberapa yang lain.

Video berkapsyen itu telah dimuat naik di Twitter oleh pengguna yang disahkan, Roshan Abeysinghe mendakwa: “King of Bahrain arrives in Dubai with his robot bodyguard fitted 360 (degree) with cameras and in built pistols. Technology moving very fast than ever in history. Now politicians might order this too.”

Terjemahan: (Raja Bahrain tiba di Dubai dengan robot pengawal peribadinya yang dilengkapi 360 (darjah) kamera dan pistol. Sejarah teknologi bergerak sangat pantas. Mungkin ahli politik akan memakainya juga)

 

APA KAMI TEMUI

Betul atau Tidak?

Video tular itu bukan dari tahun 2020. Ia telah dikongsi dengan dakwaan palsu bahawa lelaki dalam video itu adalah raja Bahrain dan robot itu adalah pengawal peribadinya.

Melalui carian Google, hantaran itu telah dibongkarkan pelbagai oleh laman sesawang semak fakta yang rata-ratanya mengkategorikan sebagai 'Tidak Benar'. Kami menemui enam laman sesawang semak fakta dari India iaitu, ‘Boom’, ‘The Quint’, ‘Alt News’, ‘India Today’, ‘Newschecker.in’ dan ‘The Logical Indian’, yang mengkategorikan dakwaan itu sebagai ‘Salah’! Kesemua mereka menyiarkan video tular yang sama namun dakwaannya ditulis dengan corak penulisan yang pelbagai sepertimana yang turut tular di Malaysia.

Juga, kami menemui, agensi semak fakta Perancis, ‘AFP’ dan laman semak fakta Indonesia, ‘Liputan6’ mengkategorikan dakwaan itu sebagai ‘Palsu’ baru-baru ini.

Sebelum kita melangkah lebih jauh, terdapat banyak versi catatan yang dapat dilihat antaranya di sini


dan di sini.


Dengan bantuan perisian ‘InVID’ pula, kami telah membuat carian imej berbalik terhadap salah satu tangkap layar dari video dan menemui laporan berita dari Gulf News, yang diterbitkan pada 18 Februari 2019 dan satu video dari YouTube yang dikongsikan oleh seorang pengguna bernama DUBAI7 pada 24 Februari 2019 mengenai robot dalam video tular tersebut.

Tajuk utama artikel Gulf News: Meet Titan, the robot greeter in Abu Dhabi (Titan, robot penyambut tetamu di Abu Dhabi). Artikel itu turut menyebut bagaimana robot penyambut tetamu setinggi lapan kaki dan berat 60 kilogram di Idex 2019 menjadi bualan hangat di media sosial UAE.

Di YouTube pula, video berdurasi 3 minit 28 saat bertajuk "Robot Titan 8 kaki menyapa pengunjung di pertunjukan Idex di Abu Dhabi", dilihat berjalan-jalan dan menyapa para tetamu. Malah robot itu turut diletakkan bendera kebangsaan UAE di lengan dan bahunya jika dilihat lebih dekat di dalam video itu.

Bukan Robot Sebenar?

Sementara itu, berdasarkan pengecaman wajah, lelaki itu bukanlah Raja Hamad bin Isa al-Khalifa sementara robot yang bernama Titan - bukanlah robot sebenar.

Titan adalah kostum atau sut separa robotik (dikuasakan oleh kombinasi pengendali manusia di dalam sut, bateri dan menggabungkan kejuruteraan kompleks) yang dibina oleh syarikat British, Cyberstein Robots.

Ia sebenarnya adalah robot hiburan komersial yang boleh disewa di semua acara.

Bagaimanapun kami tidak dapat menemui laporan dari sumber yang boleh dipercayai yang mendakwa Titan dilengkapi dengan kamera 360 darjah dan pistol seperti yang diulang ciap dan ditularkan oleh warga maya.


Sumber: Google trends

Menurut data Google trends, carian terhadap video viral yang berusia satu tahun setengah itu, mula menunjukkan peningkatan sejak 12 Julai 2020. Tetapi kenaikan ketara adalah bermula 9 hingga 15 Ogos dan ia dilihat meningkat dan masih lagi sohor kini di media sosial.

 

RUJUKAN

  1. Blooloop. “Titan the Robot creator Nik Fielding on his eight foot tall PR magnet” Diterbitkan pada 23 Feb 2017
  2. Gulf News. “Meet Titan, the robot greeter in Abu Dhabi” Diterbitkan pada 18 Feb 2019

TAG: semak fakta, berita tidak benar, berita palsu, robot automasi, robot pengawal peribadi, raja Bahrain, Titan, video tular

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.