+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Papan Tanda 99 Speedmart Tidak Pancarkan Gelombang 5G

Benarkah...

Papan tanda 99 Speedmart mempunyai antena yang memancarkan gelombang 5G

Sumber : Facebook /Sept 2021

Hasil

Hanya komponen elektronik dipasang dalam papan tanda dan perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa tempatan

08/12/2021 12:21 PM

SEKILAS FAKTA

  • Projek Demonstrasi 5G Malaysia telah diadakan di Pulau Langkawi pada Januari 2020.
  • Sebahagian besar negara ASEAN seperti Thailand dan Singapura berada di hadapan berbanding Malaysia dari segi keluasan liputan 5G di negara masing-masing.
  • Kedai serbaneka tempatan, 99 Speedmart asalnya merupakan sebuah kedai runcit tradisional dikenali sebagai Pasar Raya Hiap Hoe yang dibuka pada 1987.
  • 99 Speedmart diasaskan oleh seorang lelaki Orang Kurang Upaya, Lee Thiam Wah yang telah berjaya membuka cawangan pertama luar negara di Singapura pada 14 Disember 2019.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Gelombang 5G merupakan teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima (5G) dan ia merupakan lanjutan daripada generasi terdahulu - 1G sehingga 4G.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi laman sesawangnya mendedahkan pengenalan teknologi 5G pula mempunyai keupayaan untuk mengubah fungsi teknologi mudah alih yang lebih baik kepada masyarakat.

Sebelum ini penggunaan teknologi 1G dan 2G diwujudkan bagi tujuan menyampaikan perkhidmatan suara, 3G (sambungan data mudah alih) sebelum teknologi 4G mengambil tempat dan dibangunkan untuk Internet mudah alih.

Berdasarkan demonstrasi yang dilakukan TM di Langkawi tahun lepas, kelajuan 5G yang boleh dicapai mencecah 1.5GB sesaat, sekali gus memberikan pengalaman Internet berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding teknologi 4G dengan sambungan mudah alih yang lebih berkualiti.

Pengenalan teknologi 5G turut menyaksikan kadar lengahan (latency rate) berubah daripada sekitar 20 milisaat kepada sekitar 1 milisaat, sekali gus membolehkan kawalan peranti pada jarak jauh menjadi lebih cekap dan jitu.

Teknologi 5G juga dikatakan mampu menghubungkan sejuta peranti pada keluasan satu kilometer persegi berbanding teknologi LTE yang hanya mampu menghubungkan 1,000 peranti dalam keluasan sama.

Kecekapan sambungan Internet mudah alih menerusi 5G menjadikan kadar penggunaan tenaga lebih rendah pada peranti, seterusnya menjimatkan penggunaan bateri dan peranti boleh tahan lebih lama.


Sejarah penubuhan 99 Speedmart

99 Speedmart diasaskan oleh Lee Thiam Wah di tepi Sungai Klang pada 1987 dan ia asalnya merupakan sebuah kedai runcit biasa.

Beliau yang dilahirkan pada 1964 terpaksa menggunakan kerusi roda selepas menghidap polio dan lumpuh di bahagian kaki ketika berusia lapan bulan. 

Bapanya yang merupakan pekerja binaan manakala ibunya seorang penjaja tidak mampu membiayai pengajian Thiam Wah yang hanya bersekolah selama enam tahun.

Kemiskinan ibu bapanya dalam membesarkan 11 adik beradiknya telah mendorong Thiam Wah untuk mengubah hidup sehingga berjaya membuka sebuah kedai runcit biasa dikenali sebagai Pasar Raya Hiap Hoe dengan menggunakan wang simpanan peribadi sebanyak RM17,000 ketika berumur 23 tahun.

Daripada sebuah kedai runcit biasa, ia terus berkembang dan kedai pertama yang menggunakan nama pertama ’99’ dibuka pada 1992 di Klang Utama iaitu Pasar Mini 99.

Selaras dengan populariti yang dimiliki Pasar Mini 99, Thiam Wah mengambil keputusan menjenamakan semula kedai runcit itu kepada 99 Speedmart di Batu Belah, Klang pada 2000 dengan sasaran untuk menambah lebih banyak cawangan pada masa akan datang.

Sehingga kini, 99 Speedmart mempunyai lebih 1,000 cawangan di Semenanjung Malaysia selain tiga pusat pengedaran barangan runcit.



Sumber: Telekom Malaysia

 

DAKWAAN

Seorang individu bernama Remy mendakwa papan tanda kedai runcit 99 Speedmart mempunyai antena yang mampu memancarkan gelombang 5G menerusi laman Facebook.

Dakwaan berkenaan telah dikongsi oleh beberapa pengguna Facebook seperti Bob Faisal II dan Azuan Ahmad



Sumber: Facebook

 

Dakwaan yang dibuat oleh Remy itu turut dikongsi beberapa pengguna twitter seperti @naimalkalantani, @Mulut_Cabai dan @fazlihalimmedia dengan kenyataan yang kami anggap sinis.

 


Sumber: twitter


APA YANG KAMI TEMUI

Saiz papan tanda premis perniagaan yang sesuai

Menurut laman sesawang Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saiz papan tanda jenis melintang yang dibenarkan perlu mengikut saiz kelebaran unit premis dengan ketinggian maksimum empat kaki.

Saiz papan tanda jenis mengunjur perlu mengikut kesesuaian reka bentuk bangunan dan perlu harmoni dengan papan tanda melintang, manakala kain rentang tidak dibenarkan dijadikan papan tanda premis perniagaan secara kekal.

Sebuah blog pakcikengineer.com mendedahkan pemancar telekomunikasi diletakkan di tempat yang tinggi untuk memberi liputan dengan secukupnya dan kebiasaannya diletakkan pada sebuah menara yang dikenali sebagai menara pemancar telekomunikasi.

Sehubungan itu dakwaan yang mengatakan antena 5G boleh dimasukkan dalam papan tanda 99 Speedmart adalah tidak benar kerana perbezaan saiz yang ketara.

 

Pelbagai teori konspirasi disebarkan mengenai keburukan teknologi 5G

Pengenalan teknologi 5G sejak 2019 menyaksikan pelbagai teori dan dakwaan palsu ditularkan segelintir individu termasuk beberapa selebriti luar negara yang mendakwa teknologi berkenaan lebih banyak membawa kemudaratan kepada kehidupan seharian manusia.

Kebanyakan maklumat yang bertebaran di Internet mendakwa keburukan teknologi 5G termasuk yang disebarkan oleh seorang pengguna Facebook bernama Ben Mackie yang mendedahkan teknologi 5G lebih berbahaya daripada virus Covid-19 dan ia boleh membunuh manusia.

Mackie turut mendakwa bahawa virus berkenaan dicipta sendiri oleh manusia bertujuan mengurangkan populasi kehidupan manusia dari muka bumi.

Menurutnya, China telah membina lebih 100,000 menara 5G dan penduduk di Wuhan yang merupakan lokasi asal penyebaran virus berkenaan telah terkesan dengan pembinaan menara itu.

Hasil carian MyCheck mendapati posting berkenaan telah dipadam dari laman Facebook Mackie namun masih wujud di beberapa laman sesawang termasuk knowyourmeme.

 


Sumber: knowyourmeme.com

 

Sebelum posting Mackie menjadi tular, terdapat satu kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh sebuah laman sesawang konspirasi teori dikenali rumormillnews.com yang mendakwa liputan 5G bermula di Wuhan, China dan kehadirannya telah menjejaskan tubuh badan manusia.

Selain Mackie, seorang tukang tilik terkemuka Indonesia, Denny Darko turut membuat dakwaan sama dan mengaitkan kepantasan teknologi 5G mampu memusnahkan kehidupan manusia dan meminta mereka bersedia apabila teknologi berkenaan dilancarkan di Indonesia.

"Betul sekali, 5G, ini akan lebih menyengsarakan banyak orang lebih dari Covid-19. 5G itu seratus kali lipat lebih cepat dibandingkan 4G.

"Sekarang sudah sama takutnya dengan Covid-19 bukan? Karena ini (5G) lebih sadis lagi, ini akan mengambil semua yang kita miliki jika kita tidak beradaptasi," jelas Denny dalam laman YouTube berkenaan.

Dakwaan berkenaan dikeluarkan oleh Denny pada 5 Jun lepas menerusi laman Youtube dan sehingga berita ini ditulis, ia telah meraih tontonan melebihi 89,000 pengguna.

 

Pengaruh Selebriti

Pengaruh besar yang dimiliki oleh beberapa artis Hollywood menyaksikan ramai peminat mereka percaya bahawa teknologi 5G mempunyai kaitan dengan penyebaran virus Covid-19.

Penyanyi genre R&B terkemuka dari Amerika Syarikat, Keri Hilson menerusi catatan di laman twitternya pada 15 Mac 2020 mengaitkan frenkuensi 5G yang kononnya berasal dari China menjadi punca penyebaran Covid-19 yang meragut banyak nyawa manusia.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengikutnya di laman twitter supaya tidak mengaktifkan frekuensi 5G di telefon bimbit masing-masing kononnya bagi mengurangkan kesan radiasi 5G kepada orang awam. 

Kenyataan tersebut bagaimanapun telah dipadam oleh penyanyi yang mempunyai seramai 4.2 juta pengikut di laman twitter itu selepas mendapat kecaman daripada orang ramai.



Sumber: perma.cc

 

Dakwaan frekuensi membahayakan kesihatan

Sebelum ini pelbagai pihak mendakwa kehadiran jaringan 5G bakal memberi impak negatif terutamanya kepada kesihatan manusia namun sebenarnya perkara berkenaan tidak benar.

Gelombang elektromagnetik yang dibawa teknologi mudah alih generasi kelima (5G) jauh lebih rendah jika digunakan dengan telefon bimbit dan tidak mendatangkan kemudaratan sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Perkara itu diakui Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang menyifatkan orang ramai tidak perlu bimbang dengan pandangan sesetengah pihak bahawa teknologi 5G boleh menjejaskan kesihatan seperti yang disebarkan di media sosial.

Memetik laporan yang disiarkan oleh Astro Awani Lee turut menegaskan pihak Kementerian Kesihatan sentiasa memantau perkara berkenaan.

Selain itu wujud beberapa dakwaan lain mengenai jaringan 5G seperti ia boleh menyebarkan virus Covid-19, mempunyai kuasa membunuh burung dan pelbagai lagi teori yang boleh disifatkan mengarut dan tidak masuk akal.

Laman semakan fakta nafi teori palsu mengenai teknologi 5G.

Persepsi negatif yang dilemparkan oleh pelbagai pihak bagaimanapun telah dinafikan oleh pelbagai laman semakan fakta yang menegaskan gelombang 5G tidak mempunyai kaitan dengan kesihatan manusia mahupun virus Covid-19.

Antaranya adalah Reuters, USA Today, India Today, fullfact.org selain Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang menafikan dakwaan bahawa teknologi 5G mempunyai kaitan dengan penyebaran virus Covid-19.


PANDANGAN PAKAR

Beberapa pakar menjelaskan tiada bukti kukuh bahawa gelombang 5G boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan manusia sebagaimana yang digembar-gemburkan segelintir pihak.

Pensyarah Sekolah Kejuruteraan Elektrik dalam bidang komunikasi tanpa wayar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Tharek Abdul Rahman yang dipetik menerusi laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pelbagai kajian yang telah dijalankan setakat ini mendapati pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (Radio Frequency Electromagnetic Field atau RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP).

Tharek turut mendedahkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong penggunaan teknologi 5G berpandukan kepada 25,000 artikel penyelidikan yang diterbitkan sepanjang tempoh 30 tahun lepas turut merumuskan, bukti-bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan kepada EMF berskala rendah.

Beliau berpandangan tanggapan orang awam bahawa masalah sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan disebabkan oleh pendedahan terhadap EMF berskala rendah adalah tidak tepat kerana tiada bukti-bukti saintifik yang dikaitkan dengan simptom-simptom tersebut.

Menurut Tharek yang juga salah seorang Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), EMF tergolong di bawah kategori non-ionizing radiation iaitu gelombang yang kuantumnya tidak cukup untuk memecahkan atau menganggu struktur sesuatu molekul berbanding ionizing radiation.

Pensyarah Chua Tien Han dari Pusat Komunikasi Wayarles Universiti Teknologi Mara Kuala Lumpur berkata ini kerana teknologi generasi kelima (5G) menggunakan spektrum elektromagnetik terendah dalam julat dari 3 kHz (kilohertz) hingga 300 GHz (GigaHertz). Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Beliau bagaimanapun berkata tahap prestasi mobile baharu dengan kelajuan ultra-tinggi dan latensi rendah melihat pada 26 GHz dan 28 GHz, yang kini muncul sebagai dua band paling penting dalam julat ini.

"Satu-satunya impak, saya fikir ialah kesan bahang. Namun kes thermal ini tidak ada kaitan dengan kanser atau karsinogenik," katanya di luar forum ‘Siri Digital Outlook 2019: Membentuk Landskap Digital’ yang diadakan bersempena pameran 5G Malaysia Showcase.


KESIMPULAN

Teknologi 5G membantu penyampaian maklumat dengan lebih berkesan dan pantas kepada rakyat selain memudahkan transaksi secara dalam talian yang semakin popular ketika ini.

Dakwaan mengatakan papan tanda mempunyai antena yang mampu memancarkan gelombang 5G adalah kenyataan palsu semata-mata kerana papan tanda elektronik terdiri daripada beberapa komponen dan tidak mempunyai sebarang antena manakala pemasangan pemancar 5G memerlukan kawasan yang luas.

Kita seharusnya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai maklumat tidak tepat yang bertebaran di laman sosial pada zaman moden ini dan seharusnya membuat kajian sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak munasabah.

Gunakan media sosial untuk menyebarkan pelbagai perkara positif kepada rakyat dengan sebaik mungkin dan tidak menulis atau berkongsi sebarang maklumat yang belum sahih.

--MYCHECKMY--

 

RUJUKAN

  1. Maklumat penting yang perlu anda tahu tentang teknologi 5G.Diterbitkan oleh MCMC pada 15 Jan 2020.

  2. 5G sudah tiba dan ini bisa lebih berbahaya daripada Covid-19.Dikeluarkan oleh Denny Darko pada 5 Jun 2021.

  3. Papan iklan elektronik & Electronic Signs.Diterbitkan oleh HTL Display.

  4. Benchmarking the 5G Experience — Asia Pacific — June 2021

  5. 5G coverage map worldwide

  6. Meet the celebrities pushing 5G coronavirus conspiracies to millions of fans

  7. The 5G Coronavirus Conspiracy Theory Is False — That’s Not Stopping Celebrities From Backing It







 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.