+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Suntikan Vaksin Pfizer SELAMAT Untuk Kanak-Kanak

Benarkah...

Suntikan vaksin Pfizer yang mengandungi ‘spike protein’ adalah berbahaya dan boleh merosakkan organ dalaman kanak-kanak.

Sumber : TikTok / Januari 2022

Hasil

Vaksin Pfizer tidak mengandungi sebarang bahan berbahaya dan selamat digunakan ke atas kanak-kanak.

11/02/2022 08:52 AM

SEKILAS FAKTA

  • Seorang pegawai perubatan dari Amerika Syarikat Dr Robert Malone mendakwa vaksin Pfizer berbahaya kepada kanak-kanak.

  • Kajian klinikal oleh Agensi Penyelaras Produk Kesihatan dan Perubatan (MHRA) United Kingdom mengesahkan vaksin Pfizer adalah selamat.

  • Vaksin berkenaan turut diperakui oleh badan kesihatan bebas United Kingdom iaitu Suruhanjaya Ubat-Ubatan Manusia (CHM).

  • Dr Malone telah disenarai hitam oleh Twitter kerana menyebarkan pelbagai kenyataan palsu mengenai vaksin Covid-19 di laman Twitternya.

 

LATAR BELAKANG

Selepas individu dewasa dan remaja, vaksinasi Covid-19 kini dibuka kepada kanak-kanak.

Langkah itu susulan peningkatan kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak di beberapa negara termasuk Malaysia yang dilaporkan berpunca daripada penyebaran varian baharu seperti Delta dan Omicron.

Di Malaysia, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids) bermula 3 Februari lepas.

 


Sumber: Borneo Post

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu video di TikTok menjadi tular susulan dakwaan seorang doktor perubatan dari Amerika Syarikat iaitu Dr Robert Malone mendakwa bahawa ‘spike protein’yang terkandung dalam vaksin Pfizer adalah berbahaya kepada kanak-kanak.

Dr Malone mendakwa spike protein itu boleh mengakibatkan kerosakan kekal kepada organ kanak-kanak termasuk otak dan sistem saraf jantung selain menyebabkan pembekuan darah.

Menurut beliau suntikan vaksin berkenaan yang belum diuji secara klinikal sepenuhnya turut akan merosakkan sistem pembiakan badan manusia.

Video berkenaan turut dikongsi beberapa pengguna laman sosial Facebook dan YouTube.

Ramai ibu bapa di kebanyakan negara percaya bahawa suntikan vaksin Pfizer lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat kepada anak-anak mereka.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Dr Malone Seorang Doktor Penuh Kontroversi

Dakwaan oleh Dr Malone berhubung keburukan vaksin Covid-19 bukanlah perkara baharu kerana beliau sebelum ini pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan kontroversi di pelbagai platform media sosial sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan doktor perubatan dan penyelidik.

Doktor kelahiran California itu yang merupakan seorang penyelidik sebelum ini juga pernah disenaraihitamkan oleh Twitter kerana sering mengeluarkan kenyataan palsu berhubung vaksin Covid-19 di laman Twitternya.

 


Sumber: AP/Twitter/@MichaelPSenger

 

Dr Malone juga didapati menyifatkan dirinya sebagai pencipta vaksin mRNA Pfizer dan Moderna walaupun saintis lain turut membuat kajian mengenai kedua-dua vaksin berkenaan dalam melawan penularan Covid-19.

Selain itu, beliau pernah dikecam oleh orang ramai kerana mengeluarkan kenyataan palsu mengenai vaksin Covid-19 sewaktu menjadi tetamu ‘podcast’ ahli komedi terkemuka Amerika Syarikat, Joe Rogan pada ambang tahun baharu 2022.

Menerusi temu bual yang dilaporkan oleh  Dailymail UK itu, Dr Malone mendakwa kematian lebih setengah juta penduduk Amerika Syarikat akibat Covid-19 adalah disebabkan kegagalan kerajaan negara berkenaan.

Menurutnya kerajaan Amerika tidak melaksanakan langkah pencegahan awal termasuk menggunakan hydroxychloroquine dan Ivermectin kepada rakyat negara berkenaan yang dijangkiti virus tersebut.

Hydroxychloroquine merupakan ubat merawat demam malaria manakala Ivermectin adalah ubat untuk merawat parasit membabitkan haiwan.

Dakwaan Dr Malone bagaimanapun dinafikan Pentadbiran Perubatan dan Makanan Amerika Syarikat (US FDA) yang mengesahkan penggunaan hydroxychloroquine dan Ivermectin telah menyebabkan kesan sampingan teruk seperti dengupan jantung yang lebih serius, masalah saluran darah tersumbat selain kecederaan kepada buah pinggang.

Dalam temu bual yang sama, Dr Malone turut mendakwa kesan sampingan kepada individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 adalah lebih teruk berbanding mereka yang tidak menerima sebarang suntikan.

Namun, kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) pada November 2021 melibatkan 201,269 pesakit mendapati individu yang tidak divaksin mempunyai kebarangkalian 5.49 lebih tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19 berbanding mereka yang sudah menerima dua dos vaksin.

 

Vaksin Pfizer Selamat Untuk Digunakan

Vaksin Pfizer sebenarnya selamat digunakan ke atas kanak-kanak kerana sebelum ini beberapa kajian mengenai suntikan vaksin Covid-19 ke atas remaja berusia 12 hingga 15 tahun pernah dijalankan oleh Agensi Penyelaras Produk Kesihatan dan Perubatan (MHRA) United Kingdom.

Laman sesawang MHRA memaklumkan vaksin Pfizer telah melalui kajian klinikal dan turut diperakukan keselamatan oleh badan kesihatan bebas United Kingdom iaitu Suruhanjaya Ubat-Ubatan Manusia (CHM).

Ketua Pegawai Eksekutif MHRA Dr June Raine memaklumkan bahawa pihaknya turut melaksanakan strategi pemantauan keselamatan yang komprehensif bagi memantau keselamatan kesemua produk atau vaksin berkaitan Covid-19 kepada kanak-kanak.

 


Sumber: Laman Sesawang GOV.UK

 

Pandangan beliau turut disokong oleh Pengerusi Suruhanjaya Ubat-Ubatan Manusia (CHM) Professor Sir Munir Pirmohamed yang menegaskan pihaknya bersetuju untuk memberi kebenaran penggunaan vaksin Pfizer selepas melihat keberkesanan kajian klinikal yang dijalankan ke atas lebih 2,000 kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun di United Kingdom.

Pirmohamed bagaimanapun menegaskan MHRA bertanggungjawab untuk menyelaraskan data berhubung kesan sampingan suntikan vaksin Pfizer yang diterima daripada program pemantauan ketat dikenali sebagai ‘Skim Kad Kuning’ di United Kingdom.

 

Penafian Beberapa Laman Semakan Fakta

Dakwaan Dr Malone bahawa ‘spike protein’ yang terkandung dalam vaksin Pfizer adalah berbahaya turut disangkal oleh beberapa laman semakan fakta.

Anda boleh bacanya di laman sesawang factcheck.org dan PolitiFact.com.

 

Keperluan Suntikan Vaksin Ke Atas Kanak-Kanak

Penyebaran varian baharu virus Covid-19 termasuk Delta dan Omicron dalam kalangan kanak-kanak dan program pemberian vaksin sememangnya berkesan dalam mengurangkan kadar jangkitan virus berkenaan.

Berdasarkan laporan grafik oleh wartawan data Financial Times John-Burn Murdoch, kemasukan kanak-kanak ke wad di England, Sepanyol dan Perancis mencatatkan peningkatan mendadak antara Januari 2021 hingga Januari 2022.

Laporan grafik itu turut dikongsi oleh beberapa pegawai perubatan di negara ini termasuk pakar perubatan kanak-kanak Dr Musa Mohd Nordin.

 


Sumber: Twitter Dr Musa Mohd Nordin

 

KESIMPULAN

Dunia masih ‘berperang’ melawan pandemik Covid-19.

Pakar perubatan, petugas barisan hadapan berpenat lelah berusaha mencari penyelesaian untuk menghentikan penularan wabak ini yang belum menunjukkan pengakhirannya.

Tidak kira apa jua pendirian peribadi kita terhadap pandemik atau vaksinasi Covid-19, janganlah menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak sahih sehingga mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN:

  1. Jangkitan COVID-19 kanak-kanak membimbangkan.Diterbitkan oleh Berita Harian pada 3 Feb 2022.

  2. Mengenai PICKids.

  3. The truth about Joe Rogan's controversial guests: 'Father of mRNA'.Published by Dailymail UK on Feb 2 2022.

  4. The MHRA concludes positive safety profile for Pfizer/BioNTech vaccine in 12- to 15-year-olds.

  5. Scientist Misleads on COVID-19 Vaccine Effectiveness and Vaccine Safety for Children.Published by factcheck.org on Feb 1 2022.

  6. Claim that children will be harmed by spike proteins from COVID-19 vaccines is false.Published by politifact.com



 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.