+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Murid RMT Hanya Diberi Nasi Tanpa Lauk? Gambar Tular Dikatakan Lebihan Makanan Daripada Pengusaha Kantin

Benarkah...

Murid di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hanya diberi makan nasi putih dan kuah kosong tanpa lauk.

Sumber :  Facebook & WhatsApp/ Januari 2022

Hasil

Nasi tanpa lauk itu dikatakan lebihan makanan diberi pengusaha kantin. Namun tiada keterangan lanjut berhubung menu RMT sebenar yang disediakan pada hari kejadian.

01/03/2022 02:42 PM

SEKILAS FAKTA

 

  • Tular gambar bungkusan nasi putih tanpa lauk didakwa makanan RMT  diberikan kepada murid.
  • Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menjelaskan gambar nasi putih dan kuah itu bukan makanan yang disediakan untuk murid di bawah RMT.
  • Siasatan mendapati makanan tersebut adalah lebihan makanan yang diberikan pengusaha kantin, namun tidak dijumpai sebarang kenyataan oleh pihak kantin sendiri.
  • Ada pihak mendakwa makanan dalam gambar itu adalah lebihan yang diberi kepada murid untuk dibawa pulang.

LATAR BELAKANG

Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) adalah program bantuan khusus kepada murid-murid sekolah rendah daripada golongan keluarga berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar. 

Bantuan itu bertujuan membantu meningkatkan kesihatan serta fizikal murid dengan memberi makanan yang baik dan seimbang.

Namun timbul isu bahawa makanan RMT tersebut hanya ‘indah khabar daripada rupa’, yang membangkitkan persoalan ramai.

Tambahan pula peruntukan yang diberikan untuk RMT dikatakan terlalu sedikit, yang menjadi antara punca program itu tidak mampu dilaksanakan dengan efisien ekoran harga bahan mentah yang mahal.

Makanan yang perlu disediakan pula harus berkhasiat dan seimbang mengikut piawaian ditetapkan.

Menurut laman rasmi Kementerian Pendidikan, RMT dilaksanakan dengan peruntukan kewangan khusus yang disalurkan ke akaun sekolah-sekolah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) iaitu sebanyak RM2.50 (sehari) bagi seorang murid di Semenanjung manakala RM3 bagi Sarawak, Sabah dan Labuan.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck menerima tangkap layar satu hantaran yang dimuat naik seorang individu di laman Facebook mendakwa murid program RMT hanya diberi makan nasi putih dan kuah tanpa sebarang lauk.

Hantaran itu dimuat naik pada 19 Januari lepas.

Bersama hantaran itu turut disertakan gambar nasi putih yang hanya diletakkan kuah di atasnya serta dibungkus menggunakan bungkusan makanan pakai buang. 

Individu itu mendakwa cucu saudaranya yang telah membawa pulang makanan RMT tersebut.

Beliau turut mempersoalkan adakah disebabkan peruntukan terlalu sedikit sehingga pengusaha kantin menyediakan makanan sedemikian.

Melihat kepada gambar tersebut pasti ramai yang berasa perkara ini tidak patut berlaku. Apa pun cerita di sebalik dakwaan ini, biar MyCheck semak terlebih dahulu, baru tahu apa sebenarnya berlaku!

 

APA YANG KAMI TEMUI 

MyCheck membuat carian rawak menerusi enjin Google bagi mendapatkan  maklumat awal tentang isu seperti didakwa.

Menggunakan kata kunci ‘Pelajar RMT hanya terima nasi putih dan kuah’, kami menemukan 23,300 rekod hasil carian berkaitan topik tersebut (setakat laporan ini ditulis).

Nampaknya isu berkenaan memang hangat dibincangkan ramai pihak. Perkara ini juga sudah mendapat liputan meluas pihak media termasuk perhatian kementerian berkaitan. 

Seterusnya kami meneliti setiap berita berkenaan isu ini yang dilaporkan media. 

Rata-ratanya memetik sumber yang dimuat naik pengguna Facebook dengan nama Zurina Hassan. Untuk kepastian kami cuba dapatkan hantaran yang dipercayai sumber asal berhubung dakwaan yang tular itu menerusi pautan Facebook dengan nama tertera. 

Apa yang menariknya pautan tersebut membawa kepada akaun Facebook dengan nama Erin Haz. Akaun masih lagi aktif dan kami mendapati hantaran yang tular seperti dilaporkan media dimuat naik pada 19 Januari lepas.

(Nota: Pautan sama membawa kepada akaun yang berbeza nama biasanya berlaku jika pemilik Facebook sudah mengemas kini akaunnya serta menukar nama yang lain.

Setakat laporan ini ditulis, hantaran itu masing-masing mendapat lebih 4,700 reaksi dan perkongsian.

 

Reaksi Pelbagai Pihak

Melihat ke ruangan komen warganet berkaitan isu yang tular itu, ada yang menyokong dan ada yang mempersoalkan dengan menyifatkan dakwaan itu seperti tidak logik.

Ada juga luahan pihak-pihak yang terkesan membincangkan isu berkenaan dalam 'Group pengusaha kantin' di Facebook. Mereka meluahkan kekecewaan apabila pelbagai tomahan dilemparkan terhadap para pengusaha kantin.

Terdapat ibu bapa termasuk guru turut menyangkal dakwaan berkenaan dengan menegaskan makanan RMT tidak boleh dibawa pulang.

Mereka turut memaklumkan bahawa guru penyelia akan memantau serta membuat laporan berhubung menu, kebersihan atau khasiat makanan RMT.

Selain itu ada juga yang memuji menu dan penyediaan RMT di sekolah anak mereka yang lazat dan mengenyangkan.

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 

Gambar Tular Bukan Makanan RMT Tetapi Lebihan Makanan Yang Diberikan Pengusaha Kantin Sekolah?

MyCheck turut menemukan hantaran seorang guru, penulis dan pakar motivasi di Facebook, Ahmad Faizal bin Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Emmet Menulis yang mengulas mengenai isu itu.

Menurut Cikgu Emmet yang memiliki 156,984 pengikut di Facebook, terdapat beberapa faktor yang meragukan berhubung hantaran yang tular itu.

Beliau turut mendakwa mendapat maklumat daripada rakannya yang telah menyiasat dakwaan itu bahawa makanan yang dibawa pulang oleh murid ke rumah bukan makanan RMT tetapi makanan yang disedekahkan oleh pengusaha kantin yang tidak mahu lebihan makanan terbazir. 

Hantaran Cikgu Emmet itu mendapat lebih 1,000 perkongsian dan 630 komen warganet.

 


Sumber: Facebook

 

Makanan RMT Tidak Ikut Piawaian? 

Bagaimanapun, ada juga ibu bapa yang mengadu makanan RMT di sekolah anak-anak mereka pula tidak sedap serta tidak mengikut piawaian sepatutnya.

Ada juga warganet yang berkongsi pernah menerima nasib sama seperti dakwaan yang tular itu.

Jika dilihat berdasarkan komen dalam tangkap layar di bawah, bermakna memang ada kes-kes terpencil seperti isu yang tular ini pernah berlaku.

 


Sumber: Facebook

 

Kami di MyCheck cuba menyemak jika terdapat komen pihak kantin atau pihak lain yang menjelaskan menu RMT yang disediakan pada hari kejadian adalah berbeza dengan gambar yang tular itu, namun tiada maklumat yang kami temui.

Sehingga laporan ini ditulis (28 Februari) tiada sebarang maklum balas daripada pihak kantin berkenaan berhubung isu tersebut.

 

Maklum Balas Kementerian Pendidikan 

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi  Md Jidin memaklumkan wakil kementerian telah turun ke sekolah terbabit bagi menyiasat secara terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.

Menurut beliau hasil siasatan mendapati gambar ditularkan itu bukan makanan disediakan untuk penerima RMT di sekolah.

Katanya makanan  disediakan oleh pihak kantin untuk murid RMT pula hanya untuk makan di sekolah sahaja.

Pihak kementerian turut memaklumkan akan sentiasa berusaha menambah baik program RMT termasuk dalam penyediaan makanan serta bekalan susu untuk penerima.

 


Sumber: Facebook

 

Garis Panduan Penyediaan RMT

MyCheck terus 'menggali' lebih lagi maklumat berhubung program RMT untuk mengetahui bagaimana koordinasi serta fungsi sebenar inisiatif bantuan makanan itu.

Berdasarkan portal Sistemguruonline, RMT sebenarnya ada garis panduan yang telah ditetapkan serta perlu dipatuhi semua mereka yang terlibat.

Pihak terbabit secara langsung di sekolah ialah Bahagian Kewangan dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM yang masing-masing berperanan mengawal peruntukan perbelanjaan serta mengurus operasi  program.

Melalui Jawatankuasa Bantuan Murid pula, seorang pegawai dilantik sebagai penyelia kebajikan bagi membantu pengoperasian dan sebagai penghubung antara pihak KPM dengan sekolah yang terlibat.

Di peringkat sekolah pula, Jawatankuasa Bantuan Murid dipengerusikan Guru Besar dan diuruskan Guru Penyelaras RMT.

 

Badan Pemantauan

Selain itu, buku panduan pengurusan RMT diedar ke semua sekolah terlibat sebagai panduan Standard Prosedur Pengoperasian.

Lazimnya, garis panduan disediakan agar boleh dipantau dan ditambah baik secara berterusan khususnya berhubung pengurusan kewangan, operasi dan pembekalan makanan.

Kajian terhadap program RMT turut dilaksanakan bagi melihat keberhasilan program dan penilaian terhadap wang dibelanjakan bagi memastikan kadar peruntukan dan menu ditetapkan kekal relevan dengan perubahan semasa.

Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga dilapor pernah membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat sebelum ini dengan menyatakan kadar RMT sedia ada tidak wajar akibat kenaikan harga barang.

Peruntukan yang rendah dikhuatiri menjejaskan kualiti makanan RMT selain terus memberi tekanan kepada pengusaha kantin.

 

KESIMPULAN 

Apa yang boleh MyCheck simpulkan berdasarkan setiap maklumat yang telah disemak, dakwaan yang tular itu dikategorikan sebagai maklumat tidak pasti.

Ini kerana tidak dapat dipastikan apakah dan bagaimana rupa menu RMT sekolah berkenaan pada hari kejadian isu yang tular itu.

Walaupun kementerian sudah menyiasat perkara ini dengan pihak sekolah, namun tidak ada maklumat lanjut dijelaskan oleh pihak penyedia makanan kantin sekolah berkenaan. 

Tambahan pula memang ada rungutan ibu bapa berhubung RMT yang menyediakan menu tidak mengikut piawaian.

Risiko berlaku kecuaian di pihak penyedia RMT juga tidak mustahil terjadi kerana makanan disediakan secara manual. 

Malah luahan pengusaha kantin berhubung piawaian makanan dan kenaikan harga bahan mentah juga kerap didengar sebelum ini.

Berkenaan bungkusan makanan RMT yang dikatakan hanya disediakan dalam bentuk 'bento', semakan kami mendapati ada juga sekolah yang menggunakan pembungkus pakai buang untuk RMT.

Namun, jika anda ada maklumat lanjut berhubung isu ini, jangan lupa hubungi Mycheck ya.

-- MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN

  1. Tular pelajar RMT hanya terima nasi putih, kuah dalam makanan 

  2. Gambar tular papar nasi, kuah sahaja, bukan makanan RMT, kata Radzi | Hot FM 

  3. Sarapan percuma bekal tenaga, diet seimbang 

  4. Persepsi Ibu Bapa Pelajar Terhadap Rancangan Makanan Tambahan (Rmt) Di Sekolah Kebangsaan. Ahmad Puhad Bin Alim & Nor Izwani 

  5. Guru dilatih ilmu pemakanan sihat | My Library

  6. rancangan makanan tambahan (rmt) di sekolah rendah  

  7. Nasi putih dengan kuah bukan makanan RMT- Radzi - Utusan Digital 

  8. Kementerian Pendidikan siasat isu menu RMT - Bernama 

  9. Naikkan peruntukan menu RMT, gesa Maszlee | Free Malaysia Today (FMT)

  10. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) 

  11. "Tak Tahu Salah Siapa" - Murid RMT Hanya Dapat Nasi Kosong Dan Kuah? - Oh! Media

  12. Hantaran Facebook Zurina Hassan / Erin Haz 

  13. Facebook : DrRadziJidin/posts  

  14. KANTIN SEKOLAH MALAYSIA ( School canteen operator ) | Facebook 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.