+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minyak Yu Yee Cap Limau Berstatus HALAL. Yang Tiada Status Halal Adalah Minyak U-I Cap Perahu Layar Yang Pembungkusannya Hampir Sama

Benarkah...

Minyak Yu Yee Cap Limau tidak halal kerana mengandungi minyak babi.

Sumber : Facebook / Mac 2022 

Hasil

Produk ini memiliki sijil pengesahan halal JAKIM. Minyak yang tidak halal ialah U-I Cap Perahu Layar yang botol dan warnanya seakan sama dengan minyak Yu Yee.

08/03/2022 12:08 PM

SEKILAS FAKTA

  • Dakwaan minyak Yu Yee Cap Limau tidak halal pernah heboh diperkatakan sejak 2015 dan tular semula tahun ini.
  • Produk itu memiliki status halal JAKIM.
  • Terdapat satu produk minyak yang tidak halal iaitu jenama U-I Cap Perahu Layar yang botol serta warnanya kelihatan sama dengan minyak Yu Yee Cap Limau dan mencetuskan kekeliruan orang ramai.

 

LATAR BELAKANG

Seakan menjadi kewajipan, setiap rumah di Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya satu minyak angin.

Minyak jenis ini sering kali digunakan apabila seseorang itu mengalami sakit kepala, perut masuk angin atau lenguh-lenguh badan. 

Salah satu  jenama minyak angin yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia adalah minyak Yu Yee Cap Limau.

Walaupun ia biasanya digunakan untuk bayi bagi mengurangkan masalah kembung perut, namun minyak Yu Yee turut digunakan oleh setiap lapisan umur di negara ini.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul pertanyaan mengenai status halal minyak Yu Yee.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu hantaran berserta tangkap layar gambar yang dimuat naik seorang pengguna di Facebook mendakwa minyak Yu Yee Cap Limau tidak halal.

Tangkap layar itu memaparkan perbualan antara seorang wanita dengan pemilik kedai yang memaklumkan bahawa minyak Yu Yee tidak boleh digunakan oleh orang Melayu kerana telah dicampur dengan minyak babi.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat carian secara rawak di Google dan menyemak di Facebook mengenai isu halal dan haram minyak turun-temurun ini. 

Kami menemukan hantaran asal yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Rahani Ismail. Setakat laporan ini ditulis (8 Mac 2022) hantaran itu masih ada.

Jika dilihat kembali kepada hantaran ini, pengguna tersebut sebenarnya berkongsi hantaran yang telah dimuat naik pada 2015 iaitu kira-kira tujuh tahun lepas. 

Ternyata, dakwaan ini ditularkan semula.

Jadi, jika dah banyak kali tular, betul ke tidak ya? Jom semak dengan MyCheck.

 


Sumber: Facebook

 

Apa kata JAKIM?

 


Sumber: Portal Halal Malaysia

 

Usaha pertama untuk mencari status halal minyak Yu Yee di laman web JAKIM ini menunjukkan status ‘tiada rekod dijumpai’ apabila kami meletakkan nama produk di bahagian carian.  

Namun, baru kami sedari yang seharusnya kami letakkan adalah nama syarikat pengeluar bagi menyemak status halal sesuatu produk. 

Kami juga cuba menyemak dengan menekan butang ‘produk’ di sebelah kiri paparan, tetapi tidak membuahkan sebarang hasil. 

Jadi, sebagai usaha lain, kami cuba menggunakan kata kunci ‘Minyak Yu Yee + keluaran’ dan ia membawa kami kepada beberapa penemuan. 

Sebenarnya sebelum ini, beberapa portal telahpun menyiarkan artikel berkenaan status minyak Yu Yee ini antaranya di Sebenarnya.my, Siakap Keli dan MyNewsHub

Melalui penulisan artikel yang memetik kenyataan yang dikeluarkan JAKIM, tercatat nama syarikat pengeluar minyak Yu Yee adalah Weng Seng Heng Medical Factory Sdn Bhd. 

Oleh itu, kami membuat carian semula di laman web Jakim dan menemui bahawa syarikat berkenaan merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini.

Maklumat carian minyak Yu Yee juga boleh diakses apabila anda menekan simbol ‘kanta pembesar’ di bahagian syarikat. 

Maklumat akan terpapar seperti di bawah.

 


Sumber: Portal Halal Malaysia

 

Selain itu, carian di Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM juga ada menjelaskan tentang status minyak kegunaan ramai ini pada Februari 2022. 

Jelas di sini menunjukkan minyak Yu Yee mendapat kelulusan JAKIM dan halal digunakan. 

Namun, MyCheck berpendapat adalah lebih mesra pengguna jika cara semakan di laman web JAKIM dapat dilakukan dengan hanya memasukkan nama produk. 

 

Kekeliruan Dengan Produk Seakan Minyak Yu Yee

Tidak terhenti di situ, semakan MyCheck di media sosial juga mendapati sebenarnya timbul kekeliruan antara Minyak Yu Yee Cap Limau dan satu lagi produk yang kelihatan sama dengan minyak Yu Yee ini, iaitu ‘minyak U-I Cap Perahu Layar.

Minyak U-I Cap Perahu Layar didapati tidak halal untuk digunakan.

Hal ini juga dimuat naik oleh Halal Akademi, sebuah penyedia latihan halal yang diberi kuasa di bawah Lembaga Profesional Halal (HPB). (MyCheck juga telah menghubungi Halal Akademi dalam mendapatkan maklumat tentang akademi ini).

 


Sumber: Facebook

 

Berdasarkan carian di Internet, kami tidak menjumpai apa-apa petunjuk pemilik minyak U-I Cap Perahu Layar ini, jadi kami mengambil inisiatif untuk turun padang sendiri melihat kewujudan minyak ini.

 

Mudah Didapati Di Pasaran

Pada mulanya MyCheck menyangka minyak U-I ini sukar didapati di pasaran dan mungkin hanya didapati di kedai-kedai ubat tradisional cina.

Jadi, MyCheck berusaha menghubungi kedai ubat tradisional cina yang berdekatan sebelum terus menerjah ke sana apabila ‘tauke’ kedai mengatakan mereka mempunyai stok minyak jenis ini. 

Namun, apabila MyCheck singgah di farmasi berdekatan kami dapati minyak Yu Yee dan minyak U-I juga terdapat di sana. Malah, ia diletakkan secara bersebelahan antara satu sama lain.

 


Sumber: Tinjauan MyCheck

 

Ya, kami dapati memang tiada tanda halal pada bekas minyak U-I Cap Perahu Layar berbanding minyak Yu Yee Cap Limau yang secara jelas tertera logo Halal Malaysia. 

Namun, kami mendapati terdapat pelekat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bekas penutup minyak U-I tersebut. Apakah maksudnya?

Hasil perbualan dengan Halal Akademi, kami dimaklumkan bahawa produk yang lulus KKM tidak semestinya mempunyai status halal, namun setiap produk yang ingin mendapatkan status halal harus mendapat kelulusan KKM terlebih dahulu. 

MyCheck juga cuba mencari status halal di website JAKIM dengan meletakkan nama pengeluar seperti yang tertera iaitu Wong Cheung Wah dan nama syarikat pengimport (Weng Thye Heng Sdn. Bhd), namun tiada carian ditemui sekali gus menunjukkan kedua-dua syarikat tidak memegang sijil halal.

 

KESIMPULAN

Ya, status halal minyak Yu Yee Cap Limau memang tidak perlu diragukan. Terdapat lambang halal Malaysia pada bekas minyak Yu Yee dan juga status halalnya juga masih sah sehingga Mac 2024. 

Namun, bagi pengguna beragama Islam anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika membeli sesuatu produk. 

Berdasarkan pemerhatian MyCheck, pemilik kedai tidak menjelaskan status halal produk apabila kami meminta untuk membeli minyak U-I. 

Malah kedua-dua minyak itu juga turut diletakkan bersebelahan di farmasi.

Kebarangkalian untuk tersalah membeli minyak ini mungkin berlaku kerana pembungkusan dan warna seakan sama dan disusun pula bersebelahan di atas rak.

Nasihat MyCheck perhatikan betul-betul ketika memilih dan membeli kerana mencari yang halal itu sunnah bukan?

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Sebenarnya.my ‘Minyak Yu Yee Tidak Halal?’. Diterbitkan pada Januari 2019

  2. Siakap Keli ‘Timbul Keraguan Status Halal Minyak Yu Yee, Pihak JAKIM Tampil Beri Penjelasan’. Diterbitkan pada Februari 2022

  3. MyNewsHub ‘Jakim Sahkan Minyak Yu Yee Adalah HALAL’. Diterbitkan pada 1 Oktober 2015

  4. Halal Malaysia Directory

  5. Facebook JAKIM  ‘Status Halal Minyak Yu Yee’. Dihantar pada 12 Februari 2022

  6. Halal Akademi ‘Status Halal Minyak Yu Yee’. Dihantar pada 12 Februari 2022

 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.