Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengeluarkan laporan mengenai harimau berkeliaran di Simpang Pulai, Perak namun disertakan dengan gambar harimau tular di Tamil Naidu, India
Sumber : WhatApps/ Februari 2022
Bernama tersilap memuat naik gambar harimau berkeliaran yang tular di Tamil Naidu, India. Pembetulan sudah dibuat.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Tular satu video berdurasi 17 saat menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seekor harimau belang berkeliaran di kawasan semak berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Seorang pengguna media sosial yang memuat naik video itu mendakwa lokasi penemuan harimau terbabit adalah berhampiran Cafe Banjaran, berdekatan Kawasan Rehat Dan Rawat.
MENGENAI DAKWAAN
Bernama telah mengeluarkan laporan berhubung seekor harimau didakwa berkeliaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Bersama laporan itu disertakan satu gambar tangkap layar (screenshot) yang diambil daripada sebuah video harimau yang tular.
Bagaimanapun gambar yang dilampirkan oleh Bernama itu dikatakan menyerupai video seekor harimau berkeliaran yang dirakam di Tamil Naidu, India beberapa hari lepas.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck meneliti video dakwaan seekor harimau berkeliaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Berdasarkan pemerhatian, haiwan itu dirakam sedang berjalan di kawasan semak samun, yang mana ia berbeza dengan gambar yang dilampirkan Bernama yang menunjukkan seekor harimau sedang berjalan melintasi jalan raya.
Anda boleh lihat video tersebut di sini dan sini. Kami turut sertakan gambar seperti di bawah.
Seterusnya MyCheck mencari video harimau berkeliaran yang dikatakan turut berlaku di India.
Kami mendapati memang benar terdapat satu kejadian hampir sama beberapa hari lepas mengenai kelibat seekor harimau berkeliaran di Tamil Naidu, India.
Video harimau itu turut tular di media sosial.
Namun, secara jelas ketika video ini dirakam, harimau berkenaan sedang melintas sebatang jalan raya. Laporan berita India Today menyatakan jalan raya tersebut merupakan sebuah lebuh raya di Tamil Naidu, India.
Anda boleh lihat video tersebut di sini.
Gambar Telah Dibetulkan
MyCheck kemudian kembali ke portal Bernama untuk membuat semakan gambar itu sekali lagi.
Didapati Bernama telah menukar gambar yang dilampirkan pada awal laporan dimuat naik iaitu daripada seekor harimau yang sedang melintas jalan kepada gambar harimau berjalan di kawasan semak samun, seperti video asal yang tular.
Jadi, jelas di sini bahawa terdapat kesilapan pada gambar yang dilampirkan bersama laporan berita yang dimuat naik pada awalnya.
Bagaimanapun Bernama telah membuat pembetulan gambar itu.
Gambar yang terbaharu dimuat naik adalah seperti di bawah:
Gabungan Video
Belum pun sampai sehari, MyCheck mendapati sudah ada pengguna media sosial yang telah menggabungkan dua video berkenaan dengan tanda pagar #harimau #SimpangPulai.
Namun kedua-dua video berkenaan sebenarnya dua video yang berbeza dan berlaku di lokasi berlainan.
Dakwaan Masih Dalam Siasatan
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak ketika ini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan harimau berkeliaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu dengan menghantar Unit Harimau ke lokasi berkenaan.
(MyCheck akan mengemas kini laporan ini setelah hasil siasatan ditemui).
KESIMPULAN
Maka jelaslah sebenarnya terdapat kekeliruan antara dua gambar dengan kejadian didakwa berlaku di Malaysia dan India.
Kesilapan teknikal sebegini mungkin sedikit sebanyak mencetuskan kekeliruan kepada pengguna.
Sedikit tips semakan fakta, anda boleh semak dengan melihat kepada faktor geografi kejadian berkenaan. Okay?
RUJUKAN
YGyiyi ‘Ipoh: Siasat dakwaan harimau muncul di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands 5/2/22’
Twitter https://twitter.com/susantananda3/status/1488015555994927108?s=24
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.