+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

JUMANJI? Betul, Ada Gajah Liar Robohkan Dinding Dapur Rumah. Namun Ia Bukannya Berlaku Di Malaysia

Benarkah...

Gajah liar sondol hingga berlubang sebahagian dinding dapur sebuah rumah bagi mencari makanan

Sumber : WhatsApp / Jun 2021

Hasil

Kes tersebut berlaku di daerah Hua Hin, wilayah Prachuap Khiri Khan, Thailand.

24/08/2021 10:38 AM

SEKILAS FAKTA

  • Pemilik rumah terbangun apabila mendengar bising dari belakang rumah dan dikejutkan dengan kedatangan seekor gajah menjengah di sebalik dinding dapur yang berlubang, mengambil sekantung beras lalu memasukkan ke dalam mulutnya.
  • Haiwan itu pernah memusnahkan dinding dapur pemilik rumah itu pada Mei lalu, menyebabkannya membiarkan bahagian dapur itu kekal terbuka, seperti tingkap pada lorong pandu lalu.
  • Kejadian tersebut dikatakan jarang berlaku, tetapi berkemungkinan haiwan itu menghidu makanan lalu memecah tembok dinding dapur rumah berkenaan.

 


Sumber: Whatsapp

LATAR BELAKANG

Konflik gajah dan manusia bukanlah perkara baru sebaik manusia aktif membuka tanah secara besar-besaran untuk penempatan selain untuk kegiatan pertanian seperti getah, kelapa sawit, koko, kopi dan sebagainya.

Perubahan tersebut menyebabkan habitat gajah terganggu, kawasan mencari makanan menjadi terhad, laluannya dihalang sekali gus ia terpaksa menceroboh masuk dan membuat gangguan di kawasan penempatan penduduk selain kawasan ladang tanaman dimusnahkan dan dimakan gajah yang kelaparan.

Gajah dikategorikan sebagai hidupan liar yang terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi (IUCN).

Komitmen Malaysia terhadap pengukuhan perlindungan spesies ini dizahirkan dengan menaik taraf tahap status gajah sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Gajah juga dikatakan haiwan yang dekat dalam budaya masyarakat. Di negara Thailand yang dahulunya dikenali sebagai Siam, haiwan itu dianggap suci dan sebagai simbol kekuasaan kerajaan dimana semua gajah putih yang dijumpai harus diberikan kepada Raja Siam.

Dalam mitos agama Hindu di India, gajah putih dianggap sebagai milik Dewa Indra yang dinamakan Airawata, sang gajah terbang. Ia dinobatkan sebagai raja gajah melampaui semua gajah yang ada di dunia oleh Dewa Indra. Manakala pada zaman dulu di Nusantara turut menganggap gajah sebagai haiwan suci ketika zaman kerajaan Hindu-Buddha. 
 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial gambar seekor gajah meruntuhkan sebahagian dinding dapur sebuah rumah.

Dalam gambar tanpa sebarang kapsyen, haiwan itu dipercayai datang pada sebelah malam.
 

APA KAMI TEMUI

MyCheck menerima kiriman gambar tular tersebut dari seorang kenalan menerusi aplikasi WhatsApp pada 21 Jun 2021. Apa yang terlintas di fikiran kami adalah adakah benar gambar tersebut ataupun ia berkemungkinan telah diedit untuk sekadar suka-suka?

Jika mengamati dalam gambar tersebut, terdapat satu bentuk tulisan Siam berhampiran engsel pintu bahagian dapur dan kami lantas percayai kejadian tersebut berkemungkinan berlaku di Thailand.


 

Itu Gambar Asli

Bagi menentukan kesahihan gambar yang tular itu, MyCheck menggunakan carian imej berbalik di Google untuk mendapatkan maklumat dan hasilnya kami menemui beberapa petunjuk penting berkenaan gambar gajah ceroboh dapur rumah itu.

Namun hasil carian lanjut, akhbar The Nation, sebuah akhbar berbahasa Inggeris dari Thailand dilihat merupakan sumber paling awal laporan berita itu dikeluarkan. Ia diterbitkan pada 20 Jun 2021.

 


Sumber: nationthailand.com

Dalam laporan berita tersebut, seorang wanita yang merupakan pemilik rumah bernama Rachadawan Phungprasopporn bersama suaminya terbangun apabila mendengar bunyi bising dari belakang rumahnya di daerah Hua Hin, dalam wilayah Prachuap Khiri Khan di Selatan Thailand.

Menerusi catatannya di Facebook, wanita itu memberitahu mereka kemudiannya dikejutkan dengan kedatangan seekor gajah jantan yang meruntuhkan dinding dapurnya. 

Gajah itu dengan menggunakan belalainya membuka kabinet dapur mengambil bungkusan plastik dipercayai berisi beras lalu memasukkan ke dalam mulutnya sebelum suami kepada wanita itu menghalau gajah itu yang kemudiannya menghilang ke dalam hutan. Anda boleh baca artikel itu di sini.
 

Ini masuk kali ke-dua...

Video kejadian itu juga sempat dirakam dan dikongsikan di akaun Facebook Kittichai Boodchan yang dipercayai suami kepada Rachadawan. 

 


Sumber: Facebook Kittichai Boodchan

Kittichai dipetik menerusi Bangkok Post turut memberitahu haiwan itu pernah memusnahkan dinding dapurnya pada Mei lalu, menyebabkannya membiarkan bahagian dapur itu kekal terbuka, seperti tingkap pada lorong pandu lalu.

Kittichai dan isteri menetap berhampiran taman negara di barat Thailand, juga berhampiran tasik yang menjadi lokasi kegemaran gajah liar untuk mandi ketika merayau di dalam hutan.

Berita gajah meruntuhkan sebahagian dinding dapur itu kemudiannya telah dipetik dan dimainkan oleh pelbagai agensi berita antarabangsa antaranya AFP, France24, The Straits Times selain beberapa media tempatan antaranya Kosmo!, Sinar Harian dan Harian Metro.
 

Kenyataan Pihak Berwajib

Kejadian tersebut dikatakan jarang berlaku di Thailand, tetapi berkemungkinan haiwan itu menghidu makanan lalu memecah tembok dinding dapur rumah berkenaan..

Memetik The Nation lagi, susulan aduan itu yang menjadi tular di media sosial, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemeliharaan Tumbuhan dan agensi kerajaan lain di wilayah tersebut sedang mengadakan perbincangan mengenai pampasan pemilik rumah atas kerosakan yang berlaku.

Ada berkemungkinan gajah itu telah mengubah kelakuan mereka sebagai respon sudah lali bertembung dengan manusia, dan terbiasa memakan makanan yang diberikan oleh manusia, ataupun kerana gangguan daripada pemburu atau pembalak yang membuatkan gajah menuju ke kawasan penempatan manusia.

MyCheck menasihatkan agar orang ramai tidak terlalu ghairah untuk menyebarkan gambar-gambar yang boleh mendatangkan keresahan yang tidak berasas kepada segelintir orang ramai, walaupun sekadar ‘suka-suka’.
 

-- MYCHECK.MY

 

RUJUKAN

The Nation. “Wild elephant bulldozes his way into house in Hua Hin” Diterbitkan pada 20 Jun 2021.

Kosmo! “Gajah ‘ketuk’ dapur rumah setiap hari cari makan” Diterbitkan pada 21 Jun 2021

Bangkok Post. “Elephant in the room: Hua Hin family gets repeat mammoth visitor” Diterbitkan pada 22 Jun 2021.

Sinar Harian. “Gajah Nakal Jenguk Dapur, Pecah Dinding Untuk ‘Curi’ Beras” Diterbitkan pada 22 Jun 2021.

Harian Metro. “Gajah 'jenguk' dapur cari makanan” Diterbitkan pada 22 Jun 2021.

Yahoo News AFP. “Elephant in the room: Thai family gets repeat mammoth visitor” Diterbitkan pada 22 Jun 2021.

France24. “Elephant in the room: Thai family gets repeat mammoth visitor” Diterbitkan pada 22 Jun 2021.

The Straits Time. “Elephant in the room: Thai family gets repeat mammoth visitor” Diterbitkan pada 22 Jun 2021.

Facebook Kittichai Boodchan

Facebook Rachadawan Phungprasopporn

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.