Pos Malaysia hantar e-mel tuntutan cukai kastam melalui e-mel
Sumber : Twitter/Nov 2021
E-mel berkenaan adalah palsu. Ia pernah dikeluarkan sebelum ini dan diulang siar
SEKILAS FAKTA
DAKWAAN
Tular di laman sosial baru-baru ini bahawa Pos Malaysia dikatakan cuba menipu orang ramai dengan menghantar satu e-mel yang meminta seorang individu membayar RM6.66 sebagai bayaran cukai bagi mendapatkan barangan yang dibelinya.
Individu berkenaan bagaimanapun terkejut apabila mendapati ia merupakan satu e-mel palsu dan beliau mengambil keputusan untuk tidak menjelaskan bayaran berkenaan kerana merasakan seolah-olah ada pihak cuba menipunya dengan menyertakan satu pautan yang meragukan.
APA YANG KAMI TEMUI
Maksud Jenayah Siber
Jenayah Siber merujuk kepada satu perlakuan yang menyalahi undang-undang dengan menggunakan teknologi / komputer /peranti yang mempunyai akses ke Internet atau rangkaian perkhidmatan.
Menurut laman sesawang MyGovernment, terdapat beberapa jenis jenayah siber yang menjadi trend di negara ini seperti jenayah berkaitan komputer meliputi penipuan siber, penipuan telekomunikasi, penipuan 419 atau cinta siber, penipuan belian secara dalam talian, penipuan kewangan secara dalam talian, pelanggaran harta dan intelek.
Jenayah Siber yang turut popular di negara ini adalah jenayah komputer seperti Illegal Interception, Data interference, Hacking Malware / DDoS / Botnet selain ransomware dan buli siber.
Ransomeware
Ransomware adalah malware komputer yang dipasang secara rahsia pada komputer mangsa, melaksanakan serangan cryptovirology yang menjejaskannya dan menuntut bayaran tebusan untuk memulihkannya.
Pos Malaysia nafi dakwaan scam pengguna melalui e-mel
Pos Malaysia pernah mengeluarkan kenyataan media sebelum ini dengan menafikan penglibatan mereka dalam penghantaran e-mel sedemikian dan meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya sekiranya menerima e-mel yang meragukan daripada pihak yang tidak dikenali.
Menerusi laman sesawang Pos Malaysia, syarikat penghantaran kurier berkenaan menasihatkan orang ramai supaya tidak menekan sebarang pautan meragukan yang diterima daripada individu atau syarikat tidak dikenali.
Pos Malaysia memaklumkan pautan berkenaan sebenarnya bertujuan mencuri maklumat peribadi seseorang pengguna termasuk data peribadi, maklumat kad kredit dan beberapa maklumat lain.
Laman semakan fakta Sebenarnya.my juga telah menerbitkan laporan berkaitan isu ini dan mengklasifikasikannya sebagai ‘Waspada’ kerana ia melibatkan sindiket penipuan.
Bagi mengelakkan mana-mana individu menjadi mangsa penipuan, Pos Malaysia turut menasihatkan pengguna supaya menyemak pautan yang diterima mereka di portal Semakmule di semakmule.rmp.gov.my/ yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia.
Kes penipuan lain melibatkan Pos Malaysia
Hasil semakan MyCheck mendapati kes penipuan melibatkan Pos Malaysia bukanlah isu baharu kerana ia pernah berlaku sejak beberapa tahun lepas.
Pelbagai cara digunakan oleh individu berkenaan bagi memperdaya orang ramai termasuk mendakwa diri mereka sebagai wakil Pos Malaysia dan cuba meminta bayaran untuk proses penghantaran barangan, panggilan pihak tertentu kepada individu lain mendakwa mereka telah memenangi peraduan anjuran Pos Malaysia yang sebenarnya tidak wujud, penipuan menerusi penghantaran e-mel dan beberapa lagi bentuk penipuan yang hampir serupa melibatkan syarikat berkenaan.
Pendedahan mengenai penyalahgunaan nama Pos Malaysia pernah disiarkan beberapa akhbar tempatan sebelum ini seperti The Star dan The Sun Daily, portal berita tempatan The Malaysian Insight selain stesen televisyen Astro Awani.
Trivia: Sejarah Perkhidmatan Pos
Menurut laman sesawang ringgit.com, sebelum wujudnya teknologi e-mel yang dicipta oleh pengatur cara komputer dari Amerika Syarikat, Ray Tomlinson pada 1971, kebanyakan masyarakat dunia menggunakan kaedah kiriman surat sebagai alternatif komunikasi dalam penyampaian maklumat.
Pada awal penubuhan sekitar 1800-an, syarikat penghantaran kurier ini dikenali sebagai The Straits Settlements Postal And Telegraph Service – yang mana pembangunannya beroperasi di Negeri-Negeri Selat (NNS) – iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Tindakan penubuhan ini adalah untuk memenuhi tuntutan perutusan khas kepada negara Eropah, India dan China.
Pada masa itu pejabat pos sekadar menawarkan perkhidmatan penghantaran surat sahaja dengan menggunakan kiriman dan perkhidmatan telegraf.
Ketika itu tiada sebarang penekanan ke atas penggunaan cap pos dan surat-surat itu hanya dikenali sebagai sampul pra-cap, dengan setiap kandungan surat akan dilipat dengan rapi bagi menjaga privasi dan kemudiannya ditutup dengan cairan lilin.
Tanda pos pada surat-surat ini memainkan peranan yang penting. Ia merujuk kepada bahagian laluan yang diambil oleh kapal pos dan berapa jarak perjalanan penghantaran tersebut.
Terdapat dua warna tanda pos yang berbeza iaitu merah dan hitam yang menjadi simbolik kepada pembayaran wang pos tersebut. Sekiranya Pejabat Pos menggunakan cap dakwat merah, ia bermakna bayaran pos tersebut telah dibuat manakala warna hitam merujuk kepada bayaran pos yang akan diambil daripada penerima sahaja.
Bermula 1840, pengenalan cap pos di Eropah mula dijalankan bertujuan memperkasakan sistem dokumentasi dalam penyusunan bahan penghantaran dan pada 1867, sistem penghantaran mulai berubah apabila setem India yang memiliki elemen mahkota, cap Selat dengan cetakan simbol dolar dan sen telah digunakan.
Setem ini adalah setem India yang dikeluarkan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), kerana pada ketika itu Negeri Selat telah ditadbir oleh SHTI yang berpusat di bawah British India.
Sampul-sampul berkenaan bermaksud bagaimana surat tersebut dihantar dari Negeri Selat ke Eropah, malahan ia turut menjadi bukti kepada laluan laut yang digunakan pada persinggahan di India, diikuti perjalanan darat Southampton ke England.
Setiap surat yang dihantar dari Negeri-Negeri Selat ini akan menggunakan kod tersendiri seperti kod ‘B172’ untuk Singapura, ‘B109’ (Melaka) dan ‘B147’ (Pulau Pinang). Pengekodan ini bertujuan mengasingkan sistem dokumentasi persuratan pada ketika itu.
Setelah perkhidmatan penghantaran ini dikembangkan ke seluruh kawasan Tanah Melayu, kerajaan tampil dengan pengenalan set pertama pos Tanah Melayu pada 1901. Sejak itu pengenalan set setem bagi setiap negeri mula dilaksanakan.
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957, perkhidmatan pos telah dijadikan sebahagian daripada jabatan kerajaan, iaitu di bawah Jabatan Pos Negara (JPN) yang menyaksikan fungsi mereka telah diperluaskan kepada beberapa perkhidmatan.
Antara fungsinya ialah pengiriman bungkusan, pendaftaran, perkhidmatan insurans, transaksi kiriman wang dan Bank Simpanan Pejabat Pos serta turut merangkumi perkhidmatan lain seperti pembayaran bil elektrik, pembayaran pencen dan penjualan lesen televisyen.
Pada 1992, Pos Malaysia Berhad telah diperbadankan daripada Jabatan Pos Negara sebelum pengurusannya diambil alih oleh Philio Allied Berhad pada 2001 dan sejak itu, syarikat berkenaan tampil sebagai sebuah entiti swasta sepenuhnya.
KESIMPULAN
Kemajuan teknologi yang semakin berkembang selaras dengan peredaran masa pada zaman kini menyaksikan jenayah siber semakin berleluasa sehingga ada mangsa terutamanya warga emas berputih mata apabila kehilangan wang yang banyak akibat menjadi mangsa penipuan.
Kewujudan jenayah siber bukanlah perkara baharu dan kita sebagai pengguna seharusnya bijak menapis segala maklumat yang diterima daripada pelbagai medium seperti e-mel dan media sosial sebelum melakukan sebarang transaksi terutamanya melibatkan jumlah wang yang tinggi.
Walaupun jenayah siber ini sukar dibanteras dan pelakunya kadangkala sukar dikesan, kita sebagai pengguna dinasihati melaporkan perkara berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan susulan bagi memastikan individu lain tidak menjadi mangsa kepada kegiatan tidak bertamadun ini.
--MYCHECK--
RUJUKAN
2. How To Recognise Email Scams and Avoid Being A Victim.Published by Pos Malaysia on Jan 20 2021.
3. Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM
6. Online survey is a scam, says Pos Malaysia
7. https://www.themalaysianinsight.com/s/28297
8. Be cautious of donation scams on Facebook - Pos Malaysia
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.