+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minum Peluntur Peluntur TIDAK BOLEH Cegah Covid-19.

Benarkah...

Meminum cecair peluntur dapat mencegah atau merawat Covid-19.

Sumber : Twitter, Facebook, WhatsApp / April 2020 - Jun 2021

Hasil

Meminum cecair peluntur boleh membahayakan anggota badan serta menyebabkan kerengsaan pada tekak, pendarahan dalam perut atau menyebabkan kematian.

03/09/2021 03:22 PM

SEKILAS FAKTA

  • Semburan alkohol atau klorin terhadap badan tidak akan membunuh virus yang sudah memasuki ke dalam badan, sebaliknya ia akan menyebabkan keracunan.

  • Tindakan sebegini boleh membahayakan anggota badan serta menyebabkan kerengsaan pada tekak, pendarahan dalam perut atau menyebabkan kematian.

  • Cecair peluntur hanya boleh digunakan pada permukaan sahaja seperti meja atau lantai.

 


Sumber: Twitter @exploreasyraf

 

LATAR BELAKANG

Setelah lebih setahun negara berperang melawan pandemik Covid-19 dan program vaksin pun masih dalam peringkat pelaksanaan, terdapat individu terutama warga emas yang ‘degil’ dan lebih percayakan akan ‘kuasa’ media sosial atau perubatan tradisional berbanding nasihat pihak berwajib.

Stigma warga emas terhadap vaksin yang berpunca daripada momokan palsu mengenainya adalah antara sebab masih ramai golongan itu belum mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ataupun tidak hadir selepas mendapat janji temu.

Segelintir daripada mereka takut mati selepas disuntik, manakala yang lain percaya ada cara lain untuk menghapuskan virus Covid-19 tanpa menggunakan vaksin. 

Contohnya seperti memakan bawang putih, pisang, minum air suam setiap 15 minit serta memakan pil vitamin C.

Lebih memeranjatkan, apabila ada di kalangan mereka menggunakan cara seperti menghidu wap bunga cengkih dan baru-baru ini tersebarnya kembali video di mana mereka mencampurkan minuman bersama cecair peluntur kononnya untuk mematikan atau membendung penularan Covid-19.

Walaupun dakwaan sebegini telah dinafikan berkali-kali pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pakar perubatan tempatan (dan antarabangsa) mengapa masih ada warga masyarakat kita masih percaya hal sedemikian?


MENGENAI DAKWAAN

Seorang pemilik akaun Twitter Asyraf HighTech @exploreasyraf telah berkongsikan satu video beserta kapsyen “Please tell me its fake.” (Katakan kepada saya bahawa ia palsu) yang telah menjadi sohor (trending) pada Jun 2021.  

Video tersebut memaparkan seorang individu warga emas menunjukkan demonstrasi meminum air yang diletakkan cecair peluntur jenama Clorox tular di media sosial. Apa yang mengejutkan, tindakan lelaki itu bertujuan untuk membunuh virus Covid-19.

Menerusi video berdurasi 1 minit 16 saat itu, lelaki tersebut menyediakan satu air berkarbonat dan satu lagi minuman teh tarik serta memberitahu rakan-rakannya kandungan peluntur boleh membunuh racun di dalam badan jika diminum.

Pada mulanya lelaki itu menuang satu penutup cecair peluntur ke dalam cawan plastik lutsinar mengandungi air berkarbonat sebelum mengacaunya.

Kelihatan air berwarna merah itu bertukar menjadi jernih selepas dimasukkan cecair peluntur sebelum dia memasukkan satu penutup lagi cecair peluntur itu ke dalam gelas berisi air teh tarik itu.

Tambah mengejutkan lelaki itu bukan sahaja menunjukkan demonstrasi kesan peluntur, malah turut meminum air berkenaan sambil diperhatikan rakan-rakannya.

Berdasarkan gaya percakapan lelaki itu berkemungkinan beliau berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.

Sehingga kini, video berkenaan telah ditonton lebih 750,000 kali serta diulang kicau (retweet) lebih 12,000 kali sehingga berita ini ditulis. (11 am 9/6/2021)

 


Sumber: Twitter @exploreasyraf

 

APA YANG KAMI TEMUI 

MyCheck telah membuat carian imej berbalik terhadap salah satu tangkap layar dari video itu dengan bantuan perisian ‘InVID’. Kami dapati video tersebut sudah lama tersebar melalui aplikasi WhatsApp namun ia kembali tular selepas dimuat naik di pelbagai saluran media sosial baru-baru ini.

Carian lanjut menemukan sebuah portal hiburan Era Kini, pernah menyiarkan berita tersebut pada Disember 2020. Anda boleh baca di sini.

 


Sumber: Portal Era Kini

 

Kisah Peluntur Di Amerika

Melalui carian Google dengan kata kunci ‘cecair peluntur’, terdapat beberapa artikel berita kes keracunan kesan penggunaan cecair peluntur samada di Malaysia mahupun dilaporkan oleh media antarabangsa. Anda boleh baca berita di sini , di sini , di sini , di sini dan di sini.

Kaedah meminum bahan peluntur ini bukanlah suatu perkara baharu kerana sebelum ini telah tersebar di beberapa negara. Ada yang menemui ajal dan ada juga yang dikejarkan ke hospital disebabkan oleh ‘ajaran sesat’ ini. 

Malah bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa awal pandemik melanda di negara Uncle Sam itu pernah memeranjatkan orang ramai seluruh dunia apabila beliau mencadangkan agar bahan pembasmi kuman disuntik ke dalam tubuh manusia demi membunuh virus Covid-19. Anda boleh baca berita itu yang disiarkan oleh akhbar terkemuka The New York Times.

Disebabkan saranan itulah, Pusat Kawalan dan Pencegahan Jangkitan Penyakit (Centers for Disease Control and Prevention, CDC) Amerika Syarikat mengesahkan berlaku peningkatan kes keracunan bahan peluntur di kalangan rakyat negara itu. Anda boleh baca berita itu di USNews.

Meskipun bahan sebegitu berguna untuk membasmi kuman dan virus seperti Covid-19, ia boleh membawa padah kepada tubuh badan manusia. 

 

Apa Jadi Pada Warga Emas itu?

Perkara ini sebenarnya telah dibangkitkan oleh satu akaun Facebook Public Health Malaysia (PHM) pada tahun lepas akan bahaya minum cecair peluntur yang disahkan hanyalah mitos untuk mencegah virus tersebut. PHM turut menyenaraikan kesan bahaya terdedah atau terminum Hidrogen Hypochlorite. 

Jelas PHM, terdapat kes keracunan melibatkan cecair mengandungi Hidrogen Hypochlorite yang sengaja diminum akibat kepercayaan bahawa ia dapat mencegah lelaki dalam video itu daripada dijangkiti Covid-19. 

Dalam kes itu, Hidrogen Hypochlorite yang dicairkan, telah diminum selama lima hari berturut-turut. Akibatnya beliau mengalami kerengsaan pada tekak. 

Hidrogen Hypochlorite adalah salah satu disinfektan yang digunakan untuk membasmi kuman dan virus di permukaan terutamanya permukaan barang atau kawasan yang sering disentuh pada kadar pencairan dan kaedah yang ditetapkan. Akan tetapi ia tidak boleh digunakan dengan cara meminum atau menyembur secara terus kepada manusia.

 

Komen Pakar Perubatan

Selain menerima kritikan daripada netizen yang rata-ratanya marah dengan tindakan bodoh warga emas itu, klip video tersebut turut mendapat perhatian pengasas laman sosial perubatan tempatan, MEDTweetMY, Dr Khairul Hafidz di laman Twitternya yang menasihati masyarakat supaya tidak meniru perbuatan tersebut.

“Tuan, puan, adik, kakak, abang, pak cik, mak cik, datuk, datin, saya ingin menekankan dengan serius peluntur tidak akan boleh merawat Covid-19. Nanti yang minum peluntur yang akan dirawat akibat kesan sampingan,” tulisnya di laman Twitter beliau bagi membalas hantaran Asyraf HighTech.

 


Sumber: Twitter @khairul_hafidz

 

Manakala pakar kimia Dr Che Puteh Osman di laman Twitternya turut membalas hantaran yang tular itu dengan menyatakan peluntur mengandungi hidrogen peroksida atau sodium hypochlorite yang boleh mengakis tisu pada saluran esofagus dan saluran penghadaman. 

Memetik kenyataan pensyarah kanan dan penyelidik dalam bidang kajian kimia hasilan semulajadi itu, Sodium Hypochlorite misalannya, bertindak dengan memusnahkan dinding sel hidup. Sebab itu ia berkesan sebagai disinfectant. 

Selain menerangkan akan bahayanya bahan itu jika menggunanya secara salah , beliau turut memberitahu pernah menulis artikel cecair peluntur pada 2019, iaitu sebelum berlakunya penularan virus Covid-19. Anda boleh bacanya di sini.

 


Sumber: Twitter @drcheputeh

 

Ekspresi Netizen

Rata-rata netizen yang terkejut dengan video tersebut turut mengecam individu berkenaan yang dilihat menyebarkan maklumat palsu kerana dikhuatiri infonya akan dipercayai oleh sesetengah orang.

 


Sumber: Twitter

 

Malah, ada juga yang berpendapat warga emas itu sebenarnya tidak menuang cecair berkenaan ke dalam air kopi tersebut sebaliknya beliau hanya menuangnya di atas meja.

 

Usah Sebarkan Mitos Ini

Memberi kesedaran dan pendidikan vaksin Covid-19 terutama kepada mereka yang bergelar warga emas tidak mudah. Lemah lembut, pujukan dan penyampaian yang berkesan amat penting untuk meyakinkan golongan ini untuk bersetuju divaksinasi.

Nasihat kami, hentikanlah penyebaran bahan berita yang tidak benar hingga kerana ia boleh membahayakan nyawa orang lain terutama golongan warga emas yang mudah terpengaruh dengan kandungan media sosial. Sayangi keluarga, sayangi diri.

 -- MYCHECK.MY

 

RUJUKAN

The New York Times. “Trump’s Suggestion That Disinfectants Could Be Used to Treat Coronavirus Prompts Aggressive Pushback” Diterbitkan pada 25 April 2020.

USNews. “CDC: Some People Did Take Bleach to Protect From Coronavirus” Diterbitkan pada 5 Jun 2020.

Berita Harian. “Waspada 93 peratus kes keracunan berlaku di rumah” Diterbitkan pada 11 Jun 2019.

Mstar. “Pelanggan dedah 'rasa nak putus nyawa' selepas minum kopi campur peluntur” Diterbitkan pada 10 Ogos 2018.

Mstar. “Mood rajin nak sental bilik air bertukar ‘tragedi’... mata pedih, muntah sampai sesak nafas dalam masa 5 minit- “Simbah peluntur sikit je” Diterbitkan pada 21 Oktober 2020.

Era Kini. “Tular seorang lelaki ini minum peluntur untuk mencegah Covid-19” Diterbitkan pada 23 Disember 2020. 

Twitter Asyraf High Tech

Twitter Dr Che Puteh Osman

Twitter Khairul Hafidz

Facebook Public Health Malaysia

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.