+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Poster ‘Rancangan Besar’ Musa Aman untuk Tidak Bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah BUKAN terbitan Bernama.

Benarkah...

Bernama menerbitkan poster yang menyatakan Tan Sri Musa Aman tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk kepentingan politik yang lebih besar.

Sumber : Whatsapp/Ogos 2020

Hasil

Ia adalah parodi.

17/10/2020 12:09 AM

SEKILAS FAKTA  

  • Bernama telah menafikan pihaknya yang menerbitkan dan mengeluarkan poster tersebut.
  • Dakwaan tersebut dibuat oleh laman parodi / satira dengan nama Ber'mama' (perhatikan sedikit perbezaan ejaan). 
  • Halaman atau portal parodi/satira tidak berniat untuk menimbulkan bahaya, tetapi berpotensi untuk memperbodohkan khalayak mereka.
  • Maklumat yang dikongsi oleh laman atau portal parodi/satira TIDAK boleh dianggap sebagai sesuatu yang benar.

 


LATAR BELAKANG  

Kisah Politik Sabah

Pada 29 Julai 2020, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mengetuai 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menuntut pembentukan kerajaan negeri yang baharu kerana mendakwa beliau telah mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Pada 30 Julai 2020, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mengumumkan bahawa beliau telah mendapat persetujuan daripada pemimpin negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN pada hari sebelumnya (29 Julai).

 

MENGENAI DAKWAAN INI

MyCheck Malaysia menerima satu poster yang tular menerusi aplikasi WhatsApp pada 27 Ogos iaitu dua minggu sebelum tarikh bagi hari penamaan calon PRN-16 Negeri Sabah. 

Poster itu tertera maklumat yang mendakwa bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak akan bertanding pada PRN-16 tersebut sebaliknya beliau mahu dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Poster bertarikh 24 Ogos itu juga menyatakan bahawa Musa mahu anaknya Yamani Hafez yang juga Ahli Parlimen Sipitang dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah sebaik Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya itu. 

Turut dinyatakan dalam poster tersebut ialah Musa akan membiayai kos pilihan raya melibatkan 33 ADUN yang telah menyokongnya. Berikutan penyebaran poster itu, pejabat Biro Bernama di Sabah tidak berhenti menerima panggilan telefon dan mesej menerusi WhatsApp bertanyakan kesahihan mengenai isu tersebut.

Tidak lama selepas itu, Bernama mengeluarkan satu kenyataan rasmi menjelaskan poster yang tular itu bukan dikeluarkan oleh pihaknya tetapi dibuat oleh pihak lain dengan nama ‘Bermama’. (perhatikan ada sedikit perbezaan ejaan). 

Berdasarkan laporan berita oleh Bernama , Timbalan Ketua Pengarang Khairdzir Yunus turut menafikan isu poster berkenaan dan menegaskan agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu kerana akan mengelirukan orang ramai. Malah seharusnya setiap orang perlu memastikan sebarang maklumat yang diterima adalah sahih sebelum disebarkan atau dikongsi dengan pihak lain. 

 

PENEMUAN KAMI  

Bernama atau  Bermama ? 

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau Bernama merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan mengikut Akta Parlimen 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968. Bernama ialah akronim kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.

Apa yang yang tertera pada poster yang tular itu ialah perkataan ‘Bermama’ dan pencarian menerusi laman web dan media sosial yang berkaitan dengan domain tersebut tidak dijumpai. Berdasarkan itu terdapat kemungkinan nama ‘Bermama’ itu dibuat oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan terhadap situasi hangat politik di Sabah ketika ini, umpama 'baling batu sembunyi tangan'.

 

Memahami Berita Satira dan Parodi di Era Media Moden

Dalam dunia teknologi tanpa sempadan hari ini, terdapat pelbagai cabaran dan persaingan dalam penyebaran maklumat secara meluas yang didorong kepantasan teknologi.

Kesannya, muncul pelbagai bentuk berita tidak sahih serta maklumat palsu yang menjadi cabaran kepada media arus perdana dalam melaporkan berita. 

Menurut buku berjudul Journalism,'Fake News'& Disinformation oleh Cherilyn Ireton dan Julie Posetti- diterbitkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO); 


Claire Wardle dan Hossein Derakhsan (2018) pula menyatakan dalam dunia ketika orang semakin banyak menerima maklumat melalui kebergantungan terhadap media sosial mereka, berlaku lebih banyak kekeliruan apabila mereka tidak dapat memahami bahawa wujudnya laman web berbentuk sindiran.  

Contohnya laman ‘The Khabaristan Times’ yang diwujudkan sebagai laman satira iaitu merupakan sebahagian daripada laman berita Pakistan Today. Tetapi pada Januari 2017, laman web berita itu disekat dan dihentikan penerbitannya di Pakistan.

Menurut Profesor Komunikasi di The Ohio State University, Silvia Knobloch-Westerwick dalam artikelnya bertajuk 'Tidak hanya lucu: Berita satira mempunyai kesan politik yang serius' atau 'Not just funny: Satirical news has serious political effects'  kajian membuktikan bahawa orang yang kurang berminat dengan politik lebih cenderung memilih untuk menerima maklumat satira atau berbentuk sindiran berbanding berita formal yang serius.

Tambahan pula kesan yang dapat dilihat akibat menonton berita satira dapat  menjejaskan perkembangan politik disebabkan- keyakinan seseorang bahawa mereka boleh mempengaruhi sesuatu proses politik. 

Oleh itu Silvia menyimpulkan kajiannya dengan menegaskan berita satira tidak boleh dianggap remeh hanya kerana tujuannya membuat orang ketawa, apa yang lebih penting ialah kesannya apabila orang mengambil serius berkenaan apa yang disampaikan melalui berita satira.

Percaya atau tidak, berita satira memang telah wujud selari dengan dunia kewartawanan, tetapi menjadi lebih popular dengan perkembangan teknologi dengan adanya laman web. Ini  lebih mudah untuk mereka meniru sumber berita yang boleh dipercayai dan disebarkan secara meluas.

Antara contoh laman satira luar negara ialah The Beaverton, Daily Buzz Live, National Report, The Onion dan The New Yorker

Media satira / parodi mempunyai pemainnya sendiri di Malaysia antaranya adalah Astro Awani (Astrol Awatni), Bernama (Bermanadotcon, Bermama) dan Harakah (Harakatdaily).

Selain itu contoh laman satira/parodi bebas di Malaysia seperti  The Tapir Times dan Tentera Troll Kebangsaan Malaysia. Selain menggunakan nama yang serupa, halaman satira/parodi menampilkan logo dan tema warna yang menyerupai laman asal yang ditiru.

Pengisian laman satira dan parodi biasanya merangkumi maklumat yang direka dalam format berita seperti ‘berita terkini’, ‘susulan’ dan ‘kemas kini terkini’.

Ini boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang menjadikan portal satira/parodi sebagai rujukan berita rasmi mereka kerana mungkin tidak menyedari kewujudan dan nilai kandungan yang dihasilkan oleh laman web satira/parodi.

Untuk kepentingan pembaca, di bawah adalah perbandingan antara laman web rasmi dengan satira / parodi:




 

Tindakan Terhadap Laman Satira

Selain kesedaran orang ramai untuk menapis maklumat di internet, bolehkah sebarang tindakan undang-undang diambil ke atas laman parodi atau satira di negara ini?

Memetik laporan Bernama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi menjelaskan bahawa agensi atau individu boleh mengambil tindakan sivil terhadap akaun parodi.

Ulas beliau, akaun palsu atau parodi ini boleh menimbulkan pelbagai masalah dan boleh merosakkan kredibiliti pemilik identiti sebenar.

Proses siasatan terhadap akaun parodi biasanya memerlukan sedikit masa kerana MCMC perlu berhubung dengan syarikat platform global seperti Twitter dan Facebook yang  bertapak di negara luar.

MCMC turut mendapati bahwa orang ramai yang mengikuti akaun parodi biasanya tidak sedar bahawa akaun berkenaan adalah penyamar. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah kandungan akaun parodi itu bukan hanya sekadar bersifat jenaka tetapi menyiarkan kandungan yang mengelirukan orang ramai.


Sehari sebelum temubual Fadhlullah bersama Bernama, satu akaun menyerupai akaun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah digantung oleh Twitter. 

Seperti akaun-akaun parodi yang lain, akaun ini menggunakan ‘tweet handle’ dan memaparkan logo hampir serupa dengan Jakim kecuali ditambah dengan perkataan ‘Just Kidding’ pada logonya.


Tindakan pantas Twitter menggantung akaun itu mendapat penghargaan MCMC. Akaun ini digantung atas justifikasi menyamar sebagai Jakim untuk memuat naik hantaran bersifat menghina dan mengandungi kebencian terhadap agama.

Oleh itu, mulai sekarang kami harap semua orang dapat menapis maklumat yang masuk ke dalam peranti anda dengan lebih baik, terutamanya yang dihantar menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Telegram dan Kumpulan Facebook tertutup, okay!

-MYCHECK.MY

 

RUJUKAN

Bernama.com

The Borneo Post Online. Bernama denies releasing infographics on Musa Aman not contesting. Diterbitkan pada 28 Ogos, 2020.

Ohio State News. Not just funny: Satirical news has serious political effects. Diterbitkan pada 23 Januari 2017.

https://www.mcmc.gov.my/en/media/press-releases/akaun-twitter-myjakim-digantung-orang-awam-digesa 

Wikipedia

TAG: parodi, satira, berita dalam talian, laman berita, Bernama, Sabah, Pilihan Raya Negeri, Musa Aman 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.