+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pinggan 'Viral' Bercorak Selamat Digunakan Untuk Hidangan

Benarkah...

Pinggan bercorak boleh mengakibatkan kesan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak.

Sumber : Sumber: Facebook/Julai 2020

Hasil

Ia selamat diguna selagi dalam keadaan baik.

21/01/2021 10:54 AM

 SEKILAS FAKTA

  • Pinggan bercorak ini tidak membahayakan kesihatan jika dalam keadaan baik
  • Sijil kebenaran (COA) dikeluarkan oleh negara pengeluar diiktiraf KKM.
  • Risiko tetap ada bagi pinggan yang sumbing dan retak.

 

LATAR BELAKANG


Dikatakan, melihat kepada sesuatu yang indah dan cantik mampu untuk mengurangkan stress seseorang. Setiap orang mempunyai sudut pandang yang tersendiri dalam menilai kecantikan melalui minat masing-masing. Juga, tidak terkecuali bagi peminat pinggan cantik!

Pernah menjadi satu fenomena yang mana masyarakat berlumba-lumba untuk mendapatkan pinggan bercorak cantik atau dipanggil pinggan viral. Kebanyakan pinggan ini berharga mampu milik dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja. 

Penggunaan pinggan viral ini bukan sahaja digunakan untuk makan sahaja malah, ia juga ia juga termasuk dalam kategori “Instagram worthy” apabila gambar yang diambil akan lebih menarik jika gambar makanan diletakkan dalam pinggan tersebut. 

Namun, penggunaan pinggan ini telah digembar-gemburkan di sosial media dan portal tempatan dengan mengatakan ia bahaya, memudaratkan kesihatan terutamanya untuk kanak-kanak dan wanita hamil. 

Pada 1 JUN 2020 laman Facebook ‘Public Health Malaysia (PHM)’, telah memuat naik satu poster yang menyatakan penggunaan pinggan ini mempunyai risiko berlakunya kebocoran logam berat plumbum.

Sekiranya ini berlaku ia boleh memberi kesan terutamanya kepada kanak-kanak seperti bantut perkembangan tumbesaran, mengakibatkan masalah pelajaran dan IQ menjadi rendah.

Poster itu turut menyatakan kegunaan pinggan ini hanya sesuai untuk hiasan dan bukan kegunaan harian.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Melalui carian di Google, kami menjumpai beberapa artikel dan video yang berkongsi maklumat yang disampaikan oleh Public Health Malaysia (PHM). Seorang ‘you tuber’ Siti Awe turut memuat naik video dengan merujuk kepada info dari PHM yang boleh ditonton di sini.Video ini telah mendapat 33,327 tontonan ketika artikel ini ditulis.

Juga beberapa artikel daripada portal terkenal berkongsi maklumat seperti yang disiarkan oleh PHM seperti seperti Gempak.com, Sinarplus dan Amazingnara.

Walaupun ada pihak yang mengaitkan siaran poster PHM sebagai sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, namun untuk makluman selepas pihak MyCheck menghubungi KKM kami mendapat tahu bahawa PHM bukanlah saluran rasmi KKM.

Dalam masa yang sama pihak KKM turut menyatakan penghargaan kepada pihak yang sudi berkongsi maklumat kesihatan kepada masyarakat.

Sebenarnya, poster oleh pihak PHM sebaiknya dibaca bersama dengan penulisan mereka yang disertakan bersama hantaran di Facebook mereka. 

Oleh kerana ramai yang hanya berkongsi poster yang disiarkan, ada warga masyarakat yang tidak dapat memahami maksud sebenar pihak PHM. Sudah dinyatakan dalam hantaran asal mereka bahawa ia MUNGKIN tidak selamat dan bukannya tidak selamat sama sekali.

Hantaran asal mereka turut menyertakan beberapa panduan penggunaan pinggan jenis ini seperti mengelakkan makanan panas dan penggunaan dalam ketuhar gelombang mikro serta tidak  menyentalnya dengan berus dawai kerana dikhuatiri menyebabkan kebocoran bahan plumbum.

 


 


 

Hubungi penjual 

Hasil tinjauan kami di sosial media, kami mendapati pinggan bercorak ini masih dijual dan pembeli masih setia membeli item tersebut. Oleh itu, kami menghubungi beberapa penjual dan bertanyakan tentang status barangan yang dijual. 

Kami mendapat maklum balas yang cepat daripada penjual dan mereka turut menampilkan bersama pengumuman tentang keputusan ujian terhadap produk ini. 


Tertera pada pengumuman tersebut adalah kenyataan bahawa produk mereka telah melepasi General Society of Surveillance (SGS). Sijil ini turut dipaparkan dilaman sosial media mereka. Dapat dilihat bahawa sijil ini dikeluarkan oleh badan penguat kuasa dari negara pengeluar iaitu China. 

 

KKM kata okay- lah 

Oleh kerana isu ini tidak dapat dinilai hanya bersandarkan dengan carian di internet, MyChek telah berhubung dengan Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Encik Mohd Salim bin Dulatti melalui e-mail. 

Kami dimaklumkan bahawa pinggan bercorak ini dikelaskan sebagai barangan seramik yang diperbuat sama ada daripada tembikar tulang, porselin, tembikar kekaca, tembikar tanah liat termasuk tembikar batu besi dan tembikar batu yang biasa digunakan sebagai perkakas untuk menjamu selera. 

 

Ya, ia terdapat plumbum tetapi..

Salim mengulas bahawa bahan pengilat atau pewarna yang mengandungi plumbum biasanya digunakan dalam pembuatan pinggan bercorak. 

Hal ini kerana, barangan seramik mempunyai tekstur yang poros (berliang) dimana ia perlu disalut dengan saduran ‘glaze’ bagi menutupi liang tersebut. Glaze biasanya diperbuat daripada campuran silika, fluks dan pewarna.

Fluks ini biasanya terdiri daripada plumbum, barium, litium, kalsium dan natrium. Ia digunakan untuk membantu menurunkan takat lebur silika. 

Beliau menjelaskan bahawa barangan seramik ini kemudiannya akan dibakar pada suhu yang tinggi bagi mengekalkan salutan glaze pada permukaan barangan seramik itu. 

Proses pembakaran yang sempurna akan memastikan glaze tidak akan meresap ke dalam makanan yang bersentuhan dengan permukaan barangan seramik. (FDA) 

Dalam hal ini, barangan seramik termasuk pinggan bercorak perlu mematuhi Peraturan 28, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berhubung kadar maksimum plumbum dan kadmium yang dibenarkan untuk dibebaskan daripada bahan seramik tersebut. 

 

Selamat untuk wanita hamil dan kanak-kanak

MyCheck dimaklumkan bahawa kebarangkalian untuk logam berat seperti plumbum untuk meresap ke dalam makanan adalah amat rendah. Ini adalah kerana salutan glaze pada permukaan barangan seramik akan menghalang plumbum untuk meresap kepada makanan pinggan tersebut bersentuhan dengan makanan.  

Oleh itu. penggunaan pinggan bercorak adalah selamat digunakan oleh wanita hamil dan kanak-kanak sekiranya penghasilannya adalah mematuhi peraturan makanan yang telah ditetapkan.

 

Bahaya jika sumbing atau retak

Kesan jangka masa panjang terhadap penggunaan pinggan bercorak adalah bergantung kepada cara penggunaannya. Sebagai contoh, pinggan bercorak yang telah retak atau sumbing akan menyebabkan salutan glaze pada pinggan tersebut  akan hilang  dan pendedahan kepada plumbum daripada pinggan tersebut kepada makanan apabila digunakan boleh berlaku. 

Selain itu, sebagai langkah berjaga-jaga, KKM juga menasihati pengguna untuk membeli barangan seramik daripada pengeluar yang boleh dipercayai dan membaca label pada pinggan tersebut sama ada penggunaannya adalah selamat untuk digunakan untuk memasak, menghidang atau menyimpan makanan.  

 

Sijil dari China

Barangan seramik yang diimport perlu mematuhi aspek pelabelan dan tahap kandungan plumbum dan kadmium sepertimana ditetapkan dalam Peraturan 28, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.  

Berhubung dengan pengimportan bahan seramik dari negara China, pihak pengimport perlu mengemukakan Sijil Analisis (COA) bagi setiap konsainan yang diimport. 

Sijil Analisis (COA) tersebut hendaklah dikeluarkan oleh makmal yang diakreditasi dan diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan daripada negara China. 

Barang tidak akan diterima  jika tidak mematuhi aspek pelabelan

MyCheck dimaklumkan bahawa proses membawa masuk bahan seramik ke dalam negara bukanlah mudah. Barangan seramik yang tidak mematuhi aspek pelabelan yang ditetapkan juga tidak dibenarkan diimport dan konsainan berkenaan akan ditolak (rejected).  Jadi, kita tidak perlu bimbang jika ianya telah melepasi syarat yang telah ditetapkan. 

Hal ini kerana, jika tidak disertakan dengan sijil kebenaran (COA), konsainan terlibat akan dikenakan tindakan Pemeriksaan Tahap Lima (5) (Tahan, Uji dan Lepas), di mana konsainan terlibat akan ditahan, sampel diambil untuk tujuan analisa (kos analisa ditanggung pengimport) dan konsainan hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan mematuhi keperluan yang ditetapkan. 

Bagi bahan seramik buatan tempatan, pengeluar perlu mengemukakan sijil analisis daripada makmal yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.  

 

Selamat digunakan dalam gelombang ketuhar mikro

Mengulas mengenai keresahan pengguna terhadap penggunaan pinggan ini jika dimasukkan pada gelombang mikro, KKM mengatakan keselamatan penggunaan bahan seramik pada pelbagai suhu adalah bergantung kepada spesifikasi yang ditetapkan oleh pengeluar bahan seramik tersebut.

Oleh itu, pengguna tidak perlulah risau dan gusar lagi jika ingin menggunakan pinggan dan mangkuk bercorak ini. Anda hanya perlu melihat kepada label yang telah keluarkan oleh pengeluar bahan terbabit.

Mohd Salim turut menasihatkan agar tidak membeli produk tersebut dari pasar lambak atau peniaga jalanan jika pengguna tidak dapat menjamin bahawa barangan tersebut diperolehi daripada pengeluar sah.  

 

REFERENCE 

Amazing Nara “KKM beri amaran risiko pinggan mangkuk ‘viral’bercorak” diterbitkan pada 2 jun 2020

Sinarplus “Boleh pakai set pinggan mangkuk viral ni, tapi ini syaratnya nak elak bahaya pada kesihatan” diterbitkan pada 3 Jun 2020 

Gempak “Pinggan Mangkuk Bercorak Kembali Viral, Rupa-Rupanya Boleh Rendahkan IQ Kanak-Kanak?” diterbitkan pada 2 Jun 2020

Youtube “‘Pinggan Viral’ Merbahayakan kesihatan?” diterbitkan pada 10 Julai 2020

https://www.fda.gov/food/metals-and-your-food/questions-and-answers-lead-glazed-traditional-pottery

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.