+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Saranan Guna Panggilan Video Sebagai Pengganti Ziarah Sewaktu Musim Perayaan Merujuk Sambutan Krismas

Benarkah...

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah saran panggilan video digunakan sebagai pengganti amalan ziarah ketika menyambut perayaan.

Sumber : Facebook /Disember 2021

Hasil

Kenyataan itu dikeluarkan sempena sambutan perayaan Krismas pada 25 Disember 2021.

04/01/2022 08:10 AM

SEKILAS FAKTA

  • Malaysia telah beralih kepada fasa endemik Covid-19.

  • Peralihan fasa itu membolehkan kerajaan membuka secara berperingkat aktiviti sosial dan ekonomi serta sekatan perjalanan termasuk membenarkan sambutan perayaan di negara ini bermula dengan perayaan Deepavali pada 4 November 2021.

  • Dr Noor Hisham pada 24 Disember 2021 mengeluarkan kenyataan meminta panggilan video digunakan sebagai pengganti amalan ziarah ketika menyambut perayaan Krismas.

 

LATAR BELAKANG

Amalan ziarah sempena musim perayaan sudah menjadi rutin rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk mengunjungi sahabat handai, saudara-mara dan rakan bagi merapatkan silaturahim.

Penularan pandemik Covid-19 memaksa kerajaan mengehadkan aktiviti ziarah bagi mengelakkan penularan wabak itu dan rakyat di negara ini hanya dibenarkan untuk mengunjungi ahli keluarga dan jiran terdekat dengan jumlah kehadiran pelawat yang tertentu bagi kesemua perayaan.

Penurunan kes jangkitan Covid-19 di kebanyakan negeri di negara ini menyaksikan kerajaan mengambil keputusan menghentikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus membolehkan aktiviti rentas daerah dan negeri dibenarkan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu hantaran di laman sosial bahawa Dr Noor Hisham Abdullah menasihati rakyat Malaysia untuk memanfaatkan panggilan video pada musim perayaan berbanding amalan ziarah bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Segelintir masyarakat beranggapan Dr Noor Hisham memberi peringatan itu sebagai bayangan bahawa kerajaan akan melaksanakan PKP sekali lagi serta mengehadkan rakyat untuk melakukan aktiviti sosial dan ekonomi termasuk menyambut perayaan pada 2022.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hasil semakan MyCheck mendapati memang benar Dr Noor Hisham mengeluarkan kenyataan itu menerusi laman Facebook rasminya pada 24 Disember 2021.

Peringatan itu dikeluarkan sempena sambutan perayaan Krismas pada 25 Disember 2021.

 


Sumber: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

 


Sumber: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

 

Beberapa portal berita seperti Berita Harian dan Harian Metro turut menyiarkan kenyataan Dr Noor Hisham itu termasuk satu portal iaitu inforakyat.net yang memetik laporan yang dikeluarkan portal berita freemalaysiatoday (MyCheck bagaimanapun gagal mengesan laporan asal daripada freemalaysiatoday yang dipercayai telah dipadamkan).

Bagaimanapun, MyCheck mendapati portal inforakyat.net tidak meletakkan perkataan ‘Krismas’ pada tajuk beritanya, yang dipercayai mencetuskan kekeliruan pembaca yang tidak membaca sepenuhnya laporan berita dan membuat kesimpulan bahawa kenyataan Dr Noor Hisham merujuk kepada semua perayaan yang akan datang.

 


Sumber: Portal inforakyat.net

 

Beberapa pengguna Facebook antaranya yang menggunakan nama Muhammad Yusmi, Melaka Kini dan Mohd Farid kemudian telah berkongsi (share) laporan daripada inforakyat.net ke Facebook dan menerima komen daripada beberapa pengguna Facebook lain.

Pengguna-pengguna Facebook itu berpandangan Dr Noor Hisham mengeluarkan kenyataan berkenaan kerana kerajaan akan melaksanakan semula sekatan pergerakan, sekali gus menyekat mereka untuk merentas negeri pulang beraya ke kampung halaman pada tahun ini.



Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya Dr Noor Hisham ada mengeluarkan kenyataan bertajuk NASIHAT PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA MENYAMBUT PERAYAAN HARI NATAL SEWAKTU PANDEMIK COVID-19 yang merujuk kepada perayaan Krismas pada 25 Disember 2021.

Masyarakat dinasihati jangan panik kerana setakat ini kerajaan belum membuat sebarang pengumuman untuk melaksanakan sekatan pergerakan di seluruh negara. Latih diri untuk membaca keseluruhan berita atau semak dahulu fakta sebelum membuat sebarang kesimpulan yang boleh mencetuskan kekeliruan. 

Selain itu, walaupun negara kini telah beralih kepada fasa endemik, kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus mengamalkan prosedur operasi standard seperti memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, elak berkumpul di tempat sesak serta kerap mencuci tangan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

–MYCHECK.MY–

RUJUKAN:

  1. inforakyat.net

  2. Berita Harian

  3. Harian Metro

  4. Facebook Haji Husam Musa Group

  5. Facebook Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.