+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pil Perancang TIDAK Menyebabkan Kanser

Benarkah...

Seorang wanita menghidap kanser selepas pengambilan pil perancang

Sumber : Facebook, Twitter / 1 Ogos 2020

Hasil

Pil perancang adalah selamat diambil dengan pemantauan doktor dan ia tidak menyebabkan kanser

23/12/2021 09:56 AM

SEKILAS FAKTA

  • Hantaran di Facebook ini telah tersebar tiga tahun lepas.
  • Pil perancang tidak menyebabkan kanser tetapi mampu mengurangkan risiko kanser.
  • Islam tidak melarang pengambilan pil perancang.

 

LATAR BELAKANG

Perancangan keluarga adalah satu elemen yang penting bagi menjaga hubungan dan mengatur kewangan sesebuah keluarga. Terdapat banyak cara dalam mengawal kelahiran, salah satunya adalah dengan pengambilan pil perancang.

 MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama ‘Nina Veloster’ telah memuat naik hantaran di Facebook menyatakan kakak dan kakak iparnya merupakan pesakit kanser yang berpunca ekoran pengambilan pil perancang. Hantaran tersebut disertakan dengan gambar seorang wanita terbaring dengan memakai pakaian hospital dan turut ditag lokasi Institut Kanser Negara.

Hantaran ini telah dikeluarkan tiga tahun lepas, namun ia kembali tular selepas satu akaun Facebook dengan nama ‘Kelab Wanita Ibu Isteri Malaysia’ berkongsi hantaran tersebut pada 1 Ogos 2020. Hantaran berkenaan menerima 880 komen dengan 3,500 perkongsian (setakat laporan ini ditulis). Berikut merupakan tangkap layar hantaran tersebut.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Kami cuba mencari pengguna Facebook yang menggunakan nama Nina Veloster. Namun tiada sebarang penemuan. Besar kemungkinan akaun ini telah ditutup.

Melalui carian google menggunakan kata kunci ‘Nina Veloster’ kami menemui satu akaun Instagram menggunakan nama ‘nina_mokhras’. Di bahagian profil dinyatakan beliau merupakan model sambilan dan mempunyai seramai 2,025 pengikut.

 

Tular pada 2018

Melalui carian Google imej berbalik, MyCheck menemui bahawa Nina Veloster telah memuat naik hantaran ini pada September 2018. Walaupun akaun tersebut telah ditutup, kami berjaya menemui hantaran tersebut.

 


Sumber: Facebook

 

Penulisan artikel 

MyCheck juga turut menjumpai beberapa penulisan artikel yang mengulas berkenaan dakwaan ini. Portal berita mStar telah mengeluarkan artikel berhubung isu ini pada 15 September 2018. Artikel yang mendapat komen daripada pengamal perubatan profesional negara ini menyatakan bahawa pil perancang tidak menyebabkan kanser. 

“Sekali lagi, saya menegaskan bahawa pil perancang selamat untuk diambil untuk jangka masa panjang dan ia telah terbukti merendahkan risiko kanser rahim, ovari dan usus besar,” menurut Dr Rusyainie Ramli yang dipetik dalam artikel berkenaan. 

 

Menghubungi sumber

Susulan penemuan akaun Instagram nina_mokhras, MyCheck juga mengambil langkah menghantar direct message kepada wanita itu dan kami mendapat respons yang pantas daripada beliau. 

Melalui perbualan kami, wanita itu mengakui bahawa beliau adalah ‘Nina Veloster’ yang telah membuat hantaran Facebook tersebut dan individu dalam gambar itu merupakan kakak iparnya yang telah meninggal dunia akibat kanser.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan penjelasan secara terperinci atau maklumat lanjut kerana tidak membaca laporan yang diberikan oleh doktor. 

“Mereka (doktor) cakap ada kemungkinan sebab pengambilan pil perancang yang berterusan... lebih daripada sepuluh tahun,” kata Nina.

Nina juga tidak pasti pil perancang itu diberi oleh Klinik Kesihatan atau sebaliknya.

 

Pil perancang tidak menyebabkan kanser

Dr Muhammad Izzat, seorang doktor perubatan kesihatan wanita dan kehamilan memberi komen tentang isu ini pada September 2018 selepas ia  tular di media sosial.

 


Sumber: Twitter

 

Beliau menyatakan di laman Twitternya bahawa pil perancang tidak menyebabkan kanser malah mengurangkan 50 peratus kebarangkalian untuk mendapat kanser ovari dan kanser rahim. 

Selain itu, pengambilan pil ini juga mampu menurunkan risiko kewujudan ketulan (bukan kanser) pada payudara seperti fibrocystic dan fibroadenomatosis sebanyak 50 hingga 70 peratus.

Di samping itu, Dr Izzat turut menjelaskan mengenai pengambilan pil perancang di laman Facebook beliau. Beliau menyeru orang ramai untuk tidak memberikan maklumat yang salah berkenaan pengambilan pil perancang.

 


Sumber: Facebook

 

Lakuan pemeriksaan doktor sebelum mengambil pil

Dr Izzat juga menasihati wanita untuk melakukan pemeriksaan mamogram ataupun pemeriksaan sendiri payudara dan pap smear sebelum mengambil pil ini. 

Pemeriksaan berikut dijalankan untuk mengenal pasti sama ada wanita mempunyai tanda-tanda awal kanser payu dara ataupun kanser serviks. 

Jika didapati mempunyai tanda-tanda awal kanser berikut, wanita tidak akan dibenarkan untuk mengambil pil tersebut. Dengan ini ia dapat menyelamatkan nyawa dan dalam masa yang sama mengelakkan daripada tanggapan negatif terhadap pil perancang. 

 

Dr Izzat turut menyenaraikan beberapa kriteria wanita yang tidak sesuai dengan pil perancang kehamilan gabungan (COCP) :

  1. Ibu yang menyusukan bayi pada enam bulan pertama

  2. Wanita yang merokok dan berusia 35 tahun ke atas

  3. Mempunyai migrain dengan aura

  4. Jisim berat badan (BMI) 35 dan ke atas

  5. Tekanan darah tinggi melebihi 160/100

  6. Mempunyai penyakit jantung atau risiko mendapat penyakit jantung

  7. Pernah ada masalah sejarah darah beku dalam saluran darah kaki atau saluran darah peparu iaitu venous thromboembolism (VTE)

  8. Mempunyai masalah pada hati (liver cirrhosis, liver failure, liver tumour)

  9. Penghidap strok

  10. Pernah melalui pembedahan yang memakan masa yang lama dan menyebabkan pesakit tak bergerak pada masa yang lama

  11. Sedang mengalami kanser payudara atau ada sejarah kanser payudara (diri sendiri)

 

Dr Izzat juga menasihati untuk menggunakan kaedah perancangan keluarga yang lain bagi sesiapa yang mempunyai gejala seperti di atas. 

Hantaran Dr Izzat ini turut dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia yang menasihati pengguna untuk mendapatkan nasihat daripada doktor yang bertauliah sebelum mengambil pil berkenaan. 

Wanita yang pertama kali mengambil pil perancang perlu melakukan pemeriksaan susulan pada tiga bulan pertama. 

Dr Izzat menjelaskan pemeriksaan susulan awal ini dijalankan untuk memeriksa tekanan darah, indeks jisim tubuh (BMI) dan menilai masalah-masalah lain yang berbangkit. Jika tiada masalah yang timbul, pemeriksaan seterusnya akan dijalankan sekali pada setiap tahun. 

“Pil perancang gabungan (COCP) boleh digunakan sehingga wanita itu berusia 50 tahun, dengan syarat wanita itu sihat. Selepas umur 50 tahun, kaedah lain perlu digunakan,” tambah Dr Izzat.  

 

Apa pandangan dari sudut Islam?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengulas mengenai isu ini di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Zulkifli mengatakan Islam sama sekali tidak melarang dan kaedah ini dipanggil sebagai Tanzim al-Nasal iaitu merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti berikut:

  1. Memakan ubatan pil perancang

  2. Melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur

  3. Memakai kondom

  4. Melakukan azal (ejakulasi luar rahim)

  5. Mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan

  6. Memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara

 

Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:

  1. Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan menjadi wajib untuk pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.

  2. Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.

  3. Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

 

Justeru, MyCheck menasihati semua untuk mendapatkan ilmu terutamanya mengenai kesihatan melalui pembacaan ataupun khidmat nasihat doktor sebelum berkongsi sesuatu berita atau pengalaman dengan orang ramai.

-- MYCHECK --

 

RUJUKAN

1.Sinar Harian. “Kanser: Jangan salahkan pil perancang” publish on 12 September 2018

2.mStar. “Doktor tepis mitos pil perancang punca kanser, sebaliknya selamat untuk jangka panjang”publish on 15 September 2018

3.Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan IRSYAD AL-FATWA KE-146 : HUKUM MERANCANG KELUARGA KERANA BERPENDAPATAN RENDAH disiarkan pada 18 November 2016 

4.https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10212918259094775&set=a.1887993483101&type=3&theater

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.