+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan 10 Negara Batal Semua Prosedur Kuarantin, Ujian Calitan Dan Vaksinasi Covid-19 Adalah TIDAK BENAR

Benarkah...

10 negara umum pembatalan proses kuarantin, ujian calitan dan juga vaksinasi kepada pengembara luar negara.

Sumber : WhatsApp / Februari 2022

Hasil

Sebahagian besar dari 10 negara yang disenaraikan dalam mesej WhatsApp yang tular itu masih melaksanakan proses kuarantin, ujian calitan dan vaksinasi kepada pengembara luar negara.

17/03/2022 09:54 AM

SEKILAS FAKTA

  • Negara Turki, Brazil, Great Britain, Sweden, Sepanyol, Republik Czech, Mexico, El Salvador, Jepun dan Singapura dikatakan telah membatalkan semua prosedur kuarantin, ujian calitan dan vaksinasi wajib susulan dakwaan mengatakan Covid-19 hanya selesema bermusim.

  • Sebahagian daripada 10 negara berkenaan didapati masih melaksanakan proses kuarantin wajib kepada pelawat antarabangsa bagi mengelakkan penularan Covid-19 terutamanya varian baharu Omicron.

  • Ujian calitan turut diwajibkan selain sijil vaksinasi perlu dikemukakan oleh pelawat antarabangsa kepada pihak berkuasa negara yang mereka lawati.

 

LATAR BELAKANG

Peningkatan mendadak jumlah kes harian Covid-19 menyaksikan kebanyakan negara di dunia ketika ini mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mewajibkan proses kuarantin bagi pengembara luar negara yang memasuki negara mereka.

Selain proses kuarantin, ujian calitan dan juga sijil pengesahan vaksinasi wajib dipamerkan oleh pengembara luar kepada pihak berkuasa negara terlibat.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengkategorikan jangkitan Covid-19 berkaitan varian Omicron yang tergolong dalam kategori ‘Varian of Concern’ kerana menunjukkan trend membimbangkan sejak kebelakangan ini dan mengesyorkan seluruh dunia mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular mesej di WhatsApp mengatakan 10 buah negara telah membatalkan proses kuarantin kerana menyifatkan virus Covid-19 sekadar demam bermusim.

Negara-negara berkenaan adalah Turki, Brazil, Great Britain, Sweden, Sepanyol, Republik Czech, Mexico, El Salvador, Jepun dan Singapura.

Mesej yang tular itu turut memaklumkan kesemua 10 negara berkenaan turut membatalkan ujian calitan dan sijil pengesahan vaksinasi kepada pengembara luar negara yang memasuki negara mereka.

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck telah melakukan semakan dan mendapati dakwaan berkenaan adalah tidak benar.

Memandangkan ia melibatkan jumlah negara yang agak banyak, kami membuat semakan satu per satu negara bagi memastikan maklumat yang tepat disampaikan sebagai rujukan kepada mana-mana individu yang berhasrat melawat mana-mana daripada 10 negara berkenaan.

 

TURKI:

Turki yang merupakan antara negara Eropah mencatatkan kadar harian kes Covid-19 tinggi masih mewajibkan pengembara luar yang memasuki negara berkenaan daripada negara yang dianggap berisiko untuk membuat ujian PCR dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan mereka.

Menurut laman sesawang Visas Turkey, pengembara luar diwajibkan menjalani proses kuarantin sekiranya mereka pernah tinggal di negara berisiko tinggi 14 hari sebelum tiba di negara itu.

BRAZIL:

Memandangkan Brazil merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat penularan jangkitan Covid-19, kerajaan negara berkenaan mengetatkan proses kemasukan pengembara luar dengan mewajibkan mereka menunjukkan keputusan negatif ujian PCR, tiga hari sebelum tiba atau keputusan negatif ujian RTK, dua hari sebelum tiba menerusi laluan udara.

Menurut CNN, pengembara luar negara yang memasuki negara Amerika Selatan menerusi jalan darat turut diwajibkan menunjukkan sijil pengesahan vaksinasi kepada pihak berkuasa negara berkenaan.

GREAT BRITAIN:

Great Britain terdiri daripada tiga negara di Kepulauan Inggeris iaitu England, Scotland dan Wales.

Menurut laman sesawang kerajaan United Kingdom, individu yang sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki Great Britain tanpa perlu menjalani sebarang ujian calitan dan sebagainya.

Bagi mereka yang masih belum mendapatkan sebarang suntikan vaksin Covid-19, kemasukan mereka ke Great Britain adalah bergantung kepada keputusan ujian PCR atau RTK dan beberapa keperluan kuarantin.

Disebabkan penularan varian Omicron, England, Scotland dan Wales telah memperkenalkan semula langkah-langkah pencegahan kepada dua kategori iaitu hijau dan merah iaitu kawasan berisiko dan kawasan selamat.

SWEDEN:

Sweden mewajibkan pelawat antarabangsa, terutamanya dari negara bukan anggota Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) supaya menyediakan bukti negatif ujian swab Covid-19, sijil pengesahan vaksinasi selain sijil pemulihan Covid-19 sebelum tiba di pintu masuk negara berkenaan.

Merujuk laman sesawang Agensi Kesihatan Awam Sweden (folkhälsomyndigheten), hanya rakyat negara itu selain penduduk bertaraf pemastautin tetap yang tinggal di negara berkenaan sahaja dibenarkan masuk dan keluar negara, namun dinasihatkan menjalani proses kuarantin sekembalinya mereka ke negara tersebut.

EEA merujuk kepada negara anggota Kesatuan Eropah selain Iceland, Liechtenstein dan Norway.

SEPANYOL:

Mana-mana individu yang berhasrat memasuki Sepanyol diwajibkan melengkapkan borang kawalan kesihatan dan mendapatkan kod QR yang perlu diimbas di pintu masuk lapangan terbang negara berkenaan.

Laman sesawang pihak berkuasa kesihatan Sepanyol memaklumkan pengembara luar negara yang memasuki Sepanyol dari negara yang terjejas teruk akibat Covid-19, diwajibkan mempamerkan sijil pengesahan vaksinasi atau keputusan negatif ujian PCR, tiga hari sebelum tiba di negara Eropah berkenaan.

Rakyat Sepanyol dan penduduk Kesatuan Eropah yang tiba dari negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 mesti mempamerkan sijil Covid Digital Kesatuan Eropah sebelum dibenarkan masuk.

REPUBLIK CZECH:

Pengembara luar perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR sebelum mereka tiba di negara berkenaan dan peraturan berkenaan diguna pakai ke atas individu yang sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 atau sembuh daripada virus berkenaan sejak enam bulan lepas.

Menurut laman sesawang Kementerian Dalam Negeri Republik Czech, pengembara luar juga diwajibkan menjalani ujian RTK sebelum mereka tiba, namun peraturan berkenaan tidak tertakluk kepada mereka yang sudah mendapatkan suntikan dos penggalak.

Individu yang tidak mendapat sebarang suntikan vaksin Covid-19 atau tidak sembuh daripada jangkitan Covid-19, diwajibkan menjalani ujian PCR di antara hari kelima hingga ketujuh selepas ketibaan mereka.

MEXICO:

Laman sesawang CNN melaporkan bahawa pengembara luar yang memasuki Mexico mesti melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan, selain membuat imbasan kod QR setibanya mereka di pintu masuk negara berkenaan.

Individu yang tiba di negara berkenaan tidak perlu melakukan sebarang ujian calitan dan dinasihatkan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan negara berkenaan sekiranya bergejala.

Bagaimanapun, sesetengah hotel atau kawasan peranginan di negara berkenaan meletakkan peraturan yang ketat termasuk mewajibkan pelawat untuk melakukan ujian calitan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 kepada pelawat lain.

EL SALVADOR:

Laman sesawang Wego blog travel mendedahkan kerajaan El Salvador telah menarik balik pelaksanaan ujian calitan dan kuarantin kepada pengembara luar negara yang memasuki negara Amerika Latin itu.

Individu yang memasuki negara berkenaan bagaimanapun masih diwajibkan untuk mempamerkan sijil pengesahan vaksinasi setibanya di negara terbabit, selain pemakaian pelitup muka masih berkuat kuasa apabila berada di tempat awam.

JEPUN:

Menurut laman sesawang Kementerian Luar Negeri Jepun, bermula 1 Mac 2022, pengembara luar negara selain rakyat dan penduduk tetap yang memasuki negara berkenaan daripada negara yang mempunyai kadar kes yang tinggi berkaitan varian Omicron, diwajibkan menjalani proses kuarantin samada di kediaman masing-masing atau fasiliti terpilih.

Pengembara luar negara selain rakyat dan penduduk tetap negara Jepun perlu mempamerkan keputusan negatif ujian calitan Covid-19, tiga hari sebelum mereka tiba di negara Matahari Terbit berkenaan atau tidak dibenarkan masuk sekiranya gagal berbuat demikian.

SINGAPURA:

Negara jiran, Singapura, masih melaksanakan proses kuarantin wajib atau dikenali sebagai Stay-Home Notice (SHN) kepada pengembara luar yang melawat negara berkenaan selain warga mereka sendiri yang disahkan dijangkiti Covid-19.

SHN merupakan satu notis undang-undang yang termaktub di bawah Akta Penyakit Berjangkit  Singapura yang mewajibkan pengembara luar untuk kekal berada di rumah atau fasiliti tertentu yang dikenali sebagai SHN Dedicated Facility (SDF) untuk tempoh tertentu.

Pengembara luar turut diwajibkan melakukan ujian swab Polymerase Chain Reaction test (PCR Test) sebelum tempoh proses kuarantin mereka tamat.

Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan menyebabkan individu terlibat berdepan hukuman daripada pihak berkuasa Singapura termasuk denda dan penjara, selain pas lawatan jangka panjang mereka boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

 

Badan Semakan Fakta Turut Mengeluarkan Laporan Penafian

Hasil carian kami mendapati beberapa badan semakan fakta antarabangsa terutamanya di Indonesia turut menafikan dakwaan mesej berantai berkenaan yang tular di WhatsApp itu.

Badan semakan terbabit turut memaklumkan proses kuarantin wajib masih berkuat kuasa di sebahagian daripada 10 negara berkenaan.

Antara badan semakan fakta berkenaan adalah Liputan6.com, antaranews.com, medcom.id, Pemkab Sanggau, co

9.go.id, Kompas, Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia (KOMINFO) serta PolitiFact.

 


Sumber: Laman sesawang badan semakan fakta PolitiFact

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan mengatakan 10 negara membatalkan proses kuarantin, ujian calitan dan vaksinasi adalah tidak benar kerana kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat ketika ini dan kebanyakan negara di seluruh dunia masih dalam keadaan berjaga-jaga bagi mencegah penularan Covid-19.

Nasihat kami, JANGAN mudah percaya dengan sebarang khabar angin yang bertebaran di media sosial dan gunakanlah akal fikiran kita untuk menilai sesuatu maklumat itu sama ada benar atau palsu.

Usahlah sebarkan perkara yang belum pasti sehingga memberi kesan negatif kepada masyarakat umum khususnya dan sesebuah negara secara amnya.

Seperti biasa pastikan sahih, baru kongsi!

-- MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN

  1. Stay-Home Notice.Published by the Immigration and Checkpoints Authority (ICA) of Singapore.

  2. Folkhalsomyndigheten

  3. Visasturkey

  4. Turkey Covid-19 Quarantine Requirements

  5. Berkumur air garam boleh kurang risiko jangkitan Covid-19? Jika benar ia jadi pilihan mudah dan murah.Diterbitkan oleh MSTAR.

  6. Bersihkan Hidung Pakai Air Garam untuk Cegah Corona, Pakar Ingatkan Risiko Bahayanya.Diterbitkan oleh suara.com

  7. Cek Fakta: Tidak Benar Daftar Negara Umumkan Pembatalan Wajib Karantina, Tes Covid-19 dan Vaksin.Diterbitkan oleh Liputan6.com.

  8. Hoaks! Turki hingga Singapura resmi membatalkan prosedur karantina dan vaksin.Diterbitkan oleh antaranews.com.

  9. [Cek Fakta] Beredar Daftar Negara Umumkan Pembatalan semua Prosedur Wajib Karantina, Tes Covid dan Vaksin? Ini Faktanya.Diterbitkan oleh Medcom.id.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.