+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

PM Kata Tiada Booster Tak Boleh Raya? Ia Adalah REKAAN Melalui Suntingan Gambar

Benarkah...

Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan ‘Tiada Booster Tiada Bazar Tiada Berhari Raya’. 

Sumber : WhatsApp/ Februari 2022

Hasil

Gambar telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.

25/02/2022 01:38 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular gambar laporan berita dengan di bawahnya tertulis tajuk ‘Tiada Booster Tiada Bazar Tiada Berhari raya’ dengan imej Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • Ismail Sabri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
  • Tajuk berita pada gambar telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 


Sumber: WhatsApp /YouTube

 

LATAR BELAKANG

Sejak dua tahun lepas umat Islam di Malaysia tidak dapat meraikan perayaan Aidilfitri seperti kebiasaan.

Kebebasan untuk menyambut Aidilfitri dengan merentas negeri pulang ke kampung halaman dan ziarah-menziarahi terpaksa disekat bagi mengekang penularan virus Covid-19 yang masih melanda negara. 

Namun, pada tahun ini Perdana Menteri Ismail Sabri memberi jaminan bahawa tiada lagi sekatan untuk rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri meskipun terdapat peningkatan kes baharu Covid-19 ketika ini.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular tangkap layar gambar Ismail Sabri sedang ditemu ramah pemberita dengan di bawahnya tertulis kapsyen ‘TIADA BOOSTER TIADA BAZAR TIADA BERHARI RAYA’.

Pada gambar berkenaan turut tertera huruf ‘bu’ yang kami akan jelaskan ertinya di bawah.

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck meneliti gambar yang tular tersebut dan menemukan tiga petunjuk.

Kami tandakan petunjuk seperti di bawah dan penjelasan pada perenggan seterusnya.

 


Sumber: WhatsApp

 

1. Logo TV3

Terdapat logo TV3 di hujung sebelah kanan gambar ini.

Ia memberi petunjuk bahawa video ini disiarkan di TV3, salah satu stesen penyiar televisyen di Malaysia.

 

2. ‘BU’

Selanjutnya, di bahagian kanan bawah gambar itu tertera perkataan ‘bu’.

BU yang tertera pada gambar adalah lambang kepada slot berita di TV3 iaitu Buletin Utama yang disiarkan pada 8 malam setiap hari.

 

3. Kesalahan ejaan

Jika diamati, terdapat kesalahan ejaan pada tajuk berita yang dikeluarkan.

Perkataan ‘berhariraya’ yang merujuk kepada ‘hari raya’ sepatutnya dieja berjarak iaitu ‘berhari raya’. 

Mengapa kami katakan ia sebagai petunjuk? Ini kerana kesilapan sebegini jarang berlaku di dalam sesebuah terbitan berita yang telah melalui beberapa tapisan sebelum disiarkan.

 

Video Wujud Tetapi Kapsyen Telah Disunting

Langkah seterusnya, MyCheck mencari semula video ini melalui saluran YouTube Buletin TV3.

Kami meneliti video-video pilihan Buletin TV3 yang terkini untuk mencari maklumat berkaitan tajuk berita yang tular. 

Carian kami tidak menjumpai siaran berita dengan tajuk berita ‘Tiada booster, tiada bazar tiada berhariraya’. 

Sebaliknya, kami menjumpai satu video berita yang memaparkan subjek dan latar belakang yang sama tetapi tajuk berita yang berlainan. 

Sebagai usaha mendapatkan semakan fakta yang tepat, kami memainkan video ini beberapa kali sehinggalah kami menemui sisi yang hampir serupa dengan gambar yang tular tersebut. 

Berikut, diberikan tangkap layar video pada saat ke 00:42 daripada keseluruhan video yang berdurasi 2 minit.

 


Sumber: YouTube Buletin Utama

 

Jelas di sini gambar daripada Buletin Utama TV3 itu telah disunting daripada tajuk asal iaitu ‘Bazar ramadan boleh beroperasi sepenuhnya tahun ini’ kepada ‘Tiada booster, tiada bazar tiada berhariraya’.

Menurut laporan berita tersebut dan juga semakan MyCheck, Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan tersebut pada majlis makan tengah hari sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Rantaian Runcit dan Francais Asean (ARFF).

 

KESIMPULAN

Apa yang dapat disimpulkan adalah tajuk pada gambar yang tersebar itu tidak benar sama sekali.

Tidak pasti apa motif di sebalik suntingan ini, tetapi ternyata apa yang dilakukan individu terbabit telah mencetuskan kemarahan dan panik sesetengah rakyat Malaysia. 

Mungkin individu yang menyunting tajuk itu menganggap ia sekadar gurauan, namun secara tidak sengaja ia telah membangkit pilu rakyat Malaysia yang sudah dua tahun tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa di kampung halaman.

-- MYCHECK.MY

 

RUJUKAN

  1. Utusan Malaysia. ‘ Tiada sekatan pulang beraya tahun ini – PM’. Diterbitkan pada 23 Januari 2022

  2. Buletin TV3. ‘ PEMULIHAN NEGARA | Bazar Ramadan Boleh Beroperasi Sepenuhnya Tahun Ini’. 13 Februari 2022

  3. Kosmo. ‘Tidak ada sekatan buka bazar Ramadan – PM’. Diterbitkan pada 13 Februari 2022

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.