+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pelaksanaan Semula PT3 Masih Dalam Perbincangan, BELUM Ada Keputusan Rasmi

Benarkah...

Peperiksaan PT3 akan dijalankan pada Oktober dan November 2022.

Sumber : Facebook / Februari 2022 

Hasil

Hantaran makluman pelaksanaan PT3 di Facebook telah dipadam, belum ada keputusan rasmi.

03/03/2022 07:14 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular tangkap layar makluman peperiksaan PT3 akan diadakan semula pada tahun ini.
  • Makluman itu dimuat naik di laman Facebook ‘Lembaga Peperiksaan Rasmi’ dan kemudiannya telah dipadam.
  • Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini.

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimulakan pada 2014 telah dibatalkan pelaksanaannya pada 2020 dan 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19.

Keputusan pembatalan PT3 itu dibuat dengan mengambil kira tempoh masa yang ada bagi pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru di sekolah memandangkan pada ketika itu sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih dijalankan sepenuhnya. 

Menurut KPM pentaksiran pelajar Tingkatan 3 bagi 2021 dan 2020 dibuat melalui Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu tangkap layar di media sosial berhubung makluman pelaksanaan semula PT3 pada tahun ini.

Ia mengundang pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan juga pelajar sendiri. 

Pengumuman yang dibuat di laman Facebook Lembaga Peperiksaan Rasmi menyatakan bahawa peperiksaan PT3 akan diadakan pada Oktober dan November tahun ini.

Pelaksanaan itu dikatakan selari dengan pemerkasaan PT3 yang tertangguh susulan pembatalan PT3 bagi 2020 dan 2021 akibat COVID-19. 

Pemakluman berkaitan P3 itu dibuat dengan menggunakan lambang Jata Negara dan tulisan ‘Kementerian Pendidikan Malaysia’ di bawahnya mencetuskan tanda tanya ramai.

 


Sumber: Facebook

 

Namun, hantaran ini didakwa sudah dipadam beberapa minit selepas ia dimuat naik.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mendapatkan kembali bagaimana isu ini bermula. Kami temui, isu ini tersebar secara ‘besar-besaran’ apabila hantaran ini dimuat naik oleh individu yang berpengaruh di media sosial. 

Hantaran ini telah dimuat naik oleh individu bernama Mohd Fadli Salleh yang mempunyai seramai 537,935 pengikut di Facebook. Berdasarkan pemerhatian kami, Mohd Fadli adalah seorang guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Gombak 1, Selangor. 

Beliau juga aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan melalui pertubuhan bukan kerajaan ‘Dana Kita’. 

Setakat laporan ini ditulis, perkongsian Cikgu Fadli mengenai isu PT3 telah mendapat 888 reaksi, 178 komen dan 47 perkongsian di Facebook. Kami yakin hantaran ini memberikan pengaruh bagi pengguna media sosial berdasarkan jumlah follower beliau yang melebihi setengah juta orang.

Kami juga percaya akaun ini boleh dipercayai berdasarkan blue tick yang diberikan Facebook.

 


Sumber: Facebook

 

Seterusnya, MyCheck membuat carian di laman Facebook Lembaga Peperiksaan Rasmi untuk mencari hantaran tersebut, namun kami tidak menjumpai apa-apa hantaran seperti yang didakwa.

Bagaimanapun kami menemukan beberapa komen daripada pengguna Facebook yang bertanya tentang hantaran yang telah dipadam berserta tangkap layar hantaran tersebut. 

 


Sumber: Facebook

 

Bagi mencari dari mana datangnya hantaran tersebut, MyCheck cuba membuat carian secara rawak di Google dan kami menjumpainya di Google Image. 

Dapat dilihat, hantaran tersebut baharu sahaja dimuat naik berdasarkan status ‘2 days ago’, ‘3 days ago’ dan ‘4 days ago’ (setakat laporan ini ditulis).

 


Sumber: Facebook

 

Jelas di sini menunjukkan isu berkenaan masih ‘panas’ dan hantaran tersebut boleh dikatakan wujud sebelum ini apabila ramai yang berkongsikan tangkap layar yang sama tetapi pada waktu yang berlainan seperti yang kami lampirkan di bawah. 


Sumber: Facebook

 

Dapat dilihat di sini, masa berlainan pada setiap hantaran.

Ada yang menunjukkan 4 minit lepas, ada 32 minit dan ada juga 1 jam. Jadi, boleh dikatakan tangkap layar ini telah dikongsi oleh banyak pihak dalam masa yang berlainan. 

 

Kenyataan Dari KPM Atau Lembaga Peperiksaan

Seterusnya, pencarian diteruskan dengan mencari apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh KPM atau Lembaga Peperiksaan sendiri. 

(Nota: Lembaga Peperiksaan adalah satu unit di bawah kelolaan KPM.)

Namun, carian kami di Portal Lembaga Peperiksaan yang terus kepada bahagian ‘peperiksaan dan pentaksiran’ yang dikhususkan untuk PT3, tidak menemui sebarang pengumuman berkenaan pelaksanaan PT3 pada tahun ini. Anda boleh lihat di sini

 

Pengumuman Ditarik Balik

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian, memang terdapat pemakluman dimuat naik Lembaga Peperiksaan di laman Facebook rasmi mereka, namun pemakluman itu kemudian ditarik balik.

Jadi, jelaslah hantaran ini memang wujud sebelum ini dan sudah ditarik balik.

 

Wujud Pula Jadual Peperiksaan PT3

Dengan menggunakan kata kunci ‘ujian PT3’, MyCheck secara tidak sengaja menemui satu carian yang menunjukkan wujudnya jadual untuk peperiksaan PT3.

Apabila kami meneliti pautan yang diberikan, kami hanya menemui maklumat seperti di bawah. Anda juga boleh lihat sendiri di sini.

 


Sumber: Google

 

KPM Belum Putuskan Pelaksanaan Semula PT3

Menurut laporan Utusan Malaysia, KPM belum membuat keputusan rasmi berkaitan pelaksanaan PT3 bagi tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pada masa ini kementerian sedang meneliti pendekatan paling sesuai dengan mengambil kira tahap penguasaan murid memandangkan mereka baharu sahaja menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka.

 

KESIMPULAN

Peperiksaan sememangnya digunakan sebagai salah satu kayu ukur pencapaian pelajar.

Sebaiknya, ia dirancang dengan teliti kerana keputusan ini juga merupakan penanda aras tahap pendidikan sesebuah negara. 

Oleh itu, semua pihak tidak kira kerajaan mahupun orang awam seharusnya peka dengan keadaan semasa dalam membuat sesuatu keputusan.

Perlu juga diingat jangan terlalu cepat memuat naik maklumat di media sosial tanpa berfikir panjang terutama sesuatu yang berkaitan dengan dasar atau cadangan yang belum pasti.

Terlajak perahu mungkin boleh diundur, terlajak muat naik hantaran, buruk impaknya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Malaysia Kini ‘UPSR, PT3 tahun ini dibatalkan’ diterbitkan pada  15 April 2020

  2. MyMetro ‘UPSR dimansuhkan, PT3 tahun ini batal [METROTV]’ diterbitkan pada 28 April 2021

  3. Facebook Lembaga Peperiksaan Rasmi

  4. Laman Sesawang Lembaga Peperiksaan Malaysia 

  5. Berita Harian ‘KPM belum putuskan laksana semula PT3, atau tangguh’ diterbitkan pada 21 Feb 2022

  6. Utusan Malaysia ‘PT3: Belum ada keputusan rasmi’ diterbitkan pada 21 Feb 2022

  7. Mypt3 Jadual Pt3 2022: Tarikh Peperiksaan

  8. Facebook Mohd Fadli Salleh

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.