+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ismail Sabri TIDAK PERNAH Umum Individu Lengkap Vaksin Lahir di Terengganu Dibenarkan Kahwin Lagi Tanpa Persetujuan Isteri

Benarkah...

PM Ismail Sabri umum individu lengkap vaksin lahir di Terengganu dibenarkan kahwin lagi tanpa persetujuan isteri.

Sumber : WhatsApp / Oktober 2021

Hasil

Ia adalah parodi.

08/12/2021 05:03 PM

SEKILAS FAKTA

  • Ia adalah gambar parodi. Berita Harian tidak pernah terbitkan berita sedemikian.
  • PM Ismail Sabri hanya umum ‘Individu lengkap vaksin dibenar ke stadium’.
  • Dakwaan ini timbul ‘sempena’ keizinan rentas negeri bagi penerima vaksin lengkap dua dos.

 


Sumber: Whatsapp

 

LATAR BELAKANG

Kadar vaksinasi Covid-19 penduduk dewasa negara Malaysia mencapai angka 90 peratus, pada 10 Oktober 2021.

Ini seiring dengan pembukaan semula sempadan negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari yang sama.

Seramai 21,073,482 individu atau 90 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Kerajaan juga memasuki fasa baru Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mulai 20 September 2021 lalu menerusi program vaksinasi dos pertama remaja berusia 12 hingga 17 tahun seramai kira-kira 3.2 juta pelajar sekolah.

Program khusus itu menyasarkan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck Malaysia menerima satu artikel berita siaran Berita Harian menggunakan tajuk “Individu lengkap vaksin lahir di Terengganu dibenarkan kahwin lagi tanpa persetujuan isteri”, tular menerusi aplikasi WhatsApp pada awal Oktober 2020.

Artikel itu menggunakan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipercayai diambil sewaktu sidang media berlangsung.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck telah membuat beberapa carian imej berbalik di enjin carian Google terhadap gambar itu.

Banyak yang kami temui berkaitan gambar Ismail Sabri, namun gambar yang paling hampir adalah diambil dari Foto BERNAMA - sebuah agensi berita nasional Malaysia. 

Peranan BERNAMA adalah sebagai sumber berita nasional yang terkini dan amat dikenali di kalangan media tempatan dan asing, agensi-agensi kerajaan, swasta, universiti dan individu di negara ini. Kebanyakan akhbar dan media elektronik di Malaysia dan agensi-agensi berita asing ialah pelanggan-pelanggan BERNAMA.

 


Sumber: Bernama Images (images.bernama.com)

 

Anda boleh lihat foto yang telah diambil dan dikongsikan laman rasmi Kementerian Kewangan di sini yang berkaitan dengan pemberian Bantuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 3, hasil carian imej berbalik di Google.

Dengan menggunakan kata kunci ‘BPR Fasa 3’ ‘Ismail Sabri’ serta search operator ‘site:BHarian.com.my’ , kami menemui satu artikel dengan gambar yang digunakan hampir serupa namun postur berbeza. Anda boleh lihat di sini.

 


Sumber: Portal Berita Harian (bharian.com.my)

 

Jadi di sini kami yakin BH Online tidak menggunakan gambar diambil dari BERNAMA.

Kami teruskan usaha dengan memeriksa format gambar itu dan mendapati ia adalah untuk ‘instagram’. Kami telah membuat perbandingan dimana format gambar untuk akaun ‘instagram’ BH sememangnya ada menggunakan logo ‘BH Online’ di sebelah kanan atas manakala  di sebelah bawahnya adalah tulisan dengan berlatar belakangkan warna merah.

Lantaran itu, kami skrol setiap satu di Instagram BH dan akhirnya menemui gambar yang sama namun kapsyennya berbeza. Gambar tersebut menerangkan ‘Individu lengkap vaksin dibenar ke stadium’.

 


Sumber: Instagram Berita Harian

 


Sumber: Instagram Berita Harian

 

Bagi pengesahan buat kali kedua, kami sekali lagi menggunakan kata kunci “lengkap vaksin’ “stadium’ ‘ismail sabri’ dan site:bharian.com.my dan sememangnya sah menemui berita tersebut. Lihat di sini.

Jadi di sini, terbuktilah ada yang gatal tangan mengubah tulisan tersebut untuk tujuan parodi dengan ditukar kepada ‘individu lengkap vaksin lahir di Terengganu dibenarkan kahwin lagi tanpa persetujuan isteri’.

Boleh jadi ada orang Terengganu yang sengaja suka-suka buat parodi ni. Apa-apapun semak dahulu kesahihannya. Jadilah pembaca yang bijak.

-- MYCHECK.MY--

RUJUKAN

1. Foto Bernama. “DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB” Diterbitkan pada 25 September 2021.

2. Kementerian Kewangan Malaysia. “Petikan Akhbar - Bayaran BPR fasa tiga dikreditkan mulai Selasa – Ismail Sabri” Diterbitkan pada 26 September 2021.

3. Berita Harian. “Bantuan BPR Fasa 3, rayuan dibayar mulai Selasa” Diterbitkan pada 26 September 2021.

4. Berita Harian. “Individu lengkap vaksin dibenar ke stadium” Diterbitkan pada 29 September 2021.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.