+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

KP Kesihatan TIDAK Perlekeh Kaedah Perubatan Tradisional Rawat Covid-19 // #SemakPantas

Benarkah...

KP Kesihatan dituduh memperlekeh kaedah perubatan Islam dan tradisional bagi rawatan Covid-19.

Sumber : Sumber: Facebook / Februari 2021

Hasil

Tajuk berita yang mengundang salah faham segelintir warga maya.

02/02/2021 06:53 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tajuk artikel yang digunakan mengelirukan, mengundang persepsi negatif terhadap Tan Sri Dr Noor Hisham.
  • KP Kesihatan tidak menidakkan penggunaan rawatan Islam bagi rawatan Covid-19
  • Kajian perlu dilakukan terlebih dahulu, agar rawatan dapat diberikan bersandarkan bukti sepertimana rawatan saintifik dan moden.

 


 

LATAR BELAKANG

 

Baru-baru ini, terdapat cadangan daripada Timbalan Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kelantan, Hilmi Abdullah yang juga Perawat Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia (DarusSalam) supaya rawatan alternatif Islam boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Menjawab soalan berkaitan isu ini dalam sidang media, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebarang rawatan alternatif merawat pesakit Covid-19 di negara ini termasuk perawatan Islam perlu menjalani kajian saintifik untuk mengetahui keberkesanan dan kesan sampingan.

 

MENGENAI DAKWAAN

 

Artikel berita siaran Harian Metro menggunakan tajuk ‘Buktikan keberkesanan kaedah perubatan Islam, tradisional rawat Covid-19’. 

Ini menimbulkan perasaan kurang senang kerana ada pembaca yang merasakan seolah-olah Dr. Noor Hisham memperlekeh kaedah perubatan Islam sebagai satu pilihan dalam merawat Covid-19.

 

APA YANG KAMI TEMUI

 

Apa Sebenarnya Beliau Sebut?

Kami telah meneliti kembali rakaman video tersebut di siaran YouTube Harian Metro bertarikh 31 Jan 2021.

Memetik berita berdurasi satu minit empat saat itu, Dr. Noor Hisham berkata perlu ada kajian untuk mengetahui keberkesanan dan juga kesan sampingan perubatan tradisional yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Memetik rakaman kenyataan beliau dalam sidang media ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan, beliau berkata:

 

“Kita mesti berdasarkan dalil-dalil kukuh dan bukti-bukti yang boleh kita pakai serta kajian. Contohnya kita menggunakan vaksin ia perlu kepada kajian fasa klinikal ketiga barulah kita boleh melihat kesan sampingan dan keberkesanan vaksin berkenaan.

 

"Sama juga dengan ubat-ubatan. Jadi kita kena laksanakan kajian terlebih dahulu," katanya. (0.29 hingga 0.53 saat)

Transkrip: Sumber Harian Metro TV

 


MetroTV

 

Dapat diperhatikan Dr. Noor Hisham menegaskan kepentingan untuk memastikan penggunaan teknik perubatan Islam berdasarkan dua perkara iaitu (i) dalil yang kukuh serta (ii) bukti yang boleh diguna pakai.

Untuk itu, teknik perubatan Islam yang mahu diguna pakai perlu menjalani kajian saintifik untuk mengetahui keberkesanan dan kesan sampingannya.

 

Gabungan Tiga Perkara

 

1 - Tajuk berita yang digunakan

Tindakan akhbar Harian Metro untuk mengolah perkataan yang digunakan oleh Dr. Noor Hisham sebagai tajuk berita mungkin telah menimbulkan persepsi negatif pembaca.

Ini mengundang respon bercampur masyarakat terutamanya bagi yang beragama Islam. Antara bukti yang dapat dilihat pada ruang komen di laman Facebook.

Bagi kami, secara kasar apa yang ditulis tidak salah namun boleh memberi tafsiran mengelirukan kepada pembaca.

Sekadar sebagai perbandingan, akhbar lain menggunakan tajuk-tajuk seperti dipaparkan di bawah.

 


Berita Harian

 


Malaysiakini

 


Projek MM

 

2 - Respon Ustaz Zikri Ghazali Al Hafiz

Melalui penulisan di Facebook beliau, Ustaz Zikri Ghazali Al Hafiz memberi pandangan bahawa perubatan Islam perlu dipercayai dan boleh dijadikan satu pilihan sebagai ikhtiar dalam melawan Covid-19.

Dapat dilihat daripada penulisan itu beliau menyatakan tidak mengetahui secara tepat sama ada pihak Dr. Noor Hisham yang ‘salah’ atau di pihak media yang melaporkan secara salah.

 


 

3 - Sebaran luas halaman berpengaruh

Hantaran Facebook Ustaz Zikri Ghazali telah disebarkan oleh ‘page’ Fadh Channel. com dengan menyalin penulisan Ustaz Zikri dan menerbitkannya sebagai hantaran sendiri di page itu.

 


 

Dengan jumlah pengikut lebih 48,000 orang hantaran ini meraih kira-kira 1,200 respon dan lebih 400 perkongsian.

Ditubuhkan pada 25 Disember 2019, bahan yang disiarkan di laman ini banyak menyentuh hal keagamaan terutamanya yang terkait dengan akhir zaman/ dajjal serta teori konspirasi.

Boleh jadi bagi pengendali laman ini hantaran Ustaz Zikri Ghazali sesuai dengan topik minat mereka.

 

Rawatan Moden Juga Islamik

Memetik kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary di akhbar Sinar Harian pada 1 Februari 2021, rawatan moden dan saintifik yang diguna pakai ketika ini juga merupakan sebahagian cara Islam kerana agama berkenaan bersandarkan kepada bukti.

 


 

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua pihak tidak keliru apabila terdapatnya cadangan supaya perawatan tambahan menggunakan kaedah Islam bagi merawat pesakit Covid-19.

 

Pesan kami hanya satu - Pastikan kesahihan berita sebelum komen atau kongsi!

 

-- MYCHECKMY --

 

RUJUKAN

 

  1. Sinar Harian. “Cadang guna kaedah Islam rawat Covid-19” Diterbitkan pada 26 Januari 2021.

  2. Harian Metro. “Buktikan keberkesanan kaedah perubatan Islam, tradisional rawat Covid-19” Diterbitkan pada 31 Januari 2021.

  3. Sinar Harian. “Covid-19: Boleh guna rawatan Islam, tapi jangan pinggir rawatan moden” Diterbitkan pada 1 Februari 2021.

  4. Berita Harian. “Rawatan Islam, tradisional rawat COVID-19 perlu kajian - Dr Noor Hisham” Diterbitkan pada 31 Januari 2021.

  5. Malaysia Kini. “Covid-19: Perubatan Islam, tradisional perlu dibuktikan - Noor Hisham” Diterbitkan pada 31 Januari 2021.

  6. Projek MM. “KKM: Rawatan Islam perlu buktikan mampu lawan Covid-19” Diterbitkan pada 31 Januari 2021.

  7. Post FB Ustaz Zikri Ghazali AlHafiz II 

  8. Post FB Fadh Channel

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.