Borang persetujuan suntikan vaksin yang tular BUKAN borang muktamad.

28/06/2021 01:12 PM

Benarkah...

KKM terbitkan borang persetujuan vaksinasi Covid-19, menyatakan penerima vaksin perlu bertanggungjawab terhadap risiko yang mungkin berlaku.

Sumber : Sumber: Laman Web, WhatsApp / Februari 2021

Hasil

Borang persetujuan pemberian suntikan Covid-19 yang dimuat naik di laman web Jabatan Kesihatan Pulau Pinang itu bukanlah borang persetujuan muktamad.

Penyelidik : Erwan Othman

SEKILAS FAKTA

  • Borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang muktamad akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat, bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama.
  • Penerimaan vaksin ini adalah secara 'opt-in' (secara sukarela) di mana penerima vaksin yang bersetuju untuk menerima vaksin, perlu menandatangani borang berkenaan.
  • Kandungan di dalam borang persetujuan itu adalah untuk pastikan bahawa penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang telah dibaca atau diterangkan oleh anggota kesihatan mengenai manfaat dan risiko vaksin.

 

LATAR BELAKANG

Malaysia memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 26 Februari ini dengan sasaran 80 peratus populasi penduduk negara bersamaan 26.5 juta individu untuk menerima suntikan vaksin secara percuma, menerusi tiga fasa sehingga Februari 2022.

Ketibaan bekalan pertama vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech di Malaysia pada Ahad (21 Februari 2021) menjadi program vaksinasi terbesar di Malaysia untuk membentuk imuniti kelompok (herd immunity).

Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 600 pusat yang terdiri daripada fasiliti kesihatan KKM, hospital universiti dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenal pasti sebagai pusat pemberian vaksin

Fasa pertama vaksinasi, dari Februari hingga April, adalah untuk 500,000 petugas barisan hadapan (frontliners) yang terlibat secara langsung dalam memerangi Covid-19.

Fasa kedua, dari April hingga Ogos, melibatkan kumpulan berisiko tinggi, sementara fasa ketiga, dari Mei hingga Februari 2022, akan melibatkan mereka yang sihat berumur 18 tahun ke atas.

Proses pendaftaran bagi mereka yang mahu menerima vaksin Covid-19 akan bermula bulan Mac.

 


Infografik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

 

MENGENAI DAKWAAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerbitkan borang persetujuan vaksinasi Covid-19 yang merangkumi klausa menyatakan persetujuan penerima vaksin bertanggungjawab terhadap sebarang risiko.

Ia dikeluarkan sembilan hari sebelum pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penandatangan perlu menyatakan sejarah kesihatan termasuk sama ada pernah mengalami kesan sampingan teruk selepas menerima imunisasi sebelum ini, mempunyai sejarah alahan teruk, sedang atau bercadang untuk hamil dan sekiranya menyusukan bayi.

Bahagian bawah borang persetujuan yang tular berkenaan antara lain di bahagian terma persetujuan menyatakan, individu yang bakal menerima suntikan haruslah memahami bahawa mereka perlu bertanggungjawab atas risiko yang berlaku selepas mengambil vaksin, selain vaksin tidak memberi jaminan kepada individu untuk tidak mendapat jangkitan Covid-19 pada masa akan datang.

Pada akhir borang, penandatangan diminta menuliskan nama dan nombor kad pengenalan, termasuk jika menandatangani borang itu bagi yang berada bawah jagaan mereka.
 

APA YANG KAMI TEMUI

Kami pecahkan kepada beberapa bahagian untuk pembaca memahami penjelasan menerusi penerbitan borang persetujuan vaksinasi Covid-19 KKM yang telah tular itu.

 

Dari mana tularnya?

Menggunakan kata kunci ‘borang persetujuan vaksinasi + vaksin Covid-19’ di laman carian Google, kami telah menemui beberapa portal berita menulis artikel berkaitan borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19. 

Portal berita Free Malaysia Today, Ismaweb dan Suara Merdeka adalah antara yang melaporkan berita itu dan kesemua mereka memetiknya di laman web Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Bagaimanapun kami tidak dapat mengakses bagi memuat turun borang persetujuan vaksinasi Covid-19 dalam pautan laman web Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang kerana ia telah pun dikeluarkan.

 

Respon Pihak KKM

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook rasminya, bertarikh 18 Februari 2021 telah membuat kenyataan memaklumkan bahawa borang yang telah disebarkan adalah bukan merupakan borang persetujuan yang muktamad yang akan digunapakai dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19.

Selain itu laman Twitter KKMalaysia juga menghantar ciapan kenyataan Dr Noor Hisham berhubung borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang tular itu.

 


Tangkap layar dari Twitter rasmi KKM.

 

Malah KKM turut mengeluarkan kenyataan akhbar penuh di sini pada hari yang sama. 

 


Tangkap layar dari laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Apa! Seriuslah Tiada Jaminan Diberikan Kepada Penerima Vaksin?

 


Contoh borang persetujuan penuh suntikan vaksin Covid-19 yang belum muktamad

 

Memetik kenyataan akhbar Dr Noor Hisham bertarikh 18 Februari 2021 itu:

 "Memandangkan pemberian suntikan vaksin COVID-19 adalah secara sukarela, borang persetujuan suntikan vaksin COVID-19 adalah dokumen yang digunakan untuk diberi kepada penerima vaksin bagi mereka menyatakan persetujuan penerimaan vaksin dengan rela hati,” katanya.

Di dalam kenyataan akhbar itu juga menyebut borang persetujuan juga digunakan di negara-negara lain yang melaksanakan Program Imunisasi COVID-19.

Jadi ini bermakna penerimaan vaksin ini adalah secara opt-in (secara sukarela) di mana penerima vaksin yang bersetuju untuk menerima vaksin perlu menandatangani borang ini.

Kandungan di dalam borang persetujuan itu adalah untuk memastikan bahawa penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang telah dibaca atau diterangkan oleh anggota kesihatan mengenai manfaat dan risiko vaksin.


 

Temui Borang Muktamad dalam MySejahtera

Pencarian MyCheck berhasil apabila menemui borang persetujuan muktamad di bahagian ‘Covid-19 Vaccine Information pada aplikasi MySejahtera. Anda boleh klik pautan di https://mysejahtera.malaysia.gov.my/vaccine/consent.pdf

Jika dibandingkan dengan borang persetujuan yang belum muktamad, kami mendapati cumanya terdapat sedikit penambahan iaitu kata-kata mukadimah di bahagian atas sebelum kolum ‘Sejarah Kesihatan’.

Jadi ini bermakna borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 tular sebelum ini adalah borang yang benar, cumanya belum muktamad. 

 


Borang persetujuan penuh suntikan vaksin Covid-19 muktamad yang ditambah kata-kata mukadimah.

 

Vaksin Selamat Digunakan

Vaksin Covid-19 ditemui dan dibina oleh beberapa syarikat pengeluar dan semuanya dihasilkan berlandaskan kajian bahawa vaksin yang diberikan kepada rakyat adalah berkesan, selamat dan stabil.

Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam dipetik dari akhbar Berita Harian menjelaskan semua vaksin yang memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu daripada segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

 

Frontliners/ Sukarelawan Dijadikan Mangsa Uji Kaji? 

Tidak. Bagi Pengurus Besar Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M. Murallitharan antara lain menyatakan rakyat Malaysia tidak dijadikan 'mangsa uji kaji' kerana vaksin Covid-19 telah diberikan kepada 30 juta orang di seluruh dunia dan terbukti ia selamat.

Memetik penjelasannya di Astro Awani, vaksin Covid-19 boleh dihasilkan dalam tempoh yang singkat kerana sebahagiannya sudah ada teknologi untuk mewujudkan vaksin itu.

Selain daripada itu, melalui pelaporan yang diperolehi dari negara-negara yang telah melaksanakan pemberian vaksin COVID-19, vaksin ini adalah selamat diguna.

Jadi dari manakah datangnya dakwaan ‘mangsa uji kaji’ itu? Ini kerana proses pembangunan vaksin itu perlu melalui tiga fasa ujian klinikal iaitu fasa pertama, fasa kedua dan fasa ketiga vaksin.

Jadi berkenaan keselamatan dan keberkesanan sesebuah vaksin itu, ia memang telah dipantau bermula daripada peringkat fasa dua, demikian menurut Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip yang dipetik dari Sinar Harian.
 

Kerajaan Tubuh Dana Kesan Sampingan Vaksinasi?

Ya benar. Astro Awani bertarikh 22 Mac 2021 melaporkan kerajaan bersetuju memberikan bantuan RM50,000 jika berlaku kesan sampingan advers selepas divaksinasi sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital kepada warga tempatan dan asing.

Bahkan, kerajaan juga bersetuju untuk memberi sehingga RM500,000 sekiranya berlaku hilang upaya kekal atau kematian selepas mereka menerima vaksin.

Untuk itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan menerusi dana kerajaan untuk diberikan pampasan kepada individu yang mengalami kesan sampingan teruk susulan pengambilan vaksin.

MyCheck berpandangan perkara ini amatlah dialu-alukan kerana mengikut statistik dikeluarkan KKM, angka individu yang mendaftar program vaksinasi ini masih rendah. Jadi ini sekaligus akan membantu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang awam terhadap Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Adham Baba di laman Twitter rasminya pada 31 Mac 2021 ada memberitahu setakat tarikh tersebut, seramai 7,501,094 atau 30 peratus populasi rakyat Malaysia mendaftar untuk vaksin itu menerusi aplikasi MySejahtera. Sejumlah 482,808 orang menerima dos pertama, manakala 215,395 sudah disuntik kali kedua.

 

Jangan Lupa Daftar Vaksinasi

Fasa pertama vaksinasi, dari Februari hingga April, adalah untuk 500,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara yang terlibat secara langsung dalam memerangi Covid-19.

Berita Harian bertarikh 16 Januari 2021 melaporkan kerajaan sudah mengeluarkan makluman kepada 500,000 penerima pertama dos vaksin.

Bagi fasa kedua vaksinasi bermula dari April hingga Ogos, melibatkan kumpulan berisiko tinggi, sementara fasa ketiga, dari Mei hingga Februari 2022, akan melibatkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Berita Harian bertarikh 22 Februari 2021 pula melaporkan permohonan pendaftaran bagi mereka yang mahu menyertai PICK akan dibuat menerusi beberapa kaedah dan dijangka dibuka kepada umum, mulai Mac.

Ia antaranya, melalui aplikasi MySejahtera yang sudah mencecah 27 juta pengguna, fasiliti kemudahan kesihatan kerajaan, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my dan talian hotline yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Jadi, kalian semua usahlah risau. Program vaksinasi itu SELAMAT. Bak slogan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’, ini semua bertujuan demi mengekang Covid-19 melalui vaksin bagi melindungi diri daripada wabak itu. 

 

TAG: Program Vaksinasi, Vaksin Covid-19, Program Imunisasi Covid-19, Pfizer-BioNTech, Kementerian Kesihatan Malaysia, borang persetujuan vaksin, borang belum muktamad

 

RUJUKAN

KPKesihatan “Kenyataan Akhbar KPK 18 Februari 2021 – Berita Tular Berhubung Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19” Diterbitkan pada 18 Februari 2021.

Bernama. “605 lokasi bakal dijadikan pusat pemberian vaksin” Diterbitkan pada 16 Februari 2021.

Astro Awani. “Rakyat Malaysia bukan mangsa uji kaji, vaksin COVID terbukti selamat - NCSM” Diterbitkan pada 22 Februari 2021.

Berita Harian. “500,000 bakal penerima vaksin sudah dimaklumkan” Diterbitkan pada 16 Januari 2021.

Berita Harian. “Beberapa kaedah pendaftaran sertai program imunisasi akan dibuka kepada umum” Diterbitkan pada 22 Februari 2021.

Harian Metro. “Borang persetujuan suntikan vaksin yang tular bukan borang muktamad - Dr Noor Hisham” Diterbitkan pada 18 Februari 2021.

Free Malaysia Today. “Borang daftar vaksin Covid-19” Diterbitkan pada 17 Februari 2021.

Ismaweb. “KKM terbit borang persetujuan vaksinasi COVID-19” Diterbitkan pada 17 Februari 2021.

Suara Merdeka. “Ini borang yang perlu diisi sebelum mendapat suntikan vaksin Covid-19” Diterbitkan pada 17 Februari 2021.

Astro Awani. “Vaksinasi: Bantuan khas hingga RM500,000 untuk kesan sampingan serius, hilang upaya kekal” Diterbitkan pada 22 Mac 2021.

Twitter KKM

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.