Suntikan Vaksin Covid-19 Tidak Ubah Perwatakan Manusia Menjadi Gay Atau Homoseksual

24/08/2021 11:48 AM

Benarkah...

Suntikan Vaksin Covid-19 boleh mengubah hormon dan perwatakan manusia menjadi gay/ homoseksual.

Sumber : Facebook/Twitter/Feb 2021

Hasil

Suntikan vaksin Covid-19 bertujuan meningkatkan antibodi badan dan tidak mengubah perwatakan manusia menjadi gay atau homoseksual

Penyelidik : Mazani CYS

SEKILAS FAKTA

  1. Suntikan vaksin Covid-19 bertujuan meningkatkan antibodi badan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dan tiada bukti kukuh mengaitkan suntikan vaksin berkenaan boleh meragut nyawa manusia atau mengubah perwatakan asal seseorang individu.
  2. Malaysia membeli vaksin daripada lima pembekal berbeza iaitu vaksin mNRA dari Amerika Syarikat, Astra Zeneca (United Kingdom), Sinovac dan Can Sino Bio (China) dan Sputnik V dari Rusia.
  3. Penerima vaksin Covid-19 kebiasaannya mengalami beberapa kesan sampingan selepas suntikan seperti sakit di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, muntah, loya, sakit di sendi dan sengal-sengal di badan.

(Nota: Artikel ini mengandungi maklumat mengenai isu yang tular pada bulan JANUARI dan FEBRUARI 2021. Ia tetap disiarkan di MyCheck dengan tujuan agar dapat dijadikan rujukan warga masyarakat.)

 


Kiri: Rabbi Daniel Asor/sumber:Google Images | Kanan: Ayatollah Abbas Tabrizian/Sumber:radiofarda.com

LATAR BELAKANG

Vaksin Covid-19 mula digunakan secara meluas susulan penularan pandemik Covid-19 yang bermula dari Wuhan, China pada Disember 2019.

Kerajaan telah memperkenalkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Feb lalu di Putrajaya bagi menggalakkan penduduk di negara ini mengambil vaksin Covid-19.

Barisan petugas hadapan termasuk doktor, jururawat, anggota polis dan anggota tentera diberi keutamaan sewaktu pengenalan PICK memandangkan mereka merupakan golongan berisiko tinggi kerana bertugas sepanjang masa sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV),  sehingga 23 Ogos 2021 seramai 20,990,390 telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Daripada jumlah ini 18,258,947 individu telah menerima suntikan dos pertama.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial baru-baru ini yang mendakwa suntikan vaksin Covid-19 mampu mengubah perwatakan manusia menjadi seorang gay atau homoseksual.

Dakwaan yang dibuat oleh seorang ulama dari Iran iaitu Ayatollah Abbas Tabrizian kepada hampir 210,000 pengikutnya di platform media sosial, Telegram itu dilaporkan mendapat kritikan meluas daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang negara berkenaan.

Dakwaan berkenaan berbunyi seperti  ini:

“Jangan mendekati mereka yang telah menerima vaksin COVID. Mereka telah menjadi homoseksual,”

- Laporan Arab News -


Sumber: arabnews.com

Ayatollah yang merupakan seorang penentang perubatan moden sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila menasihati pengikutnya untuk merendam bulu kapas dengan minyak dan memasukkannya ke bahagian dubur sebagai cara melindungi diri dari Covid-19.

Tahun lalu pula, sebuah video tular twitter yang menyaksikan Ayatollah yang digelar Bapa Perubatan Islam mengarahkan pengikutnya supaya membakar salinan Manual Perubatan Harrison kerana mendakwa buku berkenaan tidak relevan dengan perubatan Islam.

 


Sumber: israelhayom.com/


Terdahulu,seorang rabi atau pemimpin agama Yahudi dari mazhab ultra-ortodoks Israel iaitu Rabbi Daniel Asor pernah mengeluarkan kenyataan sama yang diterbitkan oleh Israel Hayom yang mendakwa suntikan vaksin Covid-19 mampu mengubah perwatakan manusia menjadi seorang gay atau homoseksual.

Beliau dilaporkan telah berpesan kepada orang ramai untuk tidak menggunakan vaksin bagi mencegah Covid-19 kerana mendakwa vaksin berkenaan boleh menjadikan seseorang individu itu menjadi gay.

Selain mengaitkan hubungan palsu antara vaksin dengan homoseksual, Asor juga mengeluarkan pelbagai teori palsu termasuk virus Covid-19 antara lain merupakan ciptaan pemerintah jahat global yang terdiri daripada Freemason, Illuminati serta pengasas bersama Microsoft Bill Gates yang bertujuan mewujudkan pemerintahan dunia baharu.

Asor turut memberi gelaran “Organisasi Jenayah” kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta dua pengeluar vaksin Covid-19 iaitu Pfizer dan Moderna kerana cuba menyesatkan pemimpin ultra-Ortodoks Yahudi dengan memberikan pelbagai maklumat palsu berhubung manfaat suntikan vaksin Covid-19.

Dakwaan yang dibuat oleh Daniel itu telah dilaporkan dalam beberapa portal media antarabangsa termasuk Saudi24news.com, news18.com, Independent United Kingdom, Star Observer Australia, Times Now News India, Baltimoreoutloud, Jerusalem Post dan Metroweekly.com.

Kenyataan tidak berasas yang dikeluarkan oleh dua individu berkenaan berhubung vaksin Covid-19 bukanlah perkara baharu memandangkan pihak MyCheck pernah mengeluarkan laporan penafian mengenai vaksin berkenaan yang boleh dilayari di laman sesawang MyCheck seperti berikut; TIADA Mikrocip Pengawal Pemikiran Manusia Dalam Vaksin Covid-19 dan Vaksin Covid-19 TIDAK ubah DNA manusia.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pihak MyCheck membuat carian mengenai dakwaan ditimbulkan oleh kedua-dua individu berkenaan samada di laman sosial atau internet, namun mendapati tiada bukti kukuh yang mengaitkan suntikan vaksin Covid-19 mampu mengubah perwatakan manusia menjadi seorang gay atau homoseksual.

Pengamal perubatan turut menafikan dakwaan berkenaan dan penafian tersebut dilaporkan beberapa media antarabangsa termasuk di Indonesia.

Antaranya adalah doktor di Rumah Sakit RSIA Bina Medika Bintaro di Kota Tangerang Selatan, Indonesia iaitu Dr. Sara Elise Wijono yang menegaskan suntikan vaksin Covid-19 bertujuan meningkatkan antibodi tubuh manusia, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dan tidak mengubah perwatakan seseorang manusia.

“Yang perlu diingat lagi, kekebalan tubuh tidak ada hubungan dan pengaruhnya ke preferensi seksual seseorang.Kedua hal ini sama sekali tidak berkaitan sehingga kabar tersebut dapat dipastikan sebagai hoaks,” jelas seperti dipetik sebagai berkata menerusi laman sesawang  klikdokter.com.

Penyemak fakta yang berpusat di Brazil, Aos Fatos juga telah menghasilkan satu laporan berkaitan perkara ini dan mengklasifikasikannya sebagai tidak benar. Artikel mereka menjawab secara khusus tuduhan yang mengatakan vaksin CoronaVac CoronaVac yang dihasilkan bersama oleh Sinovac dan Institut Butantan boleh mengubah struktur genetik manusia.

Aos Fatos adalah penyemak fakta berintegriti tinggi dan merupakan salah satu Signatory kepada International Fact Checking Network Code of Principles, badan yang memelihara kualiti penyemak fakta dari seluruh dunia.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan yang dibuat oleh Ayatollah dan Daniel adalah tidak benar memandangkan tiada kajian saintifik atau bukti kukuh yang mendakwa bahawa suntikan vaksin Covid-19 mengubah perwatakan seseorang manusia menjadi gay atau homoseksual.

Suntikan vaksin Covid-19 yang dibuktikan secara klinikal telah membantu mengurangkan meningkatkan antibodi badan, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan pandemik berkenaan kepada tubuh badan manusia.

Walaupun suntikan vaksin Covid-19 tidak mampu menghapuskan virus berkenaan sepenuhnya, namun kita harus percaya perubatan moden pada masa kini telah banyak membantu manusia daripada ditimpa pelbagai penyakit berbahaya.

Kita tidak perlu terlalu taksub dengan dakyah dan dakwaan tidak berasas dibuat oleh segelintir pihak yang bertujuan mencari populariti masing-masing serta yakin dengan kajian yang dibuat oleh pengamal perubatan di seluruh dunia dalam mencari penawar kepada virus berkenaan. 

Tidak salah bagi kita sebagai pengguna untuk menerima segala maklumat yang kita perolehi di laman sosial namun kita harus berfikir dengan akal waras dengan segelintir dakwaan yang boleh mempengaruhi individu lain untuk melakukan tindakan berkenaan. 

--MYCHECKMY--

 

RUJUKAN:

  1. Popular rabbi warns followers COVID vaccine 'could make you gay'.Published by Israel Hayom on Jan 11 2021.

  2. Being jabbed with COVID-19 vaccine makes you gay? An Iranian cleric thinks so.Published by Arab News on Feb 8 2021.

  3. Medfact: Vaksin COVID-19 Bisa Bikin Jadi Gay?Diterbitkan oleh klikdokter.com pada 11 Feb 2021.

  4. A strict rabbi: Corona vaccination may convert a person to gay.Published by  Saudi24 News on Jan 17 2021.

  5. Israel's Ultra Orthodox Rabbi Says Covid-19 Vaccine Will Turn People Gay.Published by news18.com on Jan 18 2021.

  6. Ultra-Orthodox rabbi tells followers Covid vaccine ‘can turn people gay’.Published by The Independent UK on  Jan 17 2021.

  7. RABBI CLAIMS COVID-19 VACCINE CAN MAKE PEOPLE GAY.Published by Star Observer Australia on Jan 14 2021.

  8. Bizarre: Ultra-Orthodox rabbi in Israel believes that COVID-19 vaccine will turn people gay.Published by Times Now News on Jan 18 2021.

  9. ISRAELI RABBI SUGGEST COVID VACCINE MIGHT MAKE YOU GAY.Published by Baltimoreoutloud.

  10. Rabbi asserts that coronavirus vaccines can 'turn' people into homosexuals.Published by Jerusalem Post on Jan 16 2021.

  11. Orthodox Rabbi claims Covid-19 vaccine can make people gay.Published by Metroweekly.com on Jan 12 2021.

  12. https://www.aosfatos.org/ 

  13. https://www.aosfatos.org/noticias/e-falso-que-coronavac-pode-alterar-codigo-genetico-e-causar-homossexualismo/ 

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.