+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kementerian Kesihatan TIDAK PERNAH minta data peribadi atau kutip ‘bayaran kit ujian’ Covid-19.

Benarkah...

Sebaran mesej melalui WhatsApp dan panggilan telefon mendakwa mangsa mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 dan perlu membeli kit saringan.

Sumber : WhatsApp / Julai dan Oktober 2020

Hasil

Kementerian Kesihatan nafi kewujudan prosedur ini.

28/10/2020 10:47 AM

 SEKILAS FAKTA

  • Sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan untuk menghubungi prospek menerusi aplikasi WhatsApp dan/atau panggilan telefon menyatakan prospek adalah kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.
  • Mereka akan memaksa mangsa untuk membeli kit ujian Covid-19 dengan cara meminta data kad debit atau kad kredit untuk satu hala pembayaran menerusi panggilan telefon.
  • Kementerian Kesihatan nafi menggunakan cara ini untuk saringan Covid-19.
  • Orang ramai dinasihatkan guna aplikasi MySejahtera untuk dapatkan status terkini sebaran Covid-19 di sekitar mereka.

 


Contoh bentuk penipuan yang dilakukan oleh sindiket penipuan kepada prospek. 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia/ tangkap layar

 

LATAR BELAKANG

Penyaringan Covid-19 di Malaysia boleh dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perhidmatan saringan di klinik-klink kesihatan di seluruh negara.

Penyedia perkhidmatan kesihatan swasta turut menyediakan perkhidmatan ini di premis milik mereka.

Bagi saringan yang dikendalikan KKM, pesakit tidak akan dikenakan sebarang bayaran namun jika buat di hospital persendirian, bayaran antara RM 30 hingga RM 400 dikenakan untuk satu ujian. 

Sejak beberapa bulan lalu prosedur berkaitan caj untuk saringan Covid-19 telah mengalami beberapa perubahan terutamanya bagi mereka yang baru pulang dari luar negara.

Pada peringkat awal, mereka tidak dikenakan sebarang bayaran namun sejak 29 Jun 2020 warga Malaysia perlu membayar fi antara RM30 bagi kit ujian pantas antibodi; RM60 untuk kit ujian pantas antigen dan RM150 untuk ujian tindak balas berantai polimerase manakala warga asing perlu membayar RM60 (kit ujian pantas antibodi); RM120 (kit ujian pantas antigen) dan RM250 untuk ujian tidak balas berantai polimerase. (Sumber: Berita Harian)


 

MENGENAI DAKWAAN INI

Ada pihak yang tidak bertanggung jawab dan cuba mengambil kesempatan untuk ‘menangguk di air keruh’ ketika negara sedang berhadapan waktu sukar. 

Sindiket penipuan cenderung memanipulasi perasaan takut dan keperitan hidup akibat terkesan wabak Covid-19 untuk kepentingan mereka.

Mereka menghantar mesej melalui aplikasi sembang seperti WhatsApp dan membuat panggilan telefon kepada prospek menyatakan kononnya prospek telah berhubungan rapat dengan individu yang telah terbukti positif Covid-19.

Dalam perbualan itu, mereka akan meminta mangsa untuk diuji dalam tempoh 72 jam dan meminta alamat rumah untuk menghantar kit ujian melalui perkhidmatan pos.

Untuk mendapatkan kit ini, penipu yang menyamar sebagai pegawai kesihatan kementerian memaksa prospek untuk membeli melalui bayaran menggunakan kad debit atau kad kredit.


 

PENEMUAN KAMI

Taktik sindiket penipuan semakin hari semakin canggih. Banyak skim datang menyamar dalam pelbagai bentuk peluang perniagaan.

Carian di Facebook menunjukkan mesej berkaitan itu turut disiarkan oleh akaun rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Medical Mythbusters Malaysia. Kedua-dua akaun itu turut menyebarkan amaran berita itu kepada orang ramai.


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia / tangkap layar

 


Sumber: Facebook Medical Mythbusters Malaysia / tangkap layar

 

Portal semakan fakta kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sebenarnya.my mengklasifikasikan maklumat ini sebagai ‘Waspada’ kerana perbuatan ini adalah oleh sindiket penipuan.

Kami turut menemui artikel serupa di laman seperti  Yahoo! News Australia, KXRO News Radio (Amerika Syarikat), The Sun UK dan juga Daily Mail UK berkenaan amaran sindiket penipuan yang menyamar sebagai pengesan kontak Covid-19.

 

Respon kerajaan

Terdahulu, Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada 15 Jun 2020, KKM tidak menjalankan ujian saringan Covid-19 dari rumah ke rumah sebagaimana telah tular di media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 3 Ogos 2020 memberitahu kerajaan akan mengazetkan penggunaan aplikasi ‘MySejahtera’ di semua premis secara menyeluruh melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang keputusan dibuat oleh pihak kerajaan.

Pengeculian hanya dibenarkan di kawasan luar bandar, bandar kecil tidak mempunyai internet dan mereka masih boleh menggunakan secara manual merekod kehadiran orang ramai ke premis.

 

Berkenalan dengan MySejahtera

 


Sumber: MySejahtera / tangkap layar

 

Seperti yang kita ketahui, salah satu prosedur operasi standard (SOP) untuk premis komersial semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah bahawa pelanggan mesti mendaftarkan perinciannya untuk membolehkan jejak kontak sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 pada masa dan lokasi mereka lawati.

Proses ini menjadi lebih mudah apabila salah satu ciri aplikasi MySejahtera membolehkan pengguna menggunakan Pengimbas Kod MySejahtera QR dalam aplikasi untuk mengimbas Kod QR yang dipaparkan.

Dengan cara ini orang ramai boleh menggunakan kod QR yang telah didaftarkan perinciannya untuk mengelakkan pencemaran silang yang mungkin berlaku ketika berkongsi pen.

MySejahtera diperkenalkan pada awal Mei 2020 untuk membantu memantau wabak Covid-19 di negara ini dengan memberdayakan pengguna untuk menilai risiko kesihatan mereka terhadap Covid-19.

Pada 28 Mei, Noor Hisham mengumumkan bahawa naik taraf kod Respon Cepat (QR) akan disertakan dalam aplikasi MySejahtera mulai 1 Jun 2020, untuk memudahkan pendaftaran sendiri oleh orang ramai sebelum memasuki premis perniagaan dan makanan.

 

-- MYCHECKMY--

 

RUJUKAN

  1. Bernama “Government to gazette use of 'MySejahtera' app under Act 342 - Health DG” Diterbitkan pada 3 Ogos 2020.

  2. The Edge Markets “Malaysian, foreign travellers to bear Covid-19 screening cost, says Ismail Sabri” Diterbitkan pada 29 Jun 2020.

  3. Yahoo! News Australia “Coronavirus Victoria: 'Awful' scam targeting residents in lockdown” Diterbitkan pada 25 Julai 2020.

  4. Astro Awani “Swab test rumah ke rumah adalah scam - Ismail Sabri” Diterbitkan pada 15 Jun 2020

  5. The Edge Markets “Malaysians should be more disciplined in using MySejahtera app” Diterbitkan pada 4 Ogos 2020.

  6. The Sun UK “SICK SCAM Track and trace scam warning as fraudsters trick victims into revealing bank details to pay for fake £50 test kit” Diterbitkan pada 12 Jun 2020.

  7. Daily Mail UK “Warning after phone scammers abused coronavirus fears to call random people and demand they pay $50 and hand over credit card details for an 'urgent COVID-19 test'” Diterbitkan pada 24 Julai 2020.

 

TAG: Covid-19, kit ujian, scammer, kos ujian pengesanan, aplikasi MySejahtera, penipuan, mangsa penipuan, Kementerian Kesihatan Malaysia, semak fakta, mycheck, fikir sebelum sebarkan

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.