+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Poster Filem ‘The Omicron Variant’ HANYALAH REKAAN

Benarkah...

Filem berjudul ‘The Omicron Variant’ pernah dihasilkan pada tahun 1963.

Sumber : Twitter / Disember 2021.

Hasil

Tidak pernah ada filem bertajuk The Omicron Variant. Poster filem dengan judul berkenaan merupakan hasil suntingan digital daripada poster filem vintaj.

15/02/2022 08:41 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular poster filem bertajuk ‘The Omicron Variant’ tidak lama selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penemuan varian terbaharu Covid-19, Omicron pada 26 November 2021.
  • Filem berkenaan dikatakan pernah dihasilkan pada tahun 1963.
  • Poster atau filem bertajuk ‘The Omicron Variant’ sebenarnya tidak pernah dihasilkan.
  • Seorang pengguna Twitter dengan nama Becky Cheatle, mengakui bertanggungjawab membuat suntingan digital terhadap poster asal filem.

 

LATAR BELAKANG

WHO mengumumkan penemuan varian membimbangkan (variant of concern) baharu iaitu Omicron, pada 26 November 2021.

Di Malaysia, kes pertama varian Omicron dilaporkan pada 3 Disember 2021 melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun dari Afrika Selatan yang tiba di negara ini pada 19 November 2021.

Omicron dinamakan sempena huruf dalam abjad Yunani oleh WHO. Ketika ini, kebolehjangkitan dan keterukan varian Omicron masih dinilai.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima kiriman satu gambar poster filem vintaj  berjudul ‘The Omicron Variant’ di Facebook pada 2 Disember 2021.

Menerusi ‘group Layan Wayang’, ia dikongsikan oleh Abdullah Muhammad dengan kapsyen:

‘Movie Itali tahun 1963, subtitles Bahasa Inggeris. Dah 58 tahun movie tentang Virus Omicron di panggung wayang’. 

Hantaran (post) beliau dikongsikan lebih 200 kali.

 

APA KAMI TEMUI?

MyCheck pecahkan kepada beberapa bahagian untuk memudahkan pembaca memahami apa informasi yang kami cuba sampaikan. 

Pertama sekali, MyCheck melakukan carian di laman sosial.

Kami menemui beberapa akaun Facebook yang berkongsi poster berkenaan dengan dakwaan serupa seperti di sini, di sini dan di sini.

Malah poster yang sama turut ditemui tersebar di laman sosial dalam bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol, bahasa Perancis dan bahasa Jerman.

 

Dakwaan Hampir Serupa Tetapi Poster Berbeza

Malah kami turut menemui dakwaan serupa namun disebarkan menerusi satu poster filem lain seperti yang dikongsikan seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Effie Ibrahim.

Poster itu disertakan dengan kapsyen:

 ‘Omicron dah sampai Malaysia guys… Mereka dah lama rancang. Kita je lalai. Salam Jumaat’.

 


Sumber: Facebook

 

Bukan itu sahaja, carian lanjut kami membawa kepada penemuan poster yang sama dikongsikan oleh beberapa pengguna Facebook lain seperti di sini dan di sini

Selain itu terdapat juga perkongsian di TikTok dan Twitter berkenaan poster itu.

 

Bila Poster Itu Tular Di Media Sosial?

Poster-poster vintaj tersebut mula tersebar secara meluas selepas pengumuman mengenai penemuan varian Omicron pada 26 November 2021. Anda boleh baca mengenai pengumuman itu di sini.

Kehadiran poster-poster filem itu dikatakan menguatkan dakwaan teori konspirasi bahawa pandemik Covid-19 telah dirancang oleh pihak tertentu sejak sekian lama.

Kami dapati hashtag #OmicronVariant turut sohor kini (trending) di Twitter awal Disember di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.

 


Sumber: Google Trends

 

Siapa Yang Sunting?

(Jawapan Suntingan Gambar Pertama)

MyCheck menggunakan carian imej berbalik di Google dan hasilnya menemui poster tahun 1974 dengan tajuk berbahasa Sepanyol, ‘Sucesos en la IV Fase’ atau bahasa Inggerisnya ‘Phase IV’.

Ia merupakan sebuah filem bercorak sains fiksyen. Malah poster tersebut boleh didapati di beberapa laman web yang menjual poster filem dalam talian seperti di sini dan di sini.

Satu fakta menarik mengenai Phase IV ini ialah ia pernah memenangi hadiah utama di festival filem di Trieste, Itali, pada tahun 1975.

Bagi melihat perbezaan poster asal dengan poster yang disunting, kami tandakan perbezaannya.

 


Sumber: Twitter dan IMDb

 

Tidak berhenti di situ, MyCheck kemudiannya menggunakan aplikasi TweetDeck dengan kata kunci ‘the omicron variant poster’.

Hasil menatal (scroll), kami menemui satu bebenang (thread) daripada seorang pengguna Twitter Becky Cheatle yang mengakui bertanggungjawab membuat suntingan digital terhadap poster asal filem.

 


Sumber: Twitter

 

Menerusi Twitternya, kami turut mendapati Becky Cheatle yang merupakan penulis dan pengarah dari Ireland, juga gemar membuat beberapa suntingan digital untuk suka-suka. 

Malah kami turut menemui satu hantaran Becky Cheatle di Twitter pada 4 Januari 2022 menunjukkan satu gambar beliau bersama poster asal itu.

 


Sumber Twitter

 

Ia sekali gus mengesahkan beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membuat suntingan digital sepertimana yang tular di serata dunia.

 

(Jawapan Suntingan Gambar Kedua)

Melalui carian imej berbalik, MyCheck menemui gambar kedua yang sepadan dengan poster filem berjudul ‘Cyborg 2087’ di IMDb.

IMDb adalah sebuah pengkalan data dalam talian mengenai informasi filem, siri televisyen serta permainan video.

 


Sumber: Tangkap layar IMDb

 

Poster filem bergenre sains fiksyen tersebut dibuat pada tahun 1966 arahan Franklin Adreon.

Bagaimanapun kami gagal mengenal pasti siapakah yang menyunting poster vintaj kedua ini. 

Bagi melihat perbezaan poster asal dengan poster yang disunting, kami tandakan perbezaannya.

 


Sumber: Twitter dan IMDb

 

Klasifikasi Badan Semakan Fakta Antarabangsa 

Carian lanjut MyCheck turut mendapati dakwaan tersebut telah disemak oleh beberapa badan semakan fakta antarabangsa antaranya seperti Reuters, AFP, USA Today, India Today, The Quint

Kesemua mereka mengklasifikasikan dakwaan itu sebagai ‘palsu’

 

KESIMPULAN

Tiada ‘The Omicron Variant’ Dalam Pangkalan Data Filem?

Sebelum mengakhiri informasi, kami melayari pangkalan data IMDb bagi mencari jejak bukti kewujudan filem vintaj ‘The Omicron Variant’ seperti yang didakwa sekitar tahun 60-an.

Namun. tiada sebarang penemuan dan kami mendapati filem berkenaan tidak wujud. Ia hanyalah rekaan semata-mata.

Sebaliknya kami menemui dua buah komedi sains fiksyen yang mengandungi perkataan Omicron.

Salah satu bertajuk ‘Omicron’ yang dihasilkan pada tahun 1963, karya pengarah Itali Ugo Gregoretti manakala satu lagi berjudul ‘The Visitor From Planet Omicron’, pada tahun 2013, arahan Mike Donahue.

Kedua-dua filem tersebut mempunyai plot yang melibatkan makhluk asing.

Jadi di sini, poster filem ‘The Omicron Variant’ hanyalah rekaan. Usahlah kita senang percaya dengan teori konspirasi yang tidak tahu asal usulnya.

 

RUJUKAN

1.World Health Organization. “Update on Omicron” Diterbitkan pada 28 November 2021.

2.Berita Harian. “Pelajar dari Afrika Selatan punca kes pertama Omicron di Malaysia” Diterbitkan pada 3 Disember 2021.

3.Reuters Fact Check. “Fact Check-Vintage movie poster for ‘The Omicron Variant’ is fake” Diterbitkan pada 2 Disember 2021.

4.Semakan Fakta AFP. “Poster filem telah diubah untuk menukar tajuk kepada 'The Omicron Variant'” Diterbitkan pada 16 Disember 2021.

5.India Today Fact Check. “Fact Check: Was there a 1963 movie called ‘The Omicron Variant’? No, this poster was created for fun” Diterbitkan pada 2 Disember 2021.

6.The Quint. “No, a 1963 Sci-Fi Movie Wasn't Titled 'The Omicron Variant'” Diterbitkan pada 3 Disember 2021.

7.USA Today Fact Check. “Fact check: 1963 movie did not predict the 'Omicron Variant'” Diterbitkan pada 7 Disember 2021.

8.Twitter Becky Cheatle.




 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.