+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

JAKIM Tidak Pernah Keluar Kenyataan Haram Bagi Juruterbang Wanita Menerbangkan Pesawat

Benarkah...

JAKIM isytihar hukum haram bagi juruterbang wanita menerbangkan sebarang pesawat dari kokpit.

Sumber : WhatsApp, Twitter / Oktober 2021

Hasil

Sumber berkenaan bukan dari JAKIM

14/12/2021 11:37 AM

SEKILAS FAKTA

  • Maklumat poster berkenaan adalah palsu dan bukan dari sumber JAKIM.
  • Gambar berkenaan diambil dari Royal Brunei Airlines sebelum diedit menjadi poster dengan kenyataan palsu.
  • Poster tersebut dipercayai telah tular sejak 2016.

 


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Pencapaian kaum wanita dalam pelbagai bidang kerjaya tidak lagi diragui dan bukan lagi satu isu baru di Malaysia.

Bagi industri penerbangan, lazimnya, kebanyakan wanita yang menceburkan diri dalam industri itu hanya berkhidmat sebagai pembantu penerbangan atau staf penerbangan.

Namun begitu kerjaya untuk bergelar juruterbang di negara ini bukanlah mudah, lebih-lebih lagi buat para wanita dalam mengendalikan pesawat.

Sememangnya diakui pekerjaan itu didominasi secara eksklusif oleh lelaki di samping tanggapan tradisi berkaitan gender untuk para wanita melakar kejayaan di angkasa raya.

Menurut syarikat penerbangan Malaysia Airlines, bagi mengisi jawatan petugas di kokpit, kelayakan untuk menjadi kapten ialah telah melakukan 4,500 jam penerbangan atau lebih 1,000 daripada kadar purata dalam industri ini.

Persatuan Juruterbang Wanita Antarabangsa menganggarkan bahawa pada 2017, daripada sejumlah 130,000 juruterbang di seluruh dunia, hanya 3,000 atau kira-kira 3 peratus daripada mereka adalah wanita.



 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck Malaysia menerima satu poster menunjukkan sekeping gambar yang merakamkan tiga wanita sedang berada dalam kokpit sebuah pesawat, tular menerusi aplikasi Twitter pada penghujung Oktober 2021.

Dalam poster tersebut, terdapat tera air (watermark) logo ‘Royal Brunei Airlines’ dan kenyataannya yang tertera adalah  seperti berikut:

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan, adalah haram bagi juruterbang wanita menerbangkan sebarang pesawat semasa berada di kokpit (COCKPIT).
     
  2. Dakwaan itu turut membayangkan JAKIM mengarahkan Malaysia Airlines (MAS), Air Asia, FireFly, dan Malindo Air menamakan semula sebagai CATPIT untuk mengelak lesen penerbangan awam mereka dibatalkan.


 

APA KAMI TEMUI

MyCheck memulakan kerja dengan membuat beberapa carian imej berbalik di enjin carian Google terhadap poster dikirimkan itu.

Kami gagal menemui apa yang dikehendaki, sebaliknya menemui gambar asal berkenaan. (Gambar yang tidak diedit dan tiada tulisan kenyataan palsu).

Gambar asal tersebut banyak digunakan di agensi berita dunia dimana ia memaparkan berita tiga juruterbang wanita dari Royal Brunei Airlines mengendalikan pesawat Boeing 787.

Sedikit kisah, tiga wanita hebat itu ialah Kapten Sharifah Czarena, dan dua pegawai pertama, Sariana Nordin dan Nadiah Khashiem. Pesawat itu berlepas dari Brunei dan membawa 300 penumpang ke Jeddah, Arab Saudi.

Berita berkenaan telah diterbitkan sekitar Mac 2016. Anda boleh lihat antara berita itu di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

 


Sumber: BBC News (https://www.bbc.com/news/world-middle-east-35816887)

 

Ironinya berita itu dikisahkan adalah kerana destinasinya, Arab Saudi adalah sebuah negara di mana wanita tidak dibenarkan memandu kereta.

Bagi mencari dari manakah pemilik gambar tiga juruterbang wanita Royal Brunei Airlines itu, kami ke laman rasmi Facebook Royal Brunei Airlines dan akhirnya menemui gambar tersebut. Gambar tersebut bertarikh 23 Februari 2016. 

 


Sumber: Facebook Royal Brunei Airlines

 

Siapa dan bila dakwaan palsu disebarkan?

MyCheck dapati poster tersebut tular menerusi aplikasi Twitter pada penghujung Oktober 2020. Lantaran itu, kami sekali lagi menggunakan carian imej berbalik dengan menambah kata kunci ‘JAKIM’. Hasilnya kami menemui beberapa pengguna akaun Twitter yang berkongsikan gambar itu di sini dan di sini baru-baru ini.

MyCheck kemudiannya menggunakan aplikasi Tweetdeck Twitter dan menemui seorang pengguna akaun Twitter bernama @rizarul yang berkongsikan poster itu dan telah memaut (tag) @MyJAKIM bagi bertanyakan kesahihan hal itu pada 25 Oktober 2016. Ya, pada tahun 2016.

Jadi ini bermakna poster berkenaan pernah tular lima tahun sebelum ini. Kami gagal mencari dan menentukan siapa dan bila dalang yang bertanggungjawab membuat gambar beserta kenyataan palsu itu disebabkan kekangan peralatan. 

Teori kami; mungkin ia hanyalah satu parodi. Melihat kepada cara poster direka dan permainan penggunaan perkataan di dalam poster, boleh jadi ia hanya satu parodi dengan unsur lawak lucah.

 

Penafian JAKIM

Berikutan poster berkenaan tular di media sosial, Facebook JAKIM lantas tampil menafikan hal berkenaan pada 23 Oktober 2021.

 


Sumber: Facebook JAKIM

Sementara itu sebenarnya.my, portal menyemak dan menentukan kesahihan sesuatu berita turut berperanan membantu JAKIM menguar-uarkan dakwaan berkenaan adalah palsu. 

 


Sumber: Sebenarnya.my

 

Fakta tambahan 1: Arab Saudi tidak benarkan wanita memandu?

Ya benar. TAPI itu dulu sebelum September 2017 selepas Putera Mahkota Raja Salman mengarahkan wanita dibenarkan memandu, menamatkan larangan berunsur agama yang menjadikannya sukar buat wanita bekerja dan memaksa ramai keluarga Arab Saudi menggajikan sekurang-kurangnya seorang pemandu.

Anda boleh lihat berita itu di sini dan di sini.

Nasihat kami, periksa fakta sebelum sebarkan. Naya Pak Karim oi kalau salah sebarkan informasi. 

-- MYCHECKMY--

 

RUJUKAN

  1. Astro Awani. “Wanita kendali pesawat ke Jeddah: 'Bagus tapi ironik' - Netizen” Diterbitkan pada 15 Mac 2016.
  2. Tempo. “3 Pilot Wanita Asal Brunei Cetak Sejarah di Arab Saudi” Diterbitkan pada 17 Mac 2016.
  3. Independent. “Royal Brunei Airlines’ first all-female pilot crew lands plane in Saudi Arabia - where women are not allowed to drive” Diterbitkan pada 15 Mac 2016.
  4. Huffington Post “Royal Brunei Airlines All-Female Crew Land Boeing 787 Dreamliner In Saudi Arabia” Diterbitkan pada 15 Mac 2016.
  5. BBC News. “Saudi Arabia: All female Brunei crew in historic flight” Diterbitkan pada 15 Mac 2016.
  6. Sebenarnya.my “JAKIM Tidak Mengeluarkan Kenyataan Berhubung Hukum Haram Bagi Juruterbang Wanita Menerbangkan Pesawat” Diterbitkan Oktober 2021.
  7. Berita Harian. “Larangan memandu wanita Arab Saudi tamat hari ini” Diterbitkan pada 24 Jun 2018.
  8. Berita Harian. “Saudi jimat berbilion bila benarkan wanita memandu” Diterbitkan pada 28 Sept 2018.
  9. Facebook Royal Brunei Airlines
  10. Twitter Rizarul
  11. Facebook JAKIM

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.