+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

'End credits’ Filem Dr Strange Multiverse of Madness Yang ‘Bocor’ Hanyalah SATIRA

Benarkah...

‘End credits’ filem Dr Strange 2 Multiverse of Madness bocor dan tersebar di media sosial. Rupanya ramai individu popular negara berlakon dalam filem itu.

Sumber : Facebook / Februari 2022

Hasil

Ia hanyalah satira/parodi.

24/02/2022 11:14 AM

SEKILAS FAKTA

  • Filem Dr Strange 2 Multiverse of Madness masih belum ditayangkan di pawagam.
  • Tarikh pelancaran rasmi filem itu dijadualkan pada 6 Mei 2022.
  • Satira ‘end credits’ filem Marvel itu dipercayai berasal dari Malaysia.
  • Tiada sebarang kenyataan di media bahawa individu tempatan yang namanya tersenarai dalam ‘end credits’ itu akan berlakon untuk Marvel Studio.

 

LATAR BELAKANG

Doctor Strange merupakan watak adiwira (superhero) yang membuat penampilan pertama dalam komik Strange Tales #110 pada Julai 1963.

 


Sumber: Google

 

Watak itu dicipta oleh penulis Stan Lee dan pelukis Steve Ditko. 

Dalam filem Doctor Strange, wataknya dilakonkan oleh Benedict Cumberbatch yang merupakan antara watak penting terutama dalam Marvel Universe. Ini kerana tidak ramai superhero Marvel yang boleh menggunakan kuasa magis.

Bagi filem kedua Doctor Strange ‘Multiverse of Madness’, sinopsisnya mengisahkan Strange telah membaca satu mantera terlarang yang membolehkan pintu ‘multiverse’ dibuka, termasuklah kehadiran versi alternatif dirinya yang merupakan ancaman besar buat gabungan pasukan Strange serta kehidupan manusia.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular sekeping gambar ‘end credits’ memaparkan nama barisan pelakon filem Doctor Strange 2 Multiverse of Madness yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Mei 2022.

Apa yang menarik adalah terdapat nama individu terkenal dan orang kenamaan di Malaysia serta watak yang berada di luar Marvel Cinematic Universe (MCU).

Antara individu itu antaranya Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq sebagai Saitama (watak daripada anime One Punch Man berasal dari Jepun), Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri Malaysia) sebagai Thanos dan Datuk Seri Vida (ahli perniagaan) sebagai Harley Quinn.

Terdapat juga watak adiwira tempatan seperti Cicakman lakonan Saiful Apek dan Zizan Razak; Badang (Aliff Syukri); BoboiBoy lakonan Khairulaming dan Keluang Man (Amerul Affendi).

Mengambil satu perkongsian daripada MGag, kapsyen disertai ‘BREAKING NEWS!! Dr. Strange Multiverse of Madness actors credits just leaked’.

Terjemahan: (BERITA TERGEMPAR!! Barisan pelakon membintangi filem Dr Strange Multiverse of Madness bocor).

 


Sumber: Facebook

 

APA KAMI TEMUI

Sekali pandang pun, kita boleh teka bahawa nama-nama dalam senarai itu adalah tidak benar dan sekadar satu jenaka.

Namun bagi MyCheck, semakan tetap dibuat demi kebaikan masyarakat Malaysia dan luar negara khususnya peminat tegar (die hard fan) MCU kerana mungkin nama-nama ini tidak dikenali di tempat mereka.

Secara umum kami dapati senarai nama ini mempunyai maklumat bercampur antara senarai pelakon yang sudah diketahui (melalui trailer dan sumber-sumber lain) dengan ‘pelakon’ yang tidak pernah diketahui mempunyai kerjasama dengan pihak MCU.

MyCheck juga mendapati terdapat kesilapan pada ejaan nama dalam tangkap layar yang tular itu.

Mari kita lihat nama-nama dalam senarai ini satu per satu.

Nota: Oleh kerana filem ini belum disiarkan dan umum mengetahui MCU dan para pelakonnya bijak dalam menyembunyikan sebarang maklumat tentang filem yang bakal disiarkan, semakan kami hanya berdasarkan sumber-sumber yang boleh kami capai.

 

1. Poster    : Stephen Strange - Benedict Cumberbetch

Hasil Semakan : Watak Dr Stephen Strage dimainkan oleh Benedict Cumberbatch sejak filem pertama Doctor Strange (2016). Namun dalam poster ini terdapat kesalahan ejaan yang mana perkataan Cumberbatch dieja ‘Cumberbetch’.

 

2. Poster    : Wanda Maximoff / Scarlet Witch - Elizabeth Oldsen

Hasil Semakan : Watak Maximoff / Scarlet Witch dimainkan oleh Elizabeth Olsen sejak filem pertama Captain America: The Winter Soldier (2014). Namun dalam poster ini terdapat kesalahan ejaan iaitu perkataan Olsen dieja ‘Oldsen’.

 

3. Poster    : Dr Christine Palmer - Rachel McAdams

Hasil Semakan : Rachel McAdams merupakan pemilik bagi watak Dr Christine Palmer, seorang pakar bedah dan merupakan bekas teman wanita Dr Stephen Strange sejak filem pertama Doctor Strange (2016).

 

4. Poster    : Dr Nicodemus West - Michael Stuhlbarg

Hasil Semakan : Di dalam filem Doctor Strange pertama, pelakon Michael Stuhlbarg memainkan watak Dr Nicodemus West yang melakukan pembedahan ke atas tangan Stephen Strange setelah beliau mengalami kemalangan kereta.

 

5. Poster    : Wong - Benedict Wong

Hasil Semakan : Kemunculan watak Wong lakonan Benedict Wong dalam filem pertama Doctor Strange menyaksikan beliau adalah ‘sidekick’ dan ‘valet’ kepada Dr Strange.

 

6. Poster    : Mordo - Chiwetel Ejiofor

Hasil Semakan : Watak Karl Mordo pertama kali wujud dalam filem Doctor Strange (2016) lakonan Chiwetel Ejiofor. Di akhir filem pertama itu, Karl Mordo keluar daripada kumpulan Masters of the Mystic Arts setelah mengetahui The Ancient One mempelajari mantera sihir terlarang.

 

7. Poster : Matt Murdock / Daredevil - Ben Affleck

Hasil Semakan : Ben Affleck pernah melakonkan watak ini dalam filem Daredevil pada tahun 2003. Namun sejak tahun 2015 dalam siri Daredevil (Siri TV), watak ini dilakonkan oleh Charlie Cox yang turut membuat cameo dalam filem Spider-Man: No Way Home.

Bagaimanapun, watak Daredevil disebut-sebut akan mewarnai filem Doctor Strange 2. Lihat di sini, di sini dan di sini.

 

8.Poster    : Wade / Deadpool - Ryan Reynolds

Hasil Semakan : Watak Wade Wilson, seorang pembunuh upahan yang terpaksa menjalani sesi eksperimentasi yang dahsyat dimainkan oleh Ryan Reynolds sejak filem pertama Deadpool (2016).

MyCheck turut mendapati Deadpool dijangka akan dimasukkan dalam filem Doctor Strange 2. Lihat di sini, di sini.

 

9. Poster    : Peter Parker / Spider-Man    - Tobey Maguire

- Andrew Garfield

- Tom Holland

Hasil Semakan: Filem pertama Spider-Man trilogi telah dikeluarkan pada 3 Mei 2002, diikuti oleh Spider-Man 2 (2004) dan Spider-Man 3 (2007) yang menyaksikan Tobey Maguire membintangi watak itu.

Pada 2012, filem The Amazing Spider-Man telah dikeluarkan pada 3 Julai 2012 dan dibintangi Andrew Garfield sebagai Spider-Man baharu. Ia diikuti oleh filem The Amazing Spider-Man 2 (2014).

Sekali lagi, pelakon Spider-Man bertukar apabila Tom Holland membuat penampilan sulungnya sebagai Spider-Man dalam filem MCU menerusi Captain America: Civil War (2016), sebelum kemudian membintangi filem kendiri Spider-Man: Homecoming (2017).

Holland mengulangi peranannya sebagai Spider-Man dalam Avengers: Infinity War (2018), Avengers: Endgame (2019), Spider-Man: Far From Home (2019) dan Spider-Man No Way Home (2021) yang turut memaparkan Maguire dan Garfield selaku Spider-Man yang datang dari dimensi lain dalam lakonan itu.

MyCheck turut mendapati watak Spider-Man akan bersama filem Doctor Strange 2. Lihat di sini.

 

10. Poster    : Tony Stark / Iron Man    - Michael Reeves

                    - Sofyank96

Hasil Semakan : Michael Reeves merupakan YouTuber Amerika yang terkenal dengan video cereka sains komedi (comedy-tech) manakala Sofyank96 atau lebih dikenali Mohamad Sofian Abdullah adalah seorang anak tempatan yang mula menempa populariti di media sosial selepas video manipulasinya tular dalam kalangan warga maya.

 

11. Poster    : Cicakman    - Saiful Apek

                     - Zizan Razak

Hasil Semakan : Cicakman ialah filem aksi cereka sains komedi 2006 dan trilogi filem itu diiktiraf sebagai filem adiwira pertama Malaysia. Saiful Apek, membintangi filem Cicakman 1 dan 2 (2008) manakala Zizan Razak membintangi Cicakman 3 (2015). Kedua-dua pelakon itu merupakan pelawak terkenal Malaysia.

 

12. Poster : Badang - Aliff Syukri

Hasil Semakan : Badang lakonan jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri sebagai teraju utama. Filem tersebut dihasilkan pada tahun 2018 dan ia gagal mendapat sambutan menggalakkan selain menerima kritikan daripada peminat filem.

 

13. Poster : Boboiboy - Khairulaming

Hasil Semakan : Pelakon suara bagi BoBoiBoy ialah Nur Fathiah Diaz. BoboiBoy ialah siri animasi Malaysia dan francais yang diterbitkan oleh Animonsta Studios (kini Monsta Studios). Siri itu mempunyai tiga musim telah bersiaran dari Mac 2011 hingga Jun 2016 manakala filem pertamanya, BoBoiBoy: The Movie telah ditayangkan pada 3 Mac 2016.

Satu siri baharu berjudul BoBoiBoy Galaxy, yang merupakan sekuel kepada siri asal dan filem, mula menyiarkan musim pertamanya dari November 2016 hingga Julai 2018. Selepas musim pertama BoBoiBoy Galaxy, filem kedua, BoBoiBoy Movie 2 ditayangkan pada 8 Ogos 2019.

Siapa Khairulaming? Khairul Amin Kamarulzaman atau nama popularnya, Khairul Aming merupakan seorang selebriti masakan media sosial di Malaysia.

 

14. Poster : Galactus - Dr Jason Leong

Hasil Semakan : Galactus ialah watak adiwira jahat (supervillain) fiksyen yang muncul dalam buku komik terbitan Marvel Comics. Watak ini dikhabarkan akan dimasukkan dalam filem MCU pada masa akan datang.

Siapa Dr Jason Leong? Beliau adalah seorang doktor Malaysia yang juga seorang pelawak yang banyak membuat persembahan ‘stand upper’. Anda boleh lihat di saluran YouTube.

 

15. Poster : Black Widow - Qiu Wen

Hasil Semakan :  Watak Natasha Romanoff atau dikenali sebagai Black Widow merupakan watak yang sinonim dimainkan oleh Scarlett Johansson. Penampilan sulung watak Black Widow mula dikenali dalam filem Iron Man (2008) dan sehingga kini Johansson telah melakonkan watak itu sekurang-kurangnya 10 filem francais MCU.

Siapa Qiu Wen? Beliau adalah pempengaruh (influencer) jelita di Instagram yang kerap menggayakan swafoto (selfie) dan promosi produk hingga memperoleh lebih daripada 800,000 pengikutnya.

 

16. Poster : Keluang Man - Amerul Affendi

Hasil Semakan : Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. Siri animasi televisyen itu bersiaran selama 7 musim dalam 7 tahun (1997-2005).

Siapa itu Amerul Affendi? Beliau adalah pelakon terkenal dalam drama dan filem tempatan.

 

17. Poster : Clark Kent / Superman - Mark O’dea

Hasil Semakan : Watak Clark Kent / Superman ini berada di luar MCU. Watak adiwira ini dalam filem milik DC Extended Universe (DC). Setakat ini, watak ini telah dimainkan oleh sekurang-kurangnya 35 pelakon Hollywood.

Ketika ini, watak adiwira itu dipegang oleh pelakon terkenal Henry Cavill yang telah membintangi filem berjudul Man of Steel (2013), Batman v Superman: Dawn of Justice (2016), Justice League (2017) and Zack Snyder's Justice League (2021).

Siapa itu Mark O’dea? Beliau ialah bintang YouTube yang terkenal kemunculannya dalam Oh My English Level Up, siri berbentuk konsep pelajaran.

 

18. Poster : Thor-baek - Douglas Lim

Hasil Semakan : Tiada watak Thor-baek tetapi watak Thor sinonim dengan pelakon Chris Hemsworth yang membuat penampilan sulung watak itu dalam filem Thor (2011).

Douglas Lim merupakan seorang pelakon, pelawak komedi, pengacara televisyen dan juga juruacara Malaysia. Beliau terkenal dengan penglibatannya dalam produksi televisyen tempatan, teater dan filem serta rancangan komedi.

 

19. Poster : Silver Surfer - VikarWorld

Hasil Semakan : Silver Surfer merupakan salah satu watak paling ikonik dan hebat di Marvel Universe yang dikatakan ada kaitan untuk melawan Galactus, tetapi terdapat banyak perkara yang tidak diketahui oleh peminat.

VikarWorld pula ialah seorang vlogger tempatan dengan saluran YouTube ‘Vikarworld’. Beliau meraih populariti menerusi perbincangan santai tentang budaya India dan kehidupan sehariannya, serta video parodi dan eksperimen sosial.

 

20. Poster : Bob Parr / Mr. Incredible - Zhafvlog

Hasil Semakan : Robert ‘Bob’ Parr, juga dikenali sebagai Mr Incredible, ialah watak adiwira fiksyen yang muncul dalam filem animasi terbitan Disney/Pixar.

Siapa itu Zhafvlog? Beliau adalah pengulas filem yang biasa datangnya daripada penonton marhaen. Beliau mempunyai saluran YouTube dikenali Pure Pixels.

 

21. Poster : Captain Marvel - Ms Pui Yi

Hasil Semakan : Captain Marvel ialah sebuah filem adiwira yang dikeluarkan pada 2019 berdasarkan Marvel Comics yang menampilkan watak Carol Danvers / Captain Marvel yang dilakonkan oleh Brie Larson.

Siapa pula Ms Pui Yi? Beliau atau nama sebenarnya Siew Pui Yi ialah seorang model dan pempengaruh (Influencer).  Beliau ialah orang Malaysia pertama dipilih menghiasi muka hadapan Penthouse, sebuah majalah yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

 

22. Poster : Batwoman - Mia Ong

Hasil Semakan : Batwoman ialah nama yang digunakan oleh beberapa watak DC Comics. Pelakon Batwoman yang paling terkenal ialah Kate Kane dan Kathy Kane.

Mia Ong? Carian kami menemui sekurang-kurangnya 5 ‘Mia Ong’ di Internet. Namun kami percaya Mia Ong yang dimaksudkan ialah seorang ‘country manager’ kepada MGAG Media Sdn Bhd (MGAG), sebuah syarikat media yang berhubung dengan rakyat Malaysia setiap hari melalui kandungan digital setempat.

 

23. Poster : Logan / Wolverine - Desmond Chai

Hasil Semakan : Watak Logan / Wolverine, salah seorang mutan dalam sekuel X-Men sememangnya sinonim dengan Hugh Jackman.

Desmond Chai pula tidak ada kena mengena dengan watak tersebut. Sebaliknya kami percaya beliau hanyalah seorang ejen hartanah di Property Guru.

 

24. Poster : Omniman - Taneshh

Hasil Semakan : Omni-Man atau dikenali Nolan Grayson ialah watak fiksyen dalam Image Universe, dicipta oleh penulis Robert Kirkman dan artis Cory Walker.

Taneshh ialah seorang vlogger India tempatan dengan saluran YouTube Taneshh Productions.

 

25. Poster : Bruce Wayne / Batman - Nabil Ashman

Hasil Semakan : Bruce Wayne / Batman ialah seorang adiwira yang muncul dalam buku komik diterbitkan oleh DC Comics. Christian Bale (Batman Begins, Dark Knight, Dark Knight Rises) dan Ben Affflack (The Suicide Squad, Justice League) antara pelakon yang pernah menjadi watak Batman yang digambarkan seorang billionaire.

Nabil Ashman? Sukar untuk kaitkan siapa beliau. Kami percaya Nabil Ashman ini yang dimaksudkan berikutan salah satu hantaran di Instagram pemuda ini bergambar dengan bat-mobile. Hahaha.

 

26. Poster : Upin - Ping Zhi

Hasil Semakan : Upin ialah sebuah watak utama cereka animasi Upin & Ipin. Ia berperanan sebagai watak utama di samping watak kembarnya, Ipin. Suara latar di sebalik watak Upin Ipin adalah milik seorang gadis cantik bernama Asyiela Putri.

Kami percaya Ping Zhi yang dimaksudkan ialah Chuah Ping Zhi, seorang strategis kandungan (content strategy) di MGAG.

 

27. Poster : Ipin - Wan Danny

Hasil Semakan : Kami telah terangkan kaitan Ipin dengan Upin di atas. Untuk nama Wan Danny, kami gagal mencari individu tersebut dan kaitkan yang dirasakan relevan. Mungkinkah individu ini Wan Danial (Senior Content Strategist di MGAG) yang dimaksudkan?

 

28. Poster : Saitama / One Punch Man - Syed Saddiq

Hasil Semakan : One Punch-Man ialah francais superhero Jepun yang dicipta oleh artis ONE. Ia mengisahkan tentang Saitama, seorang adiwira yang boleh mengalahkan mana-mana lawan dengan sekali tumbukan tetapi berusaha mencari lawan yang sepadan kuatnya selepas bosan dengan kekurangan cabaran kerana kekuatannya yang luar biasa.

Syed Saddiq pula merupakan ahli politik tempatan yang kini merupakan Presiden MUDA, sebuah parti politik yang baharu ditubuhkan.

 

29. Poster : This Meme - Made By MGAG

Hasil Semakan : Meme ialah satu unit yang menunjukkan budaya, simbol atau amalan yang boleh ditafsirkan kepada orang lain melalui gambar, simbol, penulisan, isyarat dan lain-lain yang tersebar di dalam Internet dan akhirnya menjadi fenomena masa kini.

MGAG Media Sdn Bhd (MGAG), sebuah syarikat media yang berhubung dengan rakyat Malaysia setiap hari melalui kandungan digital setempat.

 

30. Poster : Joker - Luqman Podolski

Hasil Semakan : Joker merupakan watak antagonis daripada Komik DC dan pelakon Hollywood, Joaquin Phoenix memainkan watak tersebut dalam filem Joker pada tahun 2019.

Luqman Podolski atau nama sebenarnya Luqmanul Haqim Kamaruddin bermula sebagai personaliti media sosial dan terbaru beliau kini menceburi bidang nyanyian.

 

31. Poster : Thanos - Datuk Seri Najib Tun Razak

Hasil Semakan : Sekali petik jari, separuh makhluk alam semesta bertukar jadi debu. Itulah super villain Thanos dalam filem The Avengers milik MCU. Watak itu dilakonkan oleh Josh Brolin. Watak Thanos menemui ajal selepas Ironman/Tony Stark menggunakan Infinity Stones untuk mengalahkan Thanos dan pasukannya.

Rakyat Malaysia yang mana tidak mengenali Datuk Seri Najib Tun Razak? Beliau adalah bekas Perdana Menteri ke-6 dan masih aktif sebagai ahli politik.

 

32. Poster : Harley Quinn - Datuk Seri Vida 

Hasil Semakan : Harley Quinn ialah watak yang muncul dalam buku komik Amerika yang diterbitkan oleh DC Comics. Watak ini sinonim dengan pelakon Australia, Margot Robbie dalam filem francais DC, Suicide Squad.

Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman sebelum ini merupakan bekas guru dan menempa nama sebagai usahawan sensasi yang penuh kontroversi.

 

33. Poster : Catwoman - Talitha Tan

Hasil Semakan : Catwoman ialah watak yang dicipta oleh Bill Finger dan Bob Kane yang muncul dalam buku komik Amerika yang diterbitkan oleh DC Comics, biasanya dikaitkan dengan rakan sekutu Batman.

Talitha Tan? Beliau ialah seorang penyanyi tempatan yang mula mengukir nama menerusi YouTube.

 

34. Poster : Orang Utan - Z. Aida

Hasil Semakan : Tiada anime atau filem Orang Utan sebaliknya hanyalah dokumentari tentang haiwan itu. Barangkali Orang Utan akan menjadi salah satu adiwira tempatan suatu hari nanti. 

Kami juga gagal menemui siapakah Z. Aida dalam poster tersebut dan kaitannya.

 

35. Poster : Harimau Menangis - Isa

Hasil Semakan : Tiada anime atau filem Harimau Menangis sebaliknya kami menemui nama Daging Harimau Menangis yang tular apabila ibu kepada selebriti popular, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini bertindak mempatenkan cap dagangan daging tersebut.

Kami tidak dapat kaitkan siapa Isa kerana terlampau ramai yang menggunakan nama itu. 

p/s: Di hujung trailer rasmi Doctor Strange in the Multiverse of Madness ada menyebut tujuh nama pelakon penting dalam filem itu.

 


Sumber: YouTube Marvel Entertainment

 

Apakah Itu MGAG Dan Sejak Bila Ia Tersebar?

MGAG Media Sdn Bhd (MGAG), sebuah syarikat media yang berhubung dengan rakyat Malaysia setiap hari melalui kandungan digital setempat. Ia bermula sejak 2015.

Jadi kami percaya satira end credits itu dibuat oleh MGAG bagi tujuan suka-suka. 

Mengapa kami berkata demikian? Ini kerana dalam senarai itu terdapat ‘karakter’ bernama This Meme Made By diikuti nama ‘pelakonnya’ iaitu MGAG.

 


Sumber: Facebook

 

Selain itu, terdapat beberapa nama dalam poster berkenaan yang dapat dikaitkan dengan MGAG.

Kami turut membuat perbandingan ‘timeline’ waktu poster itu disebarkan dengan beberapa pemilik akaun Facebook lain yang mana MGAG membuat hantaran sebelum pukul 11 pagi, 4 Februari manakala kebanyakannya selepas 11 pagi, tarikh yang sama.

 


Sumber: Facebook

 

Kami juga dapati terdapat komen-komen santai antara MGAG dengan GSC, Golden Screen Cinemas iaitu sebuah syarikat panggung wayang tempatan yang secara tidak langsung ‘mendedahkan’ indentiti si pembuat poster itu.

 


Sumber: Facebook

 

Mari Mengenali Watak Doctor Strange

Doctor Strange atau dikenali Dr Stephen Strange, dalam kehidupannya adalah merupakan seorang pakar bedah saraf (neurosurgeon) terkenal dan kerana tidak mahu mencalarkan rekod peribadinya, beliau hanya akan mengambil kes berprofil tinggi yang boleh menaikkan nama beliau.

Dalam perjalanan ke satu majlis, Strange terlibat dalam kemalangan kereta yang membuatkan beliau hilang keupayaan tangannya dan tidak dapat menjadi doktor bedah lagi.

Terdesak untuk mengembalikan keupayaan tangannya, Strange berjumpa dengan seorang bekas pesakit Jonathan Pangborn yang dahulunya lumpuh tetapi dapat berjalan kembali selepas menerima rawatan di Nepal.

Maka bermulalah pengembaraan Strange ke Kathmandu, Nepal untuk menerima rawatan di Kamar-Taj. Di sana beliau menerima rawatan spiritual oleh Mordo (lakonan Chiwetel Ejiofor) dan The Ancient One (Tilda Swinton).

Stephen Strange adalah seorang yang berpegang kepada fakta logik semata-mata dan tidak mempercayai sebarang konsep spiritual dan magis sehinggalah The Ancient One membuat beliau mempercayai dunia magis dengan membawanya ke dimensi yang lain iaitu astral plane.

Sejak itu Strange mendalami ilmu magik melalui pembacaan dan dapat mengawal magik dengan cepat kerana perasaan ingin memulihkan tangannya. 

Antara kuasa terhebat Doctor Strange adalah kemampuannya mengawal masa menggunakan The Eye Of Agamotto, relik purba yang mengandungi Batu Masa (Time Stone).

 

KESIMPULAN

Sebenarnya sukar untuk MyCheck melakukan semakan kerana filem itu belum lagi ditayangkan.

Lupakanlah soal nak menjadi ‘siapa yang pertama’ dapat melihat filem itu kerana MCU sememangnya pandai dalam hal menyorok maklumat berkaitan filem-filem terbitan mereka.

Mereka pastinya mempunyai perancangan dan strategi dalam mempromosikan filem tersebut. Harapnya dalam ‘trailer’ yang seterusnya dapatlah kita lihat watak apa lagi yang mewarnai filem ini.

Jadi marilah kita tunggu tayangannya 6 Mei 2022 nanti.

Untuk nota, Imran (Ketua kami di MyCheck) memang minat betul dengan watak Doctor Strange. Fact check ini pun dibuat sebab dia yang suruh.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Marvel Database

2.MovieWeb. “Here Are the Rumored Cameos We're Most Excited About for Doctor Strange in the Multiverse of Madness” Diterbitkan pada 24 Januari 2022.

3.The Direct. “Marvel Reportedly Contacted Ben Affleck for Doctor Strange 2 Role” Diterbitkan pada 12 Januari 2022.

4.Comic Year “Ben Affleck Daredevil Return to Doctor Strange Multiverse of Madness - Rumor” Diterbitkan pada 13 Januari 2022.

5.Iluminasi. “Biodata Mohamad Sofian Instafamous Popular Malaysia” Diterbitkan pada 31 Disember 2019.

6.Lobak Merah ““Sebijik weh” – Pelakon Suara Boboiboy Jadi Guru Sekolah, Pelajar Teruja Dengar Suara Ketika PdPR” Diterbitkan pada Mei 2021.

7.YouTube Marvel Entertainmen

8.Facebook MGAG Malaysia

9.Facebook Nazmi Najib

10.LinkedIn Mia Ong

11.LinkedIn Chuah Ping Zhi

12.LinkedIn Wan Danial

13.YouTube Douglas Lim

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.