+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Vaksin Covid-19 SELAMAT Dan Tidak Libatkan Komponen Asal Haiwan

Benarkah...

Dokumen mendakwa bahan yang digunakan ketika penghasilan vaksin Covid-19 diambil daripada unsur haram untuk umat Islam, meragukan serta membahayakan tubuh.

Sumber : Facebook, WhatsApp / Februari 2021

Hasil

Kerajaan Malaysia beri jaminan vaksin Covid-19 yang dibeli adalah selamat kerana sudah diuji secara klinikal.

24/12/2021 08:25 AM

SEKILAS FAKTA

  • Vaksin keluaran syarikat Pfizer-BioNTech menggunakan kaedah versi sintetik virus pengutus RNA (mRNA). Ia langsung tidak melibatkan sel hidup seperti sel manusia ataupun haiwan.
  • Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-10 ambil ketetapan hukum penggunaan vaksin Covid-19 sebagai harus dan bagi golongan yang ditetapkan kerajaan, hukumnya adalah wajib.
  • Penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dilulus Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

 

LATAR BELAKANG

Bagi membendung penularan pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pemberian suntikan vaksin secara percuma kepada rakyat Malaysia menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan bermula 24 Februari 2021.

Vaksin keluaran syarikat Pfizer-BioNTech menjadi vaksin pertama yang diberikan kepada orang awam, dengan bekalan pertama membabitkan sebanyak 148,000 dos vaksin diterima secara berperingkat mulai 21 Februari 2021.

Setakat 24 Disember 2021, seramai 25,574,462 atau 78.3% penduduk di Malaysia telah lengkap divaksinasi iaitu menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 - menurut laman sesawang COVIDNOW yang diperkenalkan KKM bertujuan berkongsi maklumat dan data terkini berhubung situasi Covid-19 di negara ini.

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu dokumen berbahasa Melayu bertajuk ‘Persoalan dan Fakta Covid-19, Versi Bukan Arus Perdana’, dalam format PDF telah disebarkan di media sosial. 

Antara isi dokumen ini adalah dakwaan kandungan vaksin Covid-19 diragui mengandungi bahan tidak halal seperti sel janin bayi, sel khinzir, sel anjing serta bahan-bahan logam berbahaya termasuklah aluminium dan merkuri.

Dokumen yang disusun oleh Nur Barizah Abu Bakar bertarikh 1 Julai 2020 (berdasarkan nama yang terpapar pada dokumen) itu memetik beberapa kajian yang mendakwa vaksin Covid-19 dikatakan akan (belum ada vaksin yang sedia digunakan pada waktu dokumen ini diterbitkan) menggunakan kaedah terbaru yang tidak pernah diguna pakai dalam vaksin-vaksin sebelum ini iaitu menggunakan RNA virus.

Ia turut mendakwa kaedah penyediaan vaksin sangat berbahaya kerana boleh mengubah DNA manusia dan imuniti tubuh manusia. Kami sudah membuat semakan berkenaan perkara ini dalam laporan Vaksin Covid-19 TIDAK ubah DNA manusia.

Dokumen itu turut menyelitkan beberapa kes kajian berkaitan program vaksin yang gagal dan telah mengakibatkan mangsanya mengalami kesan sampingan buruk dan boleh menyebabkan autisme.

Hal ini telah mencetuskan perdebatan dan kegusaran dalam hati masyarakat Malaysia mengenai isu vaksinasi Covid-19 dari sudut pandangan hukum syarak termasuk isu halal yang menjadi perhatian utama orang Islam di negara ini.

 

APA KAMI TEMUI

Kami pecahkan kepada beberapa sub-topik ringkas bagi memudahkan kefahaman orang ramai tentang definisi, jenis, kandungan pembuatan, bagaimana fungsinya, kemusykilan umum terhadap vaksin hinggalah kepentingannya. Tujuannya bagi memberi suatu gambaran awal berhubung permasalahan yang akan dibincangkan.

Menurut portal rasmi MyHealth KKM di bahagian Imunisasi: Fakta dan Kemusykilan, vaksin secara penjelasan mudahnya adalah sejenis bahan yang dapat membantu mencegah sesuatu penyakit. Sebagai perumpamaan, badan manusia dilindungi oleh sistem pertahanan atau sistem imun sebagaimana suatu negara dilindungi oleh angkatan tentera.

Jadi vaksin umpama bahan latihan untuk angkatan tentera badan kita. Ia akan digunakan untuk mengenali dan menewaskan musuh, iaitu bakteria atau virus yang mungkin boleh menjangkiti badan dan menyebabkan penyakit pada masa hadapan.

Pemberian vaksin sejak beberapa dekad lalu diperkenalkan oleh kerajaan telah mampu mengurangkan pelbagai jenis penyakit yang dahulunya datuk nenek moyang kita pernah alami, seperti Cacar (Smallpox), Polio dan sebagainya. Mudah faham tak?

 

Bagaimana vaksin dihasilkan?

Proses pembuatannya terbahagi kepada dua iaitu kaedah konvensional dan kaedah sintetik.

Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Jadi sebarang penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawal selia dengan rapi serta tertakluk kepada peraturan Kebangsaan dan Antarabangsa di samping perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

 


Sumber: Portal MyHealth

 

  1. Pembiakan - Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.

  2. Pengasingan - Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.

  3. Penulenan - Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.

  4. Formulasi - Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvan dan agen penstabil.

 

Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan. (Lihat soalan lazim mengenai vaksin dan imunisasi, KKM & Jakim).

 

Apakah kandungan vaksin?

Di  bahagian Imunisasi: Fakta dan Kemusykilan KKM menerangkan vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria.

Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvan dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin.

Sabar. Jangan cepat melatah. Penghasilan vaksin ini tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan. Jika ia membahayakan keselamatan dan kesihatan, sudah pastinya kerajaan ‘banned’ vaksin-vaksin berkenaan.

 

Bukankah merkuri, aluminium bahaya terhadap tubuh?


Sumber: Facebook Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19

 

Di bahagian Imunisasi: Fakta dan Kemusykilan KKM menjelaskan pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin.

Jadi menjawab kepada kemusykilan keselamatan awam, pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal atau thimerosal. la mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Tapi ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri.

Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf kita. Thiomersal pula telah digunakan dalam vaksin sejak lebih 80 tahun lepas, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya.

Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal.

Penggunaan bahan penstabil pula berfungsi mencegah komponen vaksin daripada melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil.

Formaldehid turut digunakan. Tapi ia adalah bahan sampingan yang terhasil daripada proses pembuatan vaksin. Formaldehid digunakan dalam proses penghasilan sesetengah vaksin untuk melemahkan virus (seperti virus polio dan hepatitis A) atau toksin bakteria (seperti toksin difteria dan tetanus). Dalam erti kata lain, ia juga memainkan peranan penting sebagai pengawet.

Penggunaan adjuvan pula ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindak balas sistem ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (juga dikenali sebagai alum).

Pakar perubatan telah menjelaskan penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti bahawa garam aluminium yang ada dalam vaksin boleh menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangka masa panjang.

 

Sel janin digunakan?

 


Sumber: Portal MyHealth

 

Ya benar. Tapi dengar dulu penjelasannya. Sel janin digunakan untuk membuat lima jenis vaksin iaitu rubella, cacar air, hepatitis A, kayap dan penyakit anjing gila (rabies). Ia digunakan untuk membiakkan virus-virus tersebut bagi penghasilan vaksin.

Sel janin yang digunakan diperolehi dari dua pengguguran elektif yang dijalankan di Sweden dan England pada awal tahun 1960-an. Pengguguran janin baru tidak perlu dijalankan lagi kerana sel janin yang diperoleh dalam tahun 1960-an tersebut masih dikekalkan dalam kultur makmal.

 

Ahli saintis memilih untuk menggunakan sel janin atas beberapa sebab iaitu:

  1. Virus berbeza dari bakteria kerana ia memerlukan sel untuk membiak. Sel manusia adalah media yang lebih baik bagi menggalakkan pembiakan virus manusia, berbanding dengan sel haiwan.

  2. Sel janin kebal dan boleh membiak banyak kali sebelum mati, berbeza dari sel lain yang hanya membiak secara terhad sebelum mati.


Berbalik kepada dakwaan yang dibincangkan sebelum ini, sebenarnya perkara itu tular ketika krisis pandemik Covid-19 memuncak di seluruh dunia sekitar pertengahan 2020.

Waktu itu penghasilan vaksin Covid-19 masih sibuk dalam kajian. Jadi dapat dilihat pembuat teori konspirasi menggunakan dakwaan imunisasi yang sebelumnya (bukan Covid-19) untuk membuat tuduhan. Untuk semak fakta, sila rujuk tahun artikel MyHealth KKM Imunisasi: Fakta dan Kemusykilan diterbitkan bagi mendapatkan gambaran jelas.

 


Sumber: Portal MyHealth

 

Teknologi berbeza hasilkan vaksin?

Kami cuba tambahkan sedikit lagi pengetahuan anda tentang penghasilan vaksin Covid-19. Menurut artikel Wellcome.org, sebuah yayasan amal global, vaksin Covid-19 boleh dihasilkan dengan menggunakan pelbagai teknologi berbeza yang mana vaksin paling maju pada ketika ini menggunakan empat pendekatan berbeza:

 

I. Vaksin vektor viral

  • Virus yang tidak berbahaya diubah dengan memperkenalkan sebahagian daripada kod genetik virus penyebab penyakit, seperti kod untuk protein ‘spike’ Covid-19.
  • Virus yang tidak berbahaya berkenaan mengangkut kod ini ke sel tubuh kita, dengan cara serupa dengan vaksin RNA, yang kemudiannya mula menghasilkan protein. 
  • Hasilnya mencetuskan tindak balas imun. Erti kata lain, sistem imun kita menyerang virus yang sebenar pada masa akan datang.
  • Oxford-AstraZeneca (UK) adalah vaksin vektor viral pertama yang diluluskan untuk melawan Covid-19. 
  • Terdapat banyak lagi vaksin jenis ini dalam penyelidikan peringkat akhir seperti CanSino Biologics (China), Gamaleya Research Institute (Rusia) dan Janssen (US).
  • Adenovirus (sejenis virus yang boleh menjangkiti sistem pernafasan) digunakan oleh kesemua syarikat itu sebagai vektor atau pembawa.
  • Contoh lain vaksin vektor viral adalah vaksin Ervebo (rVSV-ZEBOV) Ebola yang menggunakan virus stomatitis vesikular (penyakit virus ternakan yang disebarkan terutamanya oleh lalat menggigit) sebagai pembawa.

 

II. Vaksin mRNA (pengutus asid ribonukleik)

  • RNA merupakan urutan kod genetik yang digunakan oleh tubuh kita sepanjang masa. Bahasa mudahnya, ia memberitahu sel-sel kita iaitu bentuk protein apa yang akan dibina supaya ia dapat berfungsi.
  • Untuk menghasilkan vaksin RNA, saintis membangunkan versi sintetik virus pengutus RNA (mRNA).
  • Apabila virus ini disuntik ke tubuh badan, sel-sel ‘membacanya’ sebagai arahan untuk mula membina protein virus yang relevan, seperti protein ‘spike’ Covid-19. Lantas ia mendorong sistem imun tubuh kita untuk bertindak balas melindungi dari jangkitan Covid-19 di masa hadapan.
  • Pfizer-BioNTech (US-Jerman) dan Moderna (US) adalah dua vaksin jenis mRNA. Kedua-duanya telah melaporkan tahap keberkesanan vaksin yang tinggi iaitu sekitar 95 peratus. 

 

*(Vaksin keluaran syarikat Pfizer-BioNTech yang merupakan kumpulan vaksin pertama tiba di Malaysia, menggunakan kaedah versi sintetik virus mRNA. Di sini tidak langsung melibatkan sel hidup seperti sel manusia ataupun haiwan).

 

III. Vaksin virus ‘lengkap’ 

  • Vaksin ini mungkin wujud dalam dua keadaan:
  • Vaksin tidak aktif (Inactivated) - versi virus ini yang tidak aktif dengan terdedah kepada haba, bahan kimia atau radiasi.
  • Vaksin zarah seperti virus (Virus-like particle) - Versi virus yang hampir menyerupai virus sebenar yang dicipta secara buatan, namun ia tidak mengandungi sebarang bahan genetik.
  • Penghasilan vaksin ini tidak boleh menyebabkan penyakit, tetapi akan menyebabkan tubuh kita menghasilkan tindak balas imun yang akan melindungi terhadap jangkitan pada masa akan datang.
  • Antara vaksin Covid-19 jenis tidak aktif yang paling maju sedang dibangunkan termasuklah Sinovac (China), Bharat Biotech (India) dan dua lagi institut biologikal mengambil bahagian dibawah Sinopharm (China).
  • Contoh vaksin tidak aktif digunakan sebelum ini termasuk vaksin batuk kokol, penyakit anjing gila dan hepatitis A.
  • Manakala vaksin zarah seperti virus yang sedang berada dalam ujian klinikal fasa III ialah dari Medicago Inc (Kanada).
  • Contoh vaksin zarah seperti virus yang ada ketika ini ialah vaksin barah serviks HPV. IV.

 

IV. Vaksin subunit protein

  • Sebahagian kecil kod genetik virus ini dimasukkan ke dalam sel lain, berkemungkinan sel bakteria, ragi, mamalia atau serangga.
  • Kod tersebut mengandungi arahan untuk sel ini mula membina protein virus, misalnya protein ‘spike’ Covid-19.
  • Sel-sel seperti ini bertindak sebagai ‘kilang’, dengan membina sejumah besar protein yang kemudiannya diekstrak, dibersihkan dan digunakan sebagai bahan aktif dalam vaksin.
  • Apabila disuntik, tubuh badan kita belajar mengenali protein virus maka ia dapat meningkatkan tindak balas imun yang melindungi terhadap jangkitan di masa depan.
  • Novavax (US) dan Anhui Zhifei Longcom (China) antara yang menggunakan pendekatan vaksin subunit protein.
  • Contoh vaksin subunit protein yang ada ketika ini adalah hepatitis B, yang menggunakan sel ragi untuk membina protein virus.

 


Sumber: Portal Gavi.org


 

Apa kata pakar?

Pakar-pakar perubatan tempatan serta ahli akademik sering kali mengulangi bahawa rakyat Malaysia tidak harus bimbang dengan keberkesanan dan keselamatan vaksin dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer. Anda boleh lihat antara artikel berita di sini, di sini, di sini dan di sini.

Kami turut berkongsikan pendapat dari seorang doktor Pakar Perubatan Keluarga yang banyak membuat perkongsian melawan mitos berkaitan perubatan di laman Facebook Dr Suhazeli Abdullah yang turut menyentuh isu ini dengan memuat naik status seperti berikut:

 


Sumber: Facebook Dr Suhazeli Abdullah

 

Pandangan ulama Islam dan pemimpin agama lain

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020 mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan. (rujuk artikel di sini).

Bukan itu sahaja, beberapa mufti agama negeri turut senada menyokong resolusi MKI. Anda boleh lihat di sini, di sini dan di sini.

Di peringkat antarabangsa pula, sebuah portal berita Muslim 5Pillars berpangkalan di United Kingdom (UK) menyatakan vaksin Pfizer-BioNTech adalah halal kerana ia tidak mengandungi komponen asal haiwan dan satu fatwa ditandatangani oleh para cendekiawan daripada beberapa institut Islam yang berpengaruh di UK.

Selain itu, kenyataan Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia (BMSM) Sister Loh Pai Ling, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh dan Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Datuk R.S. Mohan Shan dipetik dari Berita Harian bertarikh 17 Disember 2020 turut senada pendapat demi mencegah penularan melalui vaksin.

 

Kepentingan mengambil vaksin

Kepentingan yang paling utama adalah untuk melindungi diri, terutama bagi golongan berisiko tinggi. Ujian-ujian klinikal dijalankan untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin-vaksin yang sedang dibangunkan.

Jika terdapat kesan sampingan yang teruk (severe adverse effect), maka vaksin tersebut tidak akan diluluskan. Sebagai contoh, vaksin yang dihasilkan oleh University of Queensland bagi penghasilan antibodi untuk HIV (Human Immunodeficiency Virus), telah diberhentikan. Sila rujuk di sini.

Oleh itu, vaksin yang telah lulus ujian klinikal fasa 3 dan mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan KKM adalah selamat untuk diambil dan berkesan untuk melindungi daripada penyakit Covid-19.

Perlu diingatkan, vaksin adalah selamat. Benar, vaksin tidak menjadikan kita kebal tetapi sekurang-kurangnya ia boleh membantu mengekang jangkitan yang lebih serius dan mengelakkan kehilangan nyawa kita dan insan yang tersayang. 

-- MYCHECKMY


RUJUKAN

1.Harian Metro. “Kerajaan pantau gerakan antivaksin” Diterbitkan pada 16 Disember 2020.

2.Wellcome. “What different types of Covid-19 vaccine are there?” Diterbitkan pada 8 Disember 2020.

3.Children’s Hospital of Philadelphia. “Making Vaccines: How Are Vaccines Made?” Diterbitkan pada 3 Disember 2020.

4.MyHealth KKM. “Imunisasi: Fakta dan Kemusykilan” Diterbitkan pada 23 November 2015.

5.Mental Floss. “How Are Vaccines Made?” Diterbitkan pada 16 Mac 2020.

6.The Guardian. “Australia terminates University of Queensland vaccine deal with CSL after false positives for HIV” Diterbitkan pada 10 Disember 2020.

7.Sinar Harian. “Khairy sahkan vaksin Pfizer diluluskan NPRA” Diterbitkan pada 8 Januari 2021.

Astro Awani. “Usah bimbang keselamatan dan keberkesanan vaksin Pfizer - Pakar” Diterbitkan pada 20 Januari 2021.

8.Berita Harian. “NPRA luluskan vaksin COVID-19 yang selamat” Diterbitkan pada 10 Februari 2021.

9.Berita Harian. “Tolak persepsi negatif vaksin COVID-19” Diterbitkan pada 7 Februari 2021.

10.Youtube Astro Awani. “Isu Keselamatan dan Keberkesanan Vaksin Covid-19” Diterbitkan pada 20 Januari 2021.

11.Harian Metro. “Hukum ambil vaksin Covid-19 adalah harus” Diterbitkan pada 23 Disember 2020.

12.Berita Harian. “Hukum vaksin Covid-19 harus - Mufti Wilayah” Diterbitkan pada 14 Februari 2021.

13.Berita RTM. “Hukum ambil vaksin Covid-19, harus” Diterbitkan pada 15 Februari 2021.

14.Ismaweb. “Jangan ragui status vaksin COVID-19: Mufti P.Pinang” Diterbitkan pada 15 Februari 2021.

15.5Pillars. “Fatwa: Pfizer COVID-19 vaccine declared ‘halal’” Diterbitkan pada Disember 2020.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.