+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Gambar Anjing Diwarnakan Menyerupai Harimau Adalah Gambar Lama Dan Berlaku di Filipina

Benarkah...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengeluarkan gambar seekor anjing diwarnakan oren dengan belang hitam menyerupai seekor harimau di Negeri Sembilan, Malaysia.

Sumber : WhatsApp/ Facebook Februari 2022 

Hasil

Gambar anjing seperti harimau itu diambil oleh seorang individu di Filipina sebelum dimuat naik di akaun Facebook dengan nama Ian Chioco.

03/02/2022 09:49 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di Facebook bahawa Bernama mengeluarkan gambar seekor anjing yang diwarnakan menyerupai harimau yang dikatakan diambil di Negeri Sembilan.
  • Ia merupakan gambar lama yang pernah disebarkan sekitar tahun 2020 dan diulang siar.
  • Gambar asal diambil oleh seorang individu di Filipina sebelum dimuat naik di akaun Facebooknya yang menggunakan nama Ian Chioco.
  • Individu berkenaan menemukan haiwan itu ketika sedang berbasikal di kawasan Ugong, bandar Valenzuela, Filipina.
  • Bernama turut menafikan mengeluarkan gambar tersebut.

 

LATAR BELAKANG

Heboh di media sosial gambar seekor haiwan seperti anjing tetapi dicat dengan warna dan corak seumpama harimau.

Gambar itu dikatakan dikeluarkan oleh sebuah agensi berita, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ia mencetuskan tanda tanya masyarakat khususnya warganet berhubung di manakah gambar itu diambil dan siapakah yang telah mewarnakan haiwan berkenaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Instagram Bernama Official

 

My Check Malaysia menerima dakwaan tular berhubung foto seekor anjing yang diwarnakan oren dengan corak belang menyerupai harimau.

Kejadian itu didakwa berlaku di Malaysia dan dikatakan gambar asalnya diambil daripada Bernama.

Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat carian rawak menerusi enjin carian Google dengan kata kunci 'anjing dicat seperti harimau' dan kebanyakan maklumat menyatakan kejadian itu berlaku di Malaysia. 

Perkara itu telah tular sejak tahun 2020.

 


Sumber: Google

 

Maka berdasarkan carian tersebut jelaslah bahawa kejadian ini bukanlah baru terjadi tetapi gambar dan dakwaan lama yang ditularkan semula sejak semalam.

Seterusnya MyCheck cuba mencari maklumat lanjut berdasarkan gambar anjing yang diwarnakan seperti harimau itu untuk mengetahui dari mana asal gambar berkenaan sama ada  diambil di Malaysia atau sebaliknya.

Semakan kami mendapati kejadian tersebut bukan berlaku di Malaysia.

Ia berdasarkan laporan portal EliteReaders yang mengatakan bahawa gambar yang tular itu pada asalnya dikongsi oleh pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ian Chioco seorang warga Filipina.

 

Penafian Bernama

Tidak lama selepas dakwaan gambar anjing itu tular, Bernama tampil memberi penjelasan dan menafikan gambar yang tersebar tersebut dikeluarkan oleh pihaknya.

Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus dalam kenyataan menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan foto tersebut dan kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab memalsukan fakta kononnya foto itu dikeluarkan oleh Bernama.

 

Gambar Peribadi

MyCheck seterusnya menjejaki pemilik akaun Facebook berkenaan kerana berdasarkan maklumat oleh portal EliteReaders, gambar tersebut diambil sendiri oleh Ian Chioco.

Setelah meneliti Facebook tersebut, ternyata terdapat hantaran yang dimuat naik pada 24 Ogos 2020 mengenai anjing yang diwarnakan menyerupai harimau itu. Sehingga kini, hantaran tersebut masih ada.

Hantaran itu mendapat 18,000 reaksi, 13,000 perkongsian serta lebih 3,000 komen daripada warganet (setakat laporan ini ditulis).

Memandangkan gambar berserta kapsyen ditulis dalam Bahasa Tagalog, kami turut menyemak versi terjemahan dalam Bahasa Inggeris bagi memastikan maksud yang dipetik daripada kapsyen ditulis Ian Chioco itu tidak difahami secara salah.

 


Sumber: Google Translate

 

Apa yang dapat difahami menerusi terjemahan itu ialah Ian Chioco yang sedang menaiki basikal untuk pulang ke rumahnya terkejut melihat seekor anjing yang menyerupai harimau dan mempersoalkan kenapa anjing berkenaan diwarnakan seperti itu.

 


Sumber: Facebook Ian Chioco

 

Penjelasan Daripada Pemilik Anjing

Ian Chioco pada hari yang sama bagaimanapun memasukkan kemas kini (update) di hantarannya itu dengan menjelaskan bahawa pemilik anjing tersebut ada menghantar mesej memberitahu bahawa haiwan itu adalah anjing peliharaannya.

Menurut pemilik anjing berkenaan, haiwan itu dalam keadaan baik dan tindakannya mewarnakan anjing tersebut menyerupai seekor harimau bukan untuk menakutkan orang ramai, tetapi sekadar suka-suka.

Ian Chioco memaklumkan pemilik anjing berkenaan turut menjelaskan mengenai pewarna yang digunakan pada bulu anjingnya yang mana ia bebas toksik dan selamat digunakan.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian sebuah portal berita Filipina News5 yang berkongsi maklumat serupa menerusi laman Facebook rasminya yang mempunyai lebih lapan juta pengikut.

 


Sumber: Facebook News5

 

Gambar Sama Pernah Mendapat Perhatian Persatuan Pencinta Haiwan Pada 2020 ​​​​​​

Lebih setahun lepas, Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) pernah menawarkan hadiah kepada pemberi maklumat berhubung kejadian seekor anjing diwarnakan menyerupai harimau.

PHM dalam hantaran menerusi Facebooknya turut berkongsi gambar-gambar anjing yang sama yang diulang sebar semalam, bagaimanapun pada ketika itu, belum dapat dipastikan kejadian tersebut berlaku di dalam negara atau sebaliknya.

Persatuan itu menggesa orang ramai membantu Animal Malaysia mencari lokasi di mana dan siapa pemilik haiwan itu selain menawarkan hadiah misteri kepada pemberi maklumat lengkap jika kejadian itu berlaku di dalam negara.

PHM menerusi laporan yang dikeluarkan Harian Metro pada 30 Ogos 2020 bertajuk Ini kes luar negara lah turut mengesahkan maklumat yang mereka terima menyatakan kejadian itu berlaku di luar negara.

Presidennya Arie Dwi Andika menjelaskan tujuan persatuan itu menularkan kes berkenaan supaya mendapat maklumat sahih mengenai penganiayaan haiwan jika perkara itu memang berlaku di negara ini, yang mana pihaknya tidak akan bertolak ansur.

 


Sumber: Facebook Persatuan Haiwan Malaysia

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan dan maklumat yang telah kami kumpul, dapat disahkan bahawa gambar anjing diwarnakan menyerupai harimau itu bukan diambil oleh Bernama dan kejadian itu tidak berlaku di Malaysia.

MyCheck menasihati orang ramai supaya tidak mudah menyebar gambar dan informasi yang tidak diketahui sumber asalnya. Semak sebelum sebar!

--MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN

1.Facebook Ian Chioco  

2.Posting asal Ian Chioco  

3.Elitereaders.com: dog dyed to look like a tiger sparks outrage among netizens 

4.Facebook News5 

5.Facebook Persatuan Haiwan Malaysia 

7.Gambar tular anjing diwarna belang harimau bukan foto Bernama 

8.Thestar.com: quickcheck was a dog painted to look like a tiger during cny to scare neighbours 

9.Theanimalrescuesite.greatergood.com: stray dog painted to look like tiger 

10.hmetro: foto lama dikitar semula 

11.hmetro.com: ini kes luar negara lah 


 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.