+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Hanya Satira: Bill Gates Tidak Minta Penarikan Balik Vaksin Covid-19

Benarkah...

Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates didakwa meminta penarikan balik semua vaksin Covid-19 kerana ia dikatakan ‘jauh lebih berbahaya daripada yang dibayangkan oleh orang lain’.

Sumber : Twitter, Facebook, WhatsApp / Ogos 2021

Hasil

Ia adalah satira/parodi (satire) dan penerbit artikel telah memohon maaf

22/12/2021 10:48 AM

SEKILAS FAKTA

  • Ia adalah satira.
  • Tajuk berita itu kemudiannya diubah serta ditambah perkataan ‘SATIRE’.
  • Editor The Daily Expose turut membuat permohonan maaf secara terbuka.

 

LATAR BELAKANG

Hartawan terkemuka yang juga pengasas bersama Microsoft, Bill Gates sering kali menjadi sasaran pihak yang menyokong mengenai teori konspirasi tular dalam talian dengan menuduh beliau mencipta dan menyebarkan pandemik Covid-19.

Sejak awal pandemik Covid-19 tercetus, pelbagai khabar angin disebarkan termasuk dakwaan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah menahan Gates atas keganasan biologi atau beliau menyokong plot Barat untuk meracun rakyat Afrika.

Bahkan, timbul tuduhan bahawa taikun teknologi itu mengeksploitasi krisis berkenaan, sama ada untuk 'mengawal orang' atau meraih wang daripada penjualan vaksin.

Malah ketika virus Zika tercetus di Brazil pada 2015, beliau adalah antara individu berpengaruh yang dituduh bertanggungjawab atas penyakit berkenaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tangkapan skrin artikel berbentuk satira daripada sebuah laman web The Daily Expose yang disifatkan cenderung atau ragu-ragu mengenai vaksinasi Covid-19 telah menjadi tular di media sosial sehinggakan ramai yang percaya ia adalah dakwaan benar.

 


Sumber: The Daily Expose

 

Menurut tuntutan itu, Gates meminta penarikan semua vaksin Covid-19 kerana ia ‘jauh lebih berbahaya daripada yang dibayangkan oleh orang lain’.

Tajuk utama artikel mengatakan: 

BREAKING - Bill Gates calls for the withdrawal of all Covid-19 Vaccines; ‘The vaccines are far more dangerous than anyone imagined’

(Terjemahan): TERGEMPAR - Bill Gates meminta penarikan semua Vaksin Covid-19; ‘Vaksin jauh lebih berbahaya daripada yang dibayangkan oleh orang lain’.

Artikel itu sebenarnya membincangkan mengenai ‘ucapan selama 19 minit di televisyen’ yang mana Gates telah membuat pernyataan tular itu.

 

APA KAMI TEMUI

Kami mulakan pencarian dengan menggunakan kata kunci ‘Daily Expose’.

Apa yang MyCheck temui adalah sebuah laman sesawang penyemak fakta bernama Full Fact yang telah beberapa kali membongkarkan (debunked) hantaran artikel yang dibuat oleh The Daily Expose yang mengelirukan pembaca.

Anda boleh lihat Full Fact yang membongkarkan beberapa artikel dibuat The Daily Expose di sini, di sini dan di sini.

Menerusi carian Who.Is bagi mencari informasi tentang domain The Daily Expose.

Ini dikuatkan lagi dengan penemuan satu laman sesawang penyemak fakta Logically mendedahkan seorang lelaki bernama ‘Jonathan Allen-Walker’ dari Scunthorpe, Lincolnshire merupakan tulang belakang di sebalik laman berita konspirasi.

Malah mereka melabelkan The Daily Expose yang berpangkalan di United Kingdom itu, cenderung ke arah fokus penulisan berbentuk konspirasi dan ia telah ditubuhkan pada November tahun lepas.

Laporan khas Logically menyatakan, sejak penubuhan The Daily Expose, ia telah mempromosikan portfolio standard penafian Covid-19, antivaksin dan mempromosikan mitos ‘Great Reset’ untuk dijadikan sebagai berita terkini.

Ia kemudiannya telah berkembang dan menjadi sangat berpengaruh dalam ekosistem berita alternatif.

Laman sesawang penyemak fakta The Quint turut membongkarkan hantaran itu dengan mengkategorikan sebagai ‘Tidak Benar’.

 

Headline Telah Diperbaiki

Kami kemudian memeriksa sekali lagi pautan artikel di laman sesawang The Daily Expose dan mendapati bahawa tajuk artikel tersebut telah diperbaharui dengan memasukkan perkataan ‘SATIRE’ atau satira (jenaka) serta menukar kenyataan baharu di tajuk artikel itu.

 


Sumber: The Daily Expose

 

Di bawah tajuk berita yang telah diubah itu, editor The Daily Expose turut membuat permohonan maaf secara terbuka.

 


Sumber: The Daily Expose

 

Kami percaya tajuk artikel itu telah diubah setelah mendapat bantahan daripada pembaca di ruangan komen yang rata-rata marah dan tidak bersetuju dengan tajuk artikel oleh syarikat penerbitan itu yang disifatkan mengelirukan, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia berhadapan krisis Covid-19 yang belum berkesudahan.

 


Sumber: The Daily Expose

 

Di sini, penting untuk diperhatikan bahawa beberapa teori konspirasi dan maklumat yang salah telah banyak kali dikaitkan dengan Bill Gates dan bekas isterinya, Melinda Gates sejak awal pandemik Covid-19 pada 2020.

Sebelum mengakhiri semakan, kami turut melakukan carian di Google bagi mendapatkan dakwaan yang serupa dibuat oleh Gates di laman sesawang berita lain namun tidak menemui sebarang hasil.

Kesimpulannya, ia hanyalah parodi. Selidik dahulu kebenaran sebelum percaya. Semoga bermanfaat.

Namun begitu, kami dapati masih ramai yang percaya terhadap berita itu dan berkongsinya di media sosial. Anda boleh lihat beberapa contoh yang sempat kami tangkap layar.

 


Sumber: Media sosial

 


Sumber: Media sosial

-- MYCHECK --

 

RUJUKAN

1.The Daily Expose. “SATIRE – In an alternative universe Bill Gates has called for the withdrawal of all Covid-19 Vaccines” Diterbitkan pada 29 Ogos 2021.

2.Berita Harian. “Bill Gates biaya pengeluaran vaksin COVID-19” Diterbitkan pada 27 April 2020.

3.Logically. “EXCLUSIVE: Actors Behind UK Misinformation Site The Daily Expose Revealed” Diterbitkan pada 22 Julai 2021.

4.The Quint. “Did Bill Gates Call For Withdrawal of COVID-19 Vaccines? No!” Diterbitkan pada 2 September 2021.


 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.