+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tindakan Tahan Ambulans Adalah Untuk Elak Risiko Kemalangan - Polis

Benarkah...

Polis pengiring menahan sebuah ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi orang kenamaan (VVIP).

Sumber : Facebook / Mac 2022 

Hasil

Tindakan menahan ambulans terpaksa dibuat bagi mengelakkan risiko berlaku kemalangan besar antara ambulans dan konvoi berkenaan.

16/03/2022 09:46 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video polis trafik menahan sebuah ambulans dengan siren dibunyikan di Jalan Danga Bay menghala ke Skudai, Johor, bagi memberi laluan kepada konvoi orang kenamaan.

  • Konvoi berkenaan dikatakan membawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Dua anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Johor Bahru Utara yang ketika itu bertugas mengawal lalu lintas menahan ambulans bagi mengelakkan risiko pertembungan dengan konvoi.

  • Ini kerana konvoi itu dikatakan berada 100 meter di hadapan lebih awal daripada ambulans.

  • Ambulans berkenaan diberi keutamaan meneruskan perjalanan berbanding kenderaan lain sebaik sahaja konvoi berlalu.

 

LATAR BELAKANG

Bunyi siren ambulans bukanlah perkara asing dalam kehidupan seharian masyarakat.

Tidak kira di rumah, pejabat atau di jalan raya, pasti akan terdengar bunyi siren ambulans sama ada dekat atau sayup-sayup.

Hampir semua masyarakat baik dewasa mahupun kanak-kanak tahu bahawa bunyi siren ambulans memberi isyarat kecemasan.

Jika di jalan raya, kebanyakan pemandu yang mendengar bunyi siren ambulans secara tidak langsung pasti akan tercari-cari dari mana arah kenderaan itu bagi memberi laluan dengan memperlahankan atau menghentikan kenderaan masing-masing.

Kebanyakan masyarakat memiliki sifat empati dan memahami bahawa setiap minit amat berharga bagi pemandu ambulans yang membawa pesakit ke hospital atau dalam perjalanan mengambil individu yang sakit.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular video dimuat naik seorang pengguna TikTok (starex_kavin) menunjukkan rakaman ‘dashcam’ (kamera papan pemuka) sebuah ambulans ditahan bersama kenderaan lain di sebuah jalan raya.

Menerusi video berdurasi 46 saat itu, dua anggota polis trafik dilihat menahan ambulans dan beberapa kenderaan lain untuk memberi laluan kepada sekumpulan konvoi.

Dikatakan konvoi berkenaan membawa individu kenamaan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ambulans yang ditahan pula didapati membunyikan siren yang menandakan kenderaan itu membawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berdasarkan semakan, MyCheck mendapati hantaran ini tular selepas seorang pengguna Facebook menggunakan nama Sazali Samsudin berkongsi video yang dimuat naik Starex_kavin di TikTok.

Pengguna Facebook itu turut menulis kapsyen: “Nenong nenong bunyi pun kena tahan. VVIP didahulukan, ambulan ditahan². Hanya di pasir berdengung. Halahhh”

Hantaran berserta video berkenaan yang dimuat naik pada 7 Mac lepas telah mendapat 227 respons dan lebih 4,300 tontonan.

Setakat laporan ini ditulis (15 Mac 2022) hantaran Sazali Samsudin yang mempunyai lebih 4,900 rakan dan lebih 14,000 pengikut di Facebook itu, masih ada.

 


Sumber: Facebook

 

Hantaran Di TikTok Sudah Dipadam

MyCheck kemudian mencari akaun Tiktok yang menggunakan nama Starex_kavin dan menemukan akaun itu.

Namun kami dapati tiada apa-apa hantaran yang dibuat melalui akaun terbabit. Status mengatakan ‘No videos yet’ (tiada video lagi). 

Pemilik akaun ini dipercayai seorang paramedik berdasarkan maklumat yang terpapar di akaun TikToknya.

 


Sumber: TikTok

 

Tidak pasti mengapa pemilik akaun yang mempunyai 408 pengikut ini telah memadam semua hantaran yang telah dibuat.

Namun, memang terdapat beberapa akaun TikTok lain turut berkongsi video hantarannya.

Carian kami pada hari berikutnya mendapati akaun dengan nama @starex_kavin telah ditukar kepada @kaviarasan_0401 dan sudah tiada maklumat berhubung pemilik akaun ini. 

Kami dapati akaun berkenaan telah bertukar mention name kerana kami mencari akaun menggunakan nama ‘rasta_Kavin0104’.

 


Sumber: TikTok

 

Apa Kata PDRM?

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama dakwaan ini tular.

Menurut PDRM, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bahagian Johor Bahru Utara telah menjalankan penugasan kawalan lalu lintas sempena jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Konvoi tersebut dikatakan berada 100 meter di hadapan lebih awal daripada ambulans. 

Dikatakan, pasukan ini telah membuat pertimbangan sebelum tindakan untuk menahan ambulans tersebut dijalankan. 

Antara faktor yang diambil kira adalah:

  1. Laluan utama konvoi adalah laluan menurun.

  2. Laluan ambulans adalah dari jalan susur.

  3. Konvoi tersebut telah melepasi laluan awal daripada ambulans.

  4. Penahanan ambulans yang berdurasi 30 saat sahaja adalah untuk mengelakkan risiko pertembungan antara konvoi dan ambulans tersebut.


MyCheck juga membuat semakan dan mendapati ambulans tersebut ditahan pada saat 00:06 hingga ke saat 00:35, iaitu mengambil masa kira-kira 28 saat.

 


Sumber: TikTok

 


Sumber: Kenyataan media PDRM

 

Benarkah Konvoi Individu Kenamaan Itu Membawa Perdana Menteri?

MyCheck tidak menemui apa-apa petunjuk siapakah sebenarnya VVIP yang berada dalam konvoi tersebut.

Walaupun dikatakan konvoi berkenaan membawa Ismail Sabri selain beberapa portal berita dan blogger turut melaporkan perkara sama, namun tiada sebarang gambar atau video boleh mengesahkannya.

Selain itu, pihak PDRM menerusi kenyataan yang dikeluarkan juga hanya menjelaskan mengenai tindakan penahanan ambulans bagi mengelak risiko kemalangan dan tiada sebarang makluman mengenai siapakah individu yang berada dalam konvoi itu.

 

KESIMPULAN

Dapat disimpulkan di sini memang benar berlakunya kejadian polis menahan ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi.

Justifikasi pihak polis adalah ia dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang mungkin akan memberi risiko lebih besar kepada ambulans dan konvoi berkenaan.

Kedua-dua anggota polis trafik yang bertugas adalah mereka yang terlatih dan mempunyai pengalaman untuk menilai sesuatu risiko.

Kegusaran orang ramai tentang nasib pesakit yang dibawa di dalam ambulans adalah kegusaran yang wajar. Itu adalah tanda masyarakat kita prihatin dengan keadaan sesama kita.

Siapa jua kita, tinggi mana kedudukan pangkat di dunia, apabila di jalan raya teruslah memberi laluan kepada ambulans kerana ada nyawa yang perlu dijaga.

Ambulans berkhidmat tidak mengenal siapa. Hari ini mungkin si marhaen, esok mungkin sang VVIP pula menjadi penumpangnya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Sazali Samsudin

  2. Tiktok rasta_Kavin0401

  3. Kenyataan media PDRM

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.