+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video Papar Penggunaan Haiwan Tidak Disembelih Untuk Pembuatan Daging Burger Tiada Kaitan Dengan McDonald’s - McDonald’s Malaysia

Benarkah...

Lembu, kuda atau kambing tanpa melalui proses penyembelihan dimasukkan ke dalam mesin pengisar bersaiz besar hingga hancur lumat bagi tujuan penghasilan daging burger oleh sebuah kilang pembekal produk daging McDonald’s di luar negara.

Sumber : WhatsApp / Disember 2020

Hasil

Video itu tiada kaitan dengan rangkaian McDonald’s.

29/12/2021 10:56 AM

SEKILAS FAKTA

  • Video berkenaan telah dimuat naik sejak 10 tahun lalu namun kembali tular.
  • Ia tiada kaitan dengan rangkaian restoran McDonald’s.
  • Francais McDonald’s Malaysia pula membeli daging daripada pembekal tempatan yang melalui proses penyembelihan patuh syariat dan dijamin halal.

(Nota: Artikel ini mengandungi maklumat mengenai isu yang tular pada JANUARI 2021. Ia disiarkan di MyCheck dengan tujuan dapat dijadikan rujukan masyarakat.)

 

LATAR BELAKANG

McDonald’s merupakan rangkaian restoran perkhidmatan segera yang beroperasi di Malaysia sejak 1982.

Sekalipun McDonald’s atau lebih sinonim dipanggi McD yang dilihat menghidangkan makanan ala barat - sama seperti restoran-restoran ‘western’, kesemua makanan dan minuman yang dihidangkan oleh McDonald’s Malaysia dijamin 100 peratus halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan lain-lain badan pengiktirafan halal yang diluluskan oleh JAKIM.

Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia telah ditubuhkan pada Mac 2013 dengan matlamat memastikan bahawa kesemua standard halal dipatuhi sepenuhnya. Ahli-ahlinya mewakili pihak Lembaga Pengarah Syarikat dan jabatan-jabatan penting seperti rantaian bekalan, jaminan kualiti, operasi, sumber manusia dan pemasaran.

Malah bagi memastikan segala produk McDonald’s Malaysia dijamin halal sepenuhnya, mereka telah melantik dua pakar syariah dari luar sebagai Penasihat Syariah kepada Jawatankuasa Halal Dalaman.


MENGENAI DAKWAAN

Tular kembali sebuah video memaparkan seekor lembu yang dikatakan tidak melalui proses sembelihan dimasukkan ke dalam mesin pemprosesan daging. 

Dalam video tersebut, terdapat suara seorang lelaki (voice over) mengatakan bahawa daging lembu yang diproses itu adalah untuk restoran makanan segera McDonald’s .

Suara dalam video tersebut juga mengatakan bahawa kilang itu memproses daging burger untuk McDonald’s seluruh dunia..


APA KAMI TEMUI

Cabaran kami dalam melakukan semakan fakta

Satu daripada kriteria yang MyCheck cuba penuhi adalah untuk memastikan setiap semakan yang dibuat tidak hanya berpandu daripada satu sumber.

Perkara ini amat perlu untuk memastikan semakan yang dibuat oleh MyCheck bersifat telus dan tidak berpihak.

Namun dalam semakan laporan ini, kami tidak mempunyai pilihan lain sebagai sumber rujukan kecuali bahan yang disediakan oleh pihak yang McDonald’s.

Atas sebab inilah kami meletakkan status semakan laporan ini sebagai ‘Tidak Pasti.’ 

Sekiranya ada pihak yang membuat laporan secara bebas berkaitan isu ini, kami boleh jadikannya sebagai rujukan dan boleh jadi ia akan mengubah status hasil semakan.

 

Video lebih 10 tahun 

Video berusia lebih 10 tahun itu kembali menjadi bualan di aplikasi laman sembang rentetan timbulnya isu kartel daging import yang dibongkar secara eksklusif oleh sebuah akhbar tempatan Sinar Harian bertarikh 2 Disember 2020 yang hangat diperkatakan oleh orang ramai.

MyCheck telah membuat carian imej berbalik dan mendapati video berkenaan telah dikongsikan oleh banyak blogger serta portal berita bermula sekitar hujung tahun 2010 lagi.

Berikut di sini, di sini dan di sini antara blog luar negara yang telah melaporkan dakwaan itu.  Blogger tempatan seperti SoZCyili (2011), Miazarraannur (2016), Perisik Rimba (2016) antara yang turut melaporkan dakwaan terbabit. Waktu itu, fenomena ‘blog’ banyak mewarnai media massa di Malaysia.

Bagaimanapun carian lanjut mendapati rakaman itu sebenarnya diambil daripada Live Leak, sebuah laman web perkongsian video yang berpangkalan di London, United Kingdom. Ini berikutan terdapat tera air (watermark) di sebelah atas rakaman berdurasi satu minit 54 saat itu.

Namun pautan asal video berkenaan yang bertajuk ‘Cow Massacre in USA’  telah dipadam daripada laman web Live Leak tersebut atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

 


Sumber: Live Leak / tangkap layar

 

Rentetan isu itu, pemilik saham tempatan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang mengendalikan rangkaian operasi McDonald’s Malaysia telah menafikan penularan video memaparkan lembu, kuda atau kambing dimasukkan tanpa melalui proses penyembelihan ke dalam mesin pengisar bersaiz besar.

 


Sumber: Laman sesawang mcdonalds.com.my

Struktur pemilikan McDonald's Malaysia

Bagi yang belum mengetahui, McDonald’s Malaysia dimiliki sepenuhnya oleh syarikat Lionhorn Pte Ltd dari Arab Saudi, di bawah sistem francais yang dikenali sebagai ‘Developmental Licensee’ (DL).

Melalui sistem tersebut, McDonald’s Corporation di Amerika Syarikat telah memindahkan hak milik mereka ke atas McDonald’s Malaysia kepada syarikat Lionhorn. Lionhorn telah diberi lesen untuk mengendalikan sepenuhnya operasi McDonald’s di Malaysia dan Singapura.

Untuk operasi McD di Malaysia, ia diusahakan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, sebuah syarikat milik tempatan yang dikendalikan oleh individu Islam sebagai pemegang saham terbesar.

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd dahulunya dikenali sebagai Golden Arches Restaurants Sdn Bhd.

Sementara itu, Syarikat Lionhorn adalah sebuah anak syarikat Reza Group yang diterajui oleh Sheik Fahd dan Abdulrahman Alireza. Mereka mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam mengendalikan lebih kurang 100 buah restoran McD di bahagian barat dan selatan Arab Saudi termasuk 23 buah restoran di Kota Suci Mekah dan Madinah. Anda boleh lihat berita itu di sini.

Menurut laman web rasmi McDonalds Malaysia di bahagian ‘Mengenali McDonald’s Malaysia’, sistem yang diperkenalkan itu bertujuan mempercepatkan pertumbuhan pasaran McDonald’s di Malaysia, yang mana pihak Lionhorn mampu menyuntik modal bagi membuka lebih banyak restoran McDonald’s dalam tempoh yang lebih singkat.

 

Penyediaan bahan mentah patuhi syariat Islam?

Sedia kita maklum bahawa kebanyakan bahan mentah yang digunakan di restoran McDonald’s berasaskan daging dan ayam. Jadi apa sahaja bahan yang perlu melalui proses penyembelihan pastinya menjadi isu sensitif terutamanya kepada umat Islam.

Syarikat pembekal yang memiliki sijil halal dan diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sahaja yang dibenarkan untuk berurusan dengan McDonald's.

 

Siapa pembekal utama McDonald’s Malaysia?

MacFood Service (M) Sdn Bhd merupakan pembekal utama kepada McDonald's Malaysia dan telah beroperasi sejak 1987.

Bertempat di kawasan perindustrian Subang Jaya, syarikat pembekal ini memiliki pengalaman dalam bidangnya selama lebih 30 tahun dan cukup mementingkan soal halal dalam proses bahan mentah sebelum dihantar ke McDonald's.

MacFood mengenakan kawalan dan ujian piawaian ketat dalam proses pengeluaran produk halal serta sentiasa mematuhi syarat-syarat halal yang digariskan.

Bukan itu sahaja, McDonald's Malaysia juga mementingkan soal kebersihan di premis mereka. Ini meliputi ruang penyimpanan makanan, hidangan, pengendalian, pembungkusan dan sistem saliran pembentungan.

Setiap pekerja di restoran McDonald's juga wajib dikenakan suntikan kesihatan sebelum layak untuk bekerja.

 

MacFood pembekal utama produk McDonald’s Timur Tengah.

MacFood mematuhi pelbagai piawaian dengan konsisten dan menerima pengiktirafan daripada beberapa agensi antaranya: 

  1. Menerima sijil halal daripada Halal Development Corporation (HDC)/JAKIM kerana mematuhi prosedur persijilan Halal Malaysia dan Sijil Veterinar Malaysia bagi pematuhan terhadap peraturan-peraturan pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV).

  2. Memenuhi pematuhan kepada keperluan program Jaminan Kualiti (QAP) dan Sistem Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).

  3. Menerima sijil HACCP bagi Program Food safety mangement sistem ISO 9001:2009 yang diberi SIRIM QAS meliputi Sistem Pengurusan Kualiti.

  4. ISO 9001:2008 yang diberi oleh JPV.

 

MacFood juga adalah pembekal utama produk McDonald's ke negara-negara sekitar Asia Pasifik dan Timur Tengah (seperti Arab Saudi dan UAE).

Selain pembekal tempatan, McDonald's juga mempunyai pembekal dari luar negara. Sebagaimana pembekal tempatan, pembekal luar negara juga akan melalui proses yang sama seperti pembekal tempatan yang dikendalikan penguat kuasa halal di luar negara. 

Untuk itu pembekal luar negara diwajibkan mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh pihak JAKIM.

 

Daging import McDonald’s Malaysia bersijil halal

Rentetan isu kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia terbongkar, pihak McDonalds Malaysia tampil lagi mengesahkan daging import mereka berstatus halal dan diiktiraf JAKIM.


Sumber: Facebook McDonald’s Malaysia

 

Menerusi kenyataan rasmi McDonald’s Malaysia bertarikh 30 Disember 2020 dan dikongsikan di laman sosial Facebook, mereka menjelaskan menggunakan daging import dan semua daging lembu tersebut diproses oleh pembekal sendiri, MacFood Services (M) Sdn. Bhd.

 


Sumber: Facebook McDonald’s Malaysia

 

Kesemua daging lembu itu diimport secara langsung dari pusat penyembelian di Australia, New Zealand dan Brazil. Mereka tidak menggunakan orang tengah atau pihak ketiga seperti isu kartel daging tidak halal yang dikatakan.

Pusat-pusat penyembelihan yang disenaraikan tersebut adalah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan mempunyai Sijil Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Pembekal McDonald’s iaitu MacFood Services juga memenuhi syarat-syarat audit keselamatan makanan pihak ketiga yang lain seperti:

  1. British Retail Consortium Global Standard (BRC) yang memenuhi kriteria Inisiatif Keselamatan Makanan Global (GFSI).

  2. Sistem Pengurusan Kualiti McDonalds (SQMS) yang merupakan standard global McDonald’s bagi keselamatan dan pengesahan kualiti.

Audit ini merangkumi kebolehkesanan dan penipuan makanan yang mengkaji bahan mentah yang digunakan dan kepatuhan.

Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu khuatir kerana status halal dan kebersihan di restoran McDonald's Malaysia adalah dijamin.

 

RUJUKAN

  1. Nikkei Asia. “McDonald's Malaysia and Singapore sold to Saudi group” Diterbitkan pada 5 Disember 2016.

  2. McDonald’s Malaysia. “Mengenali McDonald’s Malaysia” Diterbitkan pada 7 Disember 2017

  3. Harian Metro. “Isu sokong Israel, McDonald’s Malaysia bertindak” Diterbitkan pada 14 Disember 2017

  4. Sinar Harian. “Kartel tukar daging haram jadi halal” Diterbitkan pada 2 Disember 2020.

  5. Harian Metro. “Halal, bersih keutamaan McD” Diterbitkan pada 2 April 2015.

  6. Agenda Daily. “Meninjau kilang pembuatan produk McDonald’s” Diterbitkan pada 28 Mac 2016.

  7. Harian Metro. “Standard halal McDonald's Malaysia diiktiraf” Diterbitkan pada 6 April 2016.

  8. Hello Kerja. “Daging Import McDonalds Malaysia Bersijil Halal” Diterbitkan pada 31 Disember 2020.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.