+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

‘Sotong Ring’ Sejuk Beku SAH Halal. Ia Bukan Dubur Babi

Benarkah...

Produk gegelang sotong atau ‘sotong ring' sejuk beku dengan cop halal sebenarnya dubur babi?

Sumber : Facebook & WhatsApp / Mac 2022

Hasil

Sotong ring dihasilkan daripada sotong jenis ‘Illex’ dan bukannya dubur babi. Produk itu disahkan halal oleh badan pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM.

18/03/2022 10:34 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan produk gegelang sotong sejuk beku dari China bukan sotong sebenar tetapi adalah dubur babi.

  • Sampel sotong tersebut telah dianalisis oleh Jabatan Kimia dan didapati tiada DNA babi.

  • Logo halal pada bungkusan produk gegelang sotong itu disahkan diiktiraf oleh Jakim.

  • Bentuk, warna, rasa serta tekstur kenyal gegelang sotong itu kerana menggunakan spesies sotong Illex.

 


Sumber: mstar.com.my

 

LATAR BELAKANG

Sotong merupakan antara makanan laut yang sangat digemari ramai. Apa sahaja menu, asalkan ia berasaskan sotong pastinya membangkit selera.

Selain sotong segar, terdapat juga sotong sejuk beku atau gegelang sotong (sotong ring) yang menjadi pilihan kerana ia tidak perlu disiang, mudah dan cepat untuk dimasak.

Namun ketika ramai mula menggemari gegelang sotong dan ia semakin laris di pasaran, timbul pula dakwaan bahawa produk itu bukan sotong sebenar sebaliknya dihasilkan daripada dubur babi.

Ramai umat Islam sudah tidak mahu makan sotong dan curiga dengan kedai yang dikatakan sering menggunakan gegelang sotong itu terutama untuk menu goreng tepung di kedai mereka.

Berikut kami kongsikan antara reaksi warganet sebaik dakwaan tersebut tersebar.

 


Sumber: Facebook

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima tangkap layar mesej daripada aplikasi WhatsApp mendakwa gegelang sotong yang banyak dijual di pasaran sebenarnya merupakan dubur babi.

Mesej itu turut menyatakan ciri-ciri sotong ‘dubur babi’ adalah berwarna putih dan saiz gelangnya besar, manakala jika sotong tulen akan kelihatan tanda berbentuk titik.

Dikatakan turut terpapar sijil halal pada plastik pembungkusan produk gegelang sotong yang didakwa dubur babi itu.

Dakwaan itu mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat dan warganet terutama umat Islam kerana isu halal dan haram merupakan sesuatu yang sensitif dan perlu diberikan perhatian serius.

Ada yang meragui cop tanda halal yang dicetak di label pembungkusan serta mempertikai tekstur produk itu yang lebih liat dan tidak seperti sotong biasa.

Namun, benarkan dakwaan ini? Biar MyCheck semak dulu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berdasarkan carian rawak menggunakan enjin carian Google, tangkap layar gambar serta dakwaan berkenaan produk gegelang sotong sejuk beku yang kononnya diperbuat daripada dubur babi itu didapati tular sejak awal Mac tahun ini.

 


Sumber: Google

 

Maklumat awal yang kami peroleh juga menunjukkan topik tersebut mendapat perhatian meluas media tempatan dan pelbagai portal dalam talian yang lain termasuk pihak berwajib.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Siasat Dakwaan

Menurut laporan portal Harian Metro yang diterbitkan pada 4 Mac lepas, pihak JAKIM mengambil maklum berkenaan isu itu dan akan menjalankan siasatan dengan kerjasama beberapa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Agensi lain yang turut terlibat untuk siasatan terperinci ialah Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya mengambil maklum berkenaan siasatan itu dan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

 

Sampel Sotong Dianalisis Jabatan Kimia

Selain itu sampel produk berkenaan turut dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis pada 10 Mac lepas.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad seperti dilapor portal berita Sinar Harian.

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan keputusan kajian oleh Jabatan Kimia Malaysia pada 16 Mac 2022 bahawa gegelang sotong sejuk beku itu disahkan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Beliau turut menasihati pengguna agar berhati-hati dalam menyebarkan maklumat terutama di media sosial termasuklah isu berkaitan halal kerana ia boleh mendatangkan kegusaran orang ramai.

 

Cop Halal Produk Gegelang Sotong

JAKIM telah menghubungi badan pensijilan halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.

Menurut laporan Kosmo, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff memaklumkan produk gegelang sotong sejuk beku itu telah disahkan mempunyai pensijilan halal yang sah hingga 2024.

Sebelum ini logo halal pada bungkusan produk itu diragui sama ada diperakui atau sebaliknya.

Pengesahan tersebut diperoleh selepas pihaknya membuat semakan dengan badan halal dari China. 

 


Sumber: Google

 


Sumber: Google

 

Jenis Sotong Illex

Berkenaan tekstur sotong yang didakwa liat dan rasanya tidak seperti sotong biasa, Pemilik Dsemeling Fresh & Frozen Seafood Muhammad Farid Mohd Ali dari Taman Tasik Indah, Bedong di Kedah ada penjelasannya.

Menurut beliau terdapat banyak spesies sotong dan tekstur liat gegelang sotong itu kerana ia diperbuat daripada sotong jenis Ilex.

Katanya, illex squid yang diproses di kilang untuk dijadikan gegelang sotong itu tidak terdapat di perairan Malaysia dan rasanya juga agak berbeza dengan jenis sotong yang kita biasa makan.

Berikut merupakan gambar gegelang sotong jenis Illex.

 


Sumber: Google

 

KESIMPULAN

Nampaknya isu halal berkaitan produk makanan memang tak ‘sunyi’ dalam kalangan warganet.

Ambil tahu dan berusaha mencari yang halal itu memang sikap yang amat baik, tetapi kalau ingin berkongsi sebarang maklumat, pastikan ia berasas.

Janganlah yang halal diharamkan manakala yang haram pula dihalalkan.

Usahlah kita mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan menutup periuk nasi peniaga.

Fikir dulu sebelum sebar, kalau tidak tahu jangan malu untuk bertanya atau periksa dahulu sebarang maklumat yang diterima ya!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Isu Viral Sotong Ring & Babi Ring

  2. mstar.com - Betul ke sotong frozen sebenarnya dubur babi? Meriah perdebatan grup WhatsApp, anak-anak paling risau mak ayah terpedaya berita palsu 

  3. Netizen Dakwa Sotong 'Frozen' Sebenarnya Dubur Babi? Seriuslah... - REMAJA 

  4. Tidak benar sotong ring diperbuat daripada babi - peniaga makanan laut | Dagang News 

  5. Viral 'Sotong Ring Frozen' Dibuat Dari Dubur Babi, Ini Penjelasan KPDNHEP… - Lobak Merah 

  6. Syarikat penjual sotong saman netizen tuduh bahan itu diperbuat daripada usus babi | Dagang News 

  7. Dakwaan sotong daripada usus babi, syarikat perjelas... - SelangorTV 

  8. Jakim Siasat Isu Tular Sotong Ring Dari Usus Dan Dubur Babi — MYKMU.NET 

  9. Jakim siasat isu tular sotong ring dari usus dan dubur babi 

  10. Siasatan sotong ring masih berjalan: Idris 

  11. Sah tiada DNA babi dalam sotong ring - Utusan Digital 

  12. Produk gegelung sotong ada sijil halal sah - Jakim - Kosmo Digital 

  13. Sejauh mana kebenaran sotong sejuk beku diperbuat daripada babi? - Berita | Majoriti 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.