Peratusan individu mendapat radang jantung atau miokarditis adalah tinggi selepas mendapat suntikan tiga jenis vaksin.
Sumber : Facebook / Februari 2022
25 kes dikesan daripada 433,674 kemasukan ke 216 hospital bagi tempoh Februari hingga September 2021.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Kewujudan varian baharu Covid-19 sejak kebelakangan ini menyebabkan peningkatan jumlah kes positif harian virus berkenaan.
Situasi itu menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil keputusan melaksanakan pemberian vaksin dos penggalak bagi memastikan masyarakat mendapat perlindungan yang optimum daripada jangkitan Covid-19.
Sehingga laporan ini ditulis tiga jenis vaksin Covid-19 iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac telah diluluskan untuk diberi sebagai dos penggalak kepada mereka yang layak.
Dalam pada itu, portal MyHealth KKM memaklumkan antara simptom-simptom miokarditis adalah sakit dada, demam, denyutan jantung cepat (lebih cepat daripada biasa untuk suhu yang tinggi), denyutan jantung tidak teratur, letih dan sesak nafas.
Menurut portal berkenaan, antara komplikasi yang berlaku disebabkan miokarditis adalah pengsan, ritma jantung yang luar biasa cepat, lambat atau tidak teratur, serta lemah jantung yang boleh menyebabkan sesak nafas, bengkak kaki dan keletihan.
MENGENAI DAKWAAN
Tular dakwaan seorang pengguna Facebook pada 26 Januari 2022 yang berkongsi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa terdapat kes radang otot jantung dalam kalangan individu yang menerima vaksin Covid-19.
Hantaran daripada pengguna Facebook yang menggunakan nama Cik Zazaaa itu telah menerima 62 komen dan 81 perkongsian (setakat laporan ini ditulis).
APA YANG KAMI TEMUI
Hasil semakan kami mendapati artikel asal yang dimuat naik Cik Zazaaa itu adalah daripada sebuah blog yang memaparkan hal ehwal semasa tempatan seperti isu kepenggunaan iaitu samudera.my.
Menurut blog itu, Dr Noor Hisham mendakwa 56 peratus daripada kes radang otot yang dikesan adalah berkaitan dengan vaksin Pfizer, vaksin Sinovac (36 peratus), manakala baki lapan peratus lagi disebabkan vaksin AstraZeneca.
Blog berkenaan turut membuat kesimpulan bahawa pendedahan daripada Dr Noor Hisham itu kononnya secara tidak langsung menguatkan lagi kebimbangan sebahagian rakyat Malaysia terhadap kesan sampingan penerima vaksin ‘Messenger Asid Ribonukleik’ (mRNA) iaitu Pfizer dan Moderna.
25 Kes Radang Otot Jantung Dikesan Sepanjang Februari Hingga September 2021
Pada 15 Januari lepas, Dr Noor Hisham mengeluarkan kenyataan hanya 25 kes radang otot jantung dikesan dalam tempoh 21 hari selepas individu menerima suntikan vaksin Covid-19 daripada 433,674 kemasukan ke 216 hospital bagi tempoh Februari hingga September 2021.
Beliau mendedahkan kajian keselamatan vaksin Malaysia dikenali sebagai 'Case-Based Monitoring of Adverse Events Following COVID-19 Vaccination (SAFECOVAC)' dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Kebangsaan KKM mendapati kadar miokarditis bagi setiap juta dos yang diberikan adalah sangat rendah iaitu 0.9 dalam kalangan penerima vaksin Comirnaty, 0.5 untuk CoronaVac dan 0.7 untuk vaksin Oxford-AstraZaneca.
Beliau pada masa sama turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan komited untuk terus memantau sebarang tanda amaran keselamatan kepada program vaksinasi yang sedang berlangsung ketika ini.
Kenyataan Dr Noor Hisham mengenai keradangan otot jantung selepas vaksinasi telah dilaporkan beberapa media arus perdana seperti Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian dan alhijrahnews.com serta media alternatif MalaysiaKini.
Pengamal Perubatan Turut Memberi Penjelasan Di Facebook
Semakan lanjut MyCheck di Facebook menemukan penjelasan daripada seorang pengamal perubatan yang dikenali sebagai Dr Lily Mk berhubung dakwaan penulis artikel itu.
Dr Lily Mk dikenali aktif di Facebooknya yang menggunakan nama Lily Mk dan sering mengulas berhubung isu semasa terutama isu vaksinasi dan kesihatan.
Kami sertakan tangkap layar hantaran Dr Lily Mk di Facebook yang mendakwa maklumat diterbitkan dalam artikel samudera.my adalah tidak tepat kerana mereka tidak menyatakan jumlah penerima vaksin sepanjang tempoh Februari hingga September 2021.
Menurut Dr Lily Mk, penulis artikel turut mengubah peratusan jumlah individu yang mendapat keradangan otot jantung kepada nilai yang lebih tinggi iaitu:
Penerima vaksin Pfizer daripada jumlah asal yang 0.000059 peratus kepada 56 peratus, penerima vaksin Sinovac (0.000021 kepada 36 peratus), manakala penerima vaksin AstraZeneca daripada 0.000004 kepada 8 peratus.
Suntikan Covid-19 Berkait Rapat Dengan Keradangan Otot Jantung
Kajian yang dilakukan di beberapa negara mendapati memang terdapat kes keradangan otot jantung yang berlaku dalam kalangan penerima vaksin selepas menerima suntikan Covid-19.
Antaranya adalah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit CDC Amerika Syarikat yang mendedahkan terdapat beberapa individu dewasa yang mengalami radang otot jantung dalam tempoh tertentu terutamanya selepas menerima suntikan dos kedua vaksin mRNA (Pfizer-BioNTech dan Moderna).
CDC mengesahkan keradangan otot jantung berlaku secara kerap selepas seseorang individu menerima suntikan kedua dos atau dalam tempoh seminggu selepas mendapat suntikan vaksin.
Kes keradangan otot jantung selepas vaksinasi yang berlaku di beberapa negara turut dilaporkan oleh beberapa portal berita antarabangsa seperti Reuters dan Berita Harian Singapura selain jurnal perubatan antarabangsa seperti The New England Journal of Medicine dan JAMA Network.
Badan Semakan Fakta Luar Negara Turut Mengesahkan Kes Keradangan Otot Jantung Selepas Vaksinasi
Beberapa badan semakan fakta lain termasuk Reuters.com, fullfact.org dan Politifact.com juga pernah mengeluarkan laporan mengenai kes keradangan otot jantung selepas vaksinasi berdasarkan kajian yang dilakukan penyelidik di pelbagai negara.
KESIMPULAN
Kesan sampingan akibat vaksinasi sememangnya wujud namun jarang kita dengar berlakunya kes kematian akibat vaksinasi di negara ini.
Kita harus bijak dalam membezakan fakta yang betul atau salah sebelum berkongsi sebarang maklumat mengenai program vaksinasi di kala kita masih berperang dengan penyebaran beberapa varian baharu Covid-19 seperti Delta dan Omicron.
Bersamalah kita membantu petugas barisan hadapan terutamanya pakar perubatan dalam memerangi penyebaran jangkitan Covid-19 dengan tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak tepat berhubung program vaksinasi yang sedang dijalankan ketika ini.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
KP Kesihatan Sahkan Berlaku Kes Radang Jantung Selepas Vaksin.Diterbitkan oleh Samudera.my.
25 kes miokarditis dikesan selepas terima vaksin.Diterbitkan oleh Harian Metro pada 15 Januari 2022.
Social media claim misleads on risk of myocarditis.Published by politifact.com on January 31 2022.
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.