Tular tangkap layar hantaran Facebook Bernama TV (BTV) mengatakan ESSZone diperintah untuk berkurung selama 24 jam
Sumber : WhatsApp/September 2020
Ia palsu
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
ESSZONE atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah adalah sebuah zon yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Abdul Razak pada 25 Mac 2013 berikutan dengan krisis pencerobohan yang berlaku di bahagian timur Sabah terutamanya selepas peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Ia merangkumi kawasan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Perintah berkurung dijalankan bagi memastikan kawasan perairan tersebut tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau-pulau peranginan.
Pada 5 April 2020, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.
Pada 10 September 2020, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di Penjara Tawau, Sabah pada 11 September 2020 sehingga 25 September 2020.
Selain daripada itu, pada 17 Ogos 2020, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah.
MENGENAI DAKWAAN INI
Kami menerima tangkap layar melalui WhatsApp pada yang menunjukan Bernama TV (BTV) membuat hantaran Facebook yang mempunyai peta negeri Sabah dengan kapsyen “Perintah berkurung selama 24 jam bermula esok pukul 6 petang di kawasan ESSZone - Pesuruhjaya Polis Sabah”
PENEMUAN KAMI
Melalui carian kami di Google menggunakan carian imej berbalik, kami menjumpai beberapa berita mengunakan infografik yang sama.
Walaubagaimanapun, tiada imej beserta kenyataan yang sama disenaraikan dalam carian tersebut seperti gambar dibawah.
(gambar diatas menunjukkan antara hasil teratas yang diperolehi apabila menggunakan carian imej berbalik)
Carian juga menunjukkan infografik yang sama digunakan secara berkali-kali oleh pelbagai media apabila melaporkan tentang berita yang berkaitan ESSZone terutama mengenai perintah berkurung.
Setakat laporan ini disiapkan, berita terkini tentang perintah berkurung di ESSZone adalah pada 1 September 2020 yang mana Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengumumkan perintah berkurung dilanjutkan sehingga 17 September 2020.
Akan tetapi, gambar ini tular pada 14 September 2020 dimana perintah berkurung masih dijalankan.
Hanya 12 jam. BUKAN 24 jam
Apa yang menarik adalah menurut laporan Bernama perintah berkurung dijalankan hanya selama 12 jam iaitu pada 6 petang sehingga 6 pagi.
“Komuniti di kawasan terlibat dilarang keluar dari rumah atau memasuki kawasan perairan berkuat kuasa dari 6 petang hingga 6 pagi setiap hari,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.
Tiada sebarang laporan yang mengatakan perintah berkurung dijalankan selama 24 jam di ESSZone seperti kenyataan yang tular tersebut.
Kelihatan sama tetapi ia palsu
Hantaran Facebook ini kelihatan seperti benar kerana menggunakan logo dan nama seperti halaman Facebook Bernama TV. Walaubagaimanapun, Bernama TV telah membuat satu hantaran Facebook yang menafikan hantaran tular tersebut seperti dalam gambar diatas.
-MYCHECK.MY-
REFERENCES
Bernama news “CURFEW IN ESSZONE WATERS EXTENDED UNTIL SEPT 17” publish on 1st Sept 2020
Free Malaysia Today “ Kota Setar, Tawau Prison to be placed under EMCO”publish on 10 Sept 2020
The Edge Markets “EC: Sabah state election on Sept 26” publish on 17 Aug 2020
Facebook bernama tv denied the post
Tag: ESSZone, Sabah, perintah berkurung
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.