+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Vaksin Covid-19 ‘Fast Track’? Ya! Namun Dihasilkan Tanpa Meninggalkan Prosedur Wajib Yang Sepatutnya // #SemakPantas

Benarkah...

Vaksin Covid-19 dibangunkan secara ‘fast track’ dan tergesa-gesa menyebabkan risiko terhadap keselamatan penerima.

Sumber : WhatsApp, Facebook /Februari 2021

Hasil

Vaksin Covid-19 dapat dihasilkan dengan cepat kerana menggunakan platform sedia ada yang telah dibangunkan lebih sedekad lalu.

16/02/2021 04:32 PM

SEKILAS FAKTA 

  • 'Fast track' yang dimaksudkan bukanlah penghasilan secara sambil lewa namun, vaksin Covid-19 ini diberi lebih keutamaan kerana ia amat penting disediakan dalam situasi sekarang. 
  • Kurangnya proses birokrasi, penyediaan dana yang lebih serta teknologi canggih digunakan mendorong vaksin ini mampu dihasilkan lebih cepat berbanding vaksin-vaksin lain sebelum ini.
  • Perkongsian data dan usaha tanpa henti oleh pakar-pakar perubatan seluruh dunia menjadikan tempoh satu tahun ini betul-betul digunakan dengan efisyen bagi menghasilkan vaksin.

 


Sumber: Malaysiakini

 

LATAR BELAKANG  

Pada 31 Januari 2019, Pertubuhan Keselamatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kesihatan dunia.

Di Malaysia pula, Covid-19 dikesan buat kali pertama pada 25 Januari 2020 melibatkan tiga warga China. Kes pertama melibatkan warga tempatan pula dikesan pada 6 Februari 2020

Bilangan kes tempatan dan seluruh dunia kian melonjak pada tahap membimbangkan. Pelbagai pihak mula berusaha untuk menghasilkan vaksin bagi mengawal wabak ini.

Setahun berlalu, beberapa pihak sudah pun berjaya menghasilkan vaksin dan berdasarkan laporan Sinar Harian pada 27 November 2020, sebanyak 6.4 juta rakyat Malaysia bakal menerima vaksin Covid-19 tahun ini.

Perjanjian pembelian bekalan vaksin tersebut ditandatangai antara kerajaan dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Malaysia telah membeli vaksin daripada lima pembekal berebeza, seperti disenaraikan di bawah.

 


Sumber: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV)

 

Perkhabaran ini secara tidak langsung meredakan kebimbangan ramai rakyat di negara ini. Namun, tidak kurang juga yang  berasa sangsi dengan keberkesanan vaksin baharu itu.

 

MENGENAI DAKWAAN 

MyCheck Malaysia menerima satu pautan video berdurasi 55:29 minit disebarkan melalui WhatsApp dan Facebook yang didalamnya terkandung pelbagai dakwaan tentang konspirasi tersembunyi disebalik penyediaan vaksin Covid-19.  

Pada minit ke 05:04 hingga 05:30 dan minit 27:30 hingga 28:30 ‘dokumentari’ ini ada menyebut vaksin covid-19 yang terdapat pada hari ini seolah-olah dihasilkan dengan cara tidak masuk akal kerana mengambil tempoh yang sangat cepat iaitu tidak sampai setahun. 

 


Tangkap layar video yang mempersoal proses penyiapan vaksin Covid-19

Paparan video itu juga mendakwa bahawa proses penghasilan vaksin ini telah melangkaui tempoh ujian keselamatan seperti kebiasaan yang sepatutnya dilakukan.

Berikutan dakwaan yang tersebar itu, warga maya hangat membincangkan isu ini. Segelintir mereka jelas menzahirkan kegusaran terhadap vaksin Covid-19 yang pada fikiran mereka masih dalam fasa kajian.

 


Tangkap layar luahan kegusaran masyarakat di media sosial

 

APA YANG KAMI TEMUI 

Penghasilan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, Mycheck mencari klu sebanyak mungkin berkaitan kajian dan penghasilan vaksin ini di laman rasmi Kementerian Kesihatan.

Menurut Kementerian Kesihatan, proses penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawal rapi, iaitu semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta wajib mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Selain itu perkara asas yang perlu dipatuhi termasuklah memastikan produk (vaksin) adalah selamat untuk kegunaan masyarakat dan memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Proses penghasilan pula berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus mengikut  jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria. 

Amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah iaitu pembiakan organisma hidup, pengasingan organisma hidup daripada sel, penulenan; mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma dikultur dan formulasi percampuran bahan yang telah ditulenkan.

Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan. 

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

 

Kebanyakan pakar menjelaskan  proses penghasilan vaksin boleh memakan masa sehingga bertahun-tahun, daripada proses awal hinggalah selesai. Namun ia bergantung kepada situasi tertentu sepanjang penghasilan sesuatu vaksin dijalankan.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

 

Sambungan kajian vaksin SARS

Menurut portal informasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Vaksin Covid-19 merupakan kesinambungan hasil kajian bagi vaksin Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). 

Pakar Mikrobiologi Klinikal UPM, Profesor Dr Zamberi Sekawi tidak menafikan penghasilan  sesuatu vaksin memang memakan masa antara tiga hingga lima tahun.

Keadaan tersebut jika mengambil kira tempoh dari mula ujian klinikal bagi percubaan terhadap haiwan dibuat kemudian diikuti percubaan terhadap manusia.

Namun, keadaan berbeza dengan situasi Covid-19 yang sebenarnya telah dibuat uji kaji klinikal berdasarkan kajian penghasilan vaksin SARS yang tertangguh beberapa tahun lalu kerana penularan penyakit itu sudah dapat dikawal.

Malah, usaha saintis mencari vaksin Covid-19 menerusi kesinambungan kajian vaksin daripada penyakit SARS adalah dibenarkan dalam aspek perubatan kerana kedua-dua virus itu berasal daripada keluarga yang sama iaitu Corona.

Pendapat ini turut senada dengan apa yang dikongsikan oleh seorang doktor yang banyak membuat perkongsian melawan mitos berkaitan perubatan di laman Facebook Dr. Rusyainie Ramli turut menyentuh isu ini dengan memuatnaik status seperti berikut.
 


Sumber: Rusyainie Ramli (Facebook)

 

Apa yang dimaksudkan dengan ‘Fast Track’?

Sebelum mengulas lebih berkenaan perkara ini, perlu difahami bahawa ‘fast track’ yang dimaksudkan bukanlah melangkaui atau meninggalkan mana-mana prosedur wajib dalam proses penghasilan vaksin ini.

Apa yang dimaksudkan sebagai ‘fast track’ ialah prosesnya melalui ‘laluan khas’ yang memudahkan setiap keperluan bagi menjayakan penghasilannya. 

Gambaran mudahnya lebih kurang begini. Jika anda bayar tiket penerbangan kelas pertama, perjalanan anda menjadi lebih mudah kerana mendapat layanan kelas pertama. Anda baik persawat melalui ‘fast lane’. Anda dapat keutamaan untuk menaiki dan turun daripada pesawat. Boleh jadi ada pula ‘porter’yang bantu angkat beg anda di sepanjang perjalanan!  

Namun bagi pelanggan kelas ekonomi, layanannya sedikit berbeza. Mungkin anda perlu beratur panjang, tunggu lebih lama dan tidak mendapat keutamaan seperti pelanggan kelas satu.

Sama juga dengan proses penghasilan vaksin ini. Apabila Covid-19 diisytiharkan sebagai darurat kesihatan dunia, penghasilan vaksin bagi virus ini menjadi keutamaan di seluruh dunia.

Dengan kurangnya birokrasi, perkongsian maklumat lintas negara kemajuan teknologi vaksin dapat dihasilkan dalam tempoh kira-kira satu tahun. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkongsi maklumat tentang  ‘keajaiban’ ini melalui akaun Twitter mereka.

 


Sumber: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV)

 

Menurut laporan Malaysiakini hasil daripada pengurangan kerenah birokrasi, peruntukkan  dana yang lebih serta bilangan sukarelawan yang mencukupi bagi tujuan pengujian vaksin itu memudahkan proses ia dihasilkan.

Perkara itu dijelaskan pakar sistem kesihatan, Dr Khor SK yang juga berpendapat daripada garis masa 10 tahun untuk pembangunan vaksin kebiasaannya, banyak masa telah diperuntukkan untuk menunggu kelulusan geran yang diperlukan, berbanding menjalankan kajian.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan penerangan di atas, kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai ‘bercampur’ kerana memang benar vaksin disiapkan dengan segera namun dakwaan bahawa melangkaui prosedur keselamatan yang ditetapkan.

Dengan kesungguhan dan fokus pihak berwajib termasuk tenaga pakar dan penggunaan teknologi moden yang dimanfaatkan sebaiknya, vaksin dapat dihasilkan dengan segera.

Kongsi fakta ya, bukan auta. Stay safe semua! 

 -- MYCHECKMY --

 

RUJUKAN

1. Berita Harian 'Cepatkan penghasilan vaksin COVID-19' Diterbitkan pada Mei 1 2020

2. Malaysiakini 'Seberapa selamat vaksin Pfizer dan bagaimana ia dibangun begitu cepat?’ Diterbitkan pada 8 Januari 2021

3. Berita Harian 'Kajian klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 di 9 hospital' Diterbitkan pada 16 Januari 2021

4. Kementerian Kesihatan Malaysia 'Percubaan Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19 Di Malaysia Akan Bermula Akhir Bulan Ini' Diterbitkan pada 27 Januari 2021

5. Universiti Putra Malaysia 'Pakar jangka vaksin Covid-19 ditemui hujung tahun ini' Diterbitkan pada 1 April 2020

6. Berita Harian 'Kronologi COVID-19 di Malaysia'  Diterbitkan pada 17 Mac 2020

7. Astro Awani 'Malaysia dijangka terima vaksin Februari 2021, ini lima perkara anda perlu tahu' Diterbitkan pada 23 Disember 2020 

8. Sinar Harian '6.4 juta rakyat Malaysia bakal terima vaksin Covid-19: PM' Diterbitkan pada 27 November 2020

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.