Pewarna berwarna merah yang diletakkan dalam makanan dan bahan kosmetik berasal daripada sejenis serangga dikenali sebagai cochineal.
Sumber : Twitter/ November 2021
Cochineal adalah kumbang betina yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Persoalan tentang isu halal dan haram bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Islam di Malaysia. Kerap kali isu berkenaan menjadi perbualan hangat termasuk di alam maya.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, halal berasal daripada perkataan Arab yang sinonim dengan maksud dibenarkan, diizinkan, dibolehkan dan diperkenan. Ia juga membawa maksud hukum membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan (dalam Islam), dibolehkan (tidak ditegah oleh syarak).
Di Malaysia, isu halal ini dikendalikan oleh JAKIM melalui Bahagian Hab Halal.
Terkini, Bahagian Hab Halal JAKIM juga telah mengambil inisiatif untuk memberi penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular (viral) di pautan Facebook Bahagian Hab Halal.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu ciapan di Twitter berserta gambar yang dimuat naik seorang pengguna menggunakan nama @ali_jazimie mengatakan sejenis serangga yang dikenali sebagai cochineal digunakan secara meluas dalam industri makanan dan kosmetik.
Juga terdapat satu hantaran di Facebook berkaitan isu sama yang secara jelas menyatakan penggunaan bahan ini adalah haram dalam Islam.
Pada paparan yang terdapat dalam gambar di Facebook itu tertulis:
FATWA MUFTI KERAJAAN
PEWARNA YANG BERASAL DARI COCHINEAL YANG DIBERI KOD C.I 75470 ATAU E120 SAMA ADA PADA MAKANAN, MINUMAN, UBAT-UBATAN ATAUPUN KOSMETIK ADALAH TIDAK HALAL DIMAKAN DAN TIDAK SUCI UNTUK DIGUNAKAN
APA YANG KAMI TEMUI
Siapa @ali_jazimie?
Carian MyCheck di Twitter @ali_jazimie pula mendapati pengguna akaun itu bukanlah seseorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang kesihatan. Melalui pemerhatian MyCheck, ciapan yang dihantar adalah berdasarkan tangkap layar yang diperoleh daripada sumber secara rawak dari Internet atau dikongsikan kembali daripada hantaran seseorang.
Berikut kami kongsikan hasil dapatan pertama apabila membuat carian Google menggunakan perkataan ‘carmine’.
Apa perbezaan antara carmine dan cochineal
Menurut buku Handbook on Natural Pigments in Food and Beverages yang dikeluarkan pada 2016, Carmine adalah warna yang diperoleh daripada ekstrak dan asid carminic yang bertindak untuk mengeluarkan warna.
Cochineal pula sejenis serangga yang mana setelah melalui proses-proses tertentu, akan menghasilkan pewarna merah. Pewarna ini banyak digunakan dalam industri makanan dan juga kosmetik seperti penghasilan pewarna bagi gincu.
Jadi, ya, memang benar cochineal digunakan sebagai pewarna berwarna merah.
Cara pemprosesan
MyCheck mencari apa-apa maklumat mengenai cara pemprosesan bahan makanan dan kosmetik berwarna merah seperti yang terdapat di YouTube.
Benar, serangga ini digunakan dalam bahan makanan dan kosmetik. Anda boleh melihat cara pemprosesannya di sini dan sini. Terdapat dua cara memproses bahan ini melalui kaedah moden dan tradisional.
Menurut penjelasan dalam video berkenaan, serangga ini ‘diternak’ melalui penanaman kaktus secara besar-besaran di Afrika Selatan dan Peru. Malah, ia juga merupakan salah satu sumber pendapatan di sana. Dikongsikan di sini gambar daripada food-info.net menunjukkan keberadaan serangga ini (yang berwarna putih) di pokok kaktus.
Berdasarkan carian kod E120 bagi pewarna jenis ini pula mendapati ia biasanya terdapat di pek-pek makanan.
Penjelasan dari Pejabat Mufti
Mengulas mengenai isu ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia ada mengeluarkan satu artikel bertajuk Pewarna Merah Gincu Bibir yang diperbuat daripada Cochineal. Adakah halal? Berikut adalah penjelasan daripada mereka:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna Cochineal dan Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI, muzakarah berpandangan bahawa cochineal adalah sejenis serangga yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan boleh dimanfaatkan oleh manusia.
Penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan bahan gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana tidak mendatangkan kemudaratan.
Menurut pejabat mufti, cochineal juga adalah serangga yang mana darahnya tidak mengalir. Di dalam fiqh, serangga jenis sebegini adalah suci. Oleh itu pewarna yang diambil daripada cochineal ini adalah suci.
Penjelasan gambar oleh JAKIM
Bahagian Hab Halal JAKIM turut memberi penjelasan berkenaan gambar yang tular mengatakan pewarna yang berasal daripada cochineal adalah tidak halal. MyCheck kongsikan sekali lagi gambar berkenaan di bawah ya.
Menurut JAKIM, gambar yang tular tersebut adalah pembentangan yang dibuat di program Brunei Halal Showcase (BRUHAS) 2017 dan ia merupakan pandangan dan ketetapan bagi Negara Brunei Darussalam sahaja.
Malaysia pula berpegang pada keputusan fatwa berdasarkan sighah yang telah dibuat iaitu HARUS.
JAKIM juga menyatakan orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berkenaan isu-isu halal yang tular boleh mengikuti penjelasan lanjut di Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM.
Selain itu, status halal produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia boleh didapati dengan melayari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar SmartHalalApps.
KESIMPULAN
Apa yang dapat disimpulkan di sini, JAKIM telah menjelaskan bahawa cochineal adalah jenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia.
MyCheck menghormati tentang kegusaran dan keraguan anda semua mengenai isu halal dan haram ini. Tetapi, seperti biasa jangan cemas, semak di Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM atau hubungi MyCheck dan kami tolong ‘check’ kan untuk anda. okay?
--MYCHECK.MY--
RUJUKAN
2. Pewarna Merah Gincu Bibir yang diperbuat daripada Cochineal. Adakah halal?
3. Dewan Bahasa dan Pustaka “halal”
4. YouTube “How is e120 Carmine/cochineal made”
5. YouTube “Cochineal Bugs Create Red Dye: A Moment in Science”
6. Food- info “Cochineal, Carmine, Carminic acid (E120)”
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.