Produk Dengan Kod Bar Bermula Nombor ‘729’ Tidak Semestinya Berasal Dari Israel

24/08/2021 09:29 AM

Benarkah...

Produk dengan bermula nombor 729 adalah produk berasal dari Israel

Sumber : Facebook/Twitter/Jun 2021

Hasil

Kod Bar awalan bernombor 729 didaftarkan di Israel namun tidak semestinya produk atau barangan berkenaan berasal dari Israel

Penyelidik : Mazani CYS

SEKILAS FAKTA

  1. Kod Bar digunakan untuk pelbagai tujuan seperti keperluan peruncitan dan bukan peruncitan, pembungkusan, penerbitan buku dan majalah, farmaseutikal selain lain-lain keperluan seperti penghasilan kad pengenalan, penjejakan aset, inventori, selain bagi tujuan industri dan makmal perubatan.

  2. Kod nombor 729 merujuk adalah rujukan kepada negara Israel.

  3. Namun tidak semua produk dengan awalan kod ini dibuat di Israel.

 


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Kod Bar adalah imej kecil garis (bar) dan jurang yang dilampirkan pada item di kedai runcit, kad pengenalan, dan surat-menyurat mel untuk mengenal pasti nombor produk, orang, atau lokasi tertentu. 

Kod ini menggunakan urutan bar menegak dan ruang untuk mewakili nombor dan aksara lain dan simbol kod biasanya terdiri daripada beberapa bahagian: simbol awal, simbol data (termasuk aksara semakan pilihan), simbol akhir.

Di Malaysia, kod bar digunakan secara meluas untuk pelbagai kegunaan terutamanya dalam sektor peruncitan, farmauseutikal selain penerbitan majalah dan novel.

Kod Bar pertama kali ditemui oleh Norman Joseph Woodland dan rakannya, Bernard Silver, kemudian dipatenkan oleh dua pelajar Institut Teknologi Drexel pada akhir 40-an dan pelaksanaan kod bar juga wujud hasil kerja keras dua jurutera, Raymond Alexander dan Frank Stietz.

 


Sumber: internationalbarcodes.com

 

Pada tahun 1966, kod akhirnya digunakan untuk tujuan komersial, tetapi kejayaan alat canggih ini tidak dirasakan hingga tahun 80-an.

Seiring dengan kecanggihan teknologi zaman moden, inovasi kod bar juga meningkat menerusi penghasilan pelbagai jenis kod bar termasuk kod bar matriks dua dimensi (kod bar 2D) yang merupakan gabungan kod matriks persegi.

Kod bar 2D ini, antara lain, adalah kod PDF, QRCode, Matrix Code dan sebagainya. Inovasi kod bar 2D adalah inovasi yang menjadikan bilangan aksara yang boleh dimasukkan ke dalam kod bar meningkat, mencapai ratusan digit kod berbanding Kod Bar 1D yang hanya dapat memuatkan lima hingga dua puluh digit kod!

 

MENGENAI DAKWAAN

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai dakwaan seorang pengguna twitter bernama Mosorajab yang mendakwa produk dengan kod bar awalan bernombor 729 berasal dari Israel.

Beliau pada masa sama turut meminta orang ramai supaya memboikot produk yang bermula dengan kod bar berkenaan dengan menyertakan hastag “freepalastine#Palestine.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hasil carian MyCheck menerusi aplikasi Google Reversed Image mendapati imej yang ditularkan itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada poster yang mempamerkan gambar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kini bekas Perdana Menteri Israel) yang disunting dengan tiga tompokan merah dan diletakkan dengan kod bar awalan bernombor 729 dan 871.

Poster berkenaan telah dihantar oleh pengguna Facebook iaitu Megat Komeng pada 17 Mei lalu dan sehingga laporan ini ditulis, ia telah dikongsi sebanyak 38,000 pengguna Facebook.

 


Sumber: Facebook

Imej asal poster berkenaan sebenarnya berasal daripada aplikasi Flickr Jabatan Negara Amerika Syarikat di mana Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo mengadakan pertemuan dengan Netanyahu di Tel Aviv pada 29 April 2018.

 


Sumber: Flickr - U.S Department of State

Kami mendapati usaha untuk memboikot barangan atau produk dari Israel yang bermula dengan kod bar awalan 729 telah bermula sejak beberapa tahun lepas.

Hal ini boleh dilihat menerusi perkongsian beberapa pengguna di laman sosial seperti Twitter dan Facebook yang meminta pengguna supaya tidak membeli barangan atau produk yang bermula dengan kod bar awalan 729.

 


Sumber: Media Sosial

 

Kempen Boikot Israel

Kempen boikot Israel telah dipopularkan sejak tahun 1990-an oleh gerakan-gerakan sivil pro-Palestin seperti Inminds, Interpal dan Palestine Solidarity Campaign (PSC).

Menurut laman sesawang MyCare Malaysia, kempen memboikot Israel adalah kesan langsung kepada pengenduran kempen boikot Israel oleh negara-negara Arab pasca Persidangan Damai Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993 mengenai solidariti aktivis hak asasi manusia bersama rakyat Palestin ketika Intifada Palestin (1987-1993).

MyCare Malaysia atau lebih dikenali sebagai Humanitarian Care Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi fokus menghulurkan bantuan kemanusiaan di negara yang berdepan krisis kemanusiaan.

Malaysia tidak pernah mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara dan perkara berkenaan jelas terpampang dalam pasport setiap daripada rakyat Malaysia: “Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel.”

Kempen boikot Israel bukan sahaja melibatkan produk negara berkenaan, malahan turut melibatkan penyertaan atlet Israel dalam kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan di Malaysia.

Antaranya adalah bantahan penyertaan skuad kriket Israel di Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa 1997 dan penglibatan dan atlet perahu layar Israel di Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa (ISAF YWC) 2015.

Kempen boikot syarikat yang mesra dengan Israel mula mendapat tempat di Malaysia ketika viralnya fatwa tentang boikot oleh ulama terkemuka dunia, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi pada tahun 2002 dan kempen ini semakin hangat apabila Israel menyerang Gaza di antara Disember 2008 hingga Januari 2009. 

Aktivis kemanusiaan di Malaysia telah menubuhkan COMPLETE (Coalition of Malaysian NGOs Against the Persecution of Palestinian yang kini dikenali sebagai Viva Palestina Malaysia (VPM), dan melancarkan kempen boikot produk pengguna yang telah dikenalpasti menyumbang kepada kelestarian Israel.

AQSA SYARIF telah bersama-sama VPM memfokuskan kempen boikot kepada empat syarikat utama iaitu McDonald’s, Nestle, Coca Cola dan L’oreal kerana dikenalpasti menjadi penyumbang utama kepada kelestarian ekonomi Israel, selain badan-badan Yahudi pro-Zionis yang sentiasa membela kekejaman dan jenayah dilakukan tentera Israel.

Daripada empat syarikat berkenaan, McDonald’s merupakan sasaran yang ‘paling mudah’ dan sering menjadi buah mulut. Kempen boikot McDonald’s mencapai tahap tertinggi pasca serangan Israel ke atas Gaza di antara Julai hingga Ogos 2014 apabila rakyat awam sendiri menggerakkan kempen ini, sekaligus diangkat menjadi kepentingan awam.

McDonald’s Malaysia yang dimiliki oleh syarikat Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, bagaimanapun, menafikan penglibatan mereka dalam menyalurkan bantuan kepada Israel dan berita penafian berkenaan turut disiarkan di beberapa media seperti Harian Metro, PN BBC Portal, Bernama selain laman sesawang rasmi McDonalds Malaysia.

 

Pandangan Pihak Berwajib

MyCheck Malaysia merujuk kepada syarikat GS1 Malaysia Berhad yang terlibat secara langsung dengan proses pengeluaran kod bar di Malaysia.

Menurut jurucakap syarikat berkenaan yang dihubungi MyCheck Malaysia memaklumkan, mana-mana pemilik produk bebas mendaftarkan kod bar bagi produk atau barangan masing-masing di negara ini atau mana-mana negara yang menjadi sasaran untuk memasarkan produk mereka.

Beliau memaklumkan pendaftaran kod bar berkenaan di sesebuah negara tidak semestinya bermaksud produk berkenaan dihasilkan di negara tersebut, memandangkan produk berkenaan boleh menjadi produk tempatan atau produk yang diimport dari luar negara.

Kami turut merujuk laman sesawang GS1 yang memaklumkan bahawa kod bar dengan awalan 729 memang didaftarkan di Israel, manakala kod bar dengan awalan nombor 871 didaftarkan di Belanda.

Menurut GS1, walaupun kod bar dengan awalan nombor 729 dan 871 masing-masing didaftarkan di Israel dan Belanda, ia tidak bermaksud produk berkenaan dihasilkan di negara berkenaan kerana ia mungkin dihasilkan di negara tertentu sebelum dieksport ke kedua-dua negara berkenaan untuk pendaftaran kod bar.

 


Sumber: GS1

 

Pandangan MyCheck

Kami mengklasifikasikan dakwaan produk dengan kod bar awalan bernombor 729 dan 871 berasal dari Israel adalah tidak pasti.

Hal ini kerana adalah sukar untuk menentukan samada sesuatu produk itu sebenarnya dihasilkan di Israel kerana penggunaan kod bar sahaja tidak membuktikan bahawa produk tersebut berasal dari negara yang didaftarkan oleh pemilik produk.

Amalan penggunaan kod bar GS1 hanyalah satu pemudahcara kepada pemilik sesuatu produk untuk memasarkan produk masing-masing ke sasaran negara yang mereka ingin tembusi dengan lebih pantas menerusi proses pembungkusan barangan ataupun penetapan harga secara lebih cekap.

Tidak salah sekiranya rakyat Malaysia ingin memboikot sesuatu produk yang dikatakan berasal dari Israel, namun sebagai pengguna yang bijak adalah lebih baik sekiranya mereka mendapatkan maklumat lanjut berhubung latar belakang pengeluar sesuatu produk tersebut.

Rakyat Malaysia yang majoritinya terdiri daripada mereka yang beragama Islam sewajarnya memboikot barangan atau produk yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan tubuh badan mereka daripada memberi fokus kepada kempen boikot Israel yang sebenarnya hanya dibangkitkan segelintir pihak ketika krisis kemanusiaan di Gaza atau Tebing Barat kembali memuncak.

--MYCHECKMY--

 

RUJUKAN:

  1. Facebook Megat Komeng

  2. International Barcodes

  3. Flickr Jabatan Negara Amerika Syarikat

  4. Laman sesawang GS1 Malaysia Berhad

  5. Kempen Boikot Israel.Diterbitkan oleh MyCare Malaysia pada 21 Jan 2017

  6. McDonald's Malaysia nafi salur sumbangan kepada Israel.Diterbitkan oleh Harian Metro pada 17 Mei 2021

  7. McDonald's Malaysia nafi salur sumbangan kepada Israel.Diterbitkan oleh PN BBC Portal pada 17 Mei 2021

  8. McDonald's Malaysia nafi salur bantuan kepada Israel.Diterbitkan oleh Bernama pada 17 Mei 2021

  9. Kenyataan Rasmi McDonald’s Malaysia: Membongkar Tohmahan Tidak Berasas


 

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.