Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan jemaah yang berusia antara 18 hingga 50 tahun sahaja untuk mengerjakan umrah.
Sumber : WhatsApp / November 2021
Tiada sebarang arahan dikeluarkan, jemaah umrah dari luar negara yang sihat, lengkap vaksinasi dan berumur 12 tahun ke atas dibenarkan mengerjakan umrah.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Penularan Covid-19 di seluruh dunia menyebabkan perubahan 360 darjah dari segala aspek. Pelancongan merupakan salah satu sektor yang terjejas teruk ekoran penularan virus ini. Rakyat di negara ini dilarang ke luar negara bagi tujuan melancong dan sekatan turut dikenakan terhadap pelancong untuk datang ke Malaysia.
Sekatan pintu sempadan ini juga menyebabkan terhentinya kebenaran mengerjakan umrah dan haji melibatkan rakyat dari luar Arab Saudi. Pengumuman ini dibuat oleh kerajaan Arab Saudi sendiri bagi mengekang penularan Covid-19 semasa mengerjakan ibadah haji dan umrah.
Namun, pada awal Ogos 2021 kerajaan Arab Saudi membuat pengumuman bahawa mereka akan mula menerima kemasukan bagi haji dan umrah dari luar negara untuk jemaah yang sudah divaksin mulai 9 Ogos 2021, selepas lebih setahun tidak menerima jemaah dari luar negara.
MENGENAI DAKWAAN
Susulan pembukaan semula pintu sempadan Arab Saudi ini, tersebar pula satu dakwaan menyatakan Arab Saudi hanya membenarkan individu dari luar negara yang berumur antara 18 hingga 50 tahun sahaja untuk mengerjakan ibadah umrah.
Mesej berstatus ‘forwarded many times’ di aplikasi WhatsApp disertakan dengan pautan daripada sumber berita Gulf News.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck menyemak dakwaan ini dengan membuka pautan yang disertakan dengan mesej berkenaan dan memang benar Gulf News ada menyiarkan berita tersebut. Berita ditulis pada 19 November 2021 dan masih ada setakat laporan ini ditulis.
Akhbar tempatan Berita Harian didapati turut menyiarkan berita ini pada 22 November 2021 bertajuk ‘Permit umrah jemaah warga asing hanya bagi usia 18-50 tahun’, dengan memetik berita Gulf News yang dilaporkan AGENSI.
Berita berkaitan
MyCheck membuat carian berita berkaitan umrah yang dikeluarkan oleh Gulf News dan apa yang kami temui, satu berita telah ditulis pada 15 Disember 2021 berkaitan kebenaran mengerjakan umrah bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.
Walaupun tidak mengulas mengenai dakwaannya sebelum ini, namun dalam satu perenggan, Gulf News ada menyatakan (diterjemah) “kebenaran umrah sebelum ini diberikan kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas,”.
Penjelasan dari kerajaan Arab Saudi
Bagaimanapun, pada 23 November 2021 iaitu sehari selepas berita berkaitan had umur itu dikeluarkan, Berita Harian mengeluarkan pula berita susulan bertajuk ‘Arab Saudi nafi hadkan umur buat umrah’ dan satu lagi berita pada 29 November 2021 bertajuk ‘Arab Saudi batal had usia 50 tahun bagi visa umrah’.
Menurut berita bertarikh 23 November itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata pihak TH sudah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang kemudian menafikan dakwaan itu.
"Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan berita berhubung penetapan had umur bagi permit umrah itu tidak benar malah pihak di sana terkejut dengan berita itu kerana dikhuatiri merisaukan bakal jemaah.
“Kami beri jaminan tiada arahan sedemikian dari Arab Saudi dan proses mengerjakan umrah berjalan lancar seperti biasa,” menurut Ahmad Ruzman.
Ahmad Ruzman turut memaklumkan jemaah umrah dari luar negara yang sihat, lengkap vaksinasi dan berumur 18 tahun ke atas dialu-alukan untuk mengerjakan umrah.
Malah, kini had umur minimum telah dilonggarkan kepada 12 tahun (pada waktu laporan ini ditulis).
KESIMPULAN
Maka, jelaslah di sini bahawa dakwaan had umur antara 18 hingga 50 tahun sahaja dibenarkan untuk mengerjakan umrah adalah tidak benar sama sekali. Penularan maklumat seperti ini sudah pastinya menggusarkan ibu bapa, pakcik makcik di luar sana yang sudah lama menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah sejak dari awal sekatan susulan penularan Covid-19 lagi.
Jadi, kalau tak pasti, buatlah semakan fakta atau hubungi kami di MyCheck ya. Kami semakkan untuk anda!
--MYCHECK.MY--
RUJUKAN
3.Berita Harian ‘Arab Saudi nafi hadkan umur buat umrah’ diterbitkan pada 23 Novermber 2021
4.Berita Harian ‘Arab Saudi batal had usia 50 tahun bagi visa umrah’ diterbitkan pada 29 November 2021
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.