+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video KJ Tak Nak Ambil ‘Booster’ Adalah RAKAMAN LAMA. Beliau TELAH Ambil Dos Penggalak

Benarkah...

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin tidak ambil dos penggalak. 

Sumber : Twitter / Februari 2022

Hasil

Khairy Jamaluddin telah mengambil dos penggalak pada Oktober 2021. Video yang ditularkan merupakan rakaman lama pada September 2021.

18/02/2022 07:44 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ membuat kenyataan bahawa beliau tidak perlu mengambil dos penggalak.
  • KJ membuat kenyataan itu sebelum bermulanya PICK-B.
  • Beliau telah mengambil suntikan dos penggalak pada Oktober 2021, sebulan selepas kenyataan itu dikeluarkan.

 


Sumber: Twitter dan MGTV

 

LATAR BELAKANG

Kerajaan Malaysia mula melaksanakan pemberian dos penggalak COVID-19, dengan keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised) dan warga tua dengan komorbiditi.

(Komorbiditi bermaksud seseorang individu mempunyai masalah kesihatan antaranya penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis, jantung, buah pinggang, hati dan tahap imuniti rendah.)

KJ turut menggesa masyarakat untuk segera mendapatkan dos penggalak kerana Malaysia kini berdepan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron yang mula tersebar di negara ini pada Januari 2022.

Penularan varian baharu itu menyaksikan kes harian COVID-19 mencecah setinggi 27,831 kes (setakat laporan ini ditulis - 17 Februari 2022).

Jumlah kes itu adalah yang tertinggi direkodkan sejak Malaysia dilanda Covid-19. Kali terakhir negara ini mencatat kes tertinggi adalah pada 26 Ogos 2021, iaitu sebanyak 24,599 kes.

Bahkan, pada 7 Februari lepas, KJ mengumumkan bahawa status lengkap vaksinasi bagi semua warga emas berusia 60 tahun ke atas (tanpa mengira jenis vaksin) dan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun akan berakhir sekiranya belum menerima dos penggalak mulai 1 Mac ini.

Individu yang belum menerima dos penggalak akan dianggap tidak lengkap vaksinasi dan maklumat itu akan tertera di dalam aplikasi MySejahtera selain sijil digital juga akan bertukar warna daripada kuning kepada putih.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video di laman sosial Twitter memaparkan KJ membuat satu kenyataan bahawa beliau tidak perlu mengambil dos penggalak.

Melalui video tersebut, KJ mendakwa beliau tidak memerlukan dos penggalak kerana masih muda dan tiada komorbiditi. 

Segelintir masyarakat mempersoalkan tindakan KJ sebagai menteri kesihatan namun enggan menerima dos penggalak sedangkan beliau menggesa rakyat mendapatkan suntikan itu.

KJ juga merupakan penerima vaksin jenis Sinovac bagi dos pertama dan dos kedua.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck meneliti video yang tular tersebut dan berdasarkan logo penyiar pada video, dapat dikenal pasti sumber video tersebut adalah daripada Malaysia Gazette Tv (MGTV). 

MGTV adalah cabang perkhidmatan kepada portal berita tempatan iaitu Malaysia Gazzate yang mula beroperasi pada 1 Ogos 2013.

Seterusnya kami melakukan carian lanjut dan berjaya menemukan video asal  itu di saluran YouTube MGTV. 

Kami dapati, video asal tersebut dimuat naik pada 20 September 2021 dengan tajuk ‘Suntikan Booster Vaksin Hanya Diberikan Atas Nasihat Pakar - KJ’. 

Menurut penelitian MyCheck pada video ini, KJ membuat kenyataan berkenaan sebagai menjawab soalan wartawan berhubung suntikan dos penggalak.

Kenyataan penuh KJ adalah seperti berikut:

“I took sinovac quite late, so I don’t need a booster yet. The booster only offers to people who should have it, saya muda tidak ada comorbidity setakat ini. So, I shouldn’t (be) taking the booster, cause (if I do that) I am taking the vaccine (allocation) from somebody else. 

“So booster ini kita kena bagi kepada mengikut pakar boleh diberikan booster. Mereka yang 60 tahun ke atas, yang ada comorbidity, yang iminino compromise, the boosters are for that people. 

“We are not recommending boosters for healthy people right now. It just for certain group yang kita nak bagi booster,”.

 

Kenyataan Diberikan Sebelum Bermulanya Program PICK-B

Hasil pencarian MyCheck, kenyataan yang dibuat oleh Khairy ini adalah sebelum bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster)  atau PICK-B.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memulakan pemberian dos penggalak buat pertama kali pada 13 Oktober 2021.

Video yang dirakam ini pula bertarikh 20 September 2021, iaitu sebulan sebelum bermulanya PICK-B. 

Bahkan ketika itu juga, kewujudan varian Omicron belum lagi diketahui secara meluas.

 

Kenyataan Daripada KKM

Seperti apa yang ditemui MyCheck, KKM memaklumkan video berkenaan dirakamkan pada 20 September 2021. 

Video ini diambil semasa lawatan menteri kesihatan tersebut ke KLIA dan ketika itu negara belum lagi melaksanakan pemberian suntikan dos penggalak. 

Menurut KKM, pada waktu itu PICK bagi dos pertama dan kedua masih giat dilaksanakan dengan kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah seramai 79.6 peratus, iaitu belum mencapai sasaran 90 peratus.

 

KJ Sudah Ambil Dos Penggalak

Hasil carian MyCheck juga mendapati KJ telah mengambil suntikan dos penggalak pada Oktober, sebulan selepas beliau membuat kenyataan itu.

Menurut laporan Astro Awani, KJ telah mengambil vaksin jenis Pfizer sebagai dos penggalak sebelum beliau berlepas ke Mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang berlangsung pada Oktober 2021 di Himeji, Jepun.

KJ juga turut memuat naik hantaran berserta gambar beliau disuntik dos penggalak di laman sosial Twitter beliau.

 


Sumber: Twitter Khairy Jamaluddin

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan yang dijalankan MyCheck, jelas di sini menunjukkan penyebaran maklumat ini adalah tidak tepat. 

Anda sebagai pembaca juga boleh menyemak perkara sebegini sepertimana langkah-langkah yang digunakan oleh MyCheck. 

Harus juga diingat, COVID-19 ini adalah virus baharu yang belum pernah lagi terjadi sebelum ini.

Virus ini sentiasa bermutasi dan kajian sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa. Jadi, sebarang kenyataan juga mungkin boleh berubah mengikut situasi semasa. 

Pesan kami apabila terima sesuatu maklumat, jangan cemas. Tarik nafas, fikir dan semak.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. JKJAV. “Apakah itu komorbiditi dan bagaimana saya tahu jika saya mempunyainya?”. 

  2. Berita Harian. “Penerima vaksin Sinovac perlu dapatkan dos penggalak sebelum 1 Mac ini” Diterbitkan pada 7 Feb 2022.

  3. KKM. “Vaksin Sinovac dan warga emas 60 tahun ke atas”. 

  4. Twitter @danlaparlah. “Habis yang da amik ni nak kena buat apa eh ? Babinya lah”. Dimuat naik pada 29 Januari 2022. 

  5. Berita Harian. “KJ individu pertama disuntik vaksin Sinovac” Diterbiitkan pada 18 Mac 2021.

  6. MGNews. “Suntikan Booster Vaksin Hanya Diberikan Atas Nasihat Pakar - KJ” Diterbitkan pada 20 Sept 2020.

  7. Astro Awani. “KKM perjelas video lama KJ yang kembali tular”. Diterbitkan pada 30 Januari 2022. 

  8. Astro Awani. “Saya #TeamSSP' - KJ terima dos ketiga, akan umum suntikan penggalak kepada penerima AZ”. Diterbitkan pada 29 Oktober 2021. 

  9. Twitter @KhairyKJ. “Before I left for my WHO meeting I had a Pfizer booster. So I’m now #TeamSSP! All safe, all good.”. Dimuat naik pada 29 Oktober 2021. 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.