+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Singapura Gerakkan Pesawat Tempur F-16 Sebagai Respons Kepada Helikopter PDRM Yang Hampir Ke Ruang Udaranya

Benarkah...

Tersebar mesej mengatakan Singapura menggerakkan pesawat pejuang F-16 apabila helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan kelihatan di ruang udara republik itu

Sumber : Sumber: Facebook/ September 2021 

Hasil

Singapura menarik balik arahan setelah tiada ancaman keselamatan dikesan

16/12/2021 12:23 PM

SEKILAS FAKTA

  • Pesawat F-16 milik Singapura digerakkan sebagai tindak balas kepada helikopter PDRM yang kelihatan terbang berhampiran republik itu.
  • PDRM mengesahkan helikopternya ada melakukan penerbangan di ruang udara berhampiran Singapura bagi tujuan penugasan rasmi pada hari tersebut. 
  • Singapura mengesahkan kenyataan berhubung dakwaan tersebut tetapi menarik balik arahan penerbangan selepas tiada ancaman dikenal pasti.
  • Carian mendapati helikopter itu membawa Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara serta beberapa individu penting lain ke Abu Bakar Maritime Base (ABMB), Johor.

 

LATAR BELAKANG

Tular di media sosial bahawa Singapura mengerahkan pesawat pejuang F-16 miliknya untuk melakukan rondaan setelah helikopter milik PDRM dikatakan menceroboh ruang udara republik itu. 

Tambahan pula, dikatakan kejadian itu berlaku pada 11 September, yang dikaitkan dengan peristiwa hitam ‘Nine Eleven’ 20 tahun lepas apabila menara berkembar World Trade Center di New York musnah melalui serangan udara.

Maklumat itu dikongsi melalui laman Facebook Kelab Netizen Negara iaitu satu halaman mengenai isu-isu semasa berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk di dalam dan luar negara (maklumat ditulis di bahagian ‘About’).  

 

MENGENAI DAKWAAN

Menurut penelitian kami, Kelab Netizen Negara sebenarnya berkongsi berita ini daripada Alert 5, satu laman sesawang yang menulis mengenai pertahanan dalam dan luar negara. Perincian mengenai Alert 5 ada selepas ini. 

Alert5 melaporkan sebuah helikopter Agusta Westland AW139, dengan call sign 9M-PMD milik PDRM dalam perjalanan ke Pengerang terbang melintasi Pulau Tekong, Singapura yang mana ia merupakan lokasi latihan ketenteraan dan khidmat negara jiran itu.

Laporan tersebut turut disertakan dengan gambar seperti di bawah

 


Sumber: Alert 5

 

APA YANG KAMI TEMUI

LOKASI PULAU TEKONG

MyCheck mengambil langkah awal untuk meneliti di mana sebenarnya Pulau Tekong yang dikatakan menjadi tempat latihan tentera republik berkenaan.

 


Sumber: Google Map

 

Melalui carian di google map, secara jelas ia menunjukkan Pulau Tekong terletak berhampiran garisan pemisah antara Malaysia dan Singapura.

Paparan di google map juga menunjukkan terdapat Basic Military Training Center bagi negara tersebut.

 

SIAPAKAH ALERT 5?

Melalui carian di google search, carian pilihan pertama membawa kami kepada laman web Alert 5, diikuti dengan Twitter dan Facebook milik Alert 5. 

Menerusi cariani di who.is pula, kami mendapati laman sesawang Alert 5 ini telah dibangunkan sejak 2004 dan secara konsisten menerbitkan hantaran di laman sesawang mereka.

MyCheck cuba mencari maklumat mengenai Alert 5 dan apa yang kami temui di bahagian ‘about’ adalah ‘memberi maklumat mengenai penerbangan di seluruh dunia kepada anda. Dikemas kini hampir setiap hari’ (Bringing you military aviation news from around the world. Mostly updated daily).

Melalui penelitian MyCheck, media sosial Alert 5 juga melaporkan mengenai berita penerbangan seluruh dunia.

 


Sumber: Google dan laman sesawang Alert 5

 

APA ITU F-16?

Carian diteruskan dengan mengkaji pesawat jenis F-16 ini. Menurut laman sesawang F-16.net;

The Republic of Singapore Air Force operates 62 F-16 Fighting Falcons, all of which are advanced F-16C/D block 52 aircraft. These aircraft are equipped with state-of-the-art armament, including AIM-120 AMRAAM and (presumably) the Israeli Python 4 missile linked to a DASH-3 Helmet Mounted Sight.

(Terjemahan) Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menggunakan pesawat pejuang 62 F-16 Falcons, yang merupakan pesawat paling terkini bagi Blok 52 F-16C/D. Pesawat tersebut dilengkapi dengan sistem persenjataan termasuk peluru berpandu jenis AIM-120 AMRAAM dan peluru berpandu buatan Israel jenis Python 4 yang pengoperasiannya disambung kepada topi keledar sistem sasaran juruterbang pesawat jenis DASH-3.

Jadi di sini dipastikan bahawa ia merupakan sejenis pesawat pejuang.

 


Sumber: laman sesawang F-16.net

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Penelitian kami pada hantaran yang dibuat oleh Kelab Netizen Negara bukan sahaja berkongsi maklumat daripada Alert 5, malah turut berkongsi hantaran oleh Defence Security Asia.

Sehari selepas hari kejadian, Defence Security Asia memuat naik satu hantaran di laman sesawang mereka.

Carian MyCheck di who.is dan WayBackMachine mendapati laman sesawang Defence Security Asia ini beroperasi sejak September 2020 namun ia secara konsisten mengeluarkan artikel berkenaan teknologi ketenteraan. 

Menurut laporan tersebut, Helikopter PDRM itu dikatakan membawa pegawai-pegawai kanan keselamatan kerajaan Malaysia termasuk Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad ke ABMB di Batuan Tengah, Johor.

Helikopter berkenaan dikatakan singgah terlebih dahulu di Pengerang yang mana Rodzi dan delegasi lain menerima penerangan tentang OP Benteng sebelum meneruskan penerbangan ke pangkalan maritim itu.

Antara pegawai-pegawai kanan keselamatan kerajaan Malaysia lain yang turut berada di dalam helikopter PDRM itu adalah Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhamad Fauzi Tengku Ibrahim.

Dakwaan ini membawa kami kepada hantaran Facebook yang dimuat naik oleh Datuk Rodzi pada 11 September lepas yang memaparkan beberapa keping gambar berserta kapsyen seperti di bawah. 

 


Sumber: Facebook KP MKN

 

Secara jelas memang ada penerbangan Helikopter PDRM yang membawa Ketua Pengarah MKN ke ABMB yang terletak berhampiran Pulau Batu Putih, milik Singapura. 

Carian untuk mengesan kedudukan ABMB melalui google map dan google earth tidak berjaya (mungkin atas faktor keselamatan) namun, kesahihan kedudukan pangkalan ini dapat dilihat melalui laporan yang ditulis oleh The Diplomat pada awal pelancaran pangkalan ini dan juga artikel yang ditulis di laman sesawang Maritim Malaysia pada 2017. 

Malah, hantaran Ketua Pengarah MKN juga dibuat pada hari yang sama seperti dakwaan, 11 September 2021.

 

APA RESPONS PDRM?

PDRM mengambil respons pantas dengan mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama melalui laman Facebook rasmi PDRM.

Melalui kenyataan tersebut, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali mengesahkan helikopter PDRM ada melakukan penerbangan di ruang udara berhampiran Singapura bagi tujuan penugasan rasmi pada hari tersebut. 

PDRM memaklumkan sepanjang penugasan itu berlangsung sehingga kini (setakat laporan ini ditulis), PDRM tidak menerima pemakluman oleh pihak berkuasa ruang udara Singapura mengenai sebarang insiden penerbangan helikopter telah memasuki ruang udara mereka.

 


Sumber: Facebook rasmi PDRM

 

Akhbar-akhbar tempatan juga turut melaporkan perkara yang sama seperti di sini, sini dan sini

Apa pula komen Singapura?

MyCheck cuba mencari apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh Singapura. Namun, melalui carian kami, MyCheck hanya menjumpai laporan berita yang menulis kembali apa yang dikatakan oleh wakil negara berkenaan seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Straits Time Singapore , Channel News Asia (CNA) dan Today Online .

Melalui laporan berita berkenaan, Kementerian Pertahanan Singapura menyatakan RSAF menggerakkan pesawat tempur F-16 miliknya ke kawasan berkenaan sekitar pukul 9.20 pagi hari tersebut adalah sebagai tindak balas terhadap kemungkinan ancaman udara.

Namun, setelah memastikan bahawa keselamatan negara mereka tidak dikompromi, pesawat tempur itu diarahkan kembali. 

Menurut kementerian itu, secara purata pesawat tempur RSAF dikerah untuk menyiasat dan menangani 350 potensi ancaman udara setiap tahun.

 

KESIMPULAN

Dapat disimpulkan bahawa dakwaan ini adalah bersifat ‘benar’. Ya, Singapura mengesahkan dakwaan tersebut dan PDRM juga mengesahkan ada helikopter mereka terbang berhampiran republik berkenaan. Namun usah khuatir, tiada apa-apa yang perlu dibimbangi kerana tiada ancaman dari pihak Malaysia dan juga Singapura.

--MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN

1.Facebook Kelab Netizen Malaysia 

2.Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) 

3.Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA)  

4.Alert 5 “Singapore scrambled F-16s after Malaysian Police helicopter flew over island with military camps” diterbitkan pada 11 Sept 

5.F-16.net Singapore Republic of Singapore Air Force - RSAF 

6.Defence Security Asia “Helikopter PDRM Bawa Pegawai Kanan Keselamatan Malaysia Ke Batuan Tengah?” diterbitkan pada 12 Sep 

7.Berita Harian “PDRM sahkan helikopternya berhampiran Singapura” diterbitkan pada 11 Sept 

8.The Sun Daily “PDRM confirms helicopter flew through airspace near Singapore - Bukit Aman” diterbitkan pada 11 Sept 

9.The Star “Bukit Aman confirms police helicopter flew through airspace near Singapore” diterbitkan pada 11 Sept

10.The Straits Times “RSAF scrambled F16 fighter jets on Saturday in response to potential air threat” diterbitkan pada 11 Sept 

11.CNA “Singapore scrambles F-16 aircraft in response to 'potential air threat': MINDEF” diterbitkan pada 11 Sept 

12.Today “F-16 aircraft scrambled in response to ‘potential air threat’: Mindef” diterbitkan pada 11 Sept

13.The Diplomat “Malaysia Reveals New Maritime Base Near Disputed Island With Singapore” diterbitkan pada 8 Ogos 2017

14.Maritim Malaysia “Abu Bakar Maritime Base terima lawatan kerja Menteri Besar Johor” diterbitkan pada 29 Ogos 2017 




 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.