+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Air Kelapa, Lemon Dan Kangkung TIDAK BERKESAN Rawat Jangkitan Covid-19

Benarkah...

Air lemon, air kelapa dan kangkung berkesan merawat virus Covid-19

Sumber : Facebook, Twitter /September 2021

Hasil

Tiada kajian saintifik membuktikan kesemua buah dan sayur itu berkesan merawat individu dijangkiti virus Covid-19

14/12/2021 11:36 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan air kelapa, air lemon dan kangkung boleh menyembuhkan penyakit Covid-19.
  • Ia menarik perhatian ramai terutama warga emas yang benar-benar percaya dan mengamalkannya.
  • Tiada rawatan paling mujarab untuk merawat Covid-19 selain suntikan vaksin dan kawalan kendiri antaranya mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.


Sumber: Pemuda Amanah Pulau Pinang

 

LATAR BELAKANG

Peningkatan kes positif dan kematian akibat Covid-19 mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Pelbagai pihak berusaha mencari rawatan alternatif dalam membunuh virus yang telah meragut jutaan nyawa manusia itu.

Penggunaan pelbagai bahan makanan dicadangkan oleh pengamal perubatan serta individu yang bukan dalam bidang perubatan sebagai rawatan alternatif untuk melawan virus Covid-19.

 


Sumber: mstar.com, food.ndtv.com

 

DAKWAAN

Seorang doktor kesihatan profesional, Dr Noordin Darus memberi petua bagi pesakit Covid-19 untuk mengambil air kelapa, air lemon dan kangkung sebagai ikhtiar untuk mampu melawan virus tersebut.

Beliau membuat kenyataan berkenaan ketika menjadi tetamu Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk ‘Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak?’ yang diadakan pada 6 Februari 2020.

Kenyataan beliau telah disiarkan oleh beberapa portal berita tempatan seperti Sinar Harian selain turut dikongsi di Facebook Pemuda Amanah Pulau Pinang yang mempunyai 4,792 pengikut (setakat laporan ini ditulis), sehingga mengundang keraguan orang ramai.

 


Sumber: sinar harian.com

 

APA YANG KAMI TEMUI

Salah Konteks Video

MyCheck mendapati kapsyen ‘Air Kelapa, Lemon Cegah Penularan Virus’ yang digunakan pada rakaman yang telah disunting memberi konteks salah kepada pengguna media sosial yang hanya melihat paparan itu tanpa menonton video penuh.

Dr Noordin memberi panduan cara menggunakan sumber alami sebagai cara meningkatkan imuniti tubuh yang menurutnya, disokong oleh kajian sains.

Harus difahami pada waktu wacana ini berlangsung dibuat, Malaysia (dan dunia) masih di fasa awal menghadapi Covid-19 jadi pengetahuan berkenaan virus ini amat sedikit.

Untuk meletakkan kefahaman pada konteks, Malaysia mula mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, kira-kira sebulan selepas video ini dirakam.

 

Khasiat Air Kelapa, Lemon dan Kangkung

Namun, My Check mengambil inisiatif untuk membuat carian dan mendapati tiada kajian atau bukti kukuh yang boleh mengaitkan dakwaan bahawa air kelapa, air lemon dan kangkung berkesan merawat Covid-19.

Bagaimanapun ketiga-tiga buah dan sayur itu dikatakan mempunyai khasiat tertentu yang bermanfaat untuk kesihatan dan badan.

 

i. Air kelapa

Seorang pengamal perubatan, Dr Mohd Ramzdhan Mohd Masdar yang dipetik menerusi laman sesawang doctoroncall memaklumkan air kelapa mempunyai khasiat mengurangkan cirit-birit iaitu salah satu gejala yang dialami pesakit Covid-19.

Menurut laporan MSTAR pula, air kelapa dapat membantu mencegah penyakit batu karang selain mengurangkan radikal bebas sebagai respons terhadap kadar oksalat dalam air kencing.

Air Kelapa juga dikatakan berpotensi menurunkan kadar kolestrol dalam badan selain membantu mengawal tekanan darah tinggi.

 

ii. Lemon

Perunding Kesihatan Keluarga, Dr Lim Ing Kien menerusi laporan Harian Metro pula mendedahkan bahawa lemon kaya dengan vitamin C yang juga boleh meningkatkan sistem imun badan sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti penyakit termasuk Covid-19.

Tabiat meminum air lemon juga menurut laman sesawang hellodoktor.com, dapat membantu menurunkan berat badan, melancarkan sistem pencernaan tubuh badan selain memastikan tubuh kekal terhidrat.

 

iii. Kangkung

Laman sesawang rootofscience berkongsi 12 khasiat sayur kangkung pada tubuh manusia seperti membantu mengatasi masalah sembelit, mengawal paras gula dalam badan, mengekalkan kesihatan buah pinggang selain mengandungi antioksidan yang berfungsi melindungi sel badan daripada pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kardiovaskular dan kanser.

Perunding Dietetik Klinikal dan Komuniti di Klinik Kesihatan Seri Kembangan, Selangor, Nur Hafizah Mahamad Sabri juga mendedahkan kangkung mempunyai pelbagai khasiat.

Menerusi petikan di laman Facebook Medical MythBusters Malaysia, Nur Hafizah mendakwa kangkung mengandungi vitamin A dan C yang membantu meningkatkan sistem imun tubuh manusia serta baik untuk kesihatan mata.

Menurutnya kangkung juga kaya dengan serat, sekali gus baik untuk individu yang berhasrat menurunkan berat badan, membantu mengawal tekanan gula dalam darah bagi pesakit diabetis selain kaya dengan potassium yang melawan sodium, iaitu punca penyakit darah tinggi.


Apa Kata Pakar Perubatan?

Datuk Dr Dzulkefly Ahmad yang merupakan Menteri Kesihatan pada ketika itu menerusi sidang media pada 10 Februari 2020 memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menghalang mana-mana individu untuk percaya serta mengamalkan apa yang didakwa oleh Dr Noordin, namun menegaskan KKM hanya mengamalkan sebarang kaedah rawatan berdasarkan bukti perubatan.

“Kami telah tegaskan betapa perlunya kita mengambil langkah meningkatkan kebersihan diri seperti cuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Tetapi kalau ada yang hendak cadangkan selain daripada itu, anda boleh dengar sama ada nak ikut atau tidak," jelas Dr  Dzulkefly pada sidang media berkenaan yang disiarkan di beberapa portal berita tempatan termasuk Astro Awani dan  Sinar Harian

Pakar Bedah Am Dr Amalina Che Bakri menerusi laman twitternya pada waktu itu mengajak masyarakat untuk faham bahawa masih banyak yang belum difahami berkenaan Covid-19 dan sesetengah panduan yang diberi Dr Noordin belum dapat dibuktikan melalui kajian sains.

Beliau yang berkhidmat dengan sebuah hospital di United Kingdom turut menasihatkan orang ramai supaya banyak minum air kosong selain makan sayur bagi mengamalkan gaya hidup sihat.

Dr Amalina pada masa sama turut menasihati orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih mengenai rawatan Covid-19 daripada pihak berkuasa yang bertauliah seperti KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 


Sumber: Twitter Dr Amalina Che Bakri


Penjelasan Dr Amalina ini turut dilaporkan oleh beberapa portal berita tempatan termasuk MSTAR dan says.com.

Pandangan sama turut disuarakan oleh Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah menerusi laman twitternya yang membidas kenyataan dikeluarkan Dr Noordin sambil menegaskan seluruh dunia sedang berusaha mencari penawar untuk virus berkenaan.

 


Sumber: Twitter Dr Rafidah Abdullah

 

Selain daripada pandangan KKM serta dua pakar perubatan berkenaan, beberapa laman sesawang luar negara turut mendedahkan ketiga-tiga bahan berkenaan tidak terbukti berkesan dalam mencegah virus Covid-19.

Laman sesawang nationalacademies.org menegaskan meminum  jus lemon dengan campuran beberapa bahan seperti aspirin serta serbuk penaik tidak dapat membunuh virus Covid-19.

 


Sumber: nationalacademies.org

 

KESIMPULAN

Kelapa, lemon dan kangkung sebenarnya telah digunakan sejak sekian lama terutamanya dalam kalangan masyarakat di nusantara bagi mencantikkan wajah selain digunakan bagi rawatan tradisional namun ia bukanlah rawatan terbaik dalam mengatasi jangkitan Covid-19.

Tidak dinafikan fungsi buah-buahan dan sayur dalam meningkatkan imuniti badan namun tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa ketiga-tiga bahan berkenaan mampu merawat Covid-19.

Pengamal perubatan serta saintis di seluruh dunia masih berusaha mencari penawar bagi virus Covid-19 dan sehingga kini, tiada rawatan khusus yang benar-benar berkesan dalam merawat virus berkenaan.

Vaksinasi adalah cara yang digunakan di seluruh dunia pada waktu ini. Walaupun ia tidak mampu melawan Covid-19 sepenuhnya ia adalah satu ikhtiar yang sedang diusahakan.

Adalah penting untuk kita mengamalkan beberapa langkah pencegahan yang sesuai seperti penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, kerap mencuci tangan dengan sabun dan cecair pembasmi kuman, memakai pelitup muka dan tidak keluar dari rumah jika bergejala serta tiada keperluan mendesak.

Selain itu, kita digalakkan mengamalkan konsep 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dalam jarak yang dekat (close conversation).

Usahlah kita percaya dengan dakwaan yang dilontarkan segelintir pihak dan adalah lebih baik kita mendapatkan fakta yang tepat daripada mereka yang bertauliah sebelum mendapatkan sebarang rawatan untuk masalah kesihatan yang dialami oleh kita.

-- MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN

1. 12 Khasiat Sayur Kangkung pada Kesihatan Badan.Diterbitkan oleh rootofscience.com pada November 2020.

2. 'Kerap mandi, banyakkan makan kangkung'.Diterbitkan oleh Sinar Harian pada 7 Feb 2020.

3. Isu kangkung, lemon: 'Anda boleh dengar, sama ada ikut atau tidak'.Diterbitkan oleh Sinar Harian pada 10 Feb 2020.

4. Makan kangkung, lemon rawat koronavirus? Reaksi Menteri Kesihatan.Diterbitkan oleh Astro Awani pada 10 Feb 2020.

5. Isu kangkung, lemon: 'Anda boleh dengar, sama ada ikut atau tidak' Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/69478/KHAS/Covid-19/Isu-kangkung-lemon-Anda-boleh-dengar-sama-ada-ikut-atau-tidak.Diterbitkan oleh Sinar Harian pada 10 Feb 2020.

6. Twitter Dr Amalina Che Bakri.Dikeluarkan pada 9 Feb 2020.

7. Twitter Dr Rafidah Abdullah.Dikeluarkan pada 9 Feb 2020.

8. Khasiat Buah Lemon, Ada Yang Kita Tak Tahu.Diterbitkan oleh azhafizah.com pada 8 Okt 2020.

9. Lemon juice does not cure COVID-19.Published by nationalacademies.org on April 22 2020.

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.