+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Astro Awani TIDAK TERBIT Artikel 'COVID: Kes baharu kembali lepasi angka 5,000, tiada perayaan selepas Tahun Baharu Cina akan dibenarkan'

Benarkah...

Portal Astro Awani mengeluarkan laporan berita bertajuk ‘COVID: Kes baharu kembali lepasi angka 5,000, tiada sambutan perayaan dibenarkan selepas Tahun Baharu Cina’.

Sumber : WhatsApp/ Twitter Februari 2022

Hasil

Tajuk berita terbitan portal Astro Awani telah ditukar dan dijadikan satira oleh pihak tidak bertanggungjawab.

10/02/2022 09:43 AM

SEKILAS FAKTA

 

  • Tangkap layar gambar dengan tajuk berita bahawa tiada perayaan selepas Tahun Baharu Cina berikutan kes Covid-19 kembali mencecah angka 5,000 BUKAN diterbitkan oleh portal berita Astro Awani.
  • Tajuk berita itu telah ditukar sebagai atas tujuan yang tidak diketahui. Namun ia telah menimbulkan keresahan masyarakat.
  • Berita asal yang diterbitkan Astro Awani bertajuk 'Tahun Harimau diharap bawa kemakmuran, kesejahteraan - PM'.
  • Akaun Twitter Abdul Rani Kulup Official @AyahRaniKulup yang memuat naik dakwaan berkenaan pada 2 Februari 2022 adalah palsu dan bukan milik Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia Abdul Rani Kulup Abdullah.
  • Akaun Twitter rasmi presiden yang terkenal sebagai Raja Report itu ialah Abdul Rani Kulup @Rani_Kulup.

 

LATAR BELAKANG

Pandemik Covid-19 belum menunjukkan pengakhirannya.

Sejak menularnya wabak itu ke Malaysia pada awal 2020, sudah dua tahun umat Islam di negara ini tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Namun, susulan penurunan kes dan kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negara ini yang hampir 100 peratus (setakat Januari 2022), kerajaan melonggarkan semula sekatan termasuk membenarkan sambutan perayaan bermula dengan perayaan Krismas pada Disember 2021.

Kebenaran itu sekali gus memberikan harapan buat umat Islam di negara ini yang tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri bersama keluarga tahun ini.

Di sebalik keterujaan itu, timbul pula ‘cerita’ bahawa kemungkinan diadakan sekatan perjalanan rentas negeri serta larangan menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

Ia berikutan peningkatan mendadak bilangan kes positif Covid-19 iaitu 13,944 pada 8 Februari lepas.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu tangkap layar tajuk berita berserta foto seakan terbitan portal berita Astro Awani melaporkan tiada sebarang sambutan perayaan yang dibenarkan selepas Tahun Baharu Cina, akibat kes positif Covid-19 yang kembali mencecah angka 5,000.

Beberapa pemimpin negara dilihat turut menghadiri majlis tersebut.

 Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

My Check membuat carian rawak berkenaan tajuk berita yang ditularkan itu menerusi enjin carian Google, bagaimanapun tidak menemukan maklumat sepadan dengan dakwaan tersebut.

Foto berkenaan yang dipercayai diambil dalam majlis meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di ibu kota baru-baru ini.

Selain itu, tiada sebarang pengumuman sahih oleh pihak berkaitan atau laporan berita daripada mana-mana media tempatan mengenai larangan sambutan perayaan seperti dakwaan itu (setakat laporan ini ditulis).

 


Sumber: Google

 

Seterusnya kami semak pula menggunakan gambar seperti dalam tangkap layar berkenaan dan menjumpai dakwaan itu telah dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter menggunakan nama Abdul Rani Kulup Official@AyahRaniKulup.

Hantaran berserta gambar dan tajuk berita tersebut dimuat naik pada 1 Februari lepas dengan kapsyen “Patutnya tadi korang semua balik kampung. Bukan tunggu hari raya nanti”.

 


Sumber: Twitter

 

Bagaimanapun setelah kami semak, akaun Twitter tersebut bukanlah akaun rasmi Abdul Rani yang juga terkenal dengan gelaran Raja Report itu.

 


Sumber: Twitter

 

Akaun Twitter itu baru sahaja dicipta pada Januari 2022 dengan hanya 38 orang pengikut serta 39 ciapan, berbanding akaun Twitter rasmi Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia Abdul Rani Kulup @Rani_Kulup yang mempunyai 17,200 pengikut (setakat laporan ini ditulis).

 


Sumber: Twitter

 

Laporan Asal Astro Awani

Seterusnya MyCheck membuat semakan pada portal Astro Awani bagi mengesahkan berita yang diterbitkan.

Kami mendapati Astro Awani memang ada memuat naik gambar sama seperti yang tular namun dengan tajuk yang berbeza.

Didapati tajuk berita itu telah ditukar.

Berita asal sebenarnya bertajuk ‘Tahun Harimau diharap bawa kemakmuran, kesejahteraan-PM’.

 


Sumber: Portal berita Astro Awani

 


Sumber: Twitter

 

Kenyataan Kementerian

Setakat laporan ini ditulis, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkaitan berkenaan sekatan perjalanan mahupun larangan sambutan perayaan.

Kerajaan dalam masa sama memberi jaminan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksanakan lagi walaupun negara masih berdepan situasi penularan Covid-19 termasuk varian Omicron.

Memetik laporan portal Berita Harian, kerajaan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan menyekat pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia daripada pelbagai negara yang dianggap berisiko.

 

Peluang Menyambut Hari Raya

Menurut portal Berita Harian, Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat kerajaan tidak akan melaksanakan PKP seperti sebelum ini walaupun kes dijangkakan meningkat mendadak sehingga mencecah 15,000.

Ini berdasarkan liputan vaksin dos primer iaitu dua dos awal bagi membentuk perlindungan sistem tubuh badan terhadap jangkitan Covid-19, masing-masing ialah 97.9 peratus dalam kalangan dewasa dan remaja ialah 88.7 peratus.

Justeru, beliau berpandangan tanggapan bahawa kita bakal berdepan sekatan pergerakan atau PKP menjelang hari raya Aidilfitri nanti adalah tidak berasas.

Pada 23 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini seperti didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau menegaskan jika kes meningkat di sesuatu kawasan, PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan kerajaan secara bersasar di kawasan terbabit saja.

 


Sumber: Portal Berita Harian Online

 

KESIMPULAN 

Berdasarkan laporan serta semakan yang telah kami sediakan, apa yang boleh kami ingatkan ialah sebagai pengguna media sosial seharusnya bijak menilai maklumat yang diterima.

Walaupun maklumat itu seakan diterbitkan oleh portal berita, apa yang penting semak dahulu kesahihannya kerana dikhuatiri terkeliru dengan hantaran berbentuk satira atau tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab yang gemar memanipulasi fakta.

 

RUJUKAN :

1.Adakah raya di perantauan 2.0 akan berulang?

2.Tahun Harimau diharap bawa kemakmuran, kesejahteraan - PM | Astro Awani

3.COVID-19: Kes baharu kembali lepasi paras 5,000 | Astro Awan

4.Vaksin COVID-19: Malaysia hampiri angka 100 peratus populasi dewasa divaksin | Astro Awani

5.BERNAMA - Kadar kemasukan ke Hospital akibat Omicron lebih rendah berbanding Delta - Kajian 

6.PM Ismail Sabri hopes Year of the Tiger brings prosperity for Malaysian Family 

7.Abdul Rani Kulup (@Rani_Kulup) / Twitter 

8.https://twitter.com/AyahRaniKulup 

9.Tiada lagi PKP tapi kawalan lebih ketat di sempadan 

10.COVID-19: Pakar yakin tiada PKP, sekatan beraya walau kes naik 

11.Tiada sekatan pulang beraya tahun ini - PM - Utusan Digital 




 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.