KP Kesihatan menyatakan PKP di seluruh negara tidak akan dilanjutkan selepas 4 Februari.
Sumber : Facebook, WhatsApp / Januari 2021
Kenyataan beliau ditafsir di luar konteks.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Pada 25 Januari beberapa saluran media melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari nanti, tidak akan dilanjutkan.
Perlaksanaan PKP hari ini meliputi semua negeri di seluruh negara kecuali Sarawak. PKP 2.0 bermula pada 13 Jan di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan serta Selangor, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sabah. Tarikh PKP di negeri-negeri ini yang sepatutnya tamat pada 26 Januari dilanjutkan hingga 4 Februari.
Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan turut dikenakan PKP bermula 22 Jan hingga 4 Feb.
MENGENAI DAKWAAN
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan memberi gambaran bahawa PKP tidak akan dilanjutkan selepas tarikh 4 Februari dan akan disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Hal ini menjadi sensasi di pelbagai saluran media dalam dan luar talian termasuk media sosial dan aplikasi sembang seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp.
APA YANG KAMI TEMUI
Apa yang sebenarnya beliau sebut?
Kami telah meneliti kembali rakaman video tersebut di siaran YouTube Astro Awani bertarikh 25 Jan 2021. Memetik video berdurasi satu minit 37 saat itu, ‘Jeneral Perang Covid-19’ negara itu berkata:
“ Kalau kita melihat kepada jangkaan kes kita, hari ini (25 Jan) kita ada 3,048 kes iaitu kurang daripada semalam. Jadi kita harap dalam tempoh dua minggu pelaksanaan PKP ini daripada 13 Januari, mungkin kita dalam tempoh 14 hari, kita harapkan akan dapat kestabilan kes-kes harian. Kalau boleh elakkan daripada peningkatan...”
Dalam video itu beliau turut mengulas sekiranya peningkatan kes terus dapat dielakkan, kadar kebolehjangkitan (Rt) akan menurun pada paras 1.0.
“...Kita harap dalam tempoh dua minggu PKP ini, kita akan elakkan lonjakan kes tapi stabil. Lepas itu dua minggu akan datang iaitu selepas 27 (Jan) , baru kita jangkakan akan lihat penurunan kes dan jangkaan kita ialah kalau kita laksanakan PKP untuk tempoh 4 minggu , disusuli dengan PKPB untuk seterusnya, jadi mungkin kita akan capai dua angka kembali pada bulan Mei iaitu pada 11 haribulan Mei, kita akan capai dua angka. Inilah sasaran kita… “, katanya.
Transkrip: Sumber Astro Awani
Jadi dapat kita lihat dengan jelas apa yang disampaikan oleh Dr. Noor Hisham adalah satu bentuk HARAPAN dan JANGKAAN dan bukannya keputusan/pemberitahuan atau pengumuman bahawa kerajaan hanya akan melaksanakan PKPB sehingga 4 Februari.
Apa yang dilaporkan media?
Penelitian lanjut terhadap beberapa laporan media mendapati ada yang menggunakan tajuk berita yang berunsur umpan klik (clickbait).
Secara kasar apa yang ditulis tidak salah namun boleh memberi tafsiran mengelirukan kepada pembaca. Berikut kami sediakan tangkap layar berita milik beberapa media tempatan bagi memudahkan pembaca menilainya sendiri.
Bagaimanapun bahan berita dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian, akhbar berbahasa Inggeris The Star dan New Straits Times Press dan agensi berita nasional negara Bernama dilihat menggunakan tajuk artikel yang lebih ‘selamat’ (playsafe) dan masih kekal dalam konteks.
Segala keputusan PKP 2.0 ini disambung atau tidak bergantung selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hal ini pun telah diberitahu oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media perkembangan PKP pada 26 Januari 2021 yang meminta orang ramai menunggu keputusan yang akan dibuat MKN apabila hampir tiba tempoh tamat PKP itu nanti. Anda boleh baca di sini.
Mengulas laporan media Dr Noor Hisham bahawa PKP selepas 4 Feb akan digantikan dengan PKPB, Ismail Sabri berkata ianya hanya bayangan dan harapan ketua pengarah itu.
Sebelum ini terdapat laporan media yang menyatakan kerajaan akan melaksanakan PKP lebih ketat seperti yang pertama kali diadakan di negara ini termasuk menutup semua sektor ekonomi untuk mengekang penularan COVID-19.
Jadi, sama-samalah kita menantikan pengumumannya sebelum 4 Februari nanti.
Stay safe!
-- MYCHECKMY --
RUJUKAN
Berita Harian. “PKP hingga 4 Februari, tidak akan disambung” Diterbitkan pada 25 Januari 2021.
Utusan Malaysia. “PKP tidak dilanjutkan tapi diganti PKPB” Diterbitkan pada 25 Januari 2021.
YouTube Astro Awani. “KKM jangka PKP hanya empat minggu” Diterbitkan pada 25 Januari 2021.
The Star. “MCO 2.0 may end soon” Diterbitkan pada 26 Januari 2021.
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.