‘Helikopter tidak diketahui’ itu adalah MV-22 Osprey milik Kor Marin A.S yang membuat pertunjukan di Sepanggar, Sabah.

31/12/2020 12:21 PM

Benarkah...

Helikopter yang tidak diketahui telah mendarat di Malaysia.

Sumber : Sumber: YouTube/September 2020

Hasil

Ia adalah helikopter MV Osprey 22 milik Amerika Syarikat.

Penyelidik : Najmi Shah


Helkopter pelik mendarat di tanah kita?

SEKILAS FAKTA

  • Video ini telah dimuat naik tiga tahun lalu namun kini kembali tular
  • Helikopter tersebut dikenali sebagai Osprey MV-22 milik Kor Marin Amerika Syarikat
  • Ia merupakan sebahagian pertunjukan MV-22 Osprey Marin kepada Angkatan Tentera Malaysia di Sepanggar, Sabah.

LATAR BELAKANG

Sebuah video telah di muat naik melalui laman YouTube dengan kapsyen ‘Helikopter yang tidak diketahui mendarat di Malaysia.’ 


Akaun milik Basri Baharom dibuka pada 13 April 2013

Video tersebut telah dimuat naik tiga tahun lalu pada 14 April 2017 oleh Basri Baharom. Akaun YouTube beliau dibuka pada 13 April 2013 dan mempunyai kira-kira 178,000 ‘subscribers’.

Walaubagaimanapun, ia kembali tular baru-baru ini. Atas sebab tidak diketahui video di akaun Basri Baharom tidak lagi boleh diakses, disyaki telah dipadam. Pautan asal video https://www.youtube.com/watch?v=bhJzIhBWAZ4 kini memaparkan status ‘video unavailable’.


Pautan asal ke YouTube mendapati video ini telah dipadamkan.


Tiada lagi sebarang video dalam saluran Basri Baharom.

Sebelum dipadam, sehingga 30 September 2020, video ini telah mendapat 485,410 tontonan di YouTube.

MyCheck mendapati video serupa dimuat naik di saluran YouTube ‘Viral Terkini’ pada 3 November 2020 menggunakan kapsyen yang sama dengan video asal yang sudah dipadam Basri Baharom. 

 

APA YANG KAMI TEMUI

Satu-satunya video dimuat naik

Sebelum video ini dipadam, video helikopter ini adalah satu-satunya video yang dimuat naik melalui akaun ini. 

Setelah video ini dipadam pemilik akaun tidak memuat naik apa-apa video lagi (pada waktu artikel ini ditulis) dan satu-satunya bahan yang ada pada akaun ini adalah ‘playlist’ yang hanya berisi satu video tutorial cara bermain gitar.

 

Benarkah ia berlaku di Malaysia?

Kami telah memainkan video ini beberapa kali dan kami mengenalpasti kebarangkalian video ini dikaitkan dengan Malaysia adalah berdasarkan beberapa sebab:

  1. Faktor geografi yang kelihatan seperti keadaan Malaysia

  2. Lencana bendera Malaysia, Jalur Gemilang pada pakaian seragam yang dipakai oleh individu dalam video tersebut. 

  3. Lencana ‘Smokey Bandit’ yang juga ada pada pakaian seragam yang dipakai oleh individu dalam video.


Lencana bendera Malaysia pada pakaian seragam individu di dalam video.

 

Klu Smokey Bandit

Menyedari tidak banyak maklumat yang boleh dicari hanya berdasarkan landskap dan lencana Jalur Gemilang, kami memberi fokus untuk mencari apa yang dimaksudkan dengan lencana ‘Smokey Bandit’. 

Beberapa carian mendapati istilah ini berkait rapat dengan Skuadron 17 Tentera Udara Diraja Malaysia  (TUDM). Skuadron yang berpengkalan di Pengkalan Udara Kuantan, Pahang ini turut dikenali sebagai ‘Smokey Bandits’ atau ‘Taufan Ganas’.


Lencana dengan perkataan 'Smokey Bandits' (awalnya kami baca 'Smokey Bandit') pada pakaian seragam individu di dalam video.

Kerana gambar yang kami dapati tidak begitu jelas, kami melakukan carian di laman carian google menggunakan kata kunci “Smokey Bandit” + “Skuadron 17” dan ia membawa kami kepada beberapa keping gambar seperti berikut: 


Mejar Patricia Yapp Syau Yin, juruterbang MiG-29 wanita pertama di Asia berpakaian seragam dengan logo Smokey Bandits.


Mejar Patricia Yapp Syau Yin, juruterbang MiG-29 wanita pertama di Asia berpakaian seragam dengan logo Smokey Bandits bersama jet pejuang yang turut mempunyai logo sama.

Skuadron 17 ditubuhkan pada 1 Jan 1995 dengan penerimaan pesawat MiG 29UB Fulcrum dan MiG 29N Fulcrum (Pesawat Pejuang) bersama 2 simulator serta satu Computer Base Trainer.

Ia ditubuhkan dengan tujuan ‘sebagai Operational Conversion Unit (OCU) bagi melahirkan juruterbang yang dapat diaturgerak untuk melaksanakan peranan penguasaan udara (air superiority) dengan pesawat MiG 29N yang dapat menyempurnakan pelbagai tugas misalnya pejuang, penyerang, peninjau dan penyerang maritim.’

Maklumat lanjut skuadron ini boleh didapati di http://www.airforce.mil.my/berita/acara-rasmi/567-sejarah-ringkas-no-17-skuadron

Carian lebih lanjut di laman sesawang TUDM mendapati Skuadron 17 ini tidak lagi disenarai sebagai salah satu skuadron organisasi itu. MyCheck mendapati berdasarkan pesawat MiG 29N tidak lagi disenarai dalam senarai pesawat TUDM.

Oleh itu kami menyimpulkan bahawa skuadron ini tidak lagi beroperasi, boleh jadi ditutup kerana pesawat yang mereka gunakan tidak lagi dilibatkan dalam operasi TUDM. Tidak kami ketahui sejak bila hal ini dikuat kuasa.



Senarai Pesawat TUDM mengikut pangkalan udara dan skuadron, Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)


Ia adalah MV-22 Osprey! 

Kami menggunakan aplikasi InVid untuk mendapatkan maklumat seterusnya. Melalui pecahan ‘frame’ video, kami berjaya mengenal pasti bahawa pesawat tersebut adalah pesawat jenis MV-22 Osprey

Menurut military.com  MV-22 Osprey adalah pesawat sokongan serangan utama untuk Kor Marin A.S.

Menurut artikel ini, Osprey unik kerana ia menggunakan dua enjin yang diletakkan di hujung sayap untuk membolehkan MV-22 mendarat dan berlepas secara menegak. Bahkan, helikopter ini mampu terbang lebih pantas daripada helikopter-helikopter jenis lain.

Military.com turut menyiarkan beberapa gambar MV-22 Osprey  dan salah satu gambar kelihatan seperti helikopter dalam video tersebut dengan simbol bintang pada ekor pesawat.


Lokasi: Sepanggar, Sabah!

Berdasarkan klu-klu ini, kami terus mencari jika Tentera Udara dan Kor Marin A.S ada melakukan apa-apa latihan atau pertunjukan menggunakan MV-22 di Malaysia dan kami berjaya menemui jawapannya. 

Menurut Marines.mil (Laman sesawang rasmi Kor Marin A.S), satu demonstrasi berlangsung melibatkan tentera Malaysia dan Amerika telah berlangsung pada bulan Februari 2015.

Menurut artikel ini, demonstrasi yang berlangsung melibatkan pegawai ketenteraan dan pegawai kerajaan dari Malaysia dan Amerika Syarikat menyaksikan pertunjukan acara kerjasama keselamatan dengan Unit Ekspedisi Marin ke-31 pada 27 Februari 2015. (Members of the Malaysian armed forces, alongside Malaysian and U.S. government officials, observed a theater security cooperation event with the 31st Marine Expeditionary Unit on 27 February 2015.)

Antara acara yang berlangsung dalam demonstrasi itu adalah pertunjukan kemampuan kombat udara bersenjata dan lawatan ke kapal USS Bonhomme Richard (LHD 6) di mana pegawai kententaraan Malaysia diangkut menaiki MV-22B Osprey ke kapal tersebut.


Disamping itu, Helis.com juga turut menyiarkan artikel bertajuk Marine V-22 Osprey Shown to Malaysian Armed Forces (Pertunjukan Marin V-22 Osprey kepada Angkatan Tentera Malaysia).

Artikel ini turut memuat naik gambar-gambar acara tersebut dan kami mendapati ia mempunyai persamaan dari segi latar belakang, suasana, landasan dan jenis helikopter yang digunakan. Juga, ia turut menyatakan yang acara ini berlangsung di Sepanggar, Sabah pada tarikh yang sama dengan laporan di Marines.mil.





Oleh itu, dengan penjelasan ini, maka benarlah ada helikopter jenis MV-22 Ospey yang mendarat di Malaysia iaitu di Sepanggar, Sabah yang berlaku pada tahun 2015. Namun tidak apa yang perlu dibimbangkan kerana ia merupakan demontrasi Kor Marin A.S kepada Angkatan Tentera Malaysia.

REFERENCES 

US Marines “U.S. MARINES DEMONSTRATE CAPABILITIES TO MALAYSIAN ARMED FORCES” publish on 2 March 2015

Marine V-22 Osprey Shown to Malaysian Armed Forces publish on 28 February 2015

https://www.bellflight.com/

https://www.military.com/equipment/mv-22-osprey

Pautan video terbaru https://www.youtube.com/watch?v=R-Yb_AZOLpU 

https://www.helis.com/database/news/v-22_malaysia/

FNMS AIM NHH

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.