+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Campuran Air Kelapa Muda, Air Limau Nipis, Garam dan Madu TIDAK BOLEH Bunuh Virus Covid-19

Benarkah...

Campuran air kelapa muda, air limau nipis, garam dan madu boleh membunuh virus Covid-19.

Sumber : WhatsApp / Februari 2022

Hasil

Dakwaan berkenaan adalah palsu. Belum ada bukti saintifik menyokong dakwaan ini.

10/03/2022 03:39 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan mengatakan campuran air kelapa, air limau nipis, garam dan madu boleh menyembuhkan penyakit Covid-19.
  • Mesej asal yang tular dipercayai dari Indonesia dan ia disebarkan menerusi WhatsApp, beberapa laman sesawang dan media sosial.
  • Tiada bukti saintifik menyokong dakwaan ini.
  • Penyemak fakta dari Indonesia turut mengklasifikasikan ia sebagai tidak benar.


LATAR BELAKANG

Peningkatan jumlah kes harian Covid-19 sejak kebelakangan ini di seluruh dunia susulan penularan varian baharu mencetuskan kembali kebimbangan masyarakat.

Selain mengikuti saranan kerajaan dan pengamal perubatan untuk mengambil vaksinasi bagi mengekang jangkitan, sesetengah masyarakat juga dilihat terus mencari dan mengamalkan kaedah tradisional sebagai usaha mengelakkan diri dijangkiti dan menyembuhkan mereka yang telah dijangkiti Covid-19.

Ada yang mengamalkan jus herba, madu, air kelapa muda, air limau nipis, garam dan pelbagai lagi sumber bahan semula jadi, kononnya ia mampu menyembuhkan jangkitan Covid-19.

 

MENGENAI DAKWAAN 

Tular satu dakwaan di WhatsApp mendakwa bahawa campuran satu biji air kelapa muda, satu biji air limau nipis, setengah sudu teh garam dan dua sudu madu mampu menyembuhkan jangkitan Covid-19.

Dikatakan virus Covid-19 yang berada dalam badan seseorang akan hilang sejam selepas individu yang dijangkiti itu meminum campuran empat bahan berkenaan.

Selain itu hasil ujian calitan juga didakwa akan menjadi negatif selepas individu yang dijangkiti virus Covid-19 meminum campuran empat bahan itu.

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

Dakwaan WhatsApp Tular Berasal Dari Indonesia

MyCheck meneliti WhatsApp yang tular itu dan pada permulaan mesej tertera ayat ‘salam sejahtera untuk masyarakat Indonesia’ diikuti inti mesej yang menggunakan bahasa Indonesia.

Berdasarkan bahasa yang digunakan, mesej itu dipercayai ditulis oleh individu dari Indonesia kepada warga Indonesia namun ia tular sehingga ke Malaysia.

Kami kemudian membuat carian di Google dan menemukan laporan penafian mengenai keberkesanan campuran empat bahan berkenaan diterbitkan oleh badan semakan fakta serta pelbagai organisasi media Indonesia antaranya suara.com, Detik Health, Kompas, Antaranews, Tempo.co, JawaPos dan CNBC Indonesia.

Badan semakan fakta dari Indonesia iaitu Masyarakat Anti Fitnah Indonesia (MAFINDO) umpamanya telah menjelaskan bahawa dakwaan berkenaan sebagai ‘SALAH’.

 


Sumber: MAFINDO

 

Dakwaan ini turut dinafikan laman sesawang badan pemantauan Covid-19 kerajaan Indonesia iaitu Co

9.go.id.

 


Sumber: Co
9.go.id

 

Selain itu akhbar tempatan Sinar Harian juga pernah mengeluarkan artikel berhubung dakwaan itu pada 8 Julai 2021 dan mengesahkan kaedah tersebut tidak berkesan dalam menyembuhkan jangkitan Covid-19.

 

Pandangan Pakar

Pensyarah Fakulti Farmasi Universitas Gadjah Mada (UGM) Prof Dr Zullies Ikawati menegaskan campuran empat bahan berkenaan belum terbukti mampu menyembuhkan jangkitan Covid-19.

Beliau yang aktif melakukan penyelidikan dalam bidang farmakologi, klinikal farmasi dan farmakogenomik menambah kajian mendalam perlu dilakukan bagi membuktikan sesuatu bahan sama ada semula jadi atau tidak, berkesan dalam menyembuhkan jangkitan Covid-19.

"Jika ada kabar-kabar begitu saja yang belum ada buktinya, sebaiknya tidak langsung diterima.

"Jika kebetulan saja sembuh ketika minum air kelapa, ya mungkin saja, tetapi, apakah bisa lebih cepat sembuh daripada yang tidak minum? apakah sudah ada buktinya?," jelas Prof Dr Zullies seperti yang dilaporkan oleh Liputan6.com.

 

KESIMPULAN

Pelbagai kajian masih dilakukan oleh para saintis dan penyelidik bagi mencari penawar bagi jangkitan Covid-19 kerana ia perkara yang sukar dan mengambil masa memandangkan Covid-19 adalah sejenis virus yang bermutasi.

Kita tidak menentang tindakan sesetengah masyarakat yang berkongsi petua dan penawar bagi Covid-19 melalui kaedah tradisional kerana kita sedia maklum bahan semula jadi yang digunakan ada manfaatnya tersendiri.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa kaedah tradisional ini mampu membunuh Covid-19 perlu dikaji dan mendapat bukti serta pengesahan pakar terlebih dahulu.

Campuran pelbagai jenis bahan sesuka hati tanpa mendapat nasihat pakar juga mungkin akan hanya membawa mudarat berbanding manfaat. 

Janganlah kita terlalu taksub berkongsi dan mengamalkan petua yang belum terbukti sehingga boleh memakan diri. Ingat, nyawa tak dapat dibeli!

-- MYCHECK.MY --

RUJUKAN

  1. Air Kelapa, Lemon Dan Kangkung TIDAK BERKESAN Rawat Jangkitan Covid-19.Diterbitkan oleh MyCheck Malaysia.

  2. [SALAH] Campuran Air Kelapa Muda, Jeruk Nipis, Garam, dan Madu dapat Mengobati Covid-19.Diterbitkan oleh MAFINDO.

  3. CEK FAKTA: Benarkah Racikan Air Kelapa, Jeruk Nipis, Garam, dan Madu Bisa Bunuh Corona?Diterbitkan oleh suara.com.

  4. Viral Racikan Air Kelapa, Jeruk Nipis, dan Garam Bisa Bunuh Corona, Ini Faktanya.Diterbitkan oleh detikhealth.

  5. Campuran Air Kelapa Muda, Garam, Jeruk Nipis Bisa Sembuhkan Covid-19, Benarkah?.Diterbitkan oleh Kompas.com.

  6. Campuran air kelapa, jeruk nipis, dan garam dapat obati COVID-19? Ini faktanya.Diterbitkan oleh antaranews.com.

  7. Guru Besar Farmasi UGM Jelaskan Manfaat Air Kelapa Muda, Jeruk Nipis dan Garam.Diterbitkan oleh Tempo.co.

  8. Hoax! Air Kelapa, Garam, Madu, dan Jeruk Nipis Bisa Sembuhkan Covid-19.Diterbitkan oleh Jawapos.com.

  9. Air Kelapa Campur Jeruk Nipis Sembuhkan Covid? Cek Faktanya.Diterbitkan oleh CNBC Indonesia.

  10. [SALAH] Racikan Air Kelapa Muda, Jeruk Nipis, Garam, dan Madu dapat Membunuh Virus Covid-19.Diterbitkan oleh co

    9.go.id.

  11. Berkumur air garam boleh kurang risiko jangkitan Covid-19? Jika benar ia jadi pilihan mudah dan murah.Diterbitkan oleh MSTAR.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.