+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Sebenarnya Ada DUA KES Remaja Rebah di PPV Encore, Melaka Adalah Kerana Terlalu Gementar dan Menyebabkan Berlakunya ‘Vasovagal Attack’ (pengsan)

Benarkah...

Tersebar mesej mengatakan terdapat remaja rebah di PPV Encore, Melaka kesan daripada vaksin COVID-19.

Sumber : Facebook/ September 2021 

Hasil

Terdapat dua kes berasingan pada hari sama dan ia bukan disebabkan oleh kesan vaksin COVID-19

27/01/2022 05:53 PM

SEKILAS FAKTA

  •  Terdapat dua kes berasingan yang berlaku pada hari yang sama 
  • Satu remaja jatuh disebabkan tidak bersarapan pagi manakala seorang lagi adalah disebabkan “vasovagal attack” (pengsan).

 


Sumber: Free Malaysia Today (https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/30/remaja-hampir-pitam-bukan-sebab-vaksin-tetapi-kerana-tak-sarapan/)
 

 

LATAR BELAKANG

Pemberian vaksin COVID-19 kepada remaja berumur 12 sehingga 17 tahun di Malaysia mula diberikan pada akhir bulan September lepas. 

Pemberian vaksin ini diberikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Integrasi di seluruh negara dengan menggunakan kaedah jumpa terus (walk-in) berjadual. 

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video seorang remaja dikatakan rebah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Kelebang, Melaka dikatakan kerana kesan suntikan vaksin COVID-19. 

Tidak lama selepas itu, timbul pula desas desus mengatakan remaja berkenaan tidak mengambil sarapan pagi sebelum mendapatkan suntikan vaksin. Ia juga ditulis dalam laporan berita seperti “Remaja hampir pitam sebab tak sarapan”, “Remaja hampir pitam bukan sebab vaksin, tetapi kerana tak sarapan” dan Longlai selepas disuntik vaksin... rupa-rupanya pelajar ini tidur lewat malam, tak sarapan.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

PENJELASAN DARI KKM

MyCheck mendapati Kementerian Kesihatan (KKM) telah memuat naik hantaran Facebook berkenaan dakwaan tersebut. 

Hantaran yang disertakan bersama kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka tersebut menyatakan bahawa terdapat kekeliruan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak mereka sebelum ini. 

JKN Melaka menjelaskan bahawa terdapat dua kejadian yang hampir sama berlaku di PPV yang sama dan pada hari yang sama.


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
 

 

Kes Pertama

Kes pertama iaitu kes di dalam video yang tular (bermaksud ada video), adalah melibatkan seorang remaja berumur 13 tahun dari sebuah sekolah menengah di Melaka. 

Remaja tersebut mempunyai janji temu di PPV Encore pada 30 September 2021 dan tiba di PPV bersama keluarga pada jam 11:43 pagi, menerima suntikan vaksin pada jam 12.01 tengah hari dan selesai pemerhatian pada jam 12.20 tengah hari.

KKM menjelaskan semasa proses vaksinasi, remaja tersebut sangat gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian. 

Namun begitu selepas selesai sesi pemerhatian, dan dalam perjalan ke kawasan parkir kenderaan, remaja tersebut secara tiba-tiba lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Pemeriksaan Pegawai Perubatan bertugas mendapati keadaan remaja tersebut adalah stabil dengan vital signs (tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah) adalah normal. 

Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang. 

KKM turut membuat panggilan telefon susulan kepada keluarga selepas itu mendapati remaja tersebut sihat dan aktif seperti sedia kala.

KKM juga mendapati remaja tersebut tidur awal sebelum hari kejadian, telah mengambil sarapan pagi dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau alahan sebelum ini.

Menurut KKM, kejadian tersebut disebabkan remaja tersebut terlalu gementar dan menyebabkan beliau mengalami “vasovagal attack” (pengsan).

Oleh itu, MyCheck menegaskan disini bahawa remaja dalam video yang tular sebelum ini telah mengambil sarapan pagi bukan seperti dakwaan sebelum ini. 

Ibu remaja berkenaan juga turut mengatakan perkara yang sama seperti dalam  laporan  berita “Dah Sarapan 2 Bungkus Nasi Lemak Sebelum Cucuk Vaksin, Wanita Mohon Henti Sebar Video Anak Pitam” dan 'Tolong hentikan cerita bukan-bukan pasal anak saya'. 

 

Kes Kedua 

Selanjutnya, kes kedua pula melibatkan seorang remaja berumur 12 tahun dari sebuah sekolah rendah di Melaka yang hadir secara walk-in bersama keluarga ke PPV Integrasi Encore, Klebang pada hari yang sama, 30 September 2021. 

Remaja kedua tersebut tiba di PPV Encore pada jam 12.20 tengah hari dan telah diberikan vaksinasi pada jam 12.49 tengah hari. 

Semasa proses vaksinasi, remaja tersebut juga dilihat gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan sepanjang proses vaksinasi dan tempoh pemerhatian.

KKM memaklumkan setelah keluar dari bangunan PPV, remaja tersebut mengadu sakit kepala dan kemudian lemah sebelum dibawa masuk semula ke PPV. 

Pemeriksaan Pegawai Perubatan bertugas mendapati keadaan remaja tersebut juga stabil dengan vital signs yang normal. 

Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang. Panggilan telefon susulan kepada keluarga selepas itu mendapati remaja tersebut sihat dan aktif seperti sedia kala.

Menurut KKM, hasil siasatan lanjut mendapati remaja ini telah tidur lewat iaitu pada jam 2 pagi dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi hari vaksinasi tersebut. 

Remaja tersebut tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang sejarah alahan sebelum ini. 

KKM mengesahkan kejadian ini berlaku disebabkan gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi.

Oleh itu, yang tidak mengambil sarapan pagi adalah remaja kedua yang mana tiada video dirakam dan ditularkan. Jelas ya?

 

KESIMPULAN

Ya, memang terdapat remaja rebah di PPV Encore, Klebang, Melaka namun ia bukanlah kesan daripada suntikan vaksin COVID-19 dan bukan juga kerana remaja berkenaan tidak mengambil sarapan pagi. 

MyCheck ulang sekali lagi, kejadian ini adalah melibatkan dua kes yang berbeza tetapi berlaku pada hari yang sama. Jelas ya?

--MYCHECK.MY--

RUJUKAN

1. myMetro “Remaja hampir pitam sebab tak sarapan” diterbitkan pada 30 September 2021

2. FMT “Remaja hampir pitam bukan sebab vaksin, tetapi kerana tak sarapan” diterbitkan pada 30 September 2021

3. mStar “Longlai selepas disuntik vaksin... rupa-rupanya pelajar ini tidur lewat malam, tak sarapan” diterbitkan pada 30 September 2021

4. myMetro 'Tolong hentikan cerita bukan-bukan pasal anak saya'   

5. Oh Bulan “Dah Sarapan 2 Bungkus Nasi Lemak Sebelum Cucuk Vaksin, Wanita Mohon Henti Sebar Video Anak Pitam” diterbitkan pada 1 Oktober 2021

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.