Dr Zakir Naik TIDAK PERNAH diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.

23/12/2020 10:48 AM

Benarkah...

Dr Zakir Naik telah diberikan taraf kewarganegaraan oleh kerajaan Malaysia

Sumber : Instagram, Twitter dan Whatsapp/ Ogos 2020

Hasil

Gambar tersebut diambil pada tahun 2017 dan dikongsikan di luar konteks.

Penyelidik : Erwan Othman

SEKILAS FAKTA

  • Dr Zakir Naik tidak pernah diberikan taraf warganegara Malaysia.
  • Tiada rekod Dr Zakir Naik pernah memohon kerakyatan Malaysia.
  • Dia merupakan pemegang taraf Penduduk Tetap (PR) di Malaysia sejak 2012.
  • Gambar tersebut dirakam dalam satu majlis pada pada 16 April 2017. Zakir Naik telah menerima anugerah dari Perkasa, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.


Sumber: WhatsApp / tangkap layar

LATAR BELAKANG

Pendakwah antarabangsa dari India, Dr Zakir Abdul Karim Naik atau dikenali sebagai Zakir Naik, 55, merupakan doktor perubatan yang popular dengan ceramah agama dalam kalangan masyarakat muslim seluruh dunia.

Beliau juga merupakan pemilik Peace TV, sebuah saluran televisyen satelit tidak berasaskan keuntungan yang bersiaran secara global dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Program Peace TV adalah dalam bahasa Inggeris dan boleh diikuti secara percuma. 

Bagaimanapun, tokoh masyarakat itu dikehendaki oleh kerajaan India selepas didakwa oleh Badan Penyiasatan Nasional (NIA) atas tuduhan mempromosi kebencian antara agama menerusi pidato provokatif, membiayai kegiatan keganasan dan penggubahan wang haram.

Ketika ini, Zakir Naik berada di Malaysia. Dia diberikan taraf penduduk tetap oleh kerajaan Malaysia setelah negara-negara seperti Britain dan Kanada menolak visanya.

Di Malaysia, Zakir Naik telah dituduh menghasut kebencian antara kaum dan agama pada Ogos 2019 setelah beliau mengatakan bahawa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi daripada (bekas) Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad. Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan.

Beliau juga membuat kenyataan terhadap kaum Cina Malaysia agar tinggalkan negara ini terlebih dahulu kerana mereka adalah ‘tetamu’ lama dan beliau adalah tetamu baru. Ia sebagai respons balas atas gesaan pengkiritiknya supaya beliau diusir dari Malaysia.

Kenyataannya menimbulkan kemarahan terhadap segelintir rakyat Malaysia termasuk beberapa anggota parlimen antaranya Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam Satees Muniandy menuntut agar Zakir Naik diusir dari negara itu.

Kerajaan Malaysia kini melarang Zakir Naik memberi ceramah di semua medium termasuk media sosial sehingga siasatan polis selesai.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menerusi laporan Berita Harian yang memetik agensi berita BERNAMA pada 20 Ogos 2019 memberitahu tindakan tersebut dibuat atas dasar ancaman kepada keselamatan negara.


 

MENGENAI DAKWAAN

Segelintir pengguna media sosial telah menyebarkan gambar pendakwah televisyen Zakir Naik menerima anugerah, dengan dakwaan yang beliau telah diberikan taraf kerakyatan kewarganegaraan Malaysia.

Di dalam gambar tersebut, Zakir Naik telah dikurniakan "Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa" oleh (bekas) Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dalam satu majlis keraian.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, terdapat pelbagai versi hantaran yang boleh dilihat antaranya di sini,


 

dan sini.

 


 

PENEMUAN KAMI

Gambar tersebut telah diambil pada tahun 2017. Bagaimanapun ia kembali tular di media sosial sekitar Ogos 2020 dan ia telah dikongsikan dengan dakwaan yang tidak benar bahawa Zakir Naik telah diberikan taraf kerakyatan Malaysia.

Menerusi carian Google, hantaran ini telah dibongkarkan oleh dua agensi semak fakta dari India iaitu ‘The Quint’ dan ‘Fact Crescendo’, yang mengkategorikan hantaran itu sebagai tidak benar dan bercampur.


Sumber: The Quint / tangkap layar

 


Sumber: Fact Crescendo / tangkap layar

 

Benar atau Palsu?

Gambar Zakir Naik yang memakai selempang ‘Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa’ sebenarnya diambil pada 16 April 2017 dalam satu majlis sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Perkasa.

Perkasa ditubuhkan dengan objektif memperjuang dan mempertahan hak orang Melayu.

Mereka telah menganugerahkan Zakir Naik dengan anugerah itu di atas sumbangannya terhadap perjuangan Islam.

Majlis tersebut bertajuk 'Ijtimak 150 Cendekiawan Islam Malaysia Bersama Dr Zakir Naik: Menangani Islamofobia' bertempat di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya.

Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa merupakan anugerah tertinggi dari Perkasa.

Zakir Naik merupakan ikon antarabangsa pertama yang menerima anugerah tertinggi Perkasa itu turut dipakaikan songkok dan dijadikan tetamu kehormat oleh NGO itu. Anugerah itu tidak membawa sebarang nilai atau impak terhadap statusnya sebagai Penduduk Tetap (PR) apatah lagi melayakkan beliau memperoleh taraf kewarganegaraan.

Sebelum ini, Perkasa pernah mengurniakan anugerah sama kepada bekas perdana menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin. Setakat tahun ini, belum ada penerima yang diumumkan untuk anugerah tertinggi itu oleh Perkasa.

Semakan lebih lanjut membawa kami kepada laman Instagram drzakirnaikofficial yang mempunyai 360,000 pengikut. Gambar beserta kapsyen di atas telah dikongsi pada 20 September 2019 dan menerima lebih 39,000 tanda suka sehingga kini.

 


 

Berdasarkan biodata akaun, tiada bukti bahawa akaun ini dimiliki atau mewakili Zakir Naik. Laman media sosial ini juga tiada lencana pengesahan atau ‘blue tick’daripada pihak Instagram. 

Ketulenan bahan yang disiarkan di akaun ini juga boleh dipersoalkan tahap ketulenannya kerana dilihat biasa mengambil sumber dari pihak ketiga. Ini bukanlah satu cara kerja yang diamalkan oleh sesuatu akaun media sosial rasmi.

Secara keseluruhan bahan yang disiarkan di akaun Instagram itu berkisar informasi berkaitan Zakir Naik dan maklumat berkenaan ajaran Islam.

 


Sumber: Instagram drzakirnaikofficial / tangkap layar

 

Mengenai Ibrahim Ali 

Landskap politik Malaysia menyaksikan Ibrahim Ali adalah tokoh yang terkenal dengan tindakan berpindah dari satu parti politik ke parti politik lain. 

Beliau bermula dengan sebuah parti Islam, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) pada tahun 1978 dan sejak itu telah bergerak masuk dan keluar dari parti Melayu / Islam seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Semangat 46 sebelum membentuk partinya sendiri pada tahun 2018 iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Beliau juga pernah bertanding sebagai calon bebas dalam beberapa pilihan raya seperti pada Pilihan Raya Umum ke-11 (2004), Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir  di Kelantan (2005), Pilihan Raya Umum ke-12 (2008), Pilihan Raya Umum ke-13 (2013) dan Pilihan Raya Umum ke-14 (2018).

Pada tahun 2008, Ibrahim Ali mengasaskan Perkasa sebagai organisasi bukan kerajaan di mana beliau menjadi presiden selama 10 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2018.

 

Laporan Media Tempatan

Akhbar tempatan dan portal berita dalam talian seperti Berita Harian, Free Malaysia Today, dan Malaysia Gazette bertarikh 16 April 2017, turut melaporkan liputan berkaitan majlis itu. Bagaimanapun tiada laporan bahawa kerajaan Malaysia menganugerahkan Zakir Naik taraf kewarganegaraan.

Menurut laporan dipetik dari Malaysia Kini bertarikh 22 Okt 2019, “Zakir Naik tidak pernah mohon kerakyatan Malaysia” demikian menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri sewaktu dibawah kerajaan Pakatan Harapan.

Muhyiddin turut menjelaskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan kad MyPR kepada Zakir Naik pada 21 April 2016, mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

--MYCHECKMY

 

RUJUKAN

  1. Malay Mail “Dr Zakir Naik only banned in UK, Canada but welcomed everywhere else, organiser says” Diterbitkan pada 11 April 2016.

  2. The Logical Indian “I Am A Man Of Peace, Zakir Naik Apologises After Malaysian Govt Bans Him From Public Speaking” Diterbitkan pada 21 Ogos 2019

  3. Berita Harian “Kenyataan Dr Zakir dibawa ke Kabinet - Kulasegaran” Diterbitkan pada 13 Ogos 2019.

  4. The Star “Dr M: Zakir Naik told not to provoke racial sentiments” Diterbitkan pada 21 Dis 2019.

  5. Malaysia Kini “Zakir: You want me to leave, then ask the 'old guests' Chinese to go back too” Diterbitkan pada 14 Ogos 2019.

  6. Berita Harian “Dr Zakir dianugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara” Diterbitkan pada 16 April 2017.

  7. Malay Mail “Dr Zakir Naik now banned from giving speeches anywhere in Malaysia” Diterbitkan pada 20 Ogos 2019.

  8. Malaysia Kini “Zakir Naik tidak pernah mohon kerakyatan Malaysia - KDN” Ditebitkan pada 22 Okt 2019.

 

TAG: Zakir Naik, pendakwah kontroversi, sentimen perkauman, taraf warganegara Malaysia, berita palsu, fakta tidak benar, mycheck, semak fakta

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.