+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Imuniti Menurun Selepas Terima Dos Lengkap Vaksin Covid-19

Benarkah...

Imuniti menurun selepas menerima dos lengkap (dua dos primer) vaksin Covid-19.

Sumber : WhatsApp, Twitter / Disember 2021 / Januari 2022

Hasil

Penurunan imuniti memang berlaku dalam tempoh masa tertentu pada kebanyakan penerima dos lengkap vaksin Covid-19.

04/02/2022 12:27 PM

SEKILAS FAKTA

  • Kajian mendapati berlaku penurunan imuniti selepas tiga hingga enam bulan individu menerima dos lengkap vaksin Covid-19.
  • Penurunan imuniti boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan Covid-19.
  • Suntikan dos penggalak atau ‘booster dose’ disyorkan kepada penerima dos lengkap bagi mengekalkan imuniti pada tahap optimum.

 

LATAR BELAKANG

Pandemik Covid-19 mula dikesan pada penghujung 2019 di Wuhan, China sebelum menular ke seluruh dunia.

Susulan penularan wabak yang membawa maut itu, vaksinasi Covid-19 diwujudkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Dua dos suntikan vaksin primer disahkan mampu mengekang seseorang individu mendapat jangkitan yang serius sekali gus mengelakkan kehilangan nyawa.

Bagaimanapun pemerhatian dan kajian pakar daripada pelbagai negara mendapati berlaku penurunan imuniti terhadap penerima vaksin lengkap selepas tempoh tertentu yang mendorong seluruh dunia memperkenalkan pemberian dos penggalak.

Dos penggalak merujuk kepada dos vaksin tambahan yang diberikan selepas seseorang menerima dua dos awal mengikut aturan yang ditetapkan.

Tidak seperti kejayaan program vaksinasi Covid-19 beberapa bulan lepas, sambutan untuk program dos penggalak yang bermula pada 13 Oktober 2021 di seluruh negara dilihat kurang memuaskan.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima kiriman satu tangkap layar (screenshot) berhubung laporan oleh portal Berita Harian Online dengan kapsyen ‘Imuniti menurun selepas dos lengkap’.

 


Sumber: Berita Harian Online

 

Tangkap layar tersebut tular melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial Twitter.

Ia menunjukkan gambar seorang petugas kesihatan bersama jarum picagari dengan vial (bebuli) vaksin yang merupakan dos penggalak.

Tajuk artikel tersebut mencetuskan reaksi segelintir individu antaranya yang mempertikaikan keberkesanan vaksinasi terhadap imuniti.

 


 

APA KAMI TEMUI

Pertama sekali, MyCheck melakukan carian mudah terhadap tangkap layar artikel itu dan mendapati ia sememangnya sahih dikeluarkan oleh Berita Harian pada 29 Disember 2021.

Bagi menyokong dakwaan isu penurunan imuniti itu, kami juga melakukan pemeriksaan dan menemui beberapa berita yang hampir serupa seperti Harian Metro, Berita Harian, Astro Awani, Bernama, Sinar Harian, The Star, The New Straits Times, termasuk media antarabangsa seperti New York Times dan South China Morning Post.

 


Sumber: The New York Times

 

Apa Kata Pakar Perubatan?

Ringkasannya ramai pakar perubatan tempatan mahupun antarabangsa bersetuju bahawa penurunan perlindungan atau imuniti selepas penerimaan vaksin dalam tempoh tertentu adalah perkara yang lazim berlaku pada kebanyakan penerima dua dos primer vaksin Covid-19.

Memetik artikel Berita Harian bertarikh 29 Disember 2021, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Mohd Hanif Zailani berkata berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas mendapat dos kedua vaksin COVID-19.

Dapatan itu berdasarkan data Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH).

“Bagi vaksin Pfizer, dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas menerima dos kedua, daripada 88.7 peratus imuniti dalam badan, ia menurun sebanyak 20.7 peratus selepas tempoh tiga hingga lima bulan, iaitu kepada 68.0 peratus.

“Bagi Sinovac, imuniti dalam bulan pertama dan kedua (selepas suntikan dos kedua) sekitar 76.1 peratus dan menurun dalam tempoh lima hingga enam bulan sebanyak 48.2 peratus dengan imuniti serendah 27.9 peratus," menurut Dr Mohd Hanif.

Turut memberikan pandangan ialah Pakar Dasar Kesihatan Awam Dr Khor Swee Kheng yang dikenali di Twitter sebagai @DrKhorSK yang turut menyatakan vaksin Covid-19 bukanlah suntikan ajaib yang sempurna dengan perlindungan jangka panjang 100 peratus selepas dua dos.

Memetik kenyataannya menerusi portal berita mStar, hampir setiap vaksin lain memerlukan tiga dos seperti hepatitis B, difteria atau polio. Ini ditambah pula dengan sistem imun badan kita secara amnya berfungsi lebih baik dengan lebih banyak pencetus.

Atas sebab itu, dos penggalak bukan sahaja berkesan dan selamat, ia mengikut sains sistem imun kita dan vaksin lain.

 

Kenapa Perlu Dos Penggalak?

Keputusan pemberian dos penggalak dibuat berdasarkan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendapat nasihat daripada kumpulan pakar penasihat strategik (SAGE) berkaitan Imunisasi dan Vaksin Covid-19 (WHO 2021).

Ia berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan oleh para penyelidik dan perubatan dalam penerbitan.

Pakar perubatan yang aktif di media sosial Dr Malar Santhi, seorang Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia Cheras, Selangor yang dipetik daripada portal Sinar Harian berpandangan dos penggalak sememangnya diperlukan untuk memanjangkan tempoh perlindungan.

Menurut pengamatan beliau, tempoh pandemik dilihat tidak akan berhenti dalam masa yang terdekat.

Pandangan pakar perubatan itu juga boleh dilihat menerusi video yang dikongsikan di laman Facebook Celoteh Dr Malar.

Bagi pihak kerajaan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di kaca televisyen serta media sosial juga sering kali menyarankan pengambilan dos penggalak bagi memastikan imuniti individu yang telah lengkap vaksinasi kekal pada tahap optimum.

 


Sumber: BERNAMA

 

Kenapa Boleh Berlaku Jangkitan Teruk Kepada Mereka Yang Divaksin?

Salah satu sebab adalah keimunan dalam individu yang telah divaksin mengalami kemerosotan. Ini menyebabkan apabila terdapat pendedahan kepada virus sebenar yang masih berlegar sekarang, tidak dapat ditandingi oleh gerak balas imun yang pernah dijana oleh sesetengah vaksin.

Maka langkah mengatasi masalah ini adalah melalui pemberian dos penggalak daripada jenis berbeza. Kita akan kupas sebentar lagi.

 

Antibodi Penerima Dos Sinovac Merosot Pantas Berbanding Vaksin Lain?

KKM dalam satu kenyataan bertarikh 21 Januari 2022 sekali lagi mengulangi pengumuman daripada pemantauan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di Malaysia, bahawa penurunan imuniti sebanyak 20 peratus berlaku kepada individu yang telah mengambil dua dos lengkap.

Menurut KKM, data tersebut diperoleh daripada kajian dari dalam dan luar negara yang menunjukkan penurunan tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 itu. 

“Pelbagai kajian dari Israel, United Kingdom dan Chile juga mendapati terdapat penurunan tahap neutralising antibody kepada virus Covid-19 selepas tiga hingga enam bulan menerima dos primer lengkap.

“Ini menyebabkan risiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 meningkat terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi,” menurut kenyataan KKM yang boleh dibaca di sini.

Portal berita antarabangsa, Reuters turut mengeluarkan laporan berhubung penyelidik dari China bersama pihak Sinovac telah menyatakan penemuan ‘kelemahan’ vaksin Sinovac yang menyebabkan keberkesanan antibodi merosot selepas enam bulan suntikan kedua bagi kebanyakan penerima. Anda boleh baca di sini.

 

Panduan Pemvaksinan Heterologus Buat Penerima Vaksin Sinovac?

Bila imuniti berkurangan selepas dos vaksin, ini merupakan langkah bagi mengatasi masalah tersebut melalui pemberian dos penggalak daripada jenis berbeza.

Menurut data kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination Under PICK Malaysia atau RECoVaM, tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 48 peratus dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas mengambil dos lengkap vaksin Sinovac berbanding jenama vaksin lain.

 


Sumber: Data kajian RECoVaM

 

Justeru, KKM menggalakkan penerima dos lengkap vaksin Sinovac untuk mengambil dos penggalak secara kaedah panduan pemvaksinan heterologous iaitu sama ada vaksin AstraZeneca (Covishield/Vaxzevria) atau vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty) bagi mendapat perlindungan yang optimum.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
 


 

Bolehkah Suai Padan Dua Dos Vaksin Berbeza?

Menurut Profesor Epidemiologi Universiti Malaya Dr Moy Foong Ming dipetik dalam artikel Malaysia Kini bertarikh menyuarakan kekecewaan berkenaan penyebaran maklumat salah di dalam talian, tentang keselamatan strategi menggunakan dos penggalak dari jenis berbeza daripada vaksin asal.

Beliau memberitahu sebab utama mencampurkan Sinovac dengan vaksin lain adalah kerana pencampuran dengan Pfizer atau AstraZeneca akan menghasilkan tahap keberkesanan sehingga 94 ke 95 peratus, manakala menggunakan Sinovac sebagai penggalak hanya akan memberikan kadar keberkesanan 75 peratus.

“Sebagai contoh, Indonesia, Singapura, dan Chile mencampurkan Sinovac dengan Pfizer; manakala Thailand dan Kemboja mencampurkan Sinovac dengan AstraZeneca.”

Menerusi artikel tersebut, MyCheck turut mendapati negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah juga telah mencampurkan vaksin mereka yang ada (Pfizer, AstraZeneca, dan Moderna). Setakat ini tidak ada kesan sampingan teruk yang dilaporkan dari negara-negara ini.

Malah pandangan tersebut turut disokong oleh rakan sejawat Dr Moy, (pakar epidemilogi UM) Professor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud yang dipetik dari NST menyarankan suai padan dos vaksin membolehkan imuniti pada tahap optimum.

 

KESIMPULAN

Kita perlu tahu, vaksin bukan ubat dan belum lagi ‘sempurna’, akan tetapi ia bertindak seumpama penghalang atau ‘penebat’.

Vaksin boleh mengelakkan keterukan penyakit, menurunkan jumlah kemasukan ke hospital dan paling utama mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit.

Maka bagi yang layak, ambillah suntikan dos penggalak demi kesihatan diri, keluarga dan masyarakat, sama seperti tujuan pengambilan dua dos sebelum ini.

Walaupun vaksin tidak menjadikan diri kita kebal sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita ada perlindungan daripada jangkitan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN


1.Berita Harian. “Imuniti menurun selepas dos lengkap” Diterbitkan pada 29 Disember 2022.

2. Berita Harian. “Paras antibodi vaksin Pfizer, AstraZeneca menurun selepas 2-3 bulan - kajian” Diterbitkan pada 28 Julai 2021.

3.Bernama. “Dos penggalak perlu untuk pastikan imuniti kekal pada tahap optimum -  KP Kesihatan” Diterbitkan pada 21 Januari 2021.

4.Utusan Malaysia. “Antibodi dos kedua Sinovac merosot selepas enam bulan?” Diterbitkan pada 27 Julai 2021.

5.Sinar Harian. “Dos ketiga Covid-19 akan dilaksana, 5 fakta Dr Malar berkaitan suntikan penggalak” Diterbitkan pada 20 September 2021.

6.mStar. “Masih ragu-ragu nak ambil dos penggalak? Ini 3 mitos untuk anda fahami” Diterbitkan pada 6 Disember 2021.

7.Majalah Sains. “Dos Penggalak: Apa dan Mengapa ia diperlukan?” Diterbitkan pada 10 November 2021.

8.Astro Awani. “COVID-19: Perlu dos penggalak, kadar imuniti badan mungkin berkurang - Dr Annuar” Diterbitkan pada 19 September 2021.

9.Harian Metro. “Dos penggalak tingkatkan kembali tahap imuniti badan” Diterbitkan pada 13 November 2021.

10.Berita Harian. “Ambil dos penggalak bantu optimum tahap imuniti” Diterbitkan pada 21 Januari 2022.

11.The Lancet. “CoronaVac induces lower neutralising activity against variants of concern than natural infection” Diterbitkan pada 1 Oktober 2021.

12.Facebook Celoteh Dr Malar 

13.Sinar Harian. “Kita sedia maklum implikasi tidak divaksin” Diterbitkan pada 21 Januari 2022.

14.New Straits Times. “Experts: Don't postpone boosters” Diterbitkan pada 21 Januari 2022

15.The Star. “Booster doses the best defence against Omicron” Diterbitkan pada 3 Disember 2021.

16.New York Times. “Boosters Are Complicating Efforts to Persuade the Unvaccinated to Get Shots” Diterbitkan pada 11 Oktober 2021.

17.South China Morning Post. “Coronavirus: vaccines, declining antibodies and the immune memory” Diterbitkan pada 4 Oktober 2021.

18.European Medicines Agency. “EMA and ECDC recommendations on heterologous vaccination courses against COVID-19: ‘mix-and-match’ approach can be used for both initial courses and boosters” Diterbitkan pada 7 Disember 2021.

19.National Institutes of Health. “Mix-and-match trial finds additional dose of COVID-19 vaccine safe, immunogenic” Diterbitkan pada 26 Januari 2022.

20.Financial Times. “UK’s ‘mix and match’ booster jab strategy backed by new study” Diterbitkan pada 3 Disember 2021.

21.New Straits Times. “'Mixing jabs offers higher protection” Diterbitkan pada 2 Januari 2022.


 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.