Graduan Doktor Falsafah (PhD) yang dilahirkan Universiti Putra Malaysia (UPM) terlalu ramai jumlahnya berbanding universiti lain.
Sumber : WhatsApp & Facebook / Januari 2022
Jumlah graduan PhD UPM setahun adalah perkara biasa. Beberapa universiti tempatan dan luar negara turut melahirkan graduan PhD hampir sama dan lebih banyak jumlahnya berbanding UPM.
(Isu ini tular pada Januari 2022 dan disemak MyCheck bagi tujuan rekod dan database)
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Kejayaan menggenggam segulung ijazah sudah pasti menjadi suatu pencapaian akademik yang membanggakan.
Apatah lagi jika berjaya menamatkan pengajian sehingga dianugerahkan PhD iaitu pencapaian tertinggi dalam mana-mana bidang pengajian akademik yang diikuti.
Namun, baru-baru ini timbul kontroversi serta pertikaian berhubung status PhD yang diterima oleh graduan UPM, rentetan bilangan graduan ijazah itu yang didakwa terlalu ramai dalam setahun iaitu hampir 400 orang.
Perkara itu mulai dibincangkan umum apabila Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoalkan kualiti PhD graduan UPM yang dikhuatiri tidak menepati standard.
Jom! MyCheck rungkai persoalan berkaitan PhD ini.
MENGENAI DAKWAAN
Shamsul Iskandar yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat mendakwa bilangan graduan PhD keluaran UPM terlalu ramai dalam tempoh setahun.
Sebilangan masyarakat dan warganet turut mempersoal kualiti graduan PhD UPM serta proses menamatkan pengajian dalam ijazah tersebut yang dikatakan tidak setaraf dengan piawaian universiti di peringkat dunia.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat bilangan graduan PhD yang ramai itu seakan tidak relevan kerana umum mengetahui perjalanan untuk mendapatkan anugerah tertinggi itu bukanlah mudah.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck meneliti dakwaan asal yang dibuat Shamsul Iskandar secara keseluruhannya di KATA MP, kolum khas untuk ahli parlimen mengutarakan pendapat yang diterbitkan portal Malaysiakini pada 18 Januari 2022.
Shamsul Iskandar merujuk pada Majlis Konvokesyen ke-44 UPM pada 8 hingga 13 Januari lepas serta memohon pencerahan daripada universiti berkenaan berhubung penganugerahan seramai 398 penerima PhD.
Beliau mendakwa universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun.
Shamsul Iskandar turut mempersoalkan adakah PhD yang dihasilkan oleh UPM ini setaraf dengan universiti utama dunia atau mempunyai taraf berlainan?
Penjelasan UPM
Seterusnya MyCheck cuba melakukan carian mengenai maklum balas UPM berkenaan dakwaan Shamsul Iskandar itu.
Kami mendapati UPM telah mengeluarkan satu kenyataan khusus bagi menjelaskan dakwaan yang timbul pada 19 Januari lepas.
Menurut UPM, jumlah graduan PhD yang dikeluarkan merupakan bilangan yang lazim dianugerahkan oleh sesebuah universiti penyelidikan.
Ini selari dengan amalan terbaik universiti terkemuka dunia yang mana enrolmen pelajar PhD merupakan indikator kecemerlangan bagi sesebuah universiti.
Malah, UPM mendakwa mereka mempunyai kemampuan menghasilkan graduan PhD mengikut amalan peringkat antarabangsa berdasarkan jumlah tenaga akademik berkelulusan PhD universiti itu yang seramai 1,649 yang layak menyelia pelajar PhD.
Dalam kenyataan itu UPM turut menjelaskan dakwaan bahawa universiti terkemuka dunia hanya mengeluarkan tidak lebih daripada 20 graduan setahun, adalah tidak benar.
Maklumat daripada laman web rasmi, MIT dan Universiti Havard masing-masing merekodkan lebih 500 graduan PhD dalam setahun.
Pada 2020, MIT telah mengeluarkan seramai 563 graduan PhD, manakala Universiti Harvard sebanyak 572 orang penerima PhD.
Dari segi ranking dunia, MIT berada pada kedudukan pertama manakala Universiti Harvard pada kedudukan kelima dalam QS 'World University Ranking 2022'.
Berikut kami kongsikan kenyataan akhbar oleh UPM.
Reaksi Majlis Profesor Negara (MPN)
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose jumlah graduan PhD hampir 400 orang setahun adalah perkara biasa.
Malah katanya, bilangan itu juga boleh ditingkatkan selain jumlah yang sama turut dicapai oleh universiti-universiti luar negara.
Berdasarkan prestasi semasa dalam kalangan universiti penyelidikan, Universiti Malaya melahirkan 450 graduan PhD setahun, Universiti Kebangsaan Malaysia (516), Universiti Teknologi Malaysia (568) dan Universiti Sains Malaysia (431).
Apa kata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
Kami juga merujuk ulasan MQA, sebuah agensi jaminan kualiti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, program akademik di UPM menepati standard Ijazah Sarjana dan Kedoktoran MQA.
Ini kerana setiap program dinilai secara berkala biarpun mempunyai status swaakreditasi daripada MQA.
Selain itu jelasnya, program ditawarkan UPM diperakui berkualiti serta terbukti mampu berada dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Ranking 2022.
Beliau menarik perhatian sekiranya bilangan graduan PhD menimbulkan tanda tanya, tentulah UPM tidak tersenarai dalam kedudukan berdasarkan penarafan universiti dunia.
MQA turut menzahirkan keyakinan terhadap kualiti graduan dikeluarkan oleh UPM di semua peringkat pengajian.
Sebagai agensi pemantauan jaminan kualiti pengajian tinggi di negara ini, MQA akan memastikan prestasi IPT tempatan mencapai piawaian ditetapkan bukan hanya di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Graduan PhD Universiti Luar Negara
Bagi mendapat maklumat dan gambaran yang lebih jelas berkenaan isu PhD ini, MyCheck juga merujuk beberapa universiti luar negara.
Menurut artikel oleh Luke Paton dan Amy Bell bertajuk '50 U.S Cities with The Most Doctoral Degree Holder' di portal Online Ph.D. Programs, Universiti Washington menganugerahkan seramai 723 graduan PhD setahun pada tahun 2011.
Untuk rekod, semakan who.is mendapati laman ini telah beroperasi sejak 2013 dan konten yang disiarkan tidak keluar dari topik review dan panduan program PhD dari pelbagai universiti.
Selain itu, Universiti Colorado dengan kekuatan seramai 7,317 tenaga kerja akademik telah menganugerahkan sebanyak 1,514 graduan PhD pada 2014.
KESIMPULAN
Berdasarkan penjelasan dan maklumat yang telah kami kumpul dan semak, maka isu graduan PhD ini didapati bukanlah suatu perkara yang pelik atau tidak masuk akal.
Dakwaan yang timbul itu pula nyata jelas tiada asasnya.
Jadi, sebagai pengguna teknologi maklumat di hujung jari, anda perlu bijak mencari fakta dan kebenaran bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi mahupun individu lain.
Ingat ya, sesiapa pun boleh membuat dakwaan, namun hanya yang celik informasi sahaja tidak mudah dimanipulasi!
Rajin-rajinlah semak fakta anda di MyCheck okay!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Berapa lama masa yang diperlukan untuk mendapatkan Ph.D. pada tahun 2022 - Forum Beasiswa Dunia
Getaran | Semasa | KPT Didesak Teliti Jumlah Graduan PhD Terlalu Ramai Setahun
MQA tiada masalah dengan bilangan graduan PhD dikeluarkan UPM | Nasional | Berita Harian
Malaysia Kini: ‘Hairan bagaimana UPM anugerah hampir 400 PhD tahun ini’
Utusan: UPM jawab pertikaian Shamsul Iskandar, kaedah pengajian PhD melebihi syarat MQA
50 US Cities with the Most Doctoral Degree Holders - Online Phd Programs
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.