Orang ramai dinasihatkan tidak membeli bijirin EZ Mini Crunchies Crispy Floss keluaran Bee Cheng Hiang kerana ia bukan bijirin tetapi serondeng babi.
Sumber : Facebook / Februari 2022
Produk keluaran syarikat Bee Cheng Hiang tidak layak mendapat sijil halal Malaysia keluaran JAKIM kerana kebanyakan produk mengandungi sumber daripada babi.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Syarikat Bee Cheng Hiang mengeluarkan pelbagai jenis produk makanan untuk pasaran tempatan serta antarabangsa seperti biskut, tart nanas, popia mini, ayam deng deng, bakkwa (potongan daging babi salai atau panggang kering) dan bijirin mini.
Syarikat berkenaan telah beroperasi lebih 80 tahun dan mempunyai 12 cawangan di negara ini, dan luar negara termasuk di Singapura, Hong Kong, Taiwan, Macau dan Korea Selatan.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu tangkap layar aplikasi WhatsApp yang dikongsikan di Facebook Think Like A Halal Executive mendakwa bahawa produk bijirin EZ Mini Crunchies Crispy Floss keluaran syarikat Bee Cheng Hiang tidak halal kerana mengandungi sumber daripada babi.
Kapsyen dalam gambar berkenaan adalah seperti berikut:
‘Hati-hati. Baca tulisan kecil ni. Ini BUKAN cereal @ bijirin tetapi serunding (serondeng) babi…Manalah tahu, org beri kpd anak kecil atau cucu kita ye?’
APA YANG KAMI TEMUI
Semakan kami mendapati gambar berkenaan merupakan gambar lama yang kembali tular.
Malahan Bahagian Hab Halal, JAKIM pada 9 September 2020 pernah mengeluarkan kenyataan di laman Facebook yang mengesahkan bahawa produk mini bijirin keluaran syarikat berkenaan tidak layak memohon untuk mendapatkan sijil halal Malaysia kerana mengandungi sumber daripada babi.
JAKIM pada masa sama turut menasihati para pengguna supaya meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk makanan yang berada di pasaran sebelum membeli atau menggunakannya.
Pengguna terutamanya orang Islam digalakkan mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah kerana ia dijamin halal iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.
Setakat laporan ini ditulis, makluman di Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM berhubung isu tersebut telah mendapat lebih 1,900 perkongsian dan 266 komen.
Kenyataan daripada JAKIM mengenai isu berkenaan telah dilaporkan oleh beberapa media tempatan seperti KOSMO, Harian Metro dan malakattribunenews.
Tertera Perkataan ‘Crispy Pork Floss’ Pada Setiap Pek Bijirin
MyCheck turut meneliti gambar pek bijirin yang berwarna biru itu dan di bahagian bawah sebelah kanan tertera perkataan Crispy Pork Floss atau dalam Bahasa Malaysia Serondeng Babi Rangup.
Perkataan itu tertulis pada setiap pek namun jika tidak dilihat dengan teliti ramai akan terlepas pandang kerana tulisan berkenaan agak kecil sesuai dengan peknya yang juga bersaiz mini.
KESIMPULAN
Jelas di sini, kita sebagai pengguna yang bijak, harus memeriksa makanan atau minuman yang dibeli untuk memastikan ia daripada sumber halal.
Jika masih ragu-ragu, terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan oleh pengguna Islam untuk mendapatkan maklumat atau memeriksa status halal sesuatu makanan antaranya menerusi Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM atau melayari laman sesawang halal JAKIM; smart halal.
Ingat, pastikan halal, baru beli. Jangan lepas kenyang menikmati kesedapan makanan itu barulah kelam-kabut nak samak lidah! Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.